Monday 2 March 2015

12 Jamadil Awal 1411H – 12 Jamadil Awal 1436H

Bismillahirrahmanirrahim...                

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH penulis memulakan perkongsiannya dalam blog ini. Al-Hamdulillah peluang dan ruang yang sangat berharga ini masih diberi berterusan kepadanya selagi ruh ada pada badan. Al-Hamdulillah ucapan syukur ini sebagai tanda kasih & sayangnya kepada ALLAH Yang Maha Esa...yang menciptakannya & menjadikannya hidup dihiasi dengan Islam. Iman & Islam sentiasa mengindahkan kehidupannya. Al-Hamdulillah...ruang yang ada digunakan sepenuhnya untuk blog ini. Mana tahu selepas ini tiada lagi kesempatan untuk kali ke-2 @ ke-3...

Kenapa tiba-tiba hari ini bercerita tentang nombor? Tarikh bulan Islam? Kenapa ya? Cuba kita fikir sama-sama & jom baca cerita di bawah! Apa pandangan kalian? Ada sebarang komentar & cadangan? Mohon terus menghubungi penulis blog ini.

Tarikh 12 Jamadil Awal 1411 bersamaan 30 November 1990 lahirnya seorang lagi hamba ALLAH memeriahkan suasana pasangan suami & isteri yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 24 Februari 1990. Puteri sulung itu disambut riang oleh kedua-dua mama & ayahnya. Nenek & saudara-saudara lain juga tumpang gembira. Ya, anak anugerah daripada ALLAH. Anugerah yang maha berharga, kerna ibu bapalah yang mencoraknya membuatkan corakan itu indah atau sebaliknya itu terpulang.

Zaman kanak-kanaknya sedikit berbeza dengan kanak-kanak lain yang sebayanya. Kenapa berbeza? Ya dia banyak menghabiskan masa kecilnya di rumah, tiada masa untuk bermain di luar pada waktu petang, pulang sahaja dari sekolah, rumah menjadi tempat destinasi utamanya. Waktu petangnya dipenuhi dengan jadual mengaji al-Quran. Ketegasan & kegarangan ayahnya dalam memastikan puteri sulungnya dapat membaca al-Quran dengan baik telah membuahkan hasilnya setelah dalam usia 12 tahun dia dapat menghabiskan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Rotan milik ayah masih basah di ingatannya saat malas membaca al-Quran. Rotan itu yang akhirnya memberi pengajaran terbesar kepada penulis betapa ketegasan ayah dalam membentuk peribadi anak perempuannya membuah hasil berganda buatnya.

Dia membesar daripada seorang kanak-kanak yang pasif hinggalah dia memasuki sekolah menengah ugama Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan di bumi serambi Makkah. Sekolah yang hanya didiami oleh pelajar-pelajar puteri. 7 tahun dia membesar di sekolahnya, keperibadian, identiti, akhlaknya di bentuk di sini. 7 tahun juga dia memegang amanah sebagai pengawas sekolah. Masih basah di ingatannya bagaimana dia ditemuramah untuk dilantik sebagai ‘polis sekolah’. & akhirnya dia memegang amanah itu. Daripada seorang pasif, tugasnya sebagai pengawas sekolah telah sedikit memberi titik perubahan kepada dirinya.

Kuasa sahabat yang mencerminkan watak dirinya telah memberi impak positif kepada dirinya. Sahabat-sahabat sekeliling banyak membantunya memperbaiki diri & terus memegang watak sebagai dirinya. Walau terkadang terpaksa menelan pahit digelar pelajar yang skema & ‘lurus’ dia terima gelaran itu dengan redha sebab dia tahu waktu itu kata-kata manusia bukan boleh mempengaruhi dirinya. Dengan kata nasihat, motivasi & kata semangat dari sahabat-sahabat yang baik serta guru-guru yang tak pernah putus meninggalkan pesan positif dia terus membina dirinya. Akademiknya bukan ibarat pelajar cemerlang & bukan sentiasa mendapat anugerah pelajar cemerlang, tetapi al-Hamdulillah dia boleh menerima pembelajarannya walau pertengahan. Ada jatuh & bangunnya itu fitrah bila bergelar sebagai pelajar tidak selamanya berjaya & tidak selamanya gagal.

