Saturday 16 August 2014

Muaddibah Kerjaya Pertamaku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah, penulis masih berdiri di bumi ALLAH...masih dapat menghirup udara Islam sekelilingnya...masih punya kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan cabaran. Al-Hamdulillah, nikmat Islam & iman tersemat kemas di hati bukan hanya Islam di I/C mesti perlu Islam keseluruhan mukmin sejati.

Kali ini penulis suka berkongsi tentang situasi yang di hadapinya sekarang. Ya mungkin boleh memberi pengajaran kepada diri ini yang lemah & hina selain memberi gambaran kenangan kepada generasi-generasi penulis akan datang bagaimana kehidupan nenek moyangnya dulu. Sekarang dia bergelar muaddibah atau dengan kata lain pendidik di Negeri Sembilan bumi bernilai. Di sini penulis memulakan langkah sebagai mahasiswi universiti. Di sini penulis kenal banyak perkara baru dalam kehidupannya.

Kali ini dia kembali ke bumi bernilai bukan sebagai mahasiswa semata tetapi sebagai bakal graduasi universiti mencari sedikit pengalaman untuk di bawa bekal dalam kehidupan. Muaddibah kerjaya pertama penulis bersama-sama dengan 3 orang sahabat satu universiti. Seronok bergelar sebagai muaddibah atau pendidik dalam tempoh ini. Berhadapan dengan pelbagai ragam anak-anak yang comel berumur seawal usia 4 tahun hingga 6 tahun.

4 tahun di universiti banyak mengajarnya menjadi manusia yang bukan hanya memikirkan keperluan & urusan sendiri tetapi juga memikirkan situasi masyarakat sekeliling. Setelah hampir seminggu berada di sini & mendapat gelaran muaddibah penulis & sahabat-sahabat sekerja mendapat taujihat serta tausiyat daripada senior di tempat kerja kami.

Mari kita teliti apa kata-katanya hingga penulis bertekad mahu menghabiskan masanya selama 3 tahun di sini. InsyaALLAH itupun jika ALLAH memberinya kesempatan tersebut. Pendidikan yang mahu di bina di pusat asuhan ini bukan hanya pendidikan biasa tetapi pendidikan yang berteraskan matlamat membina peradaban manusia. Dek kerana itu bukan gelaran cikgu, ustazah, atau ‘teacher’ yang digunakan  di sini tetapi gelaran muaddibah untuk mereka yang mengajar di sini. Muaddibah ini bertujuan mendidik hingga melahirkan pelajar-pelajar yang beradab dalam kehidupan mereka.

Beberapa isi penting yang sempat dirakam oleh penulis semasa mendengar taujihat daripada seniornya antaranya seperti berikut:

1) Pesanan untuk muaddibah menjaga hubungan baik dengan ibu bapa & sahabat-sahabat sekerja.

2) Sebenarnya kerja muaddibah ini adalah salah satu kerja untuk para muaddibah melatih diri berorganisasi.

3) Mengamalkan konsep saling membantu & bekerjasama dalam setiap kerja yang di amanahkan oleh ALLAH.

4) Muaddibah yang ada adalah PILIHAN ALLAH untuk menyambung perjuangan Islam dalam dunia pendidikan. Ini kerana pendidikan awal kanak-kanak bakal membentuk peribadi muslim yang sebenar.

5) Adab pergaulan & ikhtilat perlu dijaga untuk memelihara keindahan Islam.

6) Pesanan terakhir & penting adalah MELETAKKAN ALLAH DI HADAPAN DALAM SEMUA PERKARA YANG DIHADAPI OLEH SETIAP INDIVIDU MUSLIM.

Ya inilah penangan bila kita meletakkan ikhlas kerana ALLAH dalam perjuangan, segala-galanya baik bagi diri kita. Sungguh kata-kata sahabatnya membekas di hati, paling berbekas bila mana sahabatnya menyebut letak ALLAH di hadapanmu.

Dalam keasyikan meneliti setiap bait kata nasihat sahabat penulis mendengar beberapa isi matlamat kewujudan pusat asuhan ini. Pertama, anak-anak yang dididik di sini mestilah boleh berbahasa Inggeris & bahasa Arab. Ke dua, anak-anak mestilah dalam proses pendidikan berterusan iaitu membentuk mereka mempunyai adab yang baik. Ke tiga, anak-anak & muaddibah mesti mengamalkan salam kepada semua orang. Ke empat, menonjolkan kewibawaan & bakat-bakat baru dalam kalangan anak-anak didik muaddibah seperti petah berbicara, aktif dalam pertandingan kalam jamai’e, nasyid, syarahan, bercerita & sebagainya.

