Wednesday 16 October 2013

Tamat Sudah Riwayat ku!


Aku sebuah mashaf Al-Quran & terjemahannya yang dibaluti muka depan berwarna merah jambu dan isi kandungan ku dilindungi dengan zip. Aku dihasilkan dengan penuh teliti oleh manusia yang bergelar Muslim. Bukan mudah untuk menghasilkan sesebuah mashaf Al-Quran yang memerlukan usaha dan penelitian semasa tempoh pembuatannya.



Lama aku di proses, akhirnya aku terhias cantik di sebuah kedai buku-buku agama di sebuah negeri yang terkenal dengan gelaran ‘negeri serambi Makkah’. Tidak lain tidak bukan itulah negeri Cik Siti Wan Kembang, negeri Kelantan Darul Naim. Sesungguhnya keberadaan ku di bumi ini sangat diperlukan oleh manusia memandangkan aku adalah mukjizat kekal hingga akhir zaman.

“Bersyukurlah kamu kerana kamu dilahirkan sebagai mashaf Al-Quran. Aku ini hanya sebuah buku agama yang biasa.” Keluh sebuah buku. “Al-Hamdulillah…tapi usah lupa kamu juga berguna pada manusia. Pengisian mu banyak membentuk jiwa manusia juga. Kamu juga punya ilmu untuk manusia praktikkan. Usah risau, kita sama-sama ada kelebihan dan peranan masing-masing pada manusia.” Kata Al-Quran itu. Buku agama tadi hanya tersenyum riang mendengar kata-kata Al-Quran.

Aku di susun bersama-sama sahabat ku yang lain. Semuanya terhias indah di salah satu rak buku di kedai tersebut. Kadang-kadang aku ditilik manusia, ingatkan sudah punya tuan, tapi malang aku hanya di pandang. Lama menunggu akhirnya kerisauan ku ditepis bila seorang remaja perempuan bersama-sama ibunya tiba-tiba membelek diriku.

Aku mendengar satu per satu bicara ibu dan anak, dalam hati aku berdoa moga mereka membeli ku.  “Along nak beli Quran yang mana satu ni? Cepat pilih.” Kata si ibu. “Entahlah, Along tengah pilih ni. Along suka warna merah jambu ini. Nampak macam perempuan sikit.” Kata si anak. “Alah…Along selalu beli barang warna merah jambu. Semua barang dia nak warna itu. Kalah sang puteri.” Sampuk adiknya. “Biarlah, itu kan warna kegemaran Along. Asal dapat guna seronok dah.” Kata Along.

Al-Hamdulillah, akhirnya aku punya tuan. Harapan ku moga dia bisa menggunakan aku sebaiknya. Menjadi teman setianya di kala suka atau duka…menjadi kekasihnya tika resah atau tenang yang begitu mendamaikan…menjadi peneman kala sendirian atau bersama-sama sahabatnya...menjadi petunjuk saat dia sesat tanpa arah tujuan yang sebenar…menjadi peneman dunia dan akhiratnya, ya sekurang-kurangnya sebagai peneman paling setia. Apa yang pasti aku menemannya di alam barzakh nanti, itu pun jika tuan aku membaca dan mentadabbur isi-isi dalam Al-Quran ini.

Telinga ku menangkap ucapan terima kasih seorang anak kepada si ibu kerana menghadiahkannya sebuah Al-Quran & terjemahannya. Aku tersenyum bahagia. Bermulalah perjalanan ku bersama-sama remaja perempuan yang selesa ku panggil Along. Perjalanan yang indah berhias rahmat dan keberkatan darinya.

 Aku di jaga rapi oleh tuanku. Aku bukan sekadar di jaga, tetapi dipelihara, dibaca dan dibawa ke mana sahaja dia memulakan langkah. Aku selesa dengan layanan yang diberikan oleh tuanku. Dia seorang remaja perempuan yang sangat menekankan bacaan dan tadarus Al-Quran. Itulah hasil didikan sang ayahnya yang sangat suka mengajarkan Al-Quran kepada anak-anaknya termasuklah Along.

Lagipun aku dibeli sewaktu anak perempuan sulungnya mahu melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dijadikan sebagai hadiah pemberian ibu kepada sang anak. Mengharap moga Al-Quran ini bisa menemani setiap hela nafas anaknya. Sekurang-kurangnya ini mampu mengubat rasa rindu si ibu terhadap anak di perantauan dengan cara si anak membaca dan mentadabbur Al-Quran dengan sebaiknya.

Sudah tentu si ibu dan ayah mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya walau pada hakikatnya mereka hidup berjauhan. “Walau kat mana pun kamu berada, Along…selalulah baca Al-Quran. Ayah bukan sentiasa boleh memberi nasihat atau pedoman dan panduan pada kamu tetapi Al-Quran ini sudah cukup mendekatkan kamu kepada ALLAH dan menjadikan kamu insan yang berguna pada bangsa, agama dan negara.” Kata si ayah. “Walau sibuk mana pun along mesti baca Al-Quran tau. Al-Quran itu kalamullah yang Maha Hebat. Sentiasalah berbicaralah dengan Al-Quran dengan cara membacanya.” Pesan si ibu pula.

