Tuesday 15 July 2014

Tahajud Terakhir

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...syukur padaMu Ya ALLAH ‘kematian yang sebentar’ ini masih memberi ruang kepada kami untuk bangun dengan mengucap syukur padaMu. Kami masih hidup & terkadang terdetik di hati adakah peluang aku hidup ini masih ada untuk aku pada masa akan datang? Adakah aku punya kebaikan untuk ditaburkan pada diri dan orang yang aku sayang sekelilingku? Adakah keberadaan aku di bumi ini memberi rahmat pada semua orang seperti mana yang terjadi pada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w sebelum ini?

Ya ALLAH begitu banyak peluang & ruang yang Engkau anugerahkan pada hambaMu ini...adakah aku lupa untuk mensyukuriMu Ya ALLAH? Atau hatiku yang sentiasa berbolak-balik menerima kenyataan ini. Muhasabah untuk diri yang sentiasa lupa akan matlamat sebenar dia berada di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada ALLAH di samping menjaga hubungan manusia & makhluk-makhluk ALLAH yang lain.

Bulan Ramadhan hadir di saat diri memerlukan kasih & cinta Tuhannya. Mahu sahaja hatinya menjerit, Ya ALLAH kurniakan aku peluang untuk sentiasa merasai Ramadhan sepanjang kehidupannya. Ya ketika Ramadhan kita nampak semua manusia mahu berbuat kebaikan, mahu menabur sebanyak mungkin sedekah & wang, yang tak kenal jadi makin rapat ukhuwwahnya, masing-masing berlumba-lumba melakukan ibadah, masjid dipenuhi tanpa disuruh automatik solat jemaah sentiasa penuh.

Alangkah bahagianya diri menikmati bulan Ramadhan yang penuh kasih sayang. Al-Quran sentiasa dibaca & ditadabbur bersama-sama. Di mana-mana kelihatan orang ramai sibuk membaca al-Quran. Nak khatam al-Quran di bulan Ramadhan ni. Tak kisah apa orang nak kata, tapi bila kita buat macam ni masa bulan bukan Ramadhan dah tentu kita dipandang pelik. Segala kebaikan yang dibuat masa bulan Ramadhan hilang tanpa jejak. Perangai berubah 100%. Kenapa? Apa makna ibadah yang kita lakukan semasa bulan Ramadhan adakah hanya adat semata-mata?

Masa bulan Ramadhan semua orang cuba nak tutup aurat. Drama-drama yang ditayangkan juga menuntut pelakon-pelakonnya menutup aurat & bertudung. Sejuk mata memandang walau hanya semasa bulan Ramadhan. Masa bulan puasa ini kita cuba melakukan sebaik mungkin ibadah & kebaikan tetapi bagaimana kehidupan kita selepas bulan Ramadhan? Mari kita koreksi diri bersama-sama duhai sahabat.

Andai ini bulan Ramadhan terakhir bagi penulis blog ini...dia mengharapkan keredhaan ALLAH bersamanya, dia mengharapkan Ramadhan ini menyedarkan dia betapa hubungan dengan ALLAH menjadi kuasa terbesar untuk dia meneruskan hidup sebagai muslimah. Dia mengharapkan kehadiran blog ini mampu membawanya menuju cinta ALLAH. Tanpa kasih sayang ALLAH dia takkan ada seperti mana yang dia wujud sekarang ini. Dia takkan mampu menulis & mencoret segala isi hatinya dalam blog ini tanpa cinta ALLAH. ALLAH & Islam adalah pengaruh besar untuk penulis meneruskan kehidupan sebagai muslimah. Cinta suci milik ALLAH takkan dapat dia kecapi jika dia terus lari dari jalan perjuangan dakwah Islam ini.



Manusia punya kelemahan & terkadang tersasar dari jalan kebenaran. Ya kerana iman manusia kadang-kadang menurun & kadang-kadang menaik ibarat roda yang terkadang kita di atas & terkadang kita di bawah, itu fitrah manusia & fitrah itu tidak menjadikan kita hina di sisi ALLAH melainkan kita punya TAQWA. Ya, penulis juga punya kelemahan yang tersendiri yang mungkin pada mata kasar sahabat-sahabat, kalian nampak penulis sempurna padahal tidak sama sekali. Dia pernah melakukan kesilapan kerana dia juga manusia ciptaan ALLAH.

Cinta ALLAH yang menyedarkannya. Kasih sayang & rahmat ALLAH yang membalut segala kesilapan, dosa & kesalahannya. Penulis harus kuat, tabah & sabar dalam menjalani liku-liku kehidupannya kerana hidupnya bukan untuk diri sendiri semata tetapi untuk memberi & terus memberi pada semua yang ada di sekelilingnya.



Andai ini bulan Ramadhan terakhir bagi penulis blog ini...& andai tahajud ini adalah yang terakhir...izinkan penulis membahagiakan insan-insan yang pernah singgah dalam kamusnya. Ya ALLAH...izinkan penulis mendoakan yang terbaik untuk sahabat-sahabatnya yang banyak menabur kebaikan & kesedaran padanya hingga bila dia jatuh ada sahabat yang menghulur bantuan, hingga bila dia tersungkur tidak bisa bertahan dengan ujiannya ada yang memberi kata semangat & mengingatkannya pada ALLAH Yang Maha Berkuasa.