Nasihat yang sangat membekas di hati penulis hingga membuat dia tersentap seketika ialah, muaddibah belajar menjadi ibu sebelum menjadi ibu. Ya, kami berdepan dengan anak-anak yang ramai & sudah tentu mempunyai pelbagai ragam. Kami perlu melayan mereka dengan kasih sayang tetapi terselit ketegasan. Segala tindak-tanduk kami menjadi tontonan & ikutan anak-anak yang comel ini. Sangat bahagia bersama-sama dengan kanak-kanak yang suci dari dosa, tidak pandai menipu dalam kata-kata, suka sangat berterus terang, suka bercerita & mahu di ambil perhatian.

Muaddibah yang membentuk peribadi anak-anak ini. Al-hamdulillah penulis belajar mendidik anak sebelum dia bakal bergelar isteri & ibu, sekurang-kurangnya pengalaman  ini memberi gambaran awal kepada penulis tentang kehidupannya nanti. InsyaALLAH, akan ditajdid niat keberadaan penulis menjadi muaddibah di sini. Dia punya matlamat & impian tersendiri. Jika berkesempatan nanti kita bercerita pula tentang impiannya. Buat masa ini penulis ingin sekali  membantu ibu bapanya dari sudut kewangan dek kerana itu dia mahu bekerja walau terpaksa berjauhan dengan keluarga. Namun, niat utamanya agar dia tidak terus senyap dalam perjuangan Islam ini. Jika jalan ini yang memberi penulis ruang untuk terus berjuang & berjuang hidup dalam perjuangan Islam, jalan ini yang penulis terima & kenan redha serta ikhlaskan hati. Sungguh hatinya takut untuk menghadapi harinya yang mendatang sebagai muaddibah. Muaddibah bukanlah tugas yang mudah membentuk anak-anak menjadi manusia yang beradab & mengamalkan Islam dalam kehidupan.

Penulis terpanggil untuk meluahkan rasanya dalam bentuk bait kata indah bernama puisi. Mungkin dengan cara ini sahabat-sahabat pembaca boleh menghayati & menelusuri kehidupan penulis sebagai muaddibah baharu. Karya bertajuk, “Tingkah Sang Pendidik” bakal menghiasi ‘entri’ kali ini:

Kasih sayangmu
Mencurah melimpah anak bangsa
Bangga melihat keberadaannya
Bahagia menuntut keperitan
Menduga iman nan menggugah
Tingkah sang pendidik

Pendidik itu
Ibarat sang mentari
Terus memberi sinaran
Terus menyumbang kejayaan
Walau perit menelan
Duri tajam datang menikam

Kini
Baru ku mengerti
Harus bagaimana tingkah pendidik
Membimbing insan cerdik
Bukan hanya akal malahan rohani
Mencorak ketinggian budi bangsa
Berkorban itu lumrahnya
Sabar itu senjatanya
Penyayang itu sifat zahirnya
ALLAH itu kekuatannya
Tegas itu tersirna disebalik kelembutannya

Tingkah sang pendidik
Tak pernah patah berjuang
Melahir anak bangsa cemerlang
Berpaksi pada Tuhan
Hidupnya penuh duri
Dilalui tanpa keluhan
Tersemat kemas
Matlamat menuju ALLAH
Memberi terus memberi
Buat kesejahteraan ummah

Penulis tinggalkan sahabat-sahabat pembaca dengan puisi di atas moga memberi manfaat buat insan yang mendambakan keredhan ALLAH dalam kehidupannya. “Just go through what happen to me now, even though it is so hard to accept it.” Setakat ini dahulu coretan perkongsian penulis dalam blog untuk hari ini. Penulis doakan moga sahabat-sahabat pembaca blog ini sentiasa dilimpahi kasih sayang & dianugerahkan HIDAYAH ALLAH dalam kehidupan agar hidup kita sama-sama terpandu dalam Islam. Biarlah indah kita dengan Islam, biarlah cantik kita dengn hiasan akhlah Islamiyyah.


Siiru ‘alaa barakatillah...


2 comments:

  1. Menarik sangat entry ni...sangat bermakna bg mantan muaddibah macam saya...semoga pengorbanan muaddibah ada nilainya di sisi Allah...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kepada saudari sudi singgah & membaca blog ini. Blog ini hanya sekadar perkongsian pengalaman ana yg butuh kekuatan & kesabaran.

    ReplyDelete