Saturday 21 June 2014

Aku Yang Sensitif

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...nafas belum terhenti, gerak tangan masih bisa bertingkah, suara masih bisa berbicara, akal masih mahu terus berfikir. Anugerah terindah ALLAH pada hambaNya yang mengerti maksud tersurat syukur. syukur dilahirkan sebagai Muslim, syukur dikurnia sahabat-sahabat pendamping yang baik, syukur dihadiahkan dengan kehadiran insan-insan penyayang di sisinya. Terima kasih Ya ALLAH.

Setiap ciptaan ALLAH ada istimewa dan kurangnya. Ya, ibarat air laut yang ada pasang surutnya begitulah rentak manusia. Ada kebaikan & ada kelemahannya. Ya sesetengah insan menganggap yang baik itu sahaja bagi kekuatan padanya, sedang yang buruk, jelek, tidak cantik hanya menambah kelemahannya. Fitrah manusia inginkan kesempurnaan dalam kehidupan tetapi pada hakikatnya manusia tidak dilahir untuk sempurna semata.

Ingin penulis tekankan di sini, mengertilah duhai sahabat semua...penulis bukanlah insan yang terbaik. Jauh sekali sempurna. Sebab dia tahu dia hambaNya yang lemah penuh dosa dan nodalah, dia mahu mengorak langkah mencipta blog yang penuh kenangan indah di dalamnya. Bukan niatnya untuk membuka pekung di dada, bukan niatnya mahu mencari publisiti semata.

Satu sahaja tekadnya, mahu mengajak diri dan manusia sekelilingnya kepada kebaikan dan keindahan Islam. Alangkah indahnya jika hidup berteraskan Islam semata! Alangkah bahagianya  bumi andainya manusia berusaha mendekatkan diri pada Ilahi. Ya, mana tahu blog ini memberi inspirasi pada yang lain untuk menyampaikan Islam kerana penulis rasa ada amanah yang harus dipikul kerana dia adalah MUSLIM. Amanah itu bukan hanya kita melaksanakan fardu ain tetapi tidak melupakan fardu kifayah.

Sebegitu banyak tersenarai kelemahannya, kerana dia sedar dia hanya insan biasa yang terkadang tersungkur dek ujian dunia. Namun, dia harus bangkit keranaNya, dia harus sedar tanggungjawab dan amanahnya masih minta diselesaikan sebelum roh terpisah dari jasadnya.
Kelemahan itu tidak sesekali melemahkannya. Kekurangan itu tidak sesekali mencacatkan hidupnya, kerana dia yakin setiap kelemahan dirinya ALLAH dah senaraikan yang terbaik untuknya. Dia pasti bisa menghadapinya dengan kebergantungan kepada ALLAH. Apa kekurangannya? Aku yang sensitif dan aku yang ‘lurus’. Hidup sentiasa adil, ALLAH Maha Adil meletakkan sesuatu mengikut kesesuaiannya, Cuma manusia yang terkadang buta menilai apa hikmah di sebalik kelemahannya.

Setiap manusia terutamanya wanita dikurnia satu perasaan fitrah baginya iaitu sensitif. Mudah terasa & senang berekspirasi. Riak wajahnya menggambarkan segala-galanya. Ramai kawan kata, “Kamu ini sensitif sangatlah. Kami bergurau sahaja. Kamu ini lurus sangatlah orangnya. Siapalah yang mahukan kamu.” Apa natijahnya? Itu terserah padanya.

Ya dengan sensitif itu penulis dapat mengelak diri daripada perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Dengan sensitif itu mengajar penulis berhati-hati dalam kata-kata dan tindakannya, kerana dia tidak mahu melukai hati insan-insan yang disayanginya. Sensitif itu kadang-kadang mengehadkan pergaulannya. Sensitif itu kadang-kadang buat dia berfikir jauh dalam menilai sesuatu perkara terutama tentang kata gurauan sahabat-sahabatnya.

