Saturday 20 December 2014

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim... 
               
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...ALLAH Maha Pengasih pada hambaNya yang kerdil penuh noda ini. Terus memberi ruang kepadanya meneruskan penulisan blog agar blognya tidak terus sunyi tanpa kata-kata. Al-Hamdulillah sekali lagi ALLAH memberi penulis peluang untuk meneruskan entri bertajuk, ‘Satu Hari Sebuah Buku’. Hari ini kita bedah buku lagi ya. Dah lama benar tak bedah buku, tak memberi respon & cadangan pada buku-buku yang wujud ibarat cendawan tumbuh selepas hujan ini.  

Walaupun kesedihan melanda kerana penulis bakal meninggalkan kampung halaman dan keluarga tercinta pada malam ini, namun semangat harus diteruskan jua. Hujan masih renyai-renyai di luar menemani penulis menyiapkan entrinya. Yalah, takkan nak bagi blog ini sepi je, jadi apa guna penulis bersusah payah menyiapkan blog ini. Jadi bergembiralah duhai hati, hari ini kamu mampu memberi sekelumit rasa sedar pada diri bahawa berfikiran positif ini memberi impak yang positif kepada tindakannya.

Kali ini penulis hadir dengan buku bertajuk, ‘Berfikir Faya Al-Fateh.- Karangan: Muhammad Syaari Abdul Rahman. –Terbitan: PTS Millennia Sdn. Bhd’ untuk dibedah bersama-sama. Apa yang menarik dalam buku ini? Apa yang syok sangat sampai penulis teruja membaca buku ini? Ha, mari kita terjah & jelajah buku ini bersama-sama! Buku ini terbahagi kepada 5 bahagian & dipecahkan kepada 11 bab. Menarik untuk peneroka sejarah. Mestilah buku ini menceritakan tentang Sultan Muhammad al-Fateh serta gaya pemikirannya. Nak tahu lebih banyak? Apa kata kalian membaca buku ini sendiri sambil-sambil kalian tahu serba sedikit tentang buku ini melalui entri penulis pada hari ini?



Banyak sebenarnya yang ingin penulis taip kembali dalam buku ini, tapi tak adilkan bagi penulis buku yang bersusah payah menyiapkan buku ini? Jadi kita ambil ringkasannya ja ya? Kisah Sultan Muhammad al-Fateh daripada sebelum kelahiran, lahirnya Muhammad al-Fateh hinggalah membesar menjadi remaja yang hebat dengan memegang gelaran Sultan pada usia yang muda, & bagaimana ayahandanya mendidik Muhammad al-Fateh semuanya terungkai dalam buku ini. Diselitkan bersama gambar-gambar & kata-kata hikmah daripada pelbagai buku hasil kajian penulis buku ini.

Hebatnya Sultan Muhammad al-Fateh, sehingga bila membaca buku ini fikiran penulis mula berimaginasi alangkah bagusnya jika penulis dapat melahirkan generasi sehebat Sultan Muhammad al-Fateh. Jadi, tiba-tiba penulis memasang niat & impian mendidik anak-anaknya nanti dengan didikan al-Fateh. Berfikir gaya al-Fateh automatik mengajak pembacanya benar-benar mendalami kisah di sebalik kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh membuka Kota Konstantinopel. Inilah peranan penting sebagai ibu & ayah yang bakal mencorakkan bagaimana anak-anaknya nanti.

Buku ini juga ada menghuraikan tentang pedoman pendidikan anak-anak pada halaman 38. ‘what you give you get back’ senario yang menjati sunnah alam. Apa-apa yang anak kecil lakukan kepada kita hari ini mungkin mencerminkan apa yang dahulunya perkara yang sama kita lakukan kepada ibu dan ayah kita ketika kecil. Kanak-kanak, insan hebat yang sentiasa penulis kagumi penciptaanya. Ya, penulis juga asal daripada kanak-kanak & sekarang sudah menginjak dewasa. Al-Hamdulillah...banyak sekali perkara & pengalaman yang penulis ambil daripada insan yang namanya kanak-kanak kerana sepanjang pengalaman kerjanya dia sentiasa ditemani kanak-kanak. Kanak-kanak ini sangat berterus terang, sukakan keindahan, sukakan pujian & penghargaan, suka meneroka perkara yang baru. Ingatlah, Nabi Muhammad s.a.w sendiri sangat menghormati kanak-kanak sehingga benar hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.” {HR BUKHARI}

