Monday 2 June 2014

Sanah Helwah Ya Akhi Shogir

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...penulis masih dihidupkan oleh ALLAH untuk menjadi hamba & khalifahNya yang sentiasa bersyukur. Walau di mana pun dia berada dia tetap terikat dengan ALLAH Yang Maha Esa. Al-Hamdulillah kerana penulis masih bisa mencoret idea & ilhamnya untuk blog tersayang. Ya, mungkin jika penulis meninggalkan alam dunia ini & berada di alam lain, blog ini yang bakal dibelek oleh saudara mara, sahabat-sahabat & anak cucunya.

Kisah hidup setiap manusia adalah berbeza & tak salahkan jika penulis mahu menceritakan detik manis kehidupannya kepada penonton setiap blog ini? Jalan cerita yang berbeza di tambah tatariasnya adalah Islam, memanggil penulis untuk meluah rasa melalui penulisan. Tak salahkan jika penulis mahu berkongsi apa yang baik & pahit dalam hidupnya bukan mahu dibangga-banggakan tetapi mahu menjadi pelajaran buat diri yang sentiasa rindukan Tuhan. Harapnya benar & tidak menyinggung mana-mana pihak.

Tanggal 2 Jun 2003, lahir seorang hero lelaki bongsu dalam keluarga penulis. Hero ini diberi nama Ahmad Hambali bin Yaakob. Seindah & segah namanya, dia membesar menjadi kanak-kanak yang suka memeriahkan kehidupan berkeluarga mereka. Kelahiran insan istimewa di hati penulis ini menjadikan penulis & keluarga menimang seorang adik. Adik gelaran buatnya. Ahmad Hambali sempena mengambil nama seorang ulama Imam Hanbal dalam empat mazhab imam iaitu, Imam Syafi’e, Imam Maliki, Imam Hambali & Imam Hanafi. Ayah sangat menyukai nama itu. Kata ayah jika boleh semua anaknya nak diberikan nama ke empat-empat imam mazhab.

Ahmad Hambali bersama basikal kesayangannya...

Gambar terkini Ahmad Hambali...

Ahmad Hambali adik yang didambakan oleh penulis dan keluarganya. Kelahiran dia ditunggu & penulis masih ingat bagaimana kelam-kabutnya dia saat mama memberitahu dia sakit perut nak melahirkan anak. Masa tu allahyarhamah nenek tengah mengajar mengaji beberapa orang anak kampung. Terjerit penulis memberitahu nenek tentang hal itu. Sepantas kerlipan mata, ambulan tiba di halaman rumah penulis. Penulis masih ingat lagi masa kelahiran adik bongsunya iaitu 1:30 tengahari di Hospital Besar Kota Bharu.

2 Jun 2014 umur Ahmad Hambali bin Yaakob telah meningkat 11 tahun, tahun 5 Sekolah Rendah Palekbang, Tumpat. Dia dah membesar sekarang cepat benar masa berlalu. Dulu kami adik-beradik selalu usik adik bongsu, mentang-mentang dia yang paling kecik. Sekarang dah tak boleh kacau sebarangan sebab dia dah besar panjang. Semakin tinggi & kurus itulah posisi tubuhnya. Namun, sifat manjanya tak pernah hilang. Ya, dengan manjanya selalu kakak sulungnya menjadi mangsa penemannya bermain bila kakak pulang ke kampung.

Kini, hanya tinggal dia seorang yang masih setia menemani mama & ayah di kampung. Abang-abang & kakak-kakaknya dah pergi jauh merantau untuk menuntut ilmu. Dia adik yang sangat baik, suka buat lawak & sering menggelikan hati keluarganya dengan gelagat nakalnya. Dia juga rapat dengan penulis ya mungkin benar kata orang anak sulung sering rapat dengan adiknya yang bongsu. Tak bermakna yang sulung mengabaikan adik-adiknya yang lain.

Semalam, penulis menelefon adik bongsunya. Dia asyik bermain di halaman rumah. Itulah rutin hariannya pada waktu petang selepas mengaji al-Quran dengan ayah, dia suka main basikal, main badminton, main bola tak pun tolong ayah menyapu & membersihkan halaman rumah. Penulis sempat mengucap selamat hari lahir padanya. Kata mama dia dah dapat sebiji kek. Ya, sekadar meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-11. Penulis tak sempat nak bagi hadiah, cukup hadiah doa untuknya moga dia membesar menjadi manusia yang berguna pada agama & negaranya. Jadi anak yang soleh ya Hambali!

Al-Hamdulillah...sempat juga ayah bergambar bersama Ahmad Hambali
& gambar ini di ambil semasa penulis pulang ke kampung halaman
melihat ayah tercinta yang kurang sihat...

Bila tiba detik kelahiran insan-nsan yang penulis sayang kerana ALLAH, penulis suka coretkan di blognya, kenapa ya? Sebab kasih sayang ALLAH yang memungkinkan kasih ini bertaut demi redha & cintaNya. Ya, ini bukti penulis menghargai kehadiran insan-insan yang mewarnai kehidupannya. Biarpun mereka terpisah dek jarak yang jauh, tetapi kasih sayang itu bisa bertaut dengan iringan doa & kenangan indah bersama. Setiap cerita punya kenangan tersendiri, setiap kisah memaparkan pengalaman yang tak sama dengan manusia lain. Dek kerana perbezaan itulah, kita harus berkongsi bukan mau bikin hati orang cemburu @ dendam tetapi mau semua manusia tahu kasih sayang berpaksikan ALLAH itu manis & maha hebat.

Merubah dendam amarah menjadi sayang, merubah sedih menjadi gembira, merubah resah menjadi tenang, merubah hitam menjadi putih, merubah benci menukar kasih. Itu kuasa kasih kerana ALLAH. Penulis teringat pada Surah Ali-Imran ayat 31 sering dilontarkan oleh ramai manusia tentang keberkesanan kalam ALLAH ini yang bermaksud

31. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kasih sayang sejati adalah milik Ilahi & sepatutnya rasa kasih itu dicurah pada ALLAH Yang Maha Menciptakan perasaan sayang dalam diri setiap mahkluknya. Dek kerana kasih sayang itulah penulis terpanggil untuk meneliti kisah disebalik kelahiran adik bongsunya. Penulis bersyukur kerana dikurniakan seorang adik bernama Ahmad Hambali bin Yaakob. Banyak pahit manis ditelan dengan kehadirannya dalam kehidupan penulis.

Dia mengajar penulis banyak bersabar...dia mengajar penulis bagaimana mahu mendekati kanak-kanak & mengekalkan rasa sayang terhadap kanak-kanak yang suci lagi terpelihara...dia yang membuatkan penulis menghargai kehadiran adik-adik dalam keluarga...dia mengajar penulis usah pura-pura dalam hidup kerana fitrah kanak-kanak dia tak pernah berbohong...dia membikin penulis mengerti bagaimana kehidupan kanak-kanak...dia mengajar penulis menjadi seorang kakak yang bertanggungjawab & penyayang.

Baiklah, setakat ini sahaja perkongsian penulis hari ini. Seronok bercerita tentang insan yang disayangi. Sekurang-kurangnya terubat rindu pada dia. Mohon jasa baik sahabat-sahabat untuk mendoakan kemudahan dunia & akhirat khususnya pada Ahmad Hambali bin Yaakob & seluruh umat Islam di dunia ini.


Siiru ‘alaa barakatillah...                                                          

Chik & Ahmad Hambali

No comments:

Post a Comment