Monday 22 August 2016

Sebuah Rumah Banglo Mewah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan limpah kurniaanNya, penulis masih diberi kesempatan & kekuatan untuk meneruskan penulisan blognya. Kehadiran blog ini yang dulunya hanya kerana terpaksa memenuhi keperluan tugasan kuliahnya semasa zaman belajar di universiti, kini menjadi hobi & minat kesukaannya. Dia mahu berkongsi betapa bahagia & bertuahnya menjadi muslimah beragama Islam.

Biar apa orang nak kata tentang kita, yang penting kita tahu niat & hala tuju kehidupan kita hanya kerana mahu meraih cinta ALLAH semata. Ya, jika kehadiran blog ini semakin mendekatkan dirinya dengan ALLAH & semakin memberi sinar cahaya pada manusia-manusia lain, inilah jalan yang penulis pilih. Kerna kita hidup diberi pilihan, mahu yang baik atau yang buruk itu terpulang pada diri setiap insan. Bukan?

Baik, hari ini penulis memilih entri bertajuk, ‘Sebuah Rumah Banglo Mewah’. Kenapa penulis ada rumah macam tu? Takdelah, penulis pun tinggal di rumah kampung yang biasa-biasa sahaja yang menjadikan rumahku syurgaku adalah ahli keluarga & pengisian di dalam rumah tersebut. Siapa punya impian nak ada sebuah rumah banglo mewah? Setiap orang mesti punya impian tersendiri, tapi hari ini penulis bukan nak bercerita tentang impiannya. Penulis ingin sampaikan analogi menarik tentang sebuah rumah banglo mewah ini.

Kalau tak tulis kat blog nanti, dah lupa ceritanya. Pertemuan dengan seorang sahabat kepada sahabat penulis di bumi bernilai yang penuh menyimpan kenangannya selama hampir lima tahun hidup bermusafir membuahkan satu perkongsian yang menarik antara kami. Penulis mendengar penuh khusyuk.

Betul kata orang, kawan baru yang kita jumpa sentiasa memberi ilmu kepada kita. Dia sempat berkongsi satu analogi yang menarik. Memetik katanya, dia bertalaqqi di sebuah pondok dengan seorang syeikh dari negara arab. Satu hari syeikh tersebut menceritakan bagaimana kisah dia berkahwin.

Pantas syeikh tersebut menceritakan satu analogi menarik tentang perbandingan antara orang bujang dan orang yang telah berkahwin. Kata syeikh tersebut: “Orang bujang melihat alam perkahwinan umpama memerhati & menjenguk sebuah rumah banglo mewah. Sedangkan orang yang telah berkahwin adalah orang yang telah berada dalam rumah banglo mewah tersebut. Macam kita manusia biasa bila tengok rumah banglo mewah dari luar, mesti kita akan terhendap-hendak, menjenguk sana dan sini, mencari tingkap kaca mahu melihat apa yang ada dalam banglo mewah tersebut. Kata orang bujang, “Bestnya kalau aku yang berada dalam banglo mewah ini. Dapat rasai kemewahannya, sejuk dingin, aman, nyaman, besar, bahagia je. Apa yang ada kat dalam tu yer?” Rasa ingin tahu membuak-buak dalam dada seperti kanak-kanak kecil perasaan ingin tahunya. Mahu saha orang bujang ini menyelinap masuk ke dalam rumah banglo mewah itu.

Tetapi sayang, dia bukan pemilik rumah banglo mewah itu. Dia hanya memerhati dari luar. Beza pula dengan orang yang telah berkahwin, yang telah berada dalam perut rumah banglo mewah tersebut. Pahit manis dalam rumah banglo mewah itu harus ditelannya walaupun terpaksa. Dia dah rasa semuanya. Bahagia, gembira, marah, sedih, murung, kosong, penat & macam-macam perasaan berada dalam rumah banglo mewah tersebut.

Analogi yang sangat menarik. Terima kasih awak. Kehadiran kata-kata ini membuka minda & ingatan penulis tentang hidup ini kita hanya bergantung padaNya. Takdir ALLAH menentukan bagaimana perjalanan kehidupan kita nanti. Jadi, sahabat-sahabat yang masih bujang, usah khuatir rumah banglo mewah untuk kalian sentiasa ada. Usah khuatir tentang jodohmu. InsyaALLAH dengan izinNya tamatlah zaman bujangmu. Usah khuatir penulis sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian. Kitakan sahabat.

