Thursday 11 December 2014

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim...    
                                            
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...bersyukur padaNya kerana dengan kurniaanNya yang Maha Besar, telah mencampak rasa bertuhan dalam lubuk hati penulis. Rasa bertuhan itu adalah anugerah terindah buat penulis sebagai mawar agama. Al-Hamdulillah dengan kuasaNya penulis masih mampu menggerakkan jari-jemarinya untuk menaip patah demi patah perkataan menjadikan ia satu karangan indah keranaNya. Al-Hamdulillah berkat izinNya juga penulis punya idea mencurah-curah untuk tidak membiarkan blog ini kosong tanpa cerita. Salam Jumaat kareem untuk semua yang menziarahi blog ini.

Allahuakbar...sungguh bertuah & betapa bersyukurnya penulis kerana dilahirkan dalam keadaan dia Islam, mama ayah, keluarga & sanak saudaranya penganut agama Islam. Tidakkah kalian merasa bertuah dengan kurniaan ini? Islam tidak hanya di kad pengenalan kita tetapi Islam haruslah merangkumi seluruh aspek kehidupan kita daripada bangun tidur hinggalah mata terpejam.

Kedengaran senang untuk dibicarakan di sini, tetapi agak sukar untuk dilaksanakan. Ramai manusia yang mengaku dia Islam tetapi berapa kerat insan yang benar-benar mengamalkan hidup berlandaskan Islam. Tepuk dada tanya iman! Sedih bercampur sebak saat memerhati masih ada lagi muslim yang hanya pada nama. Bukan kita mahu menaruh sangka buruk tetapi itu hakikat realiti kehidupan masyarakat sekarang seolah-oleh di rasuk dengan kemewahan & keindahan dunia semata.

Islam tidak sesekali memisahkan agama daripada kehidupan. Mental, fizikal, spiritual (rohani), & emosi semua bergabung dalam acuan Islam. Islam sifatnya bukan separuh, sifatnya menyeluruh & bila bergelar muslim amanah memakmurkan alam dengan Islam automatik tergalas di bahu kita. Sama ada kita menolak atau menerima itulah hakikatnya.

Semalaman penulis membelek helaian demi helaian & membaca setiap bait kata buku bertajuk, “Maryam Jameelah-Tokoh Wanita Islam Berbangsa Yahudi-karangan: Shafie Abd. Rahman-terbitan: Yamani Angel Sdn. Bhd.” Sungguh mengujakan! J J J Wanita Islam ini hebat sekali, itu kata-kata yang meniti laju di bibir penulis. Lagi hebat Maryam Jameelah adalah seorang penulis. Terus membangkit semangat penulis blog ini mahu menanam cita-cita menjadi penulis jika melalui pena ini dia mampu menyampaikan keindahan Islam.


Penulis masih ingat buku ini telah lama dibelinya, cuma tiada kesempatan untuk membacanya tetapi bila sekali membacanya, penulis terus jatuh cinta. Maryam Jameelah kali pertama mengetahui kewujudan nama ini, serikandi Islam yang memperjuangkan Islam dengan wasilah beliau. Maryam Jameelah atau namanya sebelum Islam Margaret Marcus lahir di New York, Amerika Syarikat pada 23 Mei 1934 & merupakan bangsa Yahudi. Hebatnya beliau menukar bangsa Yahudi menjadi mulia dengan memeluk agama Islam setelah berlaku pergolakan yang hebat dalam dirinya. Beliau simpati pada perjuangan rakyat Palestin yang telah diusir dari tanah air mereka berikutan penubuhan negara Israel serentak dengan itu hatinya mulai tertarik dengan Islam.


Buku ini juga menceritakan perkaitan antara Palestin, bangsa Yahudi, Zionis, & Israel. Panjang huraiannya sehingga memaksa penulis meneliti sejarah bangsa Yahudi. Menarik untuk difahami tetapi sukar untuk diterjemahkan dalam penulisan ini. Buku ini menelusuri sejarah bangsa Yahudi, apa sebenarnya yang terjadi pada Palestin, kehidupan kanak-kanak hinggalah detik kematian insan hebat bernama Maryam Jameelah.

Sungguh menambah rasa syukur penulis kerana dia dibesarkan dalam Islam. Sungguh menambah kagum penulis kepada Maryam Jameelah yang berbangsa Yahudi memilih memeluk Islam kerana nampak kebenaran agama Islam & telah sampai padanya hidayah ALLAH.
Ujian terbesar dalam kehidupan Maryam Jameelah, beliau menghidapi penyakit ‘schizophrenia’ yang melibatkan gangguan perasaan. Ada masanya beliau membaik & ada masanya beliau sakit, & bila sakit datang menyerang, beliau akan meraung-raung terguling-guling menahan sakit. 

Subhanallah...penyakit itu tidak pernah melemahkan semangatnya & kerana itu beliau kembali tenang setelah bergelar muslimah. Pbila penyakit tersebut datang beliau mampu menghadapinya dengan zikir-zikir, membaca al-Quran, berwudhuk & solat sunat 2 rakaat serta mendengar alunan-alunan merdu kalam Ilahi. Banyak yang ingin penulis bicarakan tentang muslimah berhati waja ini. Namun ada baiknya kalian membaca sendiri buku ini.
Sungguh cerita benar Maryam Jameelah menyentuh hati penulis. Beliau sanggup berhijrah dari Amerika Syarikat berpisah dengan keluarga tersayang ke Pakistan setelah menerima tawaran Maulana Abul A’la Maududi (ulama’, tokoh pemikir & penulis Islam yang aktif dalam pergerakan & perjuangan Islam) untuk berhijrah ke Pakistan bagi menyelamatkan imannya. 