Renungan yang tertulis indah di halaman 166 buku bertajuk, ‘Berfikir Faya Al-Fateh.- Karangan: Muhammad Syaari Abdul Rahman. –Terbitan: PTS Millennia Sdn. Bhd’ yang menarik untuk dikongsi dalam blog ini:

Renungi bersama kata-kata seorang pendeta pada abad ke-12 Masihi: “When I was a young man, I wanted to change the world. I found it was difficult to change the world, so I tried to change my nation. When I found I couldn’t change the nation, I began to focus on my town. I couldn’t change the town and as an older man, I tried to change my family. Now, as an old man, I realize the only thing I can change is myself, and suddently I realize that if long ago I had changed myself, I could have made an impact on my family. My family and I could have an impact on our town. Their impact could have changed the nation and I could indeed have changed the world.”

Penulis buku ini banyak mencadangkan pembaca membaca buku-buku karangan penulis Barat yang pada sisi pandang ada positifnya juga. Contoh yang boleh penulis ambil pada halaman 183 tentang ubah tabiat dengan formula M.P.P. iaitu M:Mindset, P:Paksaan & P:Pengulangan yang diterangkan dalam buku “Unleash Your Other 90%, Robert K.Cooper.” Hanya mereka yang berani mencabar kebiasaan & kelaziman diri akan menemui diri mereka yang baru. Seronoknya buku ini dipenuhi dengan perkongsian penulis buku ini tentang buku-buku ini. Kata-kata hikmah bertaburan dalam buku ini seolah-olah mengajak pembacanya terus hidup bermotivasi. Satu per satu penulis menemui suatu perkara baru dalam buku ini. Ya benar penulis buku ini benar-benar mengajak pembaca berfikir seperti gaya Muhammad al-Fateh.

Penulis blog berkenan menaip kembali sajak yang ditulis oleh Sultan Mehmed 2, “Fetih 1453”, 28 May 1453 yang ditaip indah dalam buku ini berhalaman 210. Moga memberi manfaat & titik permulaan untuk perubahan diri kita. Moga semangat yang ada pada Sultan Muhammad al-Fateh akan juga mengalir pada diri kita yang bergelar muslim ini.

“Wahai para askarku,
Kota manakah yang kita tidak mampu tawan,
Bukit tinggi manakah yang kita tidak pernah pijak,
Kita pernah mencabut semula lembing musuh yang menusuk dada kita
Kita pernah runtuhkan semua panji-panji musuh,
Yang di tempat di tempat yang sia-sia.
Dalam kalangan kita ada yang mati,
Ada yang terseksa demi sebuah kemenangan.

Hari ini,
Kita akan buktikan bahawa kita lebih bernilai,
Daripada datuk & moyang kita,
Ingat, tiada kemenangan tanpa keimanan,
Aku percaya kita boleh melepasi tembok-tembok batu ini,
Dengan kesungguhan & keazaman kita.
Esok,
Kita akan bangun pada awal pagi,
Menyaksikan sendiri fajar subuh paling indah,
Yang tidak pernah dilihat oleh hamba ALLAH,
& kita tatkala itu,
Tidak akan syahid selagi musuh belum melutut kepada kita.
“ALLAHU AKBAR”

Satu lagi bab yang sangat menarik perhatian penulis blog ini yang mahu dikongsi bersama sahabat-sahabat tentang halaman 211 hingga 215 buku ini bercerita dengan pengolahan menarik dari penulis buku pasal membacalah, kamu akan menguasai dunia. Bagaimana En. Muhammad Syaari Abdul Rahman, penulis buku ini mengajak pembacanya meneliti kehebatan beberapa tokoh termasuk Sutan Muhammad al-Fateh dek kerana pembacaan buku. Memetik kata-kata beliau dalam buku ini halaman 211, “ternyata membaca bukan segalanya, namun segalanya bermula dengan pembacaan.” Sangat menarik perhatian penulis blog ini.

