Thursday 4 December 2014

Coretan Hati Pelajar


Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…

Al-Hamdulillah syukur tidak terhingga kepada ALLAH kerana dengan rahmat & kasih sayangnya dapat penulis meneruskan lagi usaha penulisannya walau dihambat masa yang dipenuhi dengan rutin hariannya sebagai muaddibah. Al-Hamdulillah dengan kuasa ALLAH dia masih bisa berdiri & merasai nikmat terbesar sebagai individu muslim iaitu nikmat iman & Islam. ALLAH tidak sesekali meninggalkannya keseorangan Cuma dia yang terkadang leka dengan dunia.

Tahu tak apakah nikmat terbesar yang sebenarnya menghiasi kehidupan kita sebagai muslim? Ya, nikmat punya Tuhan iaitu ALLAH di sisi kita. Ya, bila kita ada rasa bertuhan usah risau pada semua ujian yang bakal mendatang kerana ALLAH ada di sisi kita. Bila sedih ada ALLAH yang mengubat, bila rindu ada ALLAH yang menghilangkan rasa rindu yang hadir, bila suka ada ALLAH yang menghiasi rasa suka kita dengan syukur, bila marah ada ALLAH yang meredakan hati kita yang merah menyala kerana marah, bila-bila masa ALLAH sentiasa ada bersama kita cuma terkadang kita terleka dalam langkah. Ayuh sahabat kita ucapkan rasa syukur dengan kurniaan terbesar di sisi kita  punya ALLAH yang menemani. Al-Hamdulillah...

Al-Hamdulillah November ini memberi makna & rasa syukur yang menggunung tinggi pada ALLAH. Al-Hamdulillah penantian selama hampir 4 tahun berakhir di gerbang pengijazahan universiti. Hadiah terindah November 2014, Hari Konvokesyen 16.11.2014 & menunggu detik 30.11.2014 tarikh kelahiran semula penulis ke-24.

Ucapan syukur meniti laju saat melihat wajah bahagia mama & adik-beradik melangkah masuk ke bumi USIM sebagai jemputan Majlis Konvokesyen ke-12 USIM. Semangat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi makin tersemat kukuh di hati & bakal dilaksanakan kelak, insyaALLAH. Diakui zaman belajar di universiti adalah zaman yang paling menyeronokkan bagi penulis.

Majlis Konvokesyen USIM ke-12 mengangkat tema yang begitu hebat bertemakan burung Hud-Hud atau burung belatuk yang disebut ALLAH dalam surah an-Naml ayat 20-22 yang bermaksud:

20. dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta Dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa Aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka Yang tidak hadir?

21. "Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya Dengan seksa Yang seberat-beratnya, atau Aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaKu alasan Yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)".

22. burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara Yang Engkau tidak cukup mengetahuinya, dan Aku datang kepadamu dari negeri Saba' Dengan membawa khabar berita Yang diyakini kebenarannya.

Hebat kisah burung hud-hud ini! Memberi ibrah kepada para mahasiswa USIM yang bergraduasi supaya kami mengorak langkah ke hadapan seperti tingkah burung hud-hud yang bijak dalam membaca suasana. Bertemakan burung hud-hud majlis konvokesyen yang ke-12 USIM berjalan lancar.

Mengenang detik bergraduasi di pentas universiti, penulis dikelilingi oleh ahli keluarga yang membantunya menyarung jubah konvokesyen. Perasaannya ketika itu bercampur baur gembira, sebak, bahagia, takut, berdebar semua ada. Melangkah masuk ke dewan besar USIM, kaki ringan mengorak langkah, “Al-Hamdulillah…Terima kasih Ya ALLAH.”

bila adik posing dgn baju jubah konvokesyen kakak...

Dewan besar USIM ini baharu sahaja disiapkan & kami adalah ‘batch’ pertama yang merasmikan Majlis Konvokesyen di dalam dewan ini. Cantik & menarik punya ciri-ciri sebagai tempat konvokesyen graduan-graduan universiti. Menanti detik beraksi di pentas, penulis memerhati sekeliling, di belakang ada ibu ayah yang setia menunggu anak-anaknya bergraduasi. Ayah penulis tidak dapat hadir kali ini, masalah kesihatan mengehadkan pergerakannya. Apa pun, penulis pasti ayah sedang bergembira dengan kejayaan anaknya yang ke-3 ini.

Tamat sudah zaman bertungkus-lumus di kampus. Ingin sekali penulis mengulang kembali kenangan-kenangan bergelar seorang mahasiswa universiti yang sibuk dengan kerja-kerjanya. Tamat sudah zaman dia bersusah payah semasa bergelar pelajar universiti, tamat juga masa untuk penulis berjalan kaki merentasi setiap destinasinya di USIM. Tamat juga zaman manis berinteraksi penuh suka duka dengan kawan-kawan sekelas yang datang dari pelosok negeri. Namun, belajar & terus belajar mendapatkan ilmu kerananya tidak boleh terhenti setakat ini sahaja. Langkah ini harus diteruskan.

Beratur menanti giliran dipanggil nama, penulis berselawat panjang, memperbetulkan niat kerananya, memuhasabah diri yang penuh dengan noda. Tetiba hati di singgah sedih mengingatkan sahabat-sahabat yang tidak dapat bersama-sama dalam majlis konvokesyen ini. Cuma iringan doa moga kalian kuat menghadapi ujian ini. Moga ujian yang datang ini memberi hikmah terindah buat kalian, sahabatku.

Mana tahu, ALLAH menganugerahkan ujian sebesar ini untuk bagi rezeki yang lagi baik untuk sahabat-sahabat. Kalian kena kuat & berfikiran positif. Memang penulis tidak berada di tempat kalian, betapa peritnya ujian ini kalian yang menanggungnya, penulis hanya mampu memerhati & berdoa moga sahabat-sahabat yang terpilih ini diberikan kekuatan untuk menghadapi setiap ujian. Rezeki ALLAH ada di mana-mana, usah kita risau. Apa pun, penulis sentiasa doakan yang terbaik untuk sahabat-sahabat, sebab doa buat sahabat saudara seIslam itu mustajab di sisiNya.

Namanya bergema dipanggil, bergetar hatinya seolah namanya dipanggil di padang mahsyar. Bagaimana bekalnya nanti? Seketika berteleku. “Tahniah Haryanti!” ucap NC USIM. “Terima kasih” kata penulis tersenyum penuh kesyukuran. Masih terkejut kerana sepanjang hayatnya jarang ada yang memanggil namanya dengan panggilan Haryanti. Kegembiraan yang hanya sebentar, tetapi cukup mendatangkan rasa syukur kepada penulis.

Setakat ini sahaja coretan hati penulis yang pernah bergelar sebagai seorang pelajar. Bukan untuk dibanggakan kisahnya, bukan untuk menjaja cerita sendiri tetapi hanya mahu berkongsi proses pembelajaran itu seharusnya berterusan kerana kita sebagai muslim punya tanggungjawab & amanah sebagai hamba ALLAH & khalifahNya.

Siiru ‘alaa barakatillahJJJ


No comments:

Post a Comment