Wednesday 14 January 2015

Bahana Gadjet

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH  Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...


Al-Hamdulillah...ALLAH masih memberinya ruang untuk mencoret rasa di blog kesayangannya ini. Lama benar dia 'bercuti' dari menulis & banyak kisah-kisah yang tergendala dek kerana 'line' internet yang lembab mengganggu penulisannya. Al-Hamdulillah kesempatan menikmati hidup sebagai muslimah benar-benar mendekatkan dirinya kepada ALLAH saat bahagia & teruji. Apa-apa pun semua kembali kepada ALLAH. 


Nikmat bergelar seorang muaddibah yang memikul tanggungjawab & amanah maha besar mendidik anak bangsa dengan didikan yang benar & berlandaskan Islam menjadikan ini adalah pengalaman manis dalam hidupnya. Kembali bekerja sebagai muaddibah? Ya kerana panggilannya yang unik. Ya kerana penulis mahu melunaskan hutangnya dengan ALLAH Yang Maha Kuasa. Biar nanti dia bisa tenang bila menghadapNya. Bahagia menjadi ibu kepada lima belas orang anak sebelum masanya penulis benar-benar bergelar ibu.


Jom kita telesuri terlebih dahulu kisah yang dipaparkan oleh penulis petang ini! Kisah yang mungkin menyedarkan jiwa ramai manusia pada akhir pembacaannya. Sedih tak bila dalam ramai-ramai sahabat hanya kita yang masih ditakuk lama, menggunakan telefon bimbit NOKIA 3310? Tak percaya? Masih ada yang setia pada yang lama, eksotik & unik. Hanya ALLAH Yang Maha Tahu apa yang bergolak dalam jiwanya.


Bayangkan daripada beberapa kawannya yang masih tidak punya telefon pintar, hinggalah semuanya berpeluang memiliki telefon pintar ini kecuali dia. Sebelum ini perbualan rancak tanpa gangguan gadjet yang bernama telefon pintar kali ini ia benar-benar mengganggu. Kehadirannya membuatkan penulis mula melakar sebab kenapa dia masih tiada keinginan untuk memiliki telefon pintar sendiri.


Bangun pagi membelek telefon pintar, tengah rehat melihat telefon pintar, bahkan sedang berbual masing-masing sempat lagi menyentuh skrin telefon pintar tersebut. Mana penulis tak tersinggung. Astaghfirullahal'azim. Penulis bukan cemburu cuma agak terasa hati dengan situasi ini memandangkan dia satu-satunya muaddibah yang tiada gadjet canggih itu. Maklum sahaja dengan hanya menyentuh telefon pintar itu, semua maklumat berada di hujung jari. komunikasi dua hala semakin terhad.


Biarlah si pemilik telefon pintar ini sedar sendiri bagaimana sedih & terlukanya hati sahabat ini. Dia simpan & terus simpan moga suatu saat ALLAH memberi hidayah betapa indah & manisnya ukhuwwah walau tanpa gadjet yang mahal. Sepatutnya bukan gadjet yang kawal kita, tapi kita yang kawal gadjet. Mungkin kewujudan telefon pintar ini banyak memudahkan kita. Mungkin kehadiran telefon pintar itu, komunikasi dengan yang jauh terjaga namun tanpa sedar merenggangkan hubungan sahabat di depan mata. Biarlah dia bahagia dengan telefon lamanya, biarlah dendam & amarah itu terlerai dengan hadiah al-Fatihah & doa buat sahabat-sahabatnya.


Lagipun apa gunanya menaruh prasangka, cuma menambah dosa & sakit di dada. Biar baik sangka &berlapang dada menjadi mainan hidupnya biarpun sakit yang terpaksa ditelannya. Pesanan ikhlas dari hati penulis, hargailah insan-insan yang wujud di sekeliling kita sebelum ALLAH mengambilnya dari kita tanpa kita sedar yang suatu ketika kita kehilangannya secara tiba-tiba. Kisah tragis tentang telefon pintar & yang seumpamanya banyak mengajar penulis bersabar dengan ujian ini walau pahit terpaksa ditelan olehnya.


Bersambung nanti yer!


Ujian juga bila ramai sahabat ralit & asyik melayan telefon pintar masing-masing. Ujian bagi iman yang terkadang menaik & sekali-sekala menurun. Doanya pada semua sahabat agar mereka memahami isi hati sahabat lain yang ibarat katak di bawah tempurung seperti penulis. Boleh sahaja penulis membeli telefon pintar tersebut tetapi hatinya keras menyekat hak nafsunya yang menjadi keperluan pada zaman ini. Biar hilang cemburu di dada dengan cara yang berbeza. Namun, hilang rasa cemburu itu bukan dengan cara mendapatkannya tetapi dengan cara mengistiqamahkan hati melangkah ringan ke rumah ALLAH & memenuhi hakNya. Di dalamnya terdapat ketenangan yang tiada tandingan. Hanya muslim yang sering menjejak kaki ke rumah ALLAH merasai betapa manisnya punya kesempatan & peluang bergelar tetamuNya.


