Monday 21 July 2014

Menjemput Lailatul Qadr

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah Ya ALLAH...dengan kuasa Maha BesarMu penulis masih bisa meniti harinya sebagai muslimah. Nikmat iman & nikmat Islam yang tak pernah putus menghiasi kehidupannya menjadi lebih berharga pada pandangan ALLAH. Moga nikmat ini terus memayungi kehidupan penulis & semua pembaca blog ini. Ucapan syukur menutur tanda kita hambaNya yang menghargai setiap detik & nikmat anugerahNya.

Umat Islam itu amat unik bila dia ditimpa musibah dia jadi hambaNya yang redha & tersenyum meniti setiap musibah & ujian yang dihadapinya. Bila dikurniakan nikmat & kesenangan dia menjadi hambaNya yang bersyukur dengan anugerah yang ALLAH berikan padanya. SABAR & SYUKUR menjadi senjata mukmin yang benar-benar mengerti maksud tersirat di sebalik rasa sabar & syukur ini. Semuanya kerana ALLAH.

Hari ini tajuk perbincangan kita tentang menjemput lailatul qadr. Memandangkan kita sudah berada di penghujung Ramadhan, elok rasanya kita sama-sama menghidupkan malam-malam terakhir di bulan Ramadhan dengan amalan-amalan sunat. Bukan hanya untuk mengejar lailatul qadr semata tetapi untuk mendapatkan keredhaan & keberkatan dalam kehidupan kita akan datang.

Hari ini dah 25 Ramadhan 1435H...subhanallah cepat benar masa berlalu begitu menghambat kita untuk terus beribadah mengingati ALLAH. Lailatul qadr malam yang padanya lebih baik dari seribu bulan hingga senarai surah kalamullah ada surah al-Qadr. Mari kita sama-sama hayati maksud di sebalik surah al-Qadr!

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);
5. sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Hanya insan terpilih mampu menjemput lailatul qadr. & insan terpilih itu hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Namun, lailatul qadr itu milik semua umat Islam yang mengungkap kalimah syahadah. Ibadah-ibadah yang dilakukan bukan sekadar mahu mengejar lailatul qadr tetapi lakukanlah ibadah itu adalah kerana ALLAH, insyaALLAH keredhaan ALLAH sentiasa mengiringi kita.

Benar lailatul qadr adalah sebaik-baik malam segala permohonan & pengaduan hambaNya didengar terus oleh ALLAH. Benar istimewanya Ramadhan pada lailatul qadr yang dianugerahkan ALLAH pada hambaNya. Namun, sedihnya ramai yang tidak menyedari akan hakikat kewujudan lailatul qadr di bulan Ramadhan. Buktinya, ramai yang mulai sibuk menghitung hari menyambut bulan kemenangan umat Islam iaitu bulan Syawal. Kemeriahan membeli-belah untuk hari raya Aidilfitri mencemari kesucian & kemurnian lailatul qadr. Masing-masing sibuk nak buat biskut-biskut raya yang pelbagai jenis untuk persiapan hari raya nanti.

Sedangkan ramai lagi umat Islam di luar sana yang kehadiran Ramadhan sangat di nanti, di sambut meriah, waktu akhir Ramadhan ramai yang menangisi kepergiannya. Kita nak kejar lailatul qadr atau kita nak jemput lailatul qadr? Kejar macam sukar je macam pemain bola nak kejar bola untuk dimasukkan ke dalam gol. Susah kot. Bagaimana jika kita menjemputnya? Kita tengok ibarat kita menjemput sahabat-sahabat & saudara-mara kita untuk ke majlis perkahwinan kita. Tentu ramai nak hadirkan & tentu dengan sendirinya jemputan itu dipenuhi untuk menghormati sahabat yang menjemputnya.

Begitulah ibarat ringkas antara menjemput & mengejar lailatul qadr. Ya benar kemeriahan persiapan hari raya Aidilfitri itu kita tak boleh lupakan untuk bulan Syawal akan datang, tetapi nikmat berada di malam-malam akhir Ramadhan itu juga harus dijemput sama kerana Ramadhan hanya datang sekali dalam setahun. Kita tidak pasti Ramadhan akan datang dapat kita nikmati ataupun tidak kerana kematian pasti akan menjemput kita cuma menunggu masa ALLAH memerintahkannya.

Jom tengok puisi kat bawah ini!  
                    
Menjemput Lailatul Qadr

Ramadhan kareem...
Dirimu bakal meninggalkan aku
Pergi membawa nikmat terindahmu
Kenangan lailatul qadr
Mengimbau serta menenangkanku
Andai bisa diputar masa
Ingin aku sentiasa hidup dalam Ramadhan
Mengikat ukhuwwah hamba & Tuhan
Menabur kebaikan yang maha melimpah
Menyebar kasih sayang sesama ummah
Tika ini,,,
Diriku berteleku panjang
Akhirmu Ramadhan
Membawa kesedihan berganda
Namun Engkau gantikan ia
Bersama Ramadhan punya Syawal 
Menanti kemeriahan di bulan kemenangan
Lailatul qadr...
Kami mahu menjemputmu
Menghidupkan akhir malammu
Bersama cinta & sayang Ilahi
Bersama rasa kehambaan pada Rabbul Izzati
Temukanlah kami Ya ALLAH...


Setakat ini dahulu coretan hati penulis sempena 25 Ramadhan 1435H. Teruskan usaha menghidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan amalan-amalan yang mendekatkan diri kita kepada ALLAH Yang Maha Esa. Teruskan usaha untuk mengubah diri menjadi lebih baik kerana ALLAH Maha Penyayang. Moga memberi manfaat pada ummah, moga mencurah kebaikan yang berganda buat diri yang mahu sentiasa mengingati ALLAH. Kehadiran blog ini hanya cebisan rasa rindu bertemu Tuhan, hanya perkongsian sekelumit kehidupan yang berwarna-warni dengan nikmat & ujian dariNya. 

Siiru ‘alaa barakatillah...salam Ramadhan Kareem  25 Ramadhan 1435H.  


No comments:

Post a Comment