Monday 15 December 2014

Satu Hari Sebuah Buku


Bismillahirrahmanirrahim... 
                                               
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah bersua kembali dalam entri terbaru penulis untuk hari ini. Al-Hamdulillah hujan mencurah-curah sejak tiga hari di kampung serambi Makkah penulis ini mengundang suasana suram & sejuk. Biasanya suasana begini sesuai untuk aktiviti berhibernasi. Al-Hamdulillah semangat penulis masih belum luntur dek suasana hujan yang menyejukkan & mendinginkan dirinya. Penulisannya harus diteruskan juga.

Al-Hamdulillah...bumi serambi Makkah bermandi hujan. Hujan rahmat penuh berkat menjemput redha ALLAH pada setiap saat. InsyaALLAH...dengan izinNya hari ini penulis akan membedah buku. Lama bergelumang dengan buku bertajuk, “Padanya Ada Cinta- untuk manusia Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia.- Karangan: Bahruddin Bekri.- Terbitan: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.”

Buku ini dijumpai setelah puas meneliti dalam rak buku, buku apa lagi yang tidak di bacanya. Banyak juga buku yang belum dikhatamnya, namun pantas tangannya membelek helaian demi helaian buku ini sambil berkata, “Buku ni tentu milik adik perempuanku. Dia pun suka kumpul buku macamku.” Seronok membaca buku ini membawa penulis menelusuri setiap kisah yang dipaparkan dalam buku berhalaman 244. Kali pertama penulis mendengar & mengetahui nama penulis buku ini & dia bijak menawan hati pembaca dengan penggunaan kata ganti diri ‘saya’ dalam setiap watak yang dipaparkan.

Kebanyakan ceritanya hanyalah kisah masyarakat biasa tetapi diolah dengan luar biasa. Gaya bahasa, klimaks cerita, sungguh menarik penulis terus membacanya & paling utama setiap cerita ada pengajaran yang tersirat. Apa yang pasti setiap kisah padanya ada cinta ALLAH. ALLAH tak pernah lepas menyayangi & mencintai hamba-hambaNya. Buktinya setiap manusia dikurniakan bermacam jenis nikmat & musibah berupa menghirup udara, hidup aman, hidup aman, boleh bergerak bebas, punya keluarga, teman-teman, berfikir dengan waras, punya ketenangan & bermacam lagi.

Walaupun cerita dalam buku ini hanya ringkas terkadang hanya 2 muka surat, tetapi kisahnya memberi tarikan yang berbeza kerna kebanyakannya adalah pengalaman penulis buku itu sendiri. Bagaimana dia mengolah buku ini penuh dengan rasa cinta? Menjadikan setiap cerita tidak sia-sia & luar biasa? Tahniah & syabas penulis ucapkan kepada penulis buku ini yang juga merupakan penulis blog dingin.blogspot.com. ingin sahaja penulis blog ini menulis setiap bait kata yang dikarang dalam buku tersebut untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat.

Mari kita bedah buku ini! Penulis akan kongsikan hasil pembacaannya dan komentar tentang buku ini. Pertama, pada halaman 34 buku ini, sub topik, ‘Menjadi Pengarang yang Di sayang’. “Menulis itu perlu 80% dengan hati & 20% dengan akal. Pastikan kamu menulis dengan hati yang bersih, kerna itu yang terpamer kukuhpada tulisan kamu & itu yang dirasai oleh pembaca. Setiap penulisan perlukan tema mengangkat harapan.” Bestkan nasihat ini?

Halaman 43 buku tersebut juga menyentap sanubari penulis, “Jangan berputus asa kerna Tuhan lebih mengerti apa yang terbaik untuk kita. Teruskan berusaha bagi menjadi yang terbaik dalam semua perkara. Kita jangan sesekali mendahului kerja Tuhan.” Kita digalak meletakkan ALLAH di hadapan tetapi usah mendahului kerja Tuhan.

Sub topik, ‘Hati yang Sulit’ berhalaman 56 pula bercerita tentang sabar, “Perkara paling sulit dalam hidup adalah cuba mengerti sebab ujian Tuhan didatangkan kepada kita. Cukup sulit kerana jawapan itu hanya ada pada sabar & kamu sendiri tahu sabar itu sendiri sudah cukup sulit. Sabar terkadang hanya perlu seminit dua, terkadang berbulan, & terkadang hingga kamu mati, kamu terus bersabar.” Setiap bait kata banyak membina semangat penulis banyak juga menyedar diri penulis blog ini betapa dia masih banyak perkara yang perlu dipelajari dari kehidupannya & kehidupan insan lain.

Ya, setiap ceritanya mengetuk hati penulis, mengajak penulis berkongsi tentang hebatnya buku ini. Kisah tentang kehidupan manusia biasa yang sangan meruntun jiwa dek kerana pembawakan penulis buku ini cukup menarik. Jom, teruskan penjelajahan ini!

Halaman 60 buku ini, sub topik, ‘Berfikir ke Sana’ memetik kata-kata pada halaman ini, “Elak terlalu memikirkan hanya ke arah kita. Berfikir semoga Tuhan menerima amal kita yang seadanya, berfikir semoga Tuhan sentiasa memaafkan dosa-dosa kecil kita yang berulang, berfikir semoga Tuhan mengampunkan taubat kita yang sambil lewa, menerima ibadah kita yang separuh hati, solat kita yang tergesa-gesa & berfikir semoga Tuhan tahu yang kita sedang menunggu keikhlasan datang. Cubalah halakan fikiran kita ke sana.”