Meniti kenangan di zaman bujang penulis.

Masa bujang yang indah bersama sahabat-sahabat.

Sungguh merindui detik indah bersama.

Bersyukur & hargailah zaman bujang, kalian. Ya, kalian masih punya kesempatan & waktu untuk berbakti pada ibu ayah kandung sebaiknya. Kalian yang bujang juga masih punya kesempatan untuk mengejar impian masing-masing. Masih punya masa bermanja  & bersahabat dengan adik-beradik kalian. Masih punya waktu untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Juga masih punya kesempatan menjalin ukhuwwah yang sedia ada dengan sahabat-sahabat kalian sebaiknya. Tinggalkan kenangan bujang kalian dengan penuh kenangan pahit manis supaya nanti kalian tidak menyesal di kemudian hari bila telah memegang amanah sebagai suami atau isteri.

Ada hikmahnya kalian belum bertemu jodoh. Ada indah & istimewanya kalian masih dengan gelaran bujang. Supaya nanti kalian siap untuk menghadapi alam perkahwinan yang penuh dengan ujian. Usah bersedih ya. Penantian seorang hamba akan berakhir dengan kurniaan & anugerah dari ALLAH yang tidak di sangka-sangka.

Mari kita semua perhalusi surah at-Tholaaq ayat 2 & 3 yang bermaksud:

2. ...dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),
3. serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Buat sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumah tangga & telah selamat diijab kabulkan serta sudah punya cahaya mata sendiri, ini pesanan untuk kita bersama. Pertama, penulis mohon jasa baik kalian untuk terus mendoakan sahabat-sahabat kita yang belum bertemu jodoh akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Terus mendoakan sahabat-sahabat kita walaupun kita telah bahagia sebagai isteri atau suami. Doa kan senjata mukmin, sekurang-kurangnya kita sentiasa mendoakan sahabat-sahabat kita walaupun kita tak dapat memberi sesuatu yang zahir doa juga satu bentuk pemberian.

Kenangan majlis perkhahwinan penulis.

Ke-2, bersyukur & hargailah insan-insan yang menyayangi dan sentiasa berada di samping kalian. Jangan tunggu dah terhantuk baru terngadah, jangan tunggu dah hilang atau pergi baru kita menyesal kerana tidak menyayangi mereka kerana ALLAH. Kalian beruntung sebab dah kahwin, dah ada kehidupan sendiri jadi keberuntungan itu usah dipersiakan. Suami, isteri, anak-anak, keluarga mertua, adik-beradik, keluarga sendiri, ipar duai, semuanya anugerah ALLAH. Kehadiran mereka bukan untuk disakiti walaupun mereka terkadang menyakiti biarlah kita menjadi manusia yang sentiasa menyayangi, menghargai manusia lain.

Ke-3, buat sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumah tangga, mohon jasa baik kita sebagai sahabat yang telah berkahwin, usah sesekali kita melupakan sahabat kita secara sengaja atau tidak sengaja. Ingat tak dulu, bukan main susah kita nak bina ukhuwwah dan mengekalkan persahabatan kita. Kenapa sekarang, bila kita dah berkahwin, ruang untuk sahabat telah tertutup rapat. Adakah sebab kita dah ada ‘teman rapat’ iaitu suami atau isteri, kita melupakan semua sahabat kita semudah kita melupakan kesilapan kita? Jangan pernah lupakan ukhuwwah kita.

Setakat ini dahulu coretan penulis untuk malam ini. Maaf andai ada yang terguris hati, maaf atas khilaf yang dibuat diri ini. Penulis cuma mahu mengingatkan dirinya tentang kehidupan yang sementara ini. Sebuah rumah banglo mewah menjadi entri yang sangat terpahat di dalam hati penulis, kerna penulis dapat analogi ini dari sahabat yang baru ditemuinya. Analogi ini sangat berharga & dipahatnya  di blog ini. Penuh kenangan untuk menasihati hati sendiri & sahabat-sahabat yang mencari kata semangat.


Siiru ‘alaa barakatillah...jumpa lagi di lain entri. Terus doakan moga penulis diberi kekuatan, ilham, kemampuan, masa dalam kesibukan untuk meneruskan penulisan blog ini. 

No comments:

Post a Comment