Mari sahabat-sahabat kita mencontohi muslimah bernama Maryam Jameelah ini.
Memetik doa Maryam Jameelah setelah menganut Islam pada halaman 167 pada buku ini: “Wahai ALLAH Yang Maha Suci, berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini. Tetapkanlah aku dalam agama ini & bantulah aku untuk menjadi seorang muslimat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.” Lantas air mata sebak menitis laju di pipi penulis. Adakah aku mampu menjadi seperti muslimah ini? Sedangkan aku teringin sekali mengambil ibrah daripada kisah hidup Maryam Jameelah.

Maryam Jameelah menjadi perhatian kaum wanita di Barat mahupun kaum wanita Islam kerana beliau bukan sahaja memeluk Islam, berbangsa Yahudi, memilih menetap di Pakistan, berkahwin dengan lelaki Pakistan & terlibat dalam sebuah perkahwinan yang membabitkan amalan poligami. Subhanallah... Maryam Jameelah menjadi jurubicara wanita Islam di samping menghasilkan pelbagai jenis buku sepanjang berada di Pakistan.

Islam mengangkat tinggi martabat wanita & buktinya jelas diceritakan dalam al-Quran juga dalam buku ini. Penulis terpana & terpukau seketika dengan ulasan dalam buku ini tentang betapa petahnya Maryam Jameelah berbicara dengan mata penanya yang tajam menyusun seribu macam hujah untuk menentang kritikan-kritikan Barat tentang wanita Islam. Pada bab ‘Jurubicara Wanita Islam’ halaman 222-234 buku ini lantas menerangkan kepentingan wanita & betapa ALLAH mengangkat darjat wanita Islam. Maryam Jameelah bersungguh mematahkan hujah-hujah musuh tentang wanita Islam seringkali ditindas & tidak terpelajar kerana agama.

Memetik sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Wanita itu apabila dia solat lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat kepada suami, maka masuklah dia melalui mana-mana pintu syurga yang dikehendakinya.” (HR AHMAD & TABRANI)

 Maryam Jameelah turut membahaskan Islam & cabaran kehidupan moden serta Barat. Subhanallah...sekali lagi penulis teruja meneruskan pembacaan kisah hidup  Maryam Jameelah. Ingin sekali penulis mencontohi tokoh hebat serikandi Islam abad ini.

Halaman 235-251 menceritakan tentang cabaran umat Islam yang terpaksa berdepan dengan Barat. Betapa hebatnya  Maryam Jameelah berfikir mengajak penulis merenung & memuhasabah dirinya. Hampir 25 tahun dirinya hidup, belum pernah dia terfikir sehebat wanita Islam ini, namun dia tetap menanam impian syahid di medan perjuangan Islam. Penulis langsung tidak terfikir sejauh itu, Cuma niatnya mahu membumikan Islam dalam diri, keluarga & masyarakatnya. Bila? InsyaALLAH...dengan izinNya dia mahu menjadi seperti Maryam Jameelah.

Hasil perkahwinan Maryam Jameelah dengan Muhammad Yusuf Khan, beliau dianugerahkan 5 orang anak iaitu, Ayesha, Sadia Khanum, Khalid Farooq Khan, Haider Farooq Khan & Maria Khanum. Biarpun beliau menetap di Pakistan, hebatnya beliau... Maryam Jameelah tidak pernah lupa pada ibu (Mira), ayah (Marcus), & kakak (Betty) biarpun kesedihan melanda kerana mereka tidak memeluk Islam. Hubungan kekeluargaan antara mereka amat erat tidak pernah terpisah dek agama.

Di penghujung usia, Maryam Jameelah kerap jatuh sakit & diserang angin ahmar. Sehinggalah suatu hari beliau diserang penyakit jantung & beliau menghembuskan nafas terakhir pada 31 Oktober 2012. Hilang sudah permata berharga agama! LLL Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Maryam Jameelah. Maryam Jameelah adalah sebutir permata ditengah jutaan kaca kerana idea-idea yang diolahnya bernas serta berjaya mempertahankan sistem hidup Islam. Beliau lantang bersuara untuk menentang segala bentuk kritikan yang dilemparkan terhadap umat Islam.

 Buku ini diakhiri dengan lampiran kronologi tarikh-tarikh penting dalam kehidupan Maryam Jameelah. Sungguh penulis mengkagumi insan bernama Maryam Jameelah & menanam cita-cita menjadi serikandi Islam seperti beliau. Ameen. Mohon doa sahabat semuanya ya, doa moga kita terus tsabat di jalan perjuangan Islam ini.

Al-hamdulillah...usai sudah membuat ulasan ringkas tentang buku tokoh hebat ini. Memberi ruang untuk membuat ulasan buku lain pula. Wah seronoknya! Moga sahabat-sahabat dapat membaca & membelek buku ini kerana intipatinya sungguh baik terutama buat sahabat yang memilih jalan perjuangan Islam sebagai destinasi terakhir.

Siiru ‘alaa barakatillah...salam Jumaat kareem

No comments:

Post a Comment