Tuesday 20 May 2014

Hamba & Khalifah ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-hamdulillah, dengan nikmatMu penulis dan sahabat-sahabat masih bisa bergerak di bumiMu. Ya ALLAH...Engkau Maha Mendengar segala permohonan hambaMu yang lemah lagi tidak berdaya. Ya ALLAH...Engkau Maha Penyayang terhadap hamba-hambaMu cuma kami yang leka dengan nikmat dunia hingga terkadang lupa mencintaiMu melebihi segala-galanya. 



Al-hamdulillah...dengan ujian ‘sim card’ tak dapat dibuka, terus hilang perhubungan penulis dengan ahli keluarga & sahabat-sahabat. Telefon bimbit yang selama ini menemani penulis tak dapat berfungsi kerana ‘sim card’ rosak. Oh, Tuhan sungguh menguji iman penulis ketika ini.
Buntu memikir cara, tapi al-Hamdulillah dia masih punya rasa untuk mengarang pena bermain dengan kata-kata. Biar hilang nombor telefonnya usah biar kata-katanya hilang bicara untuk dinukil dalam blognya. Teringat penulis pada surah At-Talaaq ayat 2 & 3 yang bermaksud:

2. Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) Dengan cara Yang baik, atau lepaskan mereka Dengan cara Yang baik; dan adakanlah dua orang saksi Yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum Yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),

3. serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Sungguh imannya diuji dengan kehilangan ke semua nombor sahabat dalam telefon & sim card lamanya. Untung sahaja satu-satunya nombor yang diingati adalah nombor bonda tersayang. Masih buntu memikir cara & gaya menyelesai masalah yang timbul, penulis memilih bertenang serta berfikiran positif. Ada hikmah di sebalik yang terjadi. Doakan penulis ya! Doa sahabat itu terus di makbul oleh ALLAH. Tak percaya? Ha, cubalah buat. Doakan kat sahabat.
Baiklah, hari ini kita akan berdiskusi tentang dengan gelaran hamba kita (umat Islam) meminta pada ALLAH Yang Maha Esa & dengan gelaran khalifah kita menjadi pemberi pada semua makhlukNya. Jelas di sini individu muslim mesti mempunyai hubungan dengan ALLAH & hubungan dengan manusia lain yang sangat erat.

Seorang Muslim bila tanpa hubungan dengan ALLAH, dia akan hidup tanpa arah, kosong tanpa tujuan ibarat kenderaan tanpa pemandu yang cekap & mahir. Dia hilang segala-galanya di dunia ini apatah lagi di akhirathanya kerana dia jauh dengan ALLAH. Seorang Muslim tanpa hubungan dengan manusia, dia sunyi hidup bersendirian, tanpa sahabat baik yang bakal memimpinnya ke syurga. Dia resah sendirian, ada kasih sayang tapi kabur di perjalanan. Hidupnya tiada erti yang memaknai sebuah kehidupan.

ALLAH tidak sesekali menciptakan manusia dengan sia-sia. Muslim itu punya tanggungjawab & amanah sebagai hamba ALLAH & khalifahNya bukan hanya untuk menikmati keindahan dunia semata. Bila kita menjadi hamba ALLAH sepanjang hayat kita, cuba pastikan kita sentiasa mendekatkan diri pada ALLAH dengan pelbagai cara yang mudah antaranya zikrullah, solat-solat sunat, membaca & mentadabbur isi al-Quran, berdoa di samping amalan-amalan wajib yang telah terpikul di bahu setiap individu Muslim.

Bila kita jadi hamba ALLAH, kita banyak meminta denganNya...kita banyak mengadu, berharap, memohon & berbicara denganNya. Kita seolah insan yang sangat kerdil di hadapan ALLAH. Kita ibarat kanak-kanak yang tidak tahu banyak perkara tetapi mahu meminta segalanya dengan ibu ayah kita. Ya, kita butuh kasih sayang dariNya agar kita bisa berdiri teguh di dunia & lurus kehidupan akhiratnya.

Gelaran sebagai khalifah pula, kita gunakan sebaiknya dengan menjadi seorang muslim yang berguna pada agama & bangsa. Kita bersikap ramah dengan semua manusia & kita sering memberi berbagi rasa dengan insan-insan yang wujud di sekeliling kita. Tidak kira apa pun bentuk pemberian kita sama ada harta, ilmu, kebaikan, jawatan, pertolongan & sebagainya hingga mampu membuat orang lain tersenyum & bahagia dengan keberadaan kita.

Jadilah, hamba ALLAH yang sentiasa meminta padaNya & jadilah khalifah ALLAH yang sentiasa memberi bukan kerana mengharap puji atau sanjungan semata tapi kerana mahu memberi atas dasar amanah khalifah ALLAH di muka bumi ini. Tentu hidup kita bahagia dunia & akhirat kan? Sifat ini yang penulis cuba lakarkan dalam kanvas peribadinya sebagai seorang muslimah memegang ajaran agama Islam.

Memang, diakui sangat sukar & penuh ujian untuk menjadi seorang muslim yang baik tetapi itulah hakikat perjuangan mujahadah diri ( bersungguh-sungguh melakukan sesuatu). Manis takkan datang tanpa pahit dahulu yang kita perlu berhadapan. Bukan senang nak jadi hamba ALLAH & khalifahNya pada dunia akhir zaman ini, tapi percayalah sukar itulah ada manisnya seperti firman ALLAH dalam surah Al-Insyirah ayat 1-8 yang bermaksud:
                                                                                                      
1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk) ?
2. dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -
3. Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan Dalam melaksanakannya)?
4. dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
5. oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
6. (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7. kemudian apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain),
8. dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini).


Biar penulis tinggalkan hati-hati sahabat dengan ayat-ayat suci al-Quran yang memberi penawar pada keresahan jiwa kita. Biar penulis tinggalkan sahabat-sahabat & pembaca dengan alunan merdu kalam ALLAH yang terus membuai diri kita mencintaiNya. Siiru ‘alaa barakatillah...


Meneliti & membaca hikmah tersirat di sebalik penciptaan alam.



No comments:

Post a Comment