Ya menyahut seruan ALLAH dalam surah al-‘Alaaq ayat 1-5 yang bermaksud:
1. bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
2. ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
5. ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

Seharusnya seorang Muslim yang punya akal yang sihat mempunyai kemampuan & kemahuan untuk membaca buku. Penulis sendiri menyedari bila dia sentiasa mendekati dan bertemankan buku hidupnya dirasakan lebih indah serta terisi. Membaca buku terkadang menaikkan semangatnya, memotivasikan dirinya untuk menjadi insan yang lebih baik, mengenali & mengetahui sejarah-sejarah dahulu yang jauh dari kita tetapi dekat sebenarnya melalui pembacaan kita, membangun akalnya & terkadang mengurangkan tekanannya. Jadi penulis mengajak dirinya & sahabat semua untuk terus bertemankan buku. Usah risau kalian takkan pernah rasa jemu malah terus jatuh cinta pada buku, tapi ingat hati-hati dalam memilih jenis buku.

Banyak sekali kisah sejarah yang dilontarkan penulis buku ini terhadap buku tersebut. Bila sebut tentang sejarah penulis teringat ketika zaman sekolahnya yang tak lari dari matapelajaran Sejarah. Terkenang kembali betapa payahnya mahu mengingati setiap fakta yang terdapat dalam matapelajaran Sejarah. Terimbau kembali betapa subjek Sejarah sentiasa membuatkan kami tertidur dalam kelas, mengulit tidur kami menjadi sangat lena. Masih segar bagaimana rungutan demi rungutan keluar dari mulut kawan-kawan sekelas mengatakan sejarah ini membosankan & sukar. Bagi penulis blog ini subjek Sejarah sangat dinantikannya. Persediaan rapi dibuat untuk belajar subjek Sejarah sebab Sejarah antara subjek yang memahami minatnya menulis. Karangan panjang lebar dikarang ketika menjawab peperiksaan kertas Sejarah ini. Minat pada subjek ini bukannya datang tiba-tiba tapi kerana terpaksa padanya menjadi biasa pada akhirnya.

Usah dibenci pada subjek Sejarah ini. Penulis tahu kebanyakan dari kita kurang meminati sejarah. Doktrin negatif ini yang disuntik oleh Barat dalam setiap individu Muslim supaya membenci sejarah. Padahal dalam sejarah lampau banyak perkara yang boleh kita ambil iktibar. Dengan sejarahlah wujudnya ketamaduhan hebat sekarang ini. Jadi belajarlah dari sejarah lampau, & kisah-kisah zaman terdahulu!

Buku ini harus dibaca oleh semua kerana apa yang membuat penulis blog ini cemburu kepada penulis buku tersebut adalah paparan gambar-gambar penulis buku ini sepanjang berada di Turki menyiapkan buku ini. Pengembaraan yang menakjubkan untuk dikongsi bersama generasi akan datang. Usah bertangguh, mari kita mengenali penulis buku ini iaitu En. Muhammad Syaari Abdul Rahman. Kenali beliau dan pemikirannya dengan lebih dekat di laman web peribadinya, www.iskandarfateh.com ataupun email ke rijal82@gmail.com.

Izinkan penulis menamatkan ‘bedah buku’nya yang terakhir sebelum melangkah bergelar musafir lagi dengan ucapan syukur al-Hamdulillah padaNya kerana telah memberi ruang kepada penulis untuk belajar dari apa yang dibacanya & dikongsi bersama sahabat semua. Ini buku terakhir yang dibacanya sepanjang berada di bumi Serambi Makkah. Ambillah seberapa banyak ibrah @ pengajaran dari buku ini. & moga ia memberi manfaat buat ummah walau kehadirannya Cuma senipis kulit bawang semata. Moga ini merupakan titik langkah untuk terus berada dalam kebaikan dan barakah dari ALLAH.


Siiru ‘alaa baratillah...                                        

2 comments:

  1. Salam. boleh saya copy gambar buku tersebut untuk diletakkan di blog saya? Untuk promotion jual beli online. :)

    ReplyDelete