Cukuplah ALLAH menjadi pengubat hatinya, tetapi sampai bila penulis harus tabah & sabar seperti ini? Bukan tak mau memilikinya tetapi kewujudan telefon pintar ini benar-benar memberi sudut pandang negatif kepada dirinya. Negatif kerana telefon pintar itu telah merampas kebahagiaanya manis berukhuwwah. Negatifnya kerana is merubah nilai persahabatan yang terjalin menjadi semakin hambar & pudar. Walau terkadang air mata bercucuran membasahi pipi pada setiap hari yang dirasakan perlu menangis. Namun, tangisan itu benar-benar menjadikannya insan yang mahu dekat dengan ALLAH pada setiap hela nafasnya.

Mungkin pada sesetengah orang ini adalah perkara biasa & fenomena biasa buat apa nak simpan rasa cemburu. Kebendaan dunia je pun! Namun, penulis menilai pada sudut pandang sebuah persahabatan gara-gara telefon pintar yang canggih pada mata ramai manusia. Perkara remeh kenapa mesti dikongsi & dibangkitkan dalam blog ini? Tetapi sungguh permasalahan ini yang meruntuh & membinasakan hubungan persahabatan @ ukhuwwah yang jelas terbina keranaNya.

Mohon perhatian kepada penulis blog ini & semua sahabat, kehadiran entri ini bukan untuk meluah rasa semata @ memburuk nama manusia yang bernama sahabat, tetapi hasrat hati hanya mahu menegur dengan rasa kebertanggungjawaban yang tak mampu dilakukan penulis dalam bentuk percakapan hanya bisa diungkap dengan kata-kata penulisan. Bukan mahu buat sahabat tersinggug, tetapi ini hakikat yang dilalui oleh penulis. Hakikatnya amat perit untuk ditelan kerana mana mungkin dia kehilangan sahabat hanya kerana gadjet yang tumbuh merata ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Penulis hanya mahu kita sama-sama sedar...kita ini manusia punya hati & perasaan yang perlu sama dijaga bukannya robot yang dibuat sesuka hatinya atau gula-gula yang selepas mendapatkannya, dibuang pembungkusnya. 

Mungkin juga sebab penulis sering memendam rasa sendiri, melayan perasaan yang berbolak-balik, memungkinkan semuanya terjadi. Mudah terasa atau dengan kata lain sensitif walau hanya sekecil perkara. Penulis cuba untuk memperbaiki dirinya yang tercalit seribu macam kelemahan & keburukan walau agak sukar bertatih dari mula. 

Ya benar langkah terakhir, dia harus berfikiran positif tentang sahabat-sahabatnya, bukan niat mereka untuk membuat hatinya terguris, mungkin juga penulis yang terlampau berfikiran negatif sehingga menutup makna kebaikan & hikmah disebalik ujian ALLAH ini. Ya dengan berfikiran positif dia bakal mendapat kebaikan & ketenangan yang tak mampu manusia berikan kecuali dengan izin ALLAH. Biarlah dia bahagia serta bersyukur dengan telefon bimbit NOKIA 3310, dengan notebook ACER, dengan kamera COOLPIX pemberian kakak, broadbang CELCOM, dengan buku-buku yang menjadi peneman setianya pemberi maklumat paling tepat di sisinya & yang paling penting dia bahagia kerana dia punya rasa bertuhan.

Sebelum menamatkan perkongsian hari ini izinkan penulis menitip pesan, usah kita leka dengan gadjet dunia hingga kita lupa insan-insan sekeliling kita & terkadang lupa kita punya hati sahabat yang harus dijaga. Bagaimana perasaan mereka jika kewujudan & kehadiran mereka tidak dilayan & kurang kasing sayang selepas kita sibuk melayan gadjet-gadjet yang ada. Tak salah kita jadi manusia yang 'up-to date' ada wassup, facebook, blog, twitter, instagram, kamera canggih dalam 'phone', telefon pintar yang punya pelbagai aplikasi yang maklumat dunia ada di hujung jari kita, namun usah kita leka dengannya hingga kita terlupa insan-insan yang kita sayang memerlukan kasih sayang kita yang dulu berkebuk kita bicara tentang ukhuwwah. Usah kita lupa untuk mendekat diri kita kepadaNya walau kita punya banyak gadjet yang canggih. Jangan sampai terlupa memenuhi hakNya.

Setakat ini dahulu coretan hati penulis untuk malam ini. Moga memberi suntikan kesedaran & menyentap hati peri pentingnya kita menjaga hubungan sesama manusia. Moga memberi manfaat berguna buat ummah yang dahagakan nasihat & perkongsian.

Siiru 'ala barakatillah....

1 comment: