Friday 19 December 2014

Happy Holiday Dec 2014

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah Ya Rabb...Tuhan telah memberi ruang kepada penulis dan semua sahabat untuk meneruskan kehidupan ini. Salam Jumaat kareem buat semua yang singgah & meminjamkan mata untuk menatap bait kata dari qalamwardahzinnirah ini. Ucapan syukur tidak terhingga kerana dengan izinNya penulis masih bisa menghirup udaraNya secara percuma tanpa perlu bayaran berlipat kali ganda. ALLAH bagi kat kita semuanya percuma, jadi susah sangat ke kita nak jadi manusia yang bersyukur dengan nikmat pemberianNya? Tepuk dada tanya iman kita...

Hari ini hari Jumaat terakhir penulis berada di kampung halaman tercinta, bumi serambi Makkah. Hari ini hari ke-3 terakhir sebelum penulis berangkat meneruskan kerjayanya di bumi bernilai. Sungguh masa yang singkat berada di kampung halaman menghilang seketika rasa rindu penulis pada ahli keluarganya. Maklum sahaja dia puteri sulung dalam keluarganya. Rindu pada ‘hero-hero’ yang menghiasi kehidupan keluarganya bakal datang bila kembali bergelar musafir di perantauan nanti. Teringat penulis pada ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

216. kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Ya, benar dan tepat sekali ada ketikanya apa yang kita benci itu adalah yang terbaik bagi kita & apa yang kita suka terkadang membawa keburukan kepada diri kita. Penulis mengambil contoh penghijrahan & musafirnya keluar negeri untuk mengambil pengalaman bekerja di negari orang adalah sesuatu yang sukar untuk diterima jiwanya , tetapi digagahkan diri untuk menghadapinya. Mana tahu inilah yang terbaik untuk diri penulis. ALLAH tahu kemampuan hambaNya dek kerana itu ALLAH mengujinya dengan cara berjauhan dengan keluarganya. Ya bila berjauhan rasa rindu itu lebih bermakna, rasa sayang itu semakin menebal dan tiada terpadam.





Sekarang cuti sekolah, erm...memang ‘hero-hero’ penulis ada berkampung di rumah, Fadzil Hanapi & Ahmad Hambali Cuma mungkin masa bersama mereka hanya seketika. Sebelum terlambat izinkan penulis mengucapkan selamat bercuti kepada adik-adik yang masih bersekolah. Gunakan masa cuti kalian dengan sebaiknya ya. Cuti musim tengkujuh di bumi serambi Makkah sungguh menyeronokkan, yalah dapat meluangkan masa lebih mengenali & mendekatkan diri dengan keluarga.

Tak sempat lagi penulis meneruskan hasratnya membedah buku untuk pengisian dalam blog ini, hanya perkongsian kata-kata dalam blog ini memungkinkan ia terus meriah dengan kata-kata. Persinggahan di blog ini sangat mengujakan penulis, biarpun tiada yang membacanya, seolah-olah kita sedang bercerita dan meluahkan rasa. Ini baik untuk perkembangan akal diri penulis dan mengurangkan tekanan yang terkadang menekan hidupnya. Yalah, nama lagi manusia tidak dapat lari dari ujianNya, hanya kita yang butuh kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan tidak lari dari masalah yang terkadang mencengkam jiwa. Membaca buku, melayari blog, menjenguk ‘facebook’, menulis, melayan karenah adik-adik lelaki, membantu mama di dapur, jalan-jalan menjenguk bandar Kota Bharu, bermain badminton & bola sepak, membasuh baju & sebagainya menjadi rutin harian penulis bila bermastautin di kampung.

Perkara yang paling menyeronokkan penulis apabila dapat jalan-jalan menemani mama ke bandar. Nikmat ALLAH yang sangat penulis syukuri adalah mandi dan tidur. Kenapa mandi & tidur? Bila air yangdingin menyentuh badan subhanallah kesegarannya sangat nikmat tak terbayang dek kata-kata. Ya, mandi adalah salah satu terapi menghadapi tekanan & kemarahan. Ya, badan kita disejukkan oleh air yang mengalir tanpa henti. Tidur pula hobi yang sangat menyenangkan. Hanya baca doa, ambil bantal & lelapkan mata. Nikmat tidur malam adalah nikmat yang subhanallah hanya ALLAH Yang Maha Tahu. Tambah-tambah bila musim hujan menyimbah kampung penulis, lagi ‘best’ tidurnya. Tidur & mandi itu akan jadi ibadah bila diniatkan kerana ALLAH. Barakahnya juga ada bila kita tidur & menyucikan diri mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Hari Jumaat ini kita digalakkan menambah selawat pada baginda s.a.w. Bukan susah hanya gerakkan bibir & tenangkan hati. Jadi perbanyakkan selawat kita pada baginda s.a.w. Izinkan penulis menamatkan entrinya kali ini dengan sebuah puisi yang bertajuk ‘Sedingin Hati’. Ayuh kita nikmati bersama-sama! Maaf ya jika tidak bisa memenuhi kehendak pembaca semua. Ia kerana kewujudannya hanya untuk perkongsian hati penulis sahaja tidak lebih dari itu. Sebarang komen bisa berhubung dengan penulis J J

Sedingin Hati

Hati ini
Sentiasa bertingkah
Terkadang baik terkadang buruk
Melawan hawa sekuat tenaga
Pernah jatuh menyembah bumi
Bisa berdiri kembali
Kerana cinta Ilahi

Hati ini
Fitrahnya berbolak-balik
Bukan memaksa diri sentiasa berbuat baik
Namun mengajak diri menjadi hambaNya yang baik
Baik bukan bermakna tak pernah buat jahat
Pernah melakukan kejahatan
Pernah terjatuh di lembah kegelapan
Namun dia bisa kembali ke jalan terang
Bila menemui cinta Tuhan di hujung jalan

Ubati hatimu
Andai ia teruk menghampir mati
Andai ia tidak mengenal siapa rajanya
Andai ia keras bak hempedu
Pinta hatimu yang bersih
Agar hidupmu penuh terarah
Agar dirimu kenal CintaNya
Bukan hanya kenal
Bahkan terus mendekat padaNya

Sedingin hati
Begitu juga diri
Harus sentiasa diubati
Bukan ubat semata di farmasi
Ubatnya datang dari Ilahi
Cuba mujahadah...tazkiyatun nafsi
Gali keikhlasan hati
InsyaALLAH
Hijrahmu bakal terisi. 

No comments:

Post a Comment