Sunday 1 June 2014

Zikrullah Penenang Qalbu

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...hari ini syukur penulis meluntur laju kerana bangunnya dari tidur dia bisa mengucap al-Hamdulillah, bisa memandang alam penuh nikmat, bisa menghirup udara Islam & iman yang tertanam teguh dalam qalbunya. Al-Hamdulillah, hanya ALLAH yang mampu menggerakkan tangan penulis untuk setia menaip setiap butir huruf di ‘key board’ ‘note book’nya. Sungguh ‘notebook’nya banyak berjasa dalam memastikan blognya dipenuhi dengan kata-kata.

Al-Hamdulillah...hanya ALLAH yang berkuasa memberi ilham & idea mencurah kepada penulis bagi berkongsi indahnya hidup bila berteraskan Islam agama yang syumul (sempurna) di sisi penganutnya. Al-Hamdulillah...hanya ALLAH yang memberi kekuatan kepada penulis untuk tidak malas dalam penulisannya ini. Malas hanya akan membakar semangatnya menjadi lemah.

Kata nak jadi penulis, jadi teruskan menulis walau tiada siapa yang ambil tahu, walau tiada siapa yang peduli yang penting kita teruskan langkah. Hari ini penulis mahu berkongsi tentang zikrullah penenang qalbu. Moga entri ini memberi peluang kepada hati kita yang fitrahnya merindui dakapan ALLAH untuk terus mengingatiNya.

Teringat penulis pada salah satu ayat dalam al-Quran surah Ali-Imran ayat 191 yang bermaksud:

191. (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

Apa itu zikrullah? Bohong jika kalian tidak tahu. Kata dasar bahasa arabnya zikra iaitu ingat. Zikrullah ialah mengingati ALLAH seperti yang termaktub kemas dalam firman ALLAH S.W.T dalam surah Ar-Ra’d ayat 38 yang bermaksud:

28. "(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Ya, benar dengan mengingati ALLAH hati kita automatik tanpa di minta akan menjadi tenang & tenteram. Bagaimana nak dapat ketenangan itu? Ketenangan yang luar biasa hebat...yang tak tergambar dek kata-kata. Solat adalah zikrullah yang paling hebat. Ya dengannya 5 kali sehari kita berjumpa & berdialog dengan ALLAH. Segala-galanya kita curahkan pada ALLAH. Usah kita lupa untuk solat kerana dengan solat bukan hanya menghubung hubungan ALLAH dengan hambanya tetapi juga solat memberi kita rehat yang sebenar.

Masjid As-Syakirin, Kuala Lumpur


Selain solat dan beberapa amalan wajib sebagai seorang muslim ada satu lagi rahsia yang tidak lagi menjadi rahsia bagaimana mahu mendapat ketenangan abadi. Zikrullah dengan bertasbih, bertahmid, beristighfar, zikir-zikir, mathurat. Ya penulis yakin dengan zikir mengingati ALLAH hatinya menjadi tenang ibarat air terjun yang mengalir perlahan. Mari kita telusuri beberapa zikir yang bisa di amalkan dalam kehidupan kita sebagai umat Islam. Bukan sukar senang sahaja.

Sahabat tau tak zikir 7 tu apa? Tau dah? Alhamdulilah...yang belum tahu mari kita cari 1) Subhanallah. 2) Alhamdulillah. 3) Lailahaillallah. 4) Allahuakbar. 5) Lahaulawala quwwata illa billah... 6) Astaghfirullahal’azim... 7) Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Ha, tu baru tujuh zikir yang tersenarai...banyak lagi sebenarnya. Cukuplah ALLAH bagiku, sebaik-baik penjaga, sebaik-baik pelindung & sebaik-baik penolong.   InsyaALLAH ketenangan mendekat dalam kehidupan.

Penulis nak mengajak diri sendiri & semua sahabat usah kita lalai mengingati ALLAH kerana ALLAH sebaik-baik Pelindung kita. Walau di mana pun kita berada letakkan kebergantungan kita kepada ALLAH kerana ALLAH Maha Tahu segala yang tersirat & tersurat dalam kehidupan kita. Sungguh benar zikir mengingati ALLAH akan membuat hati kita tenang. Tak percaya kat penulis yer? Cubalah buat. Penulis bagitau serius dari qalbunya kerana seorang da’ie takkan menceritakan apa yang dia tak buat & tak mengalaminya sendiri.

Sungguh hati luar biasa tenang bila mengingati ALLAH terutamanya bila berselawat & mengucap Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. Percayalah orang sakit pun mampu mengucapkannya apatah lagi kita. Bukan hanya ketenangan yang kita dapat tetapi juga kebahagiaan ya saat diuji dia redha saat senang dia syukur. Tengok sahaja bila kita di uji hebat bagaimana qalbu kita bertindak? Marah? Kecewa? Sedih? Atau tenang & sedia menghadapi ujian dengan penuh keredhaan. ALLAH dah tentukan yang terbaik untuk kita cuma kita yang sukar menilai mana kaca mana permata.

