Tuesday 3 June 2014

Satu Hari Sebuah Buku (Srikandi Islam Mesir)

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...kasih sayang ALLAH masih segar bersemi dalam diri penulis dan sahabat-sahabat. Moga rahmat & hidayah ALLAH sentiasa menghiasi kehidupan kita. Al-hamdulillah, ALLAH masih mengurniakan idea & ilham kepada penulis untuk melakar kanvas blognya menjadi terisi dengan warna-warna bicara hati. Terima kasih pada semua sahabat yang sudi membaca ‘entri-entri’ di blog ini. Moga dapat memberi manfaat & pengajaran buat ummah.

Baiklah, hari ini penulis nak bercerita tentang sebuah buku bertajuk, “Srikandi Islam Mesir- Zainab al-Ghazali – Karangan: Shafie Abd. Rahman, terbitan Yamani Angle Sdn. Bhd.” Buku yang dibeli dengan menggunakan baucer buku & dah tentu buku ini dibeli di Kuala Lumpur ketika menemui sahabat di sana. Antara buku yang kali pertama tengok terus penulis beli. Tak tahu kenapa terpanggil membaca buku-buku tentang sejarah dah tokoh-tokoh Islam.



Mungkin mahu mengubah angin membaca. Buku ini menceritakan tentang seorang serikandi Islam yang hebat imannya. Zainab al-Ghazali dilahirkan pada 2 Januari 1917, dalam keluarga yang sangat berpegang teguh pada agama Islam. Ketika berusia 18 tahun, Zainab al-Ghazali bertanggungjawab mengasaskan sebuah pertubuhan wanita Islam yang dikenali dengan nama Jama’at al-Sayyidaat al-Muslimaat. Ayahandanya, Al-Ghazali bertungkus-lumus memastikan Zainab membesar menjadi serikandi yang meneruskan perjuangan Islam. Buku ini bercerita dalam bentuk novel daripada memperkenalkan Mesir sebagai bumi para anbiya’ hinggalah kematian serikandi Islam Zainab al-Ghazali.

Semuanya diceritakan dengan baik penuh informasi & menyentuh hati. Bagaimana perjuangan wanita Islam, Zainab al-Ghazali bisa menggegarkan dunia. Dalam buku ini diceritakan juga tentang as-Syahid Imam Hassan al-Banna & pemerintahan kuku besi Gamal Nasser.

Izinkan penulis memetik kata-kata Syed Qutb dalam surat yang diberikan kepada Zainab al-Ghazali pada halaman 206 buku ini:

“Kepada saudari seperjuangan seIslamku, Zainab al-Ghazali. Salam daripadaku & para ikhwan yang berada di penjara. Ketahuilah, aku & rakan-rakan sekali-kali tidak akan patah semangat dalam perjuangan menegakkan syiar Islam di bumi Mesir ini, di sebali pelbagai seksaan & hukuman yang dikenakan ke atas kami. Apa yang membimbangkanku ialah keadaan para ikhwan di luar penjara. Lakukanlah sesuatu agar semangat para pejuang Ikhwan tidak terkubur begitu sahaja. Buatlah sesuatu agar Ikhwanul Muslimin, di sebalik pengharamannya tidak akan mati & terkubur begitu sahaja. Gerakkanlah para Ikhwan & berilah semangat kepada mereka & ingatkanlah kepada mereka sentiasa tentang tanggungjawab mereka walaupun dengan sepotong ayat!”

Subhanallah...begitu hebat kata-kata insan yang meniti rasa sayang yang mendalam pada ALLAH dan agama Islam. Perjuangan Islam tak pernah hilang sehingga ke titisan darah terakhir dan takkan terhenti hingga roh berpisah dari jasad. Moga penulis & sahabat-sahabat punya kesempatan itu. Kesempatan untuk mengajak manusia kepada Islam & kebaikan. Ameen.

Perjuangan mengajak manusia kepada Islam bukan mudah seperti yang kita lihat. Baik kita selak semula perjuangan Nabi Muhammad s.a.w bersama Saidatina Khadijah penuh onak & duri. Penuh duka & ujian kerana manisnya datang kemudian. Kita lihat perjuangan sahabat-sahabat baginda s.a.w bukan semudah kita akhir zaman ini. Perjuangan tidak dihamparkan dengan karpet merah yang terbentang mewah, tidak juga terhias di sisinya segala kemewahan & kesenangan tetapi perjuangan itu penuh dengan kepahitan.

Bukan mudah nak jadi mujahid & mujahidah Islam tetapi jika tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Ya ALLAH berikanlah kami peluang untuk terus menjadi antara mujahid mujahidahMu...yang sanggup berjuang di jalanMu walau badai teruk melanda. Engkau sentiasa bersama-sama kami  Ya ALLAH. Ya ALLAH kekalkan hati kami di jalanMu, usah biar kami sendiri dalam menentukan kehidupan kami. Ya ALLAH...biarlah semua manusia merasai manisnya Islam walau kami perlu menelan kepahitan terlebih dahulu.

Serikandi Zainab al-Ghazali menjadi contoh bagi kami sebagai muslimah. Serikandi Islam Mesir yang membuka jalan pada muslimah untuk meneruskn perjuangan walau menelan keperitan dalam kehidupan. Zainab al-Ghazali memahami keberadaannya di dunia bukan sia-sia & perlu berusaha bagi memastikan umat manusia merasai kemanisan Islam.

Islamlah yang mengajak penulis untuk terus mendalami kehidupan dengan penuh keredhaan. Islamlah yang membawa penulis menelusuri kehidupan sebagai muslimah walau pada zahir pandangan manusia sekarang betapa kuno & jumudnya dia. Islam & ALLAH  yang menerangi & memberi cahaya yang terang pada penulis sepanjang hayatnya. Bila sakit, ALLAH yang memberi sihat. Bila sedih, ALLAH yang menggembirakannya. Bila ujian mendatang, ALLAH yang mencampak redha. Bila rasa keseorangan, ALLAH yang setia menemaninya. Itulah manusia yang sentiasa mengharap cinta ALLAH bersamanya selalu.

Bicara tentang Islam takkan pernah pudar dalam kehidupan selagi hayat dikandung badan selagi itu kisah tentang Islam sentiasa bersemi & berterusan hingga hari kiamat. Islam is the way of life ke mana pun kita melangkah sebagai umat Islam kita takkan pernah melupakan ALLAH. Islam tetap terpahat di hati kita. 

Subhanallah...al-Hamdulillah...lailahaillallah...ALLAHUAKBAR...


Siiru ‘alaa barakatillah...




No comments:

Post a Comment