Sensitif itu kadang-kadang membuatnya menitiskan air mata tanpa di duga. Ya, air mata peneman setianya ketika marah merajai jiwa, ketika resah datang tanpa diminta, ketika rindu pada sahabat-sahabat dan keluarga datang menerpa, ketika ujian dariNya menusuk relung paling dalam qalbunya. Ya, dalam sendu tangis air mata penenangnya ALLAH Yang Maha Esa. Dia sedar itu & dia mengerti serta wajib berbaik sangka pada Penciptanya. Namun, usah salah tafsir mengata air mata itu tanda wanita lemah. Air mata itu sebenarnya menguatkan kita kerana dengan air mata kita semakin dekat padaNya.

Biarlah dia terus sensitif, biarlah kata orang dia itu ‘lurus’, yang penting dia tahu ke mana hala tuju terakhir kehidupannya. Bila melihat diri penuh dengan kelemahan, terkadang dia meneliti diri manusia-manusia lain yang turut punya kelemahan. Usah pertikai kenapa & kenapa ALLAH menjadikan aku penuh kelemahan & kekurangan, tapi cualah pertikaikan bagaimana usaha kita untuk menghadapi kelemahan itu.

Bila kita susah, tengok ramai lagi manusia yang lebih suah dari kita. Bila kita rasa  diri penuh dengan kelemahan & kekurangan tengok orang lain yang lagi banyak kekurangannya bukan untuk melemahkan kita tetapi untuk memotivasikan diri menjadi lebih baik.penulis tidak mahu sesekali dipandang sempurna oleh sahabat semua kerana penulis sedar dirinya tak pernah sempurna.

Kebaikan yang ada tercalit pada dirinya adalah hasil didikan dan keprihatinan ayah bondanya. Hasil usaha ibu ayahnya yang berpenat lelah membesarkannya, sebagaimana dia yang ada sekarang. Itulah jasa terbesar ayah bonda serta insan-insan yang pernah hidup dalam kamus penulis. Tanpa mereka penulis takkan membesar menjadi muslimah seperti sekarang. Dan sudah tentu tanpa kasih sayang ALLAH penulis takkan sesekali hidup seperti sekarang. Al-Hamdulillah, yang penting kuasa ALLAH mengatasi segalanya.

Kelemahan dalam diri manusia bukan untuk menambah lemah diri kita, tetapi kelemahan itu sebagai tanda kita masih dan sentiasa memerlukan ALLAH dalam setiap gerak kerja kita. Kelemahan itu bila dibaiki, dia akan bertukar menjadi kelebihan. Kelemahan itu adalah untuk kita saling melengkapi sesama manusia.

Biar bila ada yang lemah, ada yang datang menguatkan. Bila ada yang sakit, ada yang datang memberi rawatan. Bila ada yang gagal, ada pula yang memberi semangat untuk terus berjaya dalam kehidupan. Bila ada yang jatuh, ada yang menghulur tangan pertolongan. Bila ada yang kurang, ada yang menampung kekurangan berubah menjadi kelebihan. ALLAH Maha Tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Aku yang sensitif masih kekal sensitifnya. Aku yang lurus, masih lurus dalam kewarasannya berfikir. Asal dia bisa menilai mana yang baik, mana yang buruk, asal dia dapat melaksanakan perintahNya & meninggalkan laranganNya. Itu sudah cukup di samping mengajak diri & insan-insan yang hidup di sisinya mengikut segala perintah ALLAH. Al-Hamdulillah...


Usah kita sibuk mencari kelemahan manusia lain, hitung dulu kelemahan diri kita. Usah kita sibuk mengata orang yang jahat dalam perbuatannya, koreksi dulu bagaimana tingkah kita? Bagaimana mahu menyampaikan Islam jika kita sendiri kurang pengetahuan tentang Islam. Tetapi itu bukan alasan untuk kita mengelak diri dari menyampaikan Islam pada semua. Usah kita sibuk mencari yang terbaik untuk diri kita, semaikan dulu segala sifat baik terhadap diri kit. Itu yang utamanya. Moga keredhaan ALLAH sentiasa bersama kita! Ameen.



No comments:

Post a Comment