Tuesday 13 May 2014

Satu Hari Sebuah Buku (The Power Of Ummi)

Bismillahirrahmanirrahim…

Al-Hamdulillah...ucapan syukur tak pernah putus menutur di bibir merasai nikmat iman & nikmat Islam yang sangat indah, masih bisa bangun berdiri, mengerjakan suruhanNya, menghirup udara segar anugerah ALLAH & yang pasti masih mampu mencoret suatu kenangan di blog ini. Al-Hamdulillah...

Hari ini penulis ingin berkongsi satu hari sebuah buku setelah membeli beberapa buah buku menggunakan baucer buku yang diperoleh penulis. Buku ini dibeli di Pustaka Mukmin, Kuala Lumpur berdekatan dengan Jalan Masjid India. Buku bertajuk, ‘The Power of Ummi- Dahsyatnya Ucapan & Doa Seorang Ibu karangan Misbah Em Majidy’ menjadi bahan bacaan penulis dalam beberapa hari yang telah lalu.



Buku ini dibeli sebelum penulis & sahabat-sahabat bersiar-siar di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Akhirnya, penulis & sahabat2 dapat tengok menara berkembar Kuala Lumpur yg sebelum ini mereka hanya lihat & pandang dalam TV sekarang berada di depan mata. Al-Hamdulillah...seronok juga dapat tau pasal negara sendiri. Dapat melancong & merasai nikmat bermusafir di negeri sendiri sebelum meneruskan impian bermusafir di luar negara. Ameen. Penulis mahu keluar dari tempat kebisaan penulis.

Sebenarnya, mereka ziarah KL berobjektif bukan semata-mata mahu seronok @ menghabiskan masa serta duit tetapi mereka nak menghubungkan ukhuwwah dengan sahabat-sahabat universiti. Al-hamdulillah...sambil menyelam minum air.

Berbalik pada buku tersebut sungguh kehadiran buku ini mengingatkan penulis pada mama & allahyarhamah neneknya. Buku yang mempunyai 451 halaman ini sarat dengan mesej penting untuk menyedarkan masyarakat bahawa ibu adalah insan paling berjasa dalam kehidupan seorang manusia.

Yalah, ibu sanggup bersusah payah dari mula mengandung, melahirkan & menyusukan anaknya daripada anak sulung hinggalah anak bongsunya. Penting di sini lelaki @ ayah tidak mampu melakukan sebarang kerja ibu @ mengambil alih tiga tugas utama ibu.

Firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Ahqaaf ayat 15 yang bermaksud:

15. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya beserta Dengan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan. setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa Yang sempurna kekuatanNya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".

Buku ini menyenaraikan 7 bab utama dalam penghasilannya iaitu Bab 1: Syariat Islam Memuliakan Ibu, Bab 2: Bentuk Penghargaan Islam Bagi Seorang Ibu, Bab 3: Ini Ibadah Adalah Doa, Bab 4: Ucapan Seorang Ibu Didengar Allah, Bab 5: Dahsyatnya Doa Seorang Ibu, Bab 6: Doa2 Ibu Yang Tercatat Dalam Tinta Sejarah, & Bab 7: Hikmah Ketuhanan Di Sebalik Dahsyatnya Doa Seorang Ibu.

Memetik kata bicara dalam buku ini pada halaman 130 yang berbunyi:

“Maka ciumlah tangan ibumu, selagi engkau masih boleh bersalam dengannya. Pulanglah kepadanya, selagi engkau masih dapat menemuinya. Dampingilah dia selama engkau masih boleh berada di sisinya. Penuhi keinginannya & keperluannya selama engkau sanggup memenuhinya. Tersenyumlah padanya, selagi matanya yang sarat dengan kasih sayang itumasih boleh memandang wajahmu. Dengarkan curahan hatinya dengan sepenuh hati & jiwa. Agar dia merasa bermakna di hadapanmu. & ungkapkanlah cintamu, selagi dia masih ada. Pulanglah ke rumah ibumu untuk menemuinya, sebelum kesempatan itu hilang.

Apa yang jelas,buku ini menghadirkan dalil-dalil yang kukuh dari al-Quran & hadith serta kisah-kisah sejarah berkenaan kuasa doa seorang insan yang bergelar ibu. Ya, doa seorang ibu mampu mengurnia kebahagiaan & ketenangan kepada anak-anaknya. Ucapan ibu juga bisa mendatangkan kecelakaan, keburukan & pengakhiran yang buruk pada si anak.

Pasal buku yang kita bedah hari ini, nak tahu lagi apa yang menariknya dalam isi buku ini, cubalah dapatkan buku ini atau pinjam sahaja dengan penulis. Itupun jika diizinkanNya. Jadi, penulis mengajak diri & sahabat semua di samping kita sibuk membaca buku-buku akademik, buku-buku pembentukan diri muslim, buku-buku ilmiah lain ajaklah diri untuk turut membaca buku-buku berkenaan ibu. Mana tahu dengan tergeraknya hati kita membaca buku-buku tentang ibu kita akan menjadi anak yang lebih menghargai kehadiran ibu.

Usah kita kata kita sayang ibu, jika jalan dakwah sanggup kita tempuh ranjau durinya sedang ibu dahagakan kasih kita. Usah kita khabarkan pada dunia kita sayang ibu tetapi tindakan kita, pernah menunjuk rasa sayang pada ibu? Kita terkadang sibuk dengan urusan sendiri, sibuk menuntut ilmu sampai tidak tahu bagaimana kondisi ibu, sampai tidak mengerti ibu dah terlalu banyak berkorban untukmu. Usah kita kata kita ini sayang pada ibu jika hati naluri ibu tak pernah untuk kita cuba fahaminya. Percayalah bicara dari hati penulis yang kerdil ini.

Bukan penulis nak membantutkan jenis pembacaan buku-buku sahabat tetapi penulis hanya mahu diri & sahabat-sahabat menjadikan amalan membaca bukan sekadar hobi semata & tidak hanya membaca buku-buku tertentu. Pelbagaikan bahan bacaan kita supaya kita jadi orang yang berilmu & bermanfaat terutamanya pada agama yang kita anuti sekarang sehingga kita bergelar muslim.

Setakat ini sahaja coretan hati & perkongsian penulis untuk hari ini. Segala yang baik datang dari ALLAH, segala yang buruk juga datang dari ALLAH yang disandarkan pada kelemahan penulis sendiri. Terima kasih.


Siiru ‘alaa barakatillah.

No comments:

Post a Comment