Tuesday 24 December 2013

Secicip Ilmu dalam Rumah ALLAH


Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah…ucapan syukur yang tak pernah putus untuk insan seperti penulis mengucapkannya. Al-hamdulillah kerana Dia masih memberi peluang kepada penulis untuk menghirup oksigenNya tanpa halangan. Al-hamdulillah kerana ALLAH telah memberi kekuatan dan ilham kepada penulis untuk melakar sesuatu yang bermanfaat dalam dunianya yang dicipta memenuhi minat menulis.

Al-hamdulillah, semalam hati penulis tergerak untuk singgah sebentar di surau kolej kediaman yang menjadi rumah ke duanya di universiti. Ketenangan meresap jiwa saat kakinya tenang melangkah menuju ke rumah ALLAH. Terimbau kembali kenangan bersama-sama adik-adik ‘junior’ di sini berusrah, mengisi masa kosong antara maghrib dan isyak dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat & solat berjemaah bersama-sama. Suasana yang tak mungkin penulis berpeluang lagi menyertainya bila keluar berpraktikal nanti.

Masuk sahaja dalam rumah ALLAH terus penulis menemui ‘bidadari-bidadari tetamu ALLAH’ yang setia memeriahkan surau. Terima kasih pada kalian kerana telah bermujahadah mengalahkan nafsu untuk terus berada dalam surau dan sekali gus mengimarahkannya. Malam itu kami dihidangkan dengan pengisian berbentuk perdebatan di bawah tajuk: Dunia Akhir Zaman: “Mana lebih berperanan antara ahli ibadah atau ahli ilmu?

Masing-masing mengeluarkan hujah tersendiri saat diberi peluang terkehadapan. Syabas dan tahniah penulis ucapkan kepada semua adik-adik tamhidi dan pelajar-pelajar sarjana yang terlibat memeriahkan suasana percambahan ilmu dalam rumah ALLAH.  Ada yang mengatakan orang yang berilmu lagi berperanan dalam memastikan masyarakat terus terpandu ke jalan yang benar dengan ilmu-ilmu agama dan dunia. Ada pula yang membangkang memberitahu bahawa orang yang beribadah lagi penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang dunia akhir zaman ini.

Sungguh penulis tersenyum sendiri saat mendengar setiap bait kata yang keluar dari ‘junior-juniornya’. Masing-masing menunjukkan belang dalam memastikan hujah mereka kukuh dan berpengaruh. Penulis setia mendengar dan mencatat sesuatu yang dirasakan sangat baru baginya. Percambahan idea yang tak mungkin diperoleh tanpa penyertaan pelajar yang ramai dan reaksi yang diterima oleh mereka.




Akhir sesi perdebatan masing-masing masih mahu mempertahankan hujah mereka hingga akhirnya dibuat kesimpulan oleh pengerusi majlis, penulis sendiri dan sahabat penulis. Tajuk yang menarik untuk dikupas bersama-sama. Moga selepas ini makin banyak persoalan yang terungkai bila pengisian-pengisian seperti ini menghiasi rumah ALLAH sekali gus menarik ramai lagi pelajar turun ke surau.

Kesimpulan untuk tajuk perdebatan kami malam itu “Dunia Akhir Zaman: “Mana lebih berperanan antara ahli ibadah atau ahli ilmu?” antaranya:

- Berilmu dan beribadah perlu ada serta seiring dalam diri manusia yang bergelar khalifah ALLAH dan hambaNya.

- Banyaknya ibadah yang dilakukan tidak menjamin seorang individu Muslim memasuki syurga dengan senangnya di akhirat nanti. Banyaknya ilmu yang ada tidak terjamin dirinya jika dia tidak mengamalkan ilmu yang diperoleh.

- Apa yang penting di sini adalah kita mengetahui matlamat akhir kita adalah mendapatkan keredaan ALLAH semata dan menemuiNya dalam keadaan kita diredhaiNya, walau saat itu kita diuji hebat kita jadi insan yang kuat kerana kita yakin ALLAH adalah matlamat.

-Orang yang abid tak semestinya alim, dan orang yang alim semestinya abid.

-Kisah si abid dan si alim dalam menghadapi soalan-soalan si syaitan.
Syaitan bertemu dengan seorang abid dan bertanya, “Kerana apa kamu melakukan ibadah ini?” dengan tenang si abid menjawab, “Mestilah aku beribadah kerana ALLAH.” Bertalu-talu soalan yang keluar dari mulut syaitan hingga sampai soalan terakhir, “Adakah mungkin ALLAH menciptakan bumi dalam sebiji telur?” Tanpa ilmu yang ada di dalam dada si abid, dia di singgah keraguan, “Tak mungkin ALLAH dapat menciptakan bumi dalam sebiji telur yang kecil ini.”
 Syaitan bertemu pula dengan seorang alim dan bertanya, “Kerana apa kamu melakukan ibadah ini?” dengan tenang dan yakin si alim menjawab, “Mestilah aku beribadah kerana ALLAH.” Bertalu-talu soalan yang sama diajukan kepada si abid di tanya kembali kepada si alim hingga sampai soalan terakhir, “Adakah mungkin ALLAH menciptakan bumi dalam sebiji telur?” Ilmu yang diperoleh dan dipelajari si alim telah membuatkan si alim dengan yakin menjawab, “Mungkin, segala-galanya mungkin bagi ALLAH. ALLAH boleh menciptakan semuanya mengikut kehendakNya. Itu kuasa ALLAH. Bukankah ALLAH Maha Berkuasa.”
Inilah perbandingan antara orang yang alim dengan orang yang abid.

Selesai perdebatan masing-masing tersenyum puas dengan ilmu baharu yang kami kongsi bersama. Terima kasih kepada Fatin Ahza Rosli salah seorang adik ‘junior’ penulis merangkap ketua geng surau Muslimat kolej kediaman kami kerana tidak lokek berkongsi ilmu dengan penulis untuk disampaikan kepada sahabat-sahabat. Itulah bukti ilmu yang sedikit bila dikongsi mendapat keberkatan yang luar biasa hebat.


Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua yang turut hadir. Hanya ALLAH yang mampu membalas segala usaha dan mujahadah kalian untuk memastikan rumah ALLAH ini meriah dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk semua penghuninya. Alhamdulillah…usai sudah pengisian kami malam itu.

No comments:

Post a Comment