Dalam buku ini diceritakan juga peri pentingnya menjadi manusia yang sentiasa berfikiran positif & bersangka baik dengan semua makhlukNya. Jika kita nak orang sayang kat kita, kita kena bertindak memberi sayang terleboh dahulu. Jika kita nak orang buat baik kat kita, jadi kita kena buat baik kat orang dahulu. Itu fitrah.

Alam juga memainkan peranan. Halaman 94 sub topik, ‘Saat Langit Tersenyum’ mengajak pembaca memahami & membaca alam. Memetik karangan, “Langit itu harapan & langit mengisi hati sayan dengan harapan. Apabila menatap langit, saya sedar Tuhan menciptakannya supaya manusia tak mampu mengukur luasnya, kerana Tuhan mahu manusia tahu, yang harapan itu juga adalah sesuatu yang tidak terbatas, selagi langit itu tidak runtuh. Tetapi, pasti Tuhan mahu kita berfikir sendiri berkenaan perkara ini, melalui langit yang tersenyum & awan yang menatap.”

Pengajaran, jadilah manusia & hambaNya yang sentiasa bersyukur juga diselitkan dalam puluhan cerita buku ini. Gunalah peluang-peluang yang ada untuk jadi manusia yang bersyukur sebelum tiada lagi peluang untuk dirimu beraksi di bumi ini.

Kisah ini paling menarik, halaman 105 buku ini sub topik, ‘Direnung Mata, Disangka Hati’. Kenapa menarik? Ia kisah seorang lelaki merisik seorang wanita untuk dijadikan isterinya. Tau apa kata lelaki tersebut pada mulanya, “Sekiranya engkau tahu perkara itu, pasti engkau juga seperti aku.”

Sedihnya, bila perempuan itu sudah menjadi tunangan orang. Namun, tiada langsung garis luka pada wajah lelaki tersebut mengundang tanda tanya pada sahabatnya. Apa bicaranya? Mari teliti bersama, “Pada setiap solat, aku berdoa. Ya ALLAH, sekiranya perkara itu akan menjauhi aku daripadaMua, jadi jauhkanlah aku daripada perkara itu. Sekiranya, perkara itu membuatkan aku mendekatiMu, jadi dekatkan aku kepada perkara itu. Itu juga doa aku untuk perempuan itu.” Doanya kepada ALLAH adalah keyakinannya jadi dia tidak bersedih durja hanya redha & ikhlas semata.

Belajar daripada anak sekecil 5 tahun juga tersusun indah dalam buku ini. Halaman 188 , sub topik, ‘Selagi Ibu Masih Di sisi’ memetik kata-kata yang menarik untuk diabadikan dalam blog ini, “Jagalah ibu engkau baik-baik. Jangan hanya melihat, tetapi cuba memerhati ibu engkau, kerana pada kata melihat hanya ada ‘lihat’, tetapi pada kata perhati itu ada ‘hati’. Perhatikan ibu engkau dengan hati selagi dia masih ada di sisi. Jangan seperti aku yang hanya mampu memandang & memerhati nisannya.” Sungguh menyentuh hati penulis blog ini.

Mungkin kisah terakhir yang boleh penulis kongsikan di sini, selebihnya sahabat-sahabat boleh membacanya sendiri ya. Halaman 191, sub topiknya, ‘Rahsia Jodoh Saya’. Memetik kisah ini, “Jodoh, mati & rezeki itu rahsia ALLAH S.W.T. Yang namanya rahsia itu, sekiranya kita cari pun betul, sekiranya kita menunggu pun tidak salah kerana ia rahsia. Kita tidak tahu bila datangnya jodoh itu, sama ada jodoh datang pada waktu kita mencari ataupun pada waktu kita menunggu. Apa yang boleh kita lakukan adalah melengkapkan diri kita menjadi perempuan yang baik. Perempuan yang taat pada suruhan ALLAH kerana ada waktunya nanti, ALLAH akan datangkan petunjuknya, sama ada kita perlu mencari ataupun kita perlu menunggu.”

Subhanallah...Hebat sekali bicara perempuan ini. Bijak juga penulis buku ini mengatur watak perempuan solehah. Ya, fitrah manusia mahu mencintai & dicintai tetapi ingat sayang fitrah cinta itu ada batasnya menurut hukum ALLAH. Betapa ramai yang jatuh terjerumus ke lembah kehinaan hanya kerana cinta yang tak bertepatan dengan agama, jadi wahai muslimah elakkan dirimu dari cinta sementara yang hanya mengundang murka Yang Esa.

Panjang sungguh penulis berbicara tentang buku cinta ini! Izinkan penulis menamatkan entri kali ini dengan kata cinta, “Cinta milik hakiki & abadi hanya ALLAH yang satu. Biar kewujudan cinta kita mendekatkan diri kepada Yang Esa, biar cinta yang dibina keranaNya, insyaALLAH bahagia menghiasi kehidupan dunia & akhirat kita. Jemput dulu cinta ALLAH mendekati diri, insayALLAH cinta yang lain menyusul tiba nanti. ALLAH pemilik cinta, jadi kepada pemilik cinta kita memohon pertolongan.”


Moga kehadiran entri ini memberi manfaat buat ummah, menyedarkan diri betapa kerdilnya kita di pandangan ALLAH tanpa kasih sayangNya, siapalah kita di bumi ini. Jumpa lagi di lain masa...siiru ‘alaa barakatillah.

No comments:

Post a Comment