Monday 24 March 2014

Aku Punya Kekasih

Bismillahirrahmanirrahim…

Al-Hamdulillah Ya Rabb...masih dapat meneruskan langkah dalam iman & Islam. Subhanallah sangat indah untuk dinikmati sebagai seorang Muslim. Cinta & kasih sayang kerana ALLAH. Maha Besar ALLAH yang menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Firman ALLAH S.W.T dalam surah at-Tiin ayat 4 yang bermaksud:

4. Sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

‘Post’ hari ini tentang aku punya Kekasih. Kita lihat sahaja remaja-remaja Islam terutamanya begitu seronok menjalani kehidupan pergaulan bebas. Tak perlu kita senaraikan di sini siapa yang salah atau siapa yang betul. Hakikatnya remaja sekarang semakin parah. Entah bagaimana mahu diubati penyakit yang kian membarah ini? Ya, harapnya kehadiran warkah ‘Aku Punya Kekasih’ ini bisa menyedarkan hati penulis & remaja-remaja di luar sana siapa sebenarnya yang patut kita cinta. Mari kita baca dengan hati Warkah Cinta: ‘Aku Punya Kekasih’ ini!

“Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku mulakan warkah ini dengan namaMU Ya ALLAH moga memberi manfaat pada diri yang mencintaiMu melebihi segala-galanya. Percaya atau tidak aku sudah punya Kekasih. Sejak aku dilahirkan aku punya Kekasih. Malah bonda & ayahanda tidak pernah melarang aku bercinta denganNya. Aku diajar sejak dari kecil untuk sentiasa menyayangiNya.

Aku punya Kekasih...Kekasih yang mampu membahagiakanku melebihi cinta sang manusia. Buktinya saat aku merasa sendiri Dia datang memujuk jiwaku dalam sujud & solat padaNya. Saat aku kesedihan Dia membelaiku dengan kasih sayangNya yang melimpah-ruah. Saat aku bahagia Dia datang menambah rasa bahagia dalam syukur. Saat aku cemburu melihat sahabat-sahabat bersama jodoh mereka, Dia pantas menyabarkanku dengan janjiNya. Dia yang menciptakan rasa cinta & sayang dalam diriku hingga aku mengerti cinta ini adalah milikNya yang abadi. Sepantasnya cinta ini milik Dia.

Aku takut kehilangan Kekasihku ini. Kenapa? Banyak kemungkinan buruk menimpaku jika aku meninggalkanNya. Aku mungkin tidak bahagia di dunia apatah lagi di akhirat sana...aku mungkin juga hidup tanpa arah di dunia ini tanpa pimpinan kasih sayangNya...paling malang hatiku kosong tanpa makna yang mewarnai kehidupan. Aku takut duhai Kekasih. Kerana itu di setiap helaan nafas, ku amat memerlukanMu.

Aku tak sedih bila ramai yang berkongsi kasih denganNya kerana Dia memang menjadi hak semua manusia. Sesiapa sahaja bisa mencintai Kekasihku kerana cintaNya Maha Besar. Aku malah makin kecewa & hiba bila ramai manusia tidak menghargai kasihNya. Bila aku di landa ujian yang hebat hakikatnya tiada manusia yang mampu mengubatiku hanya Kekasihku bisa mengubat luka & masalah ini. Ya, manusia jarang ada di sisi aku, tapi Kekasihku ini sentiasa ada di sampingku sama ada ketika aku bahagia atau derita. Aku paling bahagia membaca kalam cintaNya yang penuh dengan makna. Tanda sayang Dia terhadap insan yang menyayangiNya. Bila aku mahukan sesuatu minta sahaja denganNya, tentu aku akan memperolehnya sama ada cepat atau lambat. Jika dapat apa yang dihajati, al-Hamdulillah, jika tak dapat apa yang dihajati itu tanda Dia nak bagi yang lebih baik untuk aku. Itu yang ayah aku ajar tentang cintaNya.

Aku punya Kekasih...yang menjadi pengubat kala sedih, yang menjadi penenang kala resah, yang menjadi peneman setia kala sendirian gelisah dengan masalah, yang menjadi pencinta kala perindu syahid Ilahi ini tergelincir dari landasan yang benar. Dia Kekasihku yang sentiasa meghiasi rasa cinta dalam jiwa. CintaNya adalah cinta teragung di abad ini malah tiada tandingan pun dengan cinta Mumtaz & Syeikh Jehan dalam merakam cinta  istana Taj Mahal di India.

Aku tahu kalian juga punya kekasih tapi percayalah kisah cinta seorang kekasih dengan Maha Penyayang adalah kisah paling hebat di dunia ini hingga mampu menjadi sebutan oleh makhluk langit & bumi hanya kerana kisah cintaNya. Mahu aku khabarkan pada penduduk dunia bahawa cintaNya maha hebat bisa mengubah benci jadi sayang, bisa mengubah kaca jadi permata, bisa mengubah jahil jadi alim, bisa mengubah jauh jadi dekat kerana cintaNya. Itulah Kuasa Besar Kekasihku yang aku merindui untuk bertemu denganNya kerna hingga saat ini aku masih belum menemuiNya. Indahnya cinta kami yang jauh di mata tapi sentiasa dekat di hati. Cinta kami terpelihara.

Walau aku tak pernah menemuiNya aku tak pernah putus berdoa moga suatu saat aku bisa menemuiNya dalam husnul khatimah. Aku merasai cintaNya dalam setiap nikmat hadiah dariNya. Aku rindu & tersangat rindu untuk menemuiNya & meluahkan rasa cintaku padaNya. Dan aku yakin keluargaku juga tak sabar menemuiNya nanti.

Kalian bagaimana? Masih dengan cinta biasa? Cinta manusia yang hanya membawa kepada kematian? Cubalah kita mengubah langkah mencintai Kekasihku dengan sepenuh hati, kerna yakinlah cintamu bakal terbalas nanti malah bertambah juga cinta yang lain bakal mendekat padamu. Itu yang terbaik untuk qalbu manusia yang mendamba cintaNya.

Baiklah walau belum puas aku bercerita tentang Kekasihku ini, aku mahu mengkhabarkan dengan penuh rendah diri siapa Kekasihku yang sebenar yang bisa aku berkongsi segalanya. Bahkan, Dia Kekasihku tahu semua yang tersirat & tersurat dalam hatiku & Dia yang menentukan jodoh, mati, hidup, bahagia @ deritaku. Dialah ALLAH S.W.T Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, Yang Maha Menciptakan seluruh alam ini. Dialah Kekasihku dunia & akhirat. Dialah cinta hatiku selamanya walau nanti aku terpaksa berbagi cinta insyaALLAH Engkau tetapkanlah hatiku untuk terus mencintaiMu.

Sampai di sini sahaja Warkah Cinta: Aku Punya Kekasih bermadah. Harapnya mampu menghidupkan rasa cinta kita pada ALLAH Yang Maha Esa. Salam sayang kerana ALLAH.”

Ha...macam mana rasa setelah membaca warkah cinta ini? Panjang sudah bicara ‘aku’ dalam warkah ini. Jadi penulis tidak mahu memanjangkan lagi kalam. Setakat ini dahulu bicara cinta hati buat diri & sahabat-sahabat moga bisa memberi manfaat. Jumpa lagi di lain masa dengan ‘entri’ yang lain pula.


SubhanALLAH, al-Hamdulillah, lailahaillallah, ALLAHuakbar. 

Bidadari-bidadari tetamu ALLAH.

No comments:

Post a Comment