Tuesday 18 February 2014

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim…

Al-Hamdulillah...sujud syukur pada ALLAH yang Maha Menciptakan segala Sesuatu, yang Maha memberi nikmat pada semua hambaNya, kasih sayangNya tidak terlimpah hanya pada insan yang sentiasa menuruti perintah, tetapi juga tercurah pada insan yang banyak menyinggah marah pada ALLAH. Al- hamdulillah, pagi yang hening & mendamaikan ini ALLAH masih memberi penulis ruang menghirup udaraNya dengan percuma dan sepantasnya peluang ini digunakan penulis untuk mengisi sesuatu dalam blognya.

Biar sahaja rasa syukur itu terluah pada yang sepatutnya,
Biar sahaja rasa syukur itu dikongsi bersama semua manusia,
Biar sahaja rasa bahagia punya iman & Islam dalam diri itu dapat disebar pada semua...

Pagi ini penulis ingin berbicara tentang buku Majalah Solusi Edisi 64 “Jika Benar Mencintai Nabi”. Tertarik dengan petikan kata-kata pada muka hadapan buku majalah solusi kegemaran penulis ini, “ Jika benar mencintai Rasulullah, buktikan dengan perbuatan bukan hanya dengan ucapan. Jika benar mencintai Rasulullah, berjuanglah menegakkan sunnah Baginda. Mari letakkan Rasulullah sebagai teladan di semua tempat, keadaan & masa.” Jom kita membaca buku!



Hampir 3 minggu penulis & sahabat bergelar pelatih (pelajar praktikal) di lapangan kerja Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Langat, buku adalah teman terdekat penulis selain ‘note book’ kesayangannya yang di bawa setiap hari ke tempat kerja. Jika tiada kerja yang diberikan, penulis senang menulis & merekayasa puisi, membaca buku-bukunya, menaip untuk di isi dalam blog ( pengisian rohani & akal) atau paling tidak kacau sahabat baiknya.

Banyak isu yang diketengahkan dalam buku majalah solusi edisi 64 ini antaranya berkaitan Rasulullah s.a.w. Isu yang paling menarik hati penulis adalah kembara & tokoh-tokoh Islam memandangkan penulis suka mengetahui kisah pengembaraan ke negara luar walaupun dirinya hanya punya impian untuk berhijrah & melancing melihat keindahan alam ciptaan Tuhan ini. Nak tau lagi, cuba dapatkan majalah Solusi edisi 64!

Penulis tertarik pada penulisan muka surat 103 yang berbunyi,

“HADIAH ALLAH: Mungkin dengan ujian kesulitan dalam tugas yang didatangkan merupakan wasilah untuk kita kembali mengingatiNya. Kalau begitu, itulah hadiah daripada ALLAH. Ada ungkapan yang dikongsi oleh seorang rakan: “Hadiah itu tidak selalu terbungkus indah. Terkadang ALLAH membungkusnya dengan masalah, tetapi di dalamnya ada hikmah & barakah.”


Alhamdulillah...Ya ALLAH...Engkau memberi penulis peluang untuk mendalami ilmu agamaMu melalui buku-buku yang penulis punya. Alhamdulillah...Ya ALLAH dengan rahmat & kasih sayangMu penulis dibesarkan sebagai seorang Muslim. Moga Muslim itu penulis bawa sampai dirinya meninggalkan dunia ini dengan sebaik-baik pengakhiran. Biar matinya mencapai matlamat menuju redha ILAHI. Ameen...

No comments:

Post a Comment