7 tahun kenangan pahit manis ditelannya semasa di alam remaja. Zaman remaja adalah zaman segalanya ingin dicuba, pada masa tersebut hangat cinta monyet diperkatakan, maklumlah zaman darah muda. Al-hamdulillah, dia bisa menangkis cinta monyet itu hanya kerana dia memegang prinsip ayahnya yang sentiasa berpesan usah bercinta masa belajar. Dia sentiasa berdoa moga berterusan seperti ini sehinggalah dia sah memegang amanah sebagai seorang isteri. Biarlah cintanya di abadikan kepada ALLAH, ibu ayah, adik-beradik & seorang lelaki yang bakal bergelar imamnya nanti. InsyaLLAH.

“Ya ALLAH, ku mohon peliharalah cinta suci ini hanya untuk insan yang selayaknya aku cintainya. Ya ALLAH ku mohon tambahkanlah cintaku terhadapMu agar aku tidak terus leka dengan keindahan dunia.” Dia simpan cinta suci itu buat insan yang bernama suami yang bakal memimpinnya & keluarga melangkah tenang ke syurgaNya.

Akhirnya al-hamdulillah dia dapat melangkah ke alam universiti. Bergelar & memegang amanah sebagai mahasiswi universiti. Impian ibu dan ayah terlaksana akhirnya berkat rahmat kasih sayang ALLAH & berkat doa ibu ayah. Seketika dia berteleku tergamam saat melihat ramai insan yang benama lelaki membanjiri fakultinya. Sepanjang tujuh tahun belajar tak pernah berdepan dengan pelajar berlainan gender, bagaimana dia mahu berhadapan dengan mereka?

Nak tak nak dia terpaksa menghadapi situasi itu. Buat masa ini hanya ALLAH Yang Maha Tahu bagaimana perasaannya tambahan ketika membuat pembentangan tugasan yang diberikan oleh pensyarah-pensyarahnya. 25 tahun sudah dia menikmati kehidupannya di dunia sebagai muslimah wanita Islam. Al-hamdulillah ALLAH memberinya ruang bernafas dalam Islam menghayati betapa indah & manisnya bergelar muslim. Bertuah kita dilahirkan dalam Islam membesar juga dalam suasana Islam.

Detik 12 Jamadil Awal 1436H bersamaan 3 Mac 2015 @ detik 12 Jamadil Awal 1411H bersamaan 30 November 1990 adalah ulang tahun kelahiran ke-25 milik insan pemilik blog ini.  Menunggu ucapan & doa daripada sahabat-sahabat. Sudah 25 tahun lahir sebagai Islam & dia berharap agar dia istiqamah dalam perjuangan Islam ini. Andai dia tidak sempat menamatkan umurnya pada usia 63 tahun...andai lebih awal dia meninggalkan dunia ini dia sangat berharap dapat menamatkan hayatnya di dunia ini dengan sebak-baik pengakhiran (husnul khatimah).

Elok rasanya dia mengingati mati pada tarikh kelahirannya kerana mana tahu ALLAH mengambilnya lebih awal. Mengingati mati bukan bermakna putus asa dengan kehidupan dunia tetapi menjadikan kita manusia yang cemerlang dunia & akhirat. Dah 25 tahun hidup apalah sangat sumbangan dia untuk Islam hanya sekadar menulis di blog, cukupkah bekalnya untuk di bawa di akhirat kelak? Hanya menutup aurat, cukupkah dia memberi contoh muslim yang benar-benar Islam? Astaghfirullah...ampunkanlah hambaMu ini.

Di kesempatan ini, izinkan penulis memohon jasa baik sahabat-sahabat yang dikasihi ALLAH untuk mendoakan penulis walau sedikit sempena tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-25. Andai tiada masa, cukup untuk kalian menghadiahkan al-Fatihah kepada penulis. Cukup untuk kalian doakan dia thabat di jalan perjuangan Islam, di jalan yang ALLAH telah memilihnya sebagai hamba & khalifahNya. 25 tahun bukan masa yang singkat, ya daripada bayi meniarap, merangkak & bisa berjalan hinggalah dia bergraduasi & sekarang memegang amanah sebagai muaddibah kepada anak-anak yang dia ajarkan. Sepatutnya 25 tahun ini dia bisa menyumbang sesuatu yang berharga  untuk agamanya, Islam.


Setakat ini sahaja coretan hati penulis untuk hari ini. InsyaALLAH jika berkesempatan kita akan bertemu di lain hari dengan ceritera CINTA AGUNG yang lebih menarik. Ameen. Salam kasih sayang kerana ALLAH S.W.T. Siiru ‘alaa barakatillah. 


No comments:

Post a Comment