Monday 16 June 2014

5 Syarat Buat Kita!

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...Maha Suci ALLAH, ALLAH masih memberi kesempatan kepada penulis untuk meneruskan kehidupan sebagai muslim. Apa yang lebih indah bila cinta ALLAH sentiasa memayungi hati yang dahagakan cintaNya membikin hati penuh ketenangan. Genggam sebaik mungkin cinta ALLAH terhadap kita, kerna denganNya kita bisa hidup bahagia di dunia & akhirat. Al-Hamdulillah penulis antara insan terpilih berada di jalan ini. Jalan menuju ALLAH. Moga berterusan hingga ke penghujung nyawanya.

Al-Hamdulillah...ALLAH memberi peluang kepada penulis untuk pulang sehari ke kampung halaman menduduki peperiksaan MUET (Malaysian University English Test). Minggu ini juga minggu terakhir bergelar pelajar praktikal. Serius rasa macam berada dalam keluarga sendiri ketika menjalani sesi praktikal selama 5 bulan di PPD Kuala Langat. Ya ALLAH moga dipermudahkan segala urusan kami dalam menjalani kehidupan ini. ‘post’ ini adalah ganti untuk hari esok memandangkan esok penulis akan meneruskan musafirnya ke kampung halaman & esok tiada artikel untuk di baca ya. Harap maklum.

Moga kalian sahabat-sahabat penulis turut merasai manisnya mencintai ALLAH melebihi segala-galanya. Hari ini penulis terpanggil untuk bercerita tentang 5 syarat sebelum memasuki alam pernikahan, sebelum kamu seorang muslimah bergelar isteri. Apa yang muslimah perlu buat? Bukan main kahwin suka hati sahaja. Bukan mudah nak kahwin tau. Bak kata seorang ustaz, pernikahan bukan setakat seronok masa nak buat kenduri kahwin abis berjuta-juta ringgit, tapi perkahwinan itu di nilai selepas mendirikan rumah tangga.

Firman ALLAH S.W.T dalam surah ar-Ruum ayat 21 yang bermaksud:

21. dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

Firman ALLAH S.W.T lagi dalam surah An-Nuur ayat 32 yang bermaksud:

32. dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.

Terpanggil untuk bercerita isu ini, ketika mana penulis seronok mendengar ceramah Ustaz Kazim Elias tentang perkahwinan. Ustaz meletakkan 5 syarat utama sebelum muslimin atau muslimat berkahwin. 5 syarat yang mendekatkan diri kita kepada ALLAH. Bukan syarat semata-mata. Syarat ini panduan bagi mereka yang punya keinginan untuk mendirikan rumah tangga. & syaratnya menarik untuk dikongsi bersama-sama sahabat semua.

Mari kita sama-sama teliti apa 5 syarat tersebut!

Pertamanya, ISTIKHARAH. Istikharah perlu dilakukan dengan penuh pengharapan pada ALLAH bukan bermaksud kita memaksa ALLAH membuat keputusan tetapi memberi ruang kepada kita untuk terus berfikir dengan positif & sudah pasti mendapat petunjuk suci dari Ilahi. Usah menyalah tafsir istikharah bukan hanya untuk mencari & memilih jodoh tetapi juga untuk ke semua pilihan yang kita sangat butuh petunjuk dari ALLAH.

Ke duanya, perkahwinan yang nak di bina perlu & wajib mendapatkan REDHA IBU AYAH. Ya dengan redha mereka ALLAH akan meredhai setiap tindakan kita. Bila ALLAH dah redha segala masalah & ujian yang dihadapi akan dirasakan mudah. Perkahwinan yang di bina atas keredhaan ibu bapa & ALLAH tercurah padanya kasih sayang & keberkatan hidup. Susah dirasakan senang. Perit dirasakan biasa. Cuba dapatkan keredhaan ALLAH & ibu ayah dalam rumah tangga yang di bina kerana perkahwinan itu bukan hanya penyatuan dua jiwa suami isteri tetapi juga penyatuan 2 buah keluarga besar.

Ke tiganya, apa tujuan perkahwinan tersebut? Adakah kerana tidak sabar mahu merasai meriahnya majlis perkahwinan? Adakah kerana tengok kawan kahwin, kita pun rasa nak kahwin? Atau bagaimana tujuan kita? KAHWIN KERANA ALLAH itu tujuan sebenar sesebuah perkahwinan didirikan barulah kita bisa menerima kelemahan-kelemahan pasangan kita. Terima pasangan seadanya sebab tujuan pernikahan itu adalah kerana ALLAH. Bila kerana ALLAH mesti kita nak bawa keluarga kita sampai ke syurga bukan menikmati dunia sahaja.

Syarat ke empat adalah BERAGAMA. Siapa kat sini nak berkahwin dengan perempuan atau lelaki yang tiada agama? Mesti tiada kan. Semua nak pilih yang ada agama. Ada agama bukan bermaksud yang pakai jubah semata tetapi yang menurut semua perintah ALLAH & meninggalkan segala larangannya. Penulis pun tak pandai nak bercerita tentang hal ini, Cuma perkongsian dari apa yang di dengar dalam TV AL-HIJRAH tempoh hari. Bukan kita nak yang sempurna sebab manusia ini fitrahnya tidak sempurna kecuali nabi yang sememangnya maksum     (tiada dosa), tetapi tidak salah kita mahu mencari yang baik jika kita juga berusaha menjadi yang baik.

Terakhirnya nak berkahwin kena cari yang BERAKHLAK. Ada akhlak baru boleh kahwin. Akhlak itu penting untuk pembentukan & tarbiah anak-anaknya nanti. Bila ibu bapanya dah berakhlak anak-anak insyaALLAH turut berakhlak. Nak yang berakhlak perlu mula dengan diri kita terlebih dahulu. Mula macam mana? Jadi muslimah yang penuh berakhlak tahu baik buruk dan batas agama. Tahu menutup aurat & tahu serta amalkan segala perintahNya. Jadi muslimin yang berakhlak bijak menjaga diri & agama pandai menilai baik buruk yang penting tahu apa itu akhlak yang baik. Sebab muslimin itu ketua keluarga bila betul ketuanya, betul juga pengikutnya.

Penulis bukannya orang hebat atau pakar dalam bab ini, pengalaman pun tiada tetapi atas dasar hati mahu berkongsi ilmu yang baru diterima, atas dasar memberi jalan pada sahabat-sabat bagaimana mahu menjadi yang terbaik, atas dasar menyenangkan hati yang masih mahu menjadi yang terbaik, penulis menyiapkan juga artikel ini. Puas dapat menyiapkannya puas dapat berkongsi rasa. Ya bagi sahabat yang masih menanti yang soleh & solehah teruskan usaha mendekatkan diri pada cinta ALLAH, insyaALLAH cinta yang lain bakal menyusul dalam kehidupanmu. Ingatlah ALLAH tidak akan sesekali sia-siakan hambaNya.

Jom tengok gambar-gambar perkahwinan sepupu penulis!






Moga memberi manfaat kepada semua sahabat yang sudi singgah di blog ini. Setakat ini dahulu perkongsian kita hari ini, moga berjumpa lagi pada masa akan datang itupun jika ALLAH masih memanjangkan umurnya. Seperti kebiasaan mohon sahabat-sahabat panjangkan doa untuk pemilik blog ini dan juga untuk semua umat muslimin di dunia moga sentiasa dilimpahi kasih sayang ALLAH.


Siiru ‘alaa barakatillah...                                              

No comments:

Post a Comment