Pesan ibu dan ayah tersemat kemas di jiwa remaja perempuan itu yang merangkap tuanku. Aku sejujurnya tenang dengan sikap yang di amalkan oleh Along. Aku menjadi bahan bacaan & alunan Al-Quran yang selalu meniti di bibir Along. Bukan aku nak membangga-banggakan tuan aku, cuma aku mahu berkongsi pada semua umat Islam bahawa Al-Quran bukan hanya untuk dimiliki tetapi juga untuk di baca dan di tadabbur bersama-sama terutamanya umat Islam.
Bila ada sahaja ayat Al-Quran yang memberi kata-kata semangat dan penting untuk diingati, Along pantas mencapai ‘highlightnya’ untuk di tandakan pada ayat tersebut. Di ulang baca beberapa kali, moga lekat di fikiran dan hafaz di hati. Sungguh aku digunakan dengan sebaiknya tambahan bila Along perlu melakukan perbentangan dalam kelas, dia akan sedaya upaya untuk menyampaikan ayat Al-Quran tersebut kepada sahabat-sahabat sekelasnya.

Al-Hamdulillah, aku akhirnya berguna pada manusia yang bergelar Muslim. Kini, aku mencapai umur hampir 4 tahun. Ya, sudah lama aku berkhidmat untuk manusia demi kepentingan dan kemaslahatan Islam di muka bumi ALLAH ini. Barang bila sudah lama pasti sudah hilang rupanya. Ada sedikit kecacatan di kulitnya yang koyak dan lompang di mana-mana.
Namun, buruknya rupa ku tidak menghalang dari Along sentiasa membawa dan menilik ku. Asalkan dia mampu membaca Al-Quran dengan baik itu sudah mencukupi baginya. Biarpun penuh tradisional, tapi aku masih bisa di baca dan mungkin kerana aku adalah pemberian hadiah ibunya sempena kejayaannya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menjadikan aku harta yang paling berharga bagi Along.

Seperti kebiasaan aku di bawa oleh Along ke kelasnya pada pagi itu. Tidak ku sangka adalah hari terakhir aku di kucup dan di baca oleh Along. Pagi itu Along sempat membacaku sebelum kelasnya bermula. Penuh ketenangan sambil bibirnya tak lekang menutur laju setiap kalamullah yang indah tersusun dalam Al-Quran & terjemahannya.

Selepas kelas berakhir, Along bergegas menuju ke kafe untuk membeli makanan. Perutnya pinta di isi dengan makanan ya dengan sebab lapar. Tanpa di duga aku di tinggal sendirian. Puas aku menjerit memanggil nama Along, malangnya jeritan aku tidak didengari oleh sesiapapun. Aku menangis sedih. Hati aku ketika itu sedang bergolak sedih, perasaan aku bercampur-baur penuh kegelisahan. Mengharap agar Along bisa mengambil ku semula.
“Lamanya Along. Entah-entah dia langsung tak ingat aku. Apa nak jadi dengan nasib ku? Adakah riwayat ku akan berakhir di sini sahaja?” hatiku berbicara sayu. Puas aku menunggu Along datang, tapi penantian ku hanya menemui jalan buntu dan sedih. “Ya ALLAH…moga Engkau memberkati Along. Jika ada jodoh pertemukanlah kami. Aku merindui along keranaMu Ya ALLAH. Aku merindui saat semasa dia menggunakanku sebaiknya. Moga Engkau mengurniakan ganjaran dan ketenangan kepada Along.” Doa ku panjatkan kepada ALLAH.

Lain pula ceritanya dengan Along. Disebabkan mahu bergegas mengisi perut dan mahu lekas mengunjungi perpustakaan kerana temannya telah menunggunya di sana membuatkan dia terlupa bahawa dia tertinggal Al-Quran kesayangannya di kedai menjual makanan. Langsung tidak terlintas di hatinya tentang Al-Quran yang paling disayanginya itu.

Petang itu, “Ya ALLAH…Along tertinggal Al-Quran kat kedai tadi. Nak pergi ambik dulu. Harapnya tak jadi apa-apa kat Quranku.” Bisik hati Along. Sampai sahaja di kedai tersebut, Along diserang kesedihan yang melampau bila kedai tersebut telah pun tutup. “Terpaksalah aku ke kedai ini esok. Ya ALLAH moga aku bisa menemui Al-Quranku.” Spontan hati Along berkata-kata tanpa diminta untuk menyusun bicara.


Keesokan harinya, kisah sedih Along bermula kerana dia mendapati Al-Qurannya tiada di kedai tersebut. Puas di perah akalnya untuk berfikir di mana dia meletakkan Al-Qurannya itu dan kata hatinya kuat mengatakan Al-Quran itu tertinggal di kedai tersebut. Dua hari berturut-turut dikesali sikap pelupanya. Dua hari juga dia tidak menemui Al-Quran berwarna merah jambunya. “Tamat sudah riwayat dia…aku mesti menggantikannya dengan yang baharu untuk meneruskan pembacaan Al-Quranku. Sedih…Ya ALLAH. Beginikah rasanya bila hilang barang, perkara atau orang yang kita sayang? Aku redha dengan ketentuan Mu. Andai aku diberi peluang dan rezeki pertemukanlah aku dengan Al-Quran kesayangan ku itu. Sungguh dia banyak berjasa padaku terutama untuk aku tadabbur kalamMu…Ya ALLAH.”

Ni tafsir Quran baharu menggantikan yang hilang juga berwarna merah jambu. Moga kehadiran Quran & Terjemahannya yang baharu bakal memberi semangat baru untuk penulis membaca dan mentadabburnya.


No comments:

Post a Comment