Thursday 7 August 2014

Doa Buat Gaza

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah nikmat kasih sayang ALLAH masih menghiasi kehidupan penulis & sahabat-sahabat. Bersyukurlah, kita dilahirkan dalam keadaan Islam sempat mendengar ayah mengalunkan azan & iqamah di telinga kita sebaik sahaja kita menjengah dunia. Bertambah syukur kerana kita dilahirkan di Malaysia yang aman. Mungkin kita tidak ingat momen itu, tapi bila menyambut kelahiran bayi dalam keluarga @ sanak saudara kita, hati mulai berbicara, “Agaknya beginilah suasana waktu ibu melahirkanku dulu.” Apa pun dahulukan kehidupan kita dengan ucapan al-Hamdulillah.

Salam Jumaat kareem buat semua pembaca blog ini. Al-hamdulillah sampai juga kita di penghulu hari, hari mulia dalam banyak-banyak hari yang ada. Perbanyakkan doa, selawat kepada baginda rasulullah s.a.w, zikrullah & sediakan sedikit masa untuk membaca surah al-Kahfi di pagi Jumaat. Semalam penulis ada membaca sebuah buku bertajuk, ‘Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah Satira’ karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan. Tertarik dengan kata aluan Ustaz Pahrol yg berbunyi, “Kita melakukan kebaikan bukan kerana kita sudah baik, tetapi inilah jalan atau usaha untuk kita terus menjadi orang baik.” Jadi semua orang fitrahnya memang baik & mahukan kebaikan cuma terkadang suasana & orang sekelilingnya atau diri sendiri yang mencemarkan fitrah tersebut.

Baiklah, hari ini penulis nak kongsi cerita apa yer? Isu semasa yang hangat diperkatakan sekarang. & kita tak tahu bila peperangan ini akan berakhir. Isu keganasan tentera Zionis terhadap rakyat Gaza Palestin sehingga mengakibatkan lebih 1 800 orang rakyatnya terkorban. Tak termasuk lagi kerugian & kemusnahan yang dihadapi oleh Gaza. Sifat kemanusiaan dalam diri tentera Zionis agaknya telah lama hilang hingga mereka suka hati membunuh insan-insan yang bernyawa.

Baguslah, ramai masyarakat dunia yang mulai sedar akan keganasan tentera Zionis dengan memboikot produk-produk Israel yang menjadi penyumbang utama kemusnahan Gaza, Palestin. Teruskan memboikot Israel agar mereka terdiam tanpa kata, agar terhenti segala derita Gaza. Sejak 2009 lagi penghuni Gaza dihantui bom-bom & bedilan-bedilan yang meragut keamanan mereka. Kanak-kanak menjadi mangsa utama sedangkan mereka tidak mengenal dunia, kanak-kanak tidak berdosa. Bagaimana penghuni Gaza menghadapi ujian ini? Bagaimana dengan kanak-kanak yang kehilangan keluarganya? Bagaimana dengan ibu bapa yang kehilangan permata hatinya?

Moga rakyat Gaza terus tabah & kuat untuk menghadapi Israel laknatullah. Sedih terakam setiap kali membaca surat khabar tentang Gaza, sayu hati saat menatap gambar-gambar yang menayangkan para mujahid & mujahidah syahid di tanah air sendiri kerana kekejaman Israel tentera Zionis. Moga ALLAH membantu rakyat Gaza untuk terus menentang kejahatan Israel.
Setiap kali membaca cerita tentang Gaza, penulis dihinggap rasa bersalah yang amat dalam, sebak tak terhingga kerana dia tak mampu untuk membantu dari sudut kuasa @ berjuang di sana. Hanya doa yang sentiasa basah di bibirnya buat saudara-saudara seIslamnya di Gaza khususnya & negara-negara lain yang bergolak. Penulis yakin ALLAH sentiasa membantu hamba-hambaNya kerana kuasa ALLAH mengatasi segalanya. Bahkan Israel laknatullah pun pasti kalah dengan kuasa Maha Besar ALLAH.

Pada rakyat Gaza, ada bahagian kita sebagai umat Islam kerana kita bersaudara. Cubit paha kiri paha kanan terasa tau. Berdoa & teruskan berdoa wahai sahabat semua. Andai kita tak mampu menyumbang tenaga, andai kita tak mampu memberi harta, cukup kita ambil peduli tentang saudara-saudara seIslam kita dengan sentiasa mengirim doa & al-Fatihah buat mereka. Bukankah doa itu senjata bagi mukmin?