Tengah tunggu bas, atau berehat, basahkan lidah dengan zikrullah. Syok duk tengok filem, sambilsambil tu, cuba kita berzikir mengingati ALLAH. Tengah membeli-belah atau teruja tengok alam ciptaan ALLAH apa salahnya kita berzikir. Tengah sibuk dengan kerja yang bertimbun atas meja, apa kata kita ambik masa dalam 5 minit berzikir. Tengah belajar pulun untuk final, tak salahkan kita ambik masa walau sekejap untuk mengingati ALLAH nescaya kita bisa menghadapi kehidupan itu.

Selain zikir ada satu lagi benda yang penulis nak kongsi, iaitu jom kita sama-sama menabur sebanyak mungkin kebaikan & kebajikan! Buat baiklah kalian saat di atas bumi ini jangan sampaui nyawa dah berpisah dari badan baru nak buat baik kat diri sendiri atau kaum keluarga & masyarakat sekeliling. Fitrah manusia dia suka buat baik kan? Suka pada kebaikan walau terkadang yang jahat jugak yang dibuat. Hati akan automatik tenang bila kita cuba buat baik walau hanya dengan mengucap terima kasih.

Buat baik bukan sekadar kita tunggu orang bagi ganjaran tetapi cukup dengan kita rasa puas hati dengan memberi kebaikan. Antara contohnya, kita memenuhi permintaan sahabat, membuat orang sekeliling bahagia dengan kita bila tengok kita tersenyum, membantu sahabat @ orang sekeliling yang kesusahan, meringankan beban ibu, ayah, sahabat-sahabat & masyarakat walau sikit je yang kita tolong, membuang duri-duri yang ada di jalan, meringankan beban rakan sekerja & seumpamanya.

Satu lagi perkongsian sebelum penulis menutup ‘post’ ini iaitu jika kita nak qalbu (hati) kita tenang yang luar biasa, dekatkan diri pada masjid. Masjid institusi yang utama dalam Islam malah masa zaman Nabi Muhammad s.a.w apa yang baginda s.a.w buat? Membina masjid untuk menyatukan umat Islam. Masjid di Malaysia sangat banyak tak terkira banyaknya, tapi bagaimana ahli jemaah masjid? Sungguh sedih bila melihat masjid yang tersergam indah sunyi sepi tanpa pemuda pemudi yang mengimarahkannya. Jika masjid pun kita tak sanggup pergi, macam mana kita kata kita sayang ALLAH & Rasulullah s.a.w? Jika masjid pun kita buat tak nampak hanya singgah bila rasa nak masuk tandas, bagaimana kita nak dekatkan diri pada ALLAH & bagaimana kita nak tersenarai dalam 7 golongan yang berada  di bawah naungan ALLAH di mana ketika itu tiada naungan lain? Fikir sejenak.

Masjid memberi kita peluang yang sangat besar untuk terus mengingati ALLAH. Rumah ALLAH penuh barakah, rugi jika kita melupainya, rugi jika kita tak mengimarahkannya. Jadi, penulis dengan rendah diri mengajak dirinya yang lemah penuh hina & sahabat-sahabat yang telah menjenguk ‘post’ ini untuk sama-sama kita mengimarahkan & hadirkan hati di masjid. Jika bukan kita yang datang & menemui ALLAH di rumahNya siapa lagi? Galakan ini diberikan terutamanya kepada kaum muslimin yang menjadi tonggak utama Islam.

Kini, penulis sedar nak bagi hatinya tenang bukan semudah seperti yang disangka perlu mujahadah yang tinggi. Perlu kekuatan rohani & kebergantungan kepada ALLAH yang kuat. Hatinya menjadi tenang saat melangkah masuk ke dalam masjid ibarat segala masalah & ujiannya terungkai di tengah jalan. Dia mengadu pada ALLAH & dia yakin ALLAH Maha Mendengar terutamanya keberadaannya di masjid penuh barakah. Bahkan di masjid penulis menemui ‘taman-taman syurga dunia’ iaitu majlis-majlis ilmu yang mengenyangkan rohaninya mengingat dia pada Tuhan Sang Pencipta. Selain dapat menghubung silaturrahim dengan mak cik mak cik di masjid, mengusik nakal kanak-kanak yang setia datang ke masjid. Datanglah masjid! Kalian akan merasai kemanisannya.

Penulis & sahabat berkesempatan solat di Masjid India



Siiru ‘alaa barakatillah...

No comments:

Post a Comment