Wednesday 23 July 2014

Ibrah Kalamullah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...kasih sayang ALLAH sentiasa memayungi kehidupan kita. Al-Hamdulillah penulis masih punya kesempatan untuk terus menulis & menulis dalam blog ini. Walau sibuk melayan karenah anak-anak saudara yang comel & aktif iaitu Suri Tihani Qisya, Mia Tifal Kaisara & Tsaqif Zikry, penulis mencari ruang untuk membolehkan dia terus menulis & mengisi blognya dengan cerita kisah kehidupannya. Al-Hamdulillah...ucapan syukur ini dilafaz untuk semua nikmat & ujian dariNya.




Menjadi seorang ibu bukanlah kerja yang mudah. Pengalaman sekejap menemani anak-anak saudara penulis betul-betul mengajarnya menjadi seorang wanita cuba memahami perasaan seorang ibu yang berkerjaya. Apa pun menemani & melayan karenah mereka sangat menyeronokkan menambah nostalgia waktu kecil penulis. Mungkin ini perasaan bergelar seorang ibu nanti. Buatkan susu, mandikan mereka, teman mereka bermain, teman mereka berbual, menemani mereka makan, bergelak ketawa dengan mereka sungguh membahagiakan.

Bukan mudah juga mahu membentuk anak yang mendengar kata. Anak yang bakal meneruskan generasi yang mencintai Al-Quran & mematuhi segala perintah ALLAH serta menjauhi segala laranganNya. Masih ingat dengan kalamullah surah at-Tahrim ayat 6 yang mencerita tentang keharusan memastikan ahli keluarga terpelihara dari api neraka yang bermaksud:

6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Ibrah Kalamullah memberi peluang kepada penulis untuk terus menghayati setiap bait kata dari ALLAH ini. Leka dengan ayat-ayat suci al-Quran saat membaca & mentadabburnya memberi ruang kepada hati untuk memahami isi al-Quran. Bila baca al-Quran selalu sahaja tepat pada masanya dengan kata lain, ALLAH seolah-olah menegur penulis secara langsung di saat membaca & menghayati maksud di sebalik ayat yang dibacanya. Contoh terdekat bila penulis diuji dengan ujian yang maha berat memaksanya membuat pilihan dalam kehidupan dia tersu membelek al-Quran. Al-Hamdulillah kasih sayang ALLAH pastas membalut kesedihannya pantas juga mengajarnya menjadi manusia yang kuat dengan izinNya.

Ibrah Kalamullah di bulan Ramadhan ini sungguh bermakna terutama ketika penulis membaca surah an-Nuur & surah al-Furqan. Mari kita bedah surah an-Nuur terlebih dahulu! Banyak pengajaran yang diperoleh semasa memahami isi surah ini. Tiba-tiba teringat pada kata-kata seorang sahabat, “Pesan murabbi surah an-Nuur adalah antara surah yang perlu diajar pada anak perempuan untuk mengetahui dosa pahala sesuatu perkara yang dilakukannya...”



Ya benar surah an-Nuur banyak mutiara berharga terutamanya buat wanita muslimah. Antaranya ayat 26 & 27 yang bermaksud:

26. (lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

27. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke alam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

Maka benarlah kata-kata ALLAH...orang yang baik untuk orang yang baik. Janji ALLAH adalah benar & penulis percaya serta yakin dengan kalamullah. Bila baik diri kita jadi ada peluang untuk kita memperoleh teman hidup yang baik. Bagaimana kita, begitulah pasangan kita nanti. ALLAH juga mengajar hamba-hambaNya adab sopan dalam memasuki rumah tidak lain dengan memberi salam terlebih dahulu. Jelas lagi bersuluh Islam itu indah & penuh dengan keindahan cuma terkadang ramai yang tidak menyedarinya. Tahu tapi tidak mahu mengamalkannya.

ALLAH juga berpesan pada hambaNya dalam surah an-Nuur ayat 30 & 31 untuk mejaga pandangan merangkumi perempuan & lelaki. Mari kita telusuri maksud ayat di atas!

30. Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.

31. dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Ha..apa lagi mulalah bertindak dengan menundukkan pandangan & menjaga maruah diri. Bukan bermaksud kita menundukkan pandangan hingga berjalan terlanggar tiang, tidak juga bermakna kita menjadi manusia yang tak boleh segala-galanya. Galakan menutup aurat juga ada di masukkan dalam ayat ini. Apa lagi yang mahu kita ingkarkan sudah terang lagi bersuluh ALLAH memerintahkan kita untuk menutup aurat bukan bermakna kita tak boleh nak melakukan aktiviti seharian kita. Ini tanda ALLAH amat menyayangi diri kita.

Ada hikmah disebalik pesanan ini agar kita tidak terus terjebak dengan segala dosa & memelihara diri daripada melanggar peraturan ALLAH. Memang pada pandangan sesetengah manusia ia adalah peraturan yang sangat berat tetapi tidak bagi seorang individu yang mengaku mengucap kalimah syahadah.

Antara ayat lain yang ingin penulis ‘highlight’kan di sini adalah ayat 32 & 33 surah an-Nuur yang mungkin agak menyentuh isi hati sesetengah pihak termasuklah penulis sendiri... Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:

32. dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.

33. dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah Yang telah dikurniakan kepada kamu. dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. dan sesiapa yang memaksa mereka, maka Sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Bab jodoh yang mana adalah ketentuan ALLAH. Membina bahtera perkahwinan bukanlah semudah kita mengelip mata, bukan juga semudah kita bertatih ketika membesar menjadi kanak-kanak. Jodoh memerlukan usaha, istikharah & kebergantungan pada ALLAH yang maha kuat. ALLAH yang menumpahkan fitrah rasa cinta dalam diri kita, jadi tidak salah untuk kita terus meminta & berdoa padanya agar rasa cinta kita mendekatkan diri kita pada ALLAH Yang Maha Cinta.

Bila jodoh sudah tiba, usah kita menolak takdirNya. Kahwinilah insan yang selayaknya, pilihlah yang punya agama & punya rasa tanggungjawab, tak adalah nanti berlaku perkara yang tidak diingini kelak. Penulis berbicara seolah-olah punya pengalaman tersendiri. Kehidupan memberinya banyak pengalaman baru & mendekati insan-insan sekelilingnya mengajar penulis untuk berhati-hati dalam memilih pasangan.

Menjangkau usia 24 tahun, memungkinkan banyak persoalan tentang ‘bila nak kahwin’ terkadang menghantuinya. Penulis masih punya banyak impian, impian ke bintang yang mahu dicapainya sebelum bergelar seorang isteri & membina rumah tangga sendiri. Mahu membentuk diri menjadi lebih baik, mahu menyumbang pada kemenangan Islam, & mahu belajar banyak perkara dalam pengembaraannya. Bukan tak mahu kahwin, bukan tak usaha...tapi semuanya mengikut ketentuan ALLAH. Bila ALLAH kata ya, maka kahwinlah!

Benar kalamullah, jika tidak mampu untuk mendirikan rumah tangga cukuplah kita memelihara diri kita hanya untuk pasangan yang sah kita & mendekatkan diri kita pada cinta ALLAH. Bila kita tak kahwin sekarang bukan bermakna kita tak boleh bercinta. Ya, kita masih boleh bercinta dengan adik-beradik, mak ayah yang penting bercinta dengan ALLAH. Walau perasaan cinta suami isteri itu tidak sama setidak-tidaknya kita masih bisa memelihara diri daripada melakukan perkara maksiat. Bersabar duhai hati kerana sabar itu indah.

Panjang kita berbicara hari ini, baiklah setakat ini dahulu ibrah Kalamullah yang boleh penulis kongsikan dengan semua pembaca merangkap sahabat-sahabat penulis. Moga memberi manfaat pada ummah & sebelum terlupa mari sama-sama kita doakan untuk rakyat Gaza & hadiahkan al-Fatihah pada mangsa-mangsa tragedi MAS MH17.


Siiru ‘alaa barakatillah...salam ramadhan kareem 26 Ramadhan 1435H...

No comments:

Post a Comment