Tuesday 27 May 2014

Satu Hari Sebuah Buku ( Mencari Sahabat Sejati)

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdulillah Ya ALLAH penulis masih di sini meniti harinya sebagai seorang muslimah berharap & berdoa pada ALLAH moga diberi kekuatan untuk meneruskan hidup yang mendatang. Zikir mengingati ALLAH menjadikan hati tenang menghadapi mehnah bersilang duka & bahagia itu fitrah sang manusia. Syukur padaMu Ya ALLAH kerana memberi penulis peluang meluah rasa & berbagi cinta pada semua insan yang cuba mendekatinya.

Percayalah ALLAH sangat mengasihi insan yang mengasihi saudaranya melebihi diri sendiri. Usah kita pentingkan diri sendiri semata kerana rugi kita yang menanggungnya. Hari ini penulis terpanggil untuk berkongsi sebuah buku novel tarbiah bertajuk ‘Relasi-Mencari Sahabat Sejati- karangan Hilal Asyraf, terbitan Galeri Ilmu. Buku novel berkisar tentang persahabatan dibaca & dihadam bukan untuk imaginasi semata tetapi untuk memberi pelajaran pada diri.


Melalui pembacaan kita bisa menambah pengalaman, melalui pembacaan kita belajar berkongsi kasih sayang & melalui pembacaan penulis kenal & belajar apa itu sahabat yang sejati. Buku ini menyedarkan penulis betapa tali persahabatan yang bertunjangkan kerana ALLAH bakal membawa sahabat-sahabat ini menuju syurga.  Manis pahit dalam persahabatan itu seharusnya menjadi asam garam dalam kehidupan manusia yang menghargai persahabatan.

Watak Saifullah & Senior ditonjolkan dalam novel tarbiah ini sebagai watak sahabat yang sangat baik & akrab walaupun mereka berbeza dari segi umurnya. Mari kita singkap kata-kata dalam buku ini pada halaman 4 tentang sahabat yang ditutur oleh senior pada Saifullah, “Jika kamu ingin meletakkan darjat sahabat pada seseorang, maka kamu perlu ingat bahawa setiap manusia mempunyai niat & niat seseorang itu akan terbukti dalam amalannya. Jangan sesekali kamu lupa bahawa sahabat kamu merupakan bayangan diri kamu yang sebenar. Sahabat mampu mempengaruhi sikap & kelakuan kamu.”

“Ketahuilah, sahabat ialah orang yang sanggup terjun ke neraka untuk menyelamatkan kamu sekiranya kamu jatuh ke dalamnya. Sahabat ialah orang yang beriringan dengan kamu ke syurga. Sahabat ialah mereka yang ikhlas menghubungkan silaturrahim denganmu dan tidak mengharapkan apa-apa dalam perhubungan kamu selain redha ALLAH semata-mata. Ringkasny, sahabat ialah mereka yang sentiasa mendekatkan diri kamu kepada ALLAH dan RasulNya.”

Itu makna sahabat yang cuba dirungkaikan dalam buku ini. Ya buku ini memang buku novel, tapi isinya membina bagi sesiapa yang pernah membaca buku ini. Pengorbanan, keikhlasan & kesabaran sangat diperlukan dalam sebuah persahabatan. Kemaafan juga jika disuntik bersama bakal membawa keharmonian dalam persahabatan. Penulis ini bukanlah insan yang arif dalam persahabatan kerana dia hanya insan biasa yang cuba meletakkan sahabat dalam kondisi dirinya. Penulis senang punya sahabat yang ramai agar mudah untuk dia meniti kehidupan menuju ALLAH Yang Maha Esa. Yalah, bila bersahabat ramai yang menegur bila salah, ramai yang mencurah kasih bila dirasa kosong.



Pendapat penulis pula tentang sahabat adalah, sahabat insan yang menjadi cerminan diri seseorang. Bila sahabat yang baik kita berkawan baiklah diri kita. Sahabat sampai syurga itulah kata-kata yang sering penulis lontarkan pada sahabat-sahabatnya tak kiralah umur mereka muda dari penulis atau lebih berusia. Bila bersahabat kerana ALLAH kita akan rasa sangat bahagia tenangnya hanya Tuhan yang tahu kerana kita bukan mengharap pada harta, pangkat, kecantikan, kelebihan @ keistimewaan yang ada pada sahabat kita tetapi kita gantungkan pengharapan kita pada ALLAH yang menetukan segalanya.

Pada halaman 191 watak Saifullah teringatkan kata-kata ayahnya, “Sahabat yang baik ialah sahabat yang kamu cinta kepadanya & dia cinta kepadamu, sahabat yang kamu mendoakannya, & dia mendoakan kamu.” Ya benar sekali kata-katanya. Bila bersahabat pada penulis usahlah dirinya mengharap lebih kerana dia juga manusia biasa yang punya banyak kelemahan. Kita banyakkan memberi pada sahabat & elakkan dari banyak meminta. Kita jadi insan yang redha & sering memaafkan bila sahabat melukai atau dengan tidak sengaja membuat kita berkecil hati. Memang senang untuk diluahkan dengan kata-kata tapi sukar untuk dilakukan oleh tindakan kita. Di sinilah mujahadah memain peranan. Di sinilah, persahabatan kita saling teruji.
Mana ada kehidupan yang tak ditimpa tsunami, mana ada suami isteri yang tak bergaduh, mana ada pantai tak ditimpa ombak yang ada manusia hidupnya sering diuji. Bukan untuk melemahkannya tetapi untuk menguatkannya. ALLAH tahu kemampuan hambaNya jadi lalui sahaja ujian & mehnah dalam persahabatan dengan baik. Tak warna warni namanya sahabat jika baik sahaja tanpa ada badai yang melanda.

Di kesempatan ini, izinkan penulis mencoret doa buat sahabat-sahabatnya yang jauh di mata tetapi dekat di hati sebelum menutup entri kali ini. Moga kalian bisa thabat di medan perjuangan Islam. & Doa ini juga buat kalian yang menjadi sahabat penulis dalam blog ini.

Ya ALLAH...aku punya sahabat. Izinkan aku menghadiahkan al-Fatihah & doa buat sahabat-sahabatku moga mereka dikurniakan kebahagiaan & kecemerlangan dunia & akhirat. Apa yang penting mereka mendapat ketenangan dariMu di sepanjang hayat sahabat-sahabatku di dunia & akhirat. Biar dasar persahabatan kami adalah keranaMu Ya ALLAH. Biar persahabatan kami  yang terjalin indah ini adalah kerana mahu menegakkan Islm & indahnya hidup bila diserikan dengan Islam Ya ALLAH. Rahmatilah semua sahabatku. Moga mereka dikurniakan kemudahan dunia & akhirat. Hanya doa & kiriman Al-Fatihah sebagai pengganti diri untuk semua insan yang disayangi. Moga kalian sentiasa dipelihara oleh ALLAH kerana aku tak sentiasa ada di samping kalian sama ada ketika susah atau ketika senang. Tak mengapa ALLAH  sentiasa ada di samping kalian walau dalam keadaan bahagia atau derita. Aku serahkan urusan-urusan semua sahabatku padaMu ALLAH. Kasihanilah mereka, limpahkanlah hidayahMu pada sahabat-sahabatku kerana mereka insan yang membawaku kepadaMu Ya ALLAH...Paling penting Engkau tetapkanlah iman sahabat-sahabatku. Ameen.

Penulis dan sahabat dunia akhiratnya...
Dah 12 tahun kami menganyam persahabatan..
Moga berkekalan hingga ke syurga...Ameen



No comments:

Post a Comment