Monday 13 January 2014

Salam Maulidur Rasul 1435H

Bismillahirrahmanirrahim...


Al-hamdulillah, masih diberi nafas olehNya untuk meneruskan kehidupan ini walau pahitnya perlu ditelan bersama. Alhamdulillah sampai sudah kita pada bulan Rabiul Awal. Bulan kelahiran Rasulullah s.a.w. Insan agung yang banyak berjasa pada umatnya.

Memetik kata-kata dalam sebuah buku yang baru sahaja penulis dapat hadiah dari adik usrahnya bertajuk “Indahnya Cinta Rasulullah s.a.w – Karangan: Harun Arrasyid Haji Tuskan” terbitan Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd yang berbunyi, “Ya Rasulullah s.a.w, cintamu pada kami tak pernah padam. Hidayahmu jua merentasi alam. Walau tidak sedikit yang mendustakan namun engkau tegar menyampai peringatan. Ya Habibullah... hadirmu membawa cahaya demi menerangi jiwa yang kelam.”



Betapa cintanya Rasulullah s.a.w terhadap umatnya. Sedang kita bagaimana? Tepuk dada tanya iman kita. Sudah berapa kali kita berselawat pada Nabi Muhammad s.a.w pada setiap hari-hari yang kita lalui? Sudah berapa kali kita mengingati baginda s.a.w dengan mengikuti sunnah Baginda s.a.w? Sudah berapa kali kita kata kita rindu untuk bertemu rasulullah s.a.w tapi kita masih terlupa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai muslim & Islam?

Andai setiap hari kita sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w sudah tentu hari-hari kita terhias indah dengan sebaran kebaikan. Setiap tingkah & akhlak kita semuanya mengingat kita kepada kebaikan kerana Rsulullah s.a.w adalah sebaik-baik manusia yang membawa kerahmatan kepada semua makhlukNya seperti firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Anbia’ ayat 107 yang bermaksud:

107. dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Rasulullah s.a.w telah memberi contoh terbaik untuk diikuti oleh umat baginda s.a.w. Kenapa tidak kita menjadi orang yang menyahut seruan ALLAH S.W.T dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

21. Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)


Jadilah kita muslim @ muslimah yang sentiasa mengharapkan keredhaan ALLAH, mengharap balasan yang baik pada hari akhirat kelak dengan menebarkan sebanyak mungkin kebaikan dan menyebut serta mengingati ALLAH sebanyak-banyaknya sama ada dalam keadaan susah atau senang. Usah hanya ketika susah kita mengingatiNya, bila dah senang kita terus terlupa. Mukmin yang berjaya adalah mukmin yang mengingati Penciptanya dari ketika susah hinggalah ketika senang. Pasti ketenangan menyinari hidupnya. Salam maulidurrasul untuk semua umat Islam.

No comments:

Post a Comment