Sunday 23 March 2014

Ucapan Terima Kasih

Bismillahirrahmanirrahim…

Al-Hamdulillah Rabbil ‘Aalamiin...Terima kasih Ya ALLAH di atas segala nikmat pemberianMu terutamanya nikmat Islam & iman yang masih menjadi milik penulis & sahabat-sahabat. Ya dengan Islamlah hidup manusia terarah, ya Islam membawa manusia mengenal ALLAH, menjadi insan sebaik-baik penciptaanNya. Syukur atas nikmatMu. Al-Hamdulillah...

Mari kita sama-sama menghayati hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal, r.a., daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:
“Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”
(Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi)

Ada tiga pengajaran penting dalam hadith ini, pertamanya tentang taqwa. Apa yang dimaksudkan dengan taqwa? Mengikut hadith 40 taqwa bermaksud sesuatu yang diletakkan oleh seseorang hamba di antaranya dengan apa yang ditakuti dari Allah iaitu murkaNya, dendamNya dan azabNya. Juga termasuk dalam taqwa - melakukan perkara wajib/ tinggal yang haram. Bertaqwalah kita umat Islam walau ketika berseorangan atau ramai. Ke-2, manusia kebanyakannya selalu melakukan kesalahan dalam keadaan sengaja atau tidak itulah fitrah manusia sering melakukan kejahatan. Namun jika kejahatan itu bisa di balas dengan kebaikan itu adalah yang terbaik. Ke-3,  akhlak & budi pekerti yang baik itu sangat digalakkan oleh agama. Hubungan dengan manusia yang baik mampu menghasilkan masyarakat yang berkasih sayang.

Hari ini kita berbincang tentang ucapan terima kasih. Antara akhlak baik yang patut dihayati oleh umat Islam sekarang ini. Ya, mungkin pada setengah orang menganggap terima kasih hanya ucapan biasa & tidak punya apa-apa makna. Tidak bagi penulis.

Dek kerana itu hari ini penulis mahu bercerita tentang terima kasih. Cuba bayangkan bagaimana jika kita menjadi seorang yang ringan mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang memudahkan urusan kita? & cuba bayangkan juga bagaimana jika kita menjadi manusia yang susah mengucap terima kasih pada orang yang buat baik kat kita? Tepuk dada tanya iman kita.

Ringankan mulut untuk mengucap terima kasih pada semua orang yang menabur kebaikan kepada kita, agar kita menjadi insan yang bersyukur. Ucapkan terima kasih pada pemandu bas yang membawa kita ke destinasi walau kita membayarnya, ucapkan terima kasih juga pada sahabat-sahabat yang banyak membantu walau mereka tak pernah meminta, ucapkan terima kasih pada ibu & ayah yang tak pernah lupa mendoakan kita walau bagaimana pun anak-anaknya, ucapkan terima kasih juga kepada rakan sekerja yang membantu kita membiasakan diri dengan suasana baru, tak dilupa ucapkan terima kasih pada sahabat-sahabat blog yang sanggup bersengkang mata membaca setiap isi blog. Moga bermanfaat buat Islam.

Memang benar pada mulanya kita akan menelan kepahitan dengan pandangan pelik mereka, tapi lama-kelamaan ucapan terima kasih itu yang mengikat tali persahabatan & persaudaraan antara kalian. Ya, manis takkan datang tiba-tiba, sama juga pelangi takkan datang tanpa ada hujan terlebih dahulu, sama juga kesenangan takkan datang tanpa kita menempuh kesusahan terlebih dahulu. Betul tak? Jika penulis salah betulkan ea?

Terlebih penting bagi insan yang memegang gelaran muslim untuk sentiasa mengucap terima kasih atau dengan kata lain al-Hamdulillah kepada ALLAH Yang Maha Berkuasa. Tanda syukur kita sebagai hamba & khalifahNya. Jadi, mulai saat ini, mulai detik ini selepas membaca ‘entri’ ini mari kita amalkan budaya mengucapkan terima kasih pada orang yang membantu kita. Bukan susah pun ucap terima kasih sahaja. Sungguh ucapan terima kasih itu kata-kata yang berharga keluar dari mulut insan yang mahu kebaikan dirasai semua biar semua orang dapat melihat keindahan Islam.

Baiklah, itu sahaja coretan & celoteh penulis untuk hari ini sekadar berkongsi apa yang baik, sekadar mahu mengisi masa terluang penulis dengan mengisi blognya dengan  perkara yang baik, moga menyumbang untuk ummah & Islam walau sedikit cuma. Jika masih diberi kesempatan insyaLLAH kita berjumpa di lain hari dalam topik yang lain pula. 

No comments:

Post a Comment