Andai hanya satu permintaannya yang ditunaikan, penulis mohon agar ALLAH sentiasa memelihara iman yang ada pada insan-insan yang pernah singgah dalam hidupnya, ibu ayah, adik beradik, keluarga, sahabat-sahabat, guru-guru, & semua manusia yang dikenalinya. Dia risau adakah amanahnya terlaksana? Adakah insan-insan yang wujud dalam kehidupannya merasa bahagia & indahnya iman dengan Islam yang dijunjungnya?

Seluruh manusia pasti merasai mati & detik kematian itu hanya menjadi detik rahsia ALLAH. Kita sebagai hambaNya harus menerima kenyataan ini. Jika detik ini kita menderita dengan penyakit yang ditanggung, jika detik ini kita sakit dengan bermacam-macam ujian yang ALLAH  berikan pada kita, usah kita berputus asa kerana ini adalah antara cara ALLAH menyayangi kita. ALLAH takkan sesekali biarkan hambaNya menderita cuma terkadang kita yang menyalah tafsirkan cinta ALLAH terhadap diri kita.



Saat kita di uji hebat ingatlah ada lagi manusia yang maha hebat ujiannya dari kita, lagi susah kehidupannya berbanding kita, lagi sukar perjalanan kehidupannya jika dibandingkan dengan kita. Kenyataan ini  bukan nak buat hidup kita lagi susah tetapi nak menyedarkan diri kita betapa kasih & sayangnya ALLAH kepada kita.

Ada satu ayat al-Quran iaitu lebih dikenali dengan ayat seribu dinar yang menjadi kalam ALLAH penguat jiwa penulis. Seolah-olah ALLAH berbicara dengannya secara langsung & menenangkan jiwanya yang kusut lagi lemah. Orang kata dalam bahasa Arab ‘ayat tashji’’. Jom kita nikmati maksud di sebalik ayat seribu dinar surah at-talaaq ayat 2 & 3 yang bermaksud:

2. Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) Dengan cara Yang baik, atau lepaskan mereka Dengan cara Yang baik; dan adakanlah dua orang saksi Yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum Yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),

3. serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Kenapa sukar benar nak jadi baik ya? Kenapa kita tak terus istiqamah dalam kebaikan? Kenapa jika kita nak buat baik & jadi baik ada sahaja halangan & ujian-ujian yang perlu kita tempuh? Ada sahaja mulut-mulut manusia yang sibuk berbicara...kata itu kata ini! Ada sahaja syaitan datang mencucuk menambah kekusutan di jiwa, menambah kepeningan hati memahami makna kehidupan. Tepuk dada tanya iman.



Teringat penulis pada kata-kata hebat seorang ustaz yang kami panggil Ustaz Abah yang memberi pesan pada sahabat penulis iaitu, “di mana kita berada, masalah sentiasa wujud, kerana ALLAH nak ajar kita erti sabar & tabah sesuai dengan nilai syurga.” Ya ini jawapannya! Kenapa bila kita nak buat baik je, ada halangan yang datang menimpa, sebab orang yang beriman tak mudah untuk melangkah ke syurga. Imannya perlu diuji terlebih dahulu kerana ALLAH nak tengok siapa antara hambaNya yang sabar & tabah dengan ujian.

Tengoklah contoh terdekat yang terjadi pada Rasulullah s.a.w yang diuji sejak dari kecil lagi sudah kehilangan kasih sayang seorang ayah kandung. Tidak lama kemudian, hilang pula kasih sayang seorang ibu yang melahirkan baginda s.a.w. Perjalanan seorang dai’e penuh ujian. Nabi Muhammad s.a.w diuji dengan kata nista umatnya, dipukul dihina, malah mahu dibunuh. Apa tindakan baginda s.a.w? Ya Nabi Muhammad s.a.w bersabar & tabah dengan ujiannya. Baginda s.a.w tidak cepat melatah.

Ya benar kita bukan nabi, & kita bukan maksum tetapi kita juga hamba ALLAH yang bisa merubah hitam jadi putih, buruk jadi baik, marah jadi sayang. Apa salahnya kita cuba untuk mencontohi sifat mulia baginda s.a.w sedangkan Nabi Muhammad s.a.w diturunkan untuk memberi kita contoh teladan yang terbaik. Bukan begitu?

Coretan hati tahajud terakhir ini memberi ruang kepada penulis serta mungkin sahabat-sahabat yang membaca ‘entri’ ini untuk sentiasa berfikiran positif dengan segala qada’ & qadarNya. Ingatlah ada hikmah tersurat & tersirat di sebalik semua aturan ALLAH ini. Setakat ini sahaja coretan hati penulis untuk hari ini, seperti biasa semoga memberi manfaat pada ummah & jangan lupa sedekahkan al-Fatihah pada penulis & seluruh umat Islam terutamanya untuk saudara-saudara seIslam kita yang berada di Gaza, Palestin.


Siiru ‘alaa barakatillah...salam Ramadhan Kareem 18 Ramadhan 1435H.  

No comments:

Post a Comment