Andai penulis diberi peluang olehNya, penulis punya impian untuk syahid di Gaza, Palestin. Mahu merasai nikmat keimanan sebenar bila berdepan dengan musuh-musuh Islam seperti tentera Zionis ini. Mahu memberi segala-gala yang ada padanya. Ingin sekali penulis membalut luka-luka anak-anak Gaza, menenang hati kanak-kanak Gaza, mencurah kasih sayang tidak terhingga buat anak-anak Gaza. Biar mereka turut merasai walau sedetik cuma rasa aman & sejahtera. Usahlah risau, amanlah kalian di alam sana bersama ALLAH Yang Maha Esa. Biar kematian dunia mengejar kalian, kalian tak risau kerana mendamba pertemuan abadi dengan Tuhan.

Izinkan penulis merekayasa sebuah puisi bertajuk, ‘Doa Buat Gaza’ untuk tatapan pembaca blog ini. Moga menjentik hati-hati untuk terus memikirkan tentang saudara-saudara kita di Gaza. Biar penulisan ini menjadi saksi kepedulian penulis pada saudara-saudara seIslamnya yang disayangi kerana ALLAH. Ini luahan rasa kegelisahan jiwa tentang Gaza tersayang. Sungguh penulis tidak tegar hanya memerhati setiap tubuh rakyat Gaza dimamah senjata...tumbang satu persatu dek kekejaman Israel nan binasa.



Gaza
Perit penghunimu
Menelan keganasan tiada belasan
Merobek kasar segala keamanan
Membunuh ummah pembela agama

Gaza
Dirimu bermandi darah sejuta kali
Kerana usahamu melepas diri
Belenggu kejahatan meratah hati
Yang tidak berdosa mati dalam sepi
Kesedihan bumi turut meratapi
Setiap jasad mengharap penuh abdi
Kuasa ALLAH mengatasi nanti
Segala kebatilan musnah ditelan bumi

Gaza
Kami bersamamu
Mengirim doa penguat Mukmin
Tak pernah lelah qunut nazilah
Kalian saudara kami
Pantas dibantu walau sukar ditempuh

Doa buat Gaza

Ya ALLAH...Ya Rahim
Sesungguhnya kami meletakkanMu
Di batang-batang leher musuh-musuh kami
& kami berlindung denganMu
Dari segala kejahatan mereka

Ya ALLAH...Ya Kareem
Hancurkan kumpulan mereka
Ya ALLAH...pecahkan pakatan mereka
Ya ALLAH...leburkan pendirian mereka
Ya ALLAH...musnahkan langkah mereka
Cengkamkan anjing-anjingMu kepada mereka

Ya ALLAH Yang Maha Pemaksa
Ya ALLAH Yang Maha Perkasa
Ya ALLAH Yang Bersifat Murka
Ya ALLAH...Ya ALLAH...Ya ALLAH

Wahai Tuhan
Yang menurunkan al-Quran
Yang menggerakkan awan
Yang menewaskan tentera Ahzab
Kalahkan mereka...kalahkan mereka...kalahkan mereka
& menangkan ke atas kami.

Setakat ini dahulu coretan panjang penulis khusus buat Gaza. Gaza yang menjentik hatinya untuk menterjemah sifat kemanusiaan. Gaza yang memberinya peluang untuk menyusun idea yang bergelumang di dada buat tatapan semua. Gaza yang membuat penulis menghargai insan-insan di sampingnya. Gaza yang menyedarkan penulis betapa kasih sayang ALLAH & kebergantungan padaNya adalah yang utama. Moga membuka mata kita untuk sedar betapa keamanan yang kita dapat selama ini perlu dihargai. Moga memberi manfaat pada ummah walau hanya penulisan biasa.

Moga kita diberi kesempatan untuk berjumpa lagi dalam ‘post’ akan datang kerana ajal maut itu suratan & takdirNya. Andai tulisan blog ini terhenti di sini, ketahuilah duhai sahabat-sahabatku hadiah al-Fatihah dari kalian bakal menambah ketenangan penulis.


Siiru ‘alaa barakatillah...


1 comment:

  1. Salam ukhti..good job..penulisan yg baik..=)Moga kita sama-sama berdoa untuk keamanan dan keselamatan saudara-saudara kita di sana..Jangan lupa follow n komen blog saya juga http://secebiscoretanqalbi.blogspot.com/

    ReplyDelete