Wednesday 16 October 2013

Perlu Apa dalam Pelayaran Cinta?

SALAM AIDILADHA. JOM KONGSI CERITA!



Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:   
21. dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda S.A.W yang bermaksud:
“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada ALLAH pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi r.a. daripada Rasulullah S.A.W)

Bila bicara tentang cinta dia ada kaitan dengan hati dan perasaan manusia. Bicara sahaja tentang cinta seorang Muslimin kepada seorang Muslimat yang membawa ke gerbang perkahwinan. Gelaran bujang kini ditinggalkan. Kini, dia memegang gelaran suami atau isteri. Hidup bukan bersendirian lagi. Berteman dan menyenangkan. Gerbang perkahwinan bahagia sangat didambakan oleh semua manusia yang berfikiran waras. Semua mahu bahagia bukan? Termasuklah insan yang bergelar umat Islam dan Muslim.

Bagaimana pelayaran cintanya sebelum bergelar suami atau isteri? Apa persediaannya? Apa pula matlamat akhirnya? Bakal terjawab dalam warkah cinta sederhana ini buat insan yang dambakan hidup bahagia bergelar hamba ALLAH dan Muslimin atau Muslimat yang berjaya melayari bahtera perkahwinan yang menenangkan.

Jika di tanya pada Muslimin kerana apa dia memilih Muslimat yang terbaik untuk melayari bahtera perkahwinannya nanti, apa jawapannya? Begitu juga Muslimat, kerana apa mereka mahu mendirikan rumah tangga? Agak-agak apa jawapannya?

Jom kita teroka dan fahami hadith Rasulullah S.A.W di bawah yang bermaksud:
“Dinikahi perempuan itu kerana empat: hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beroleh keuntungan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Jelas lagi bersuluh tentang pemilihan seseorang wanita sebagai seorang isteri. Ada persamaan juga dalam pemilihan seorang suami. Mari kita lihat dalam buku bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat- Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat sepanjang hayat’ karangan Dato’ Ismail Kamus dan Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid tentang bab munakahat (hukum perkahwinan) sub topik Dasar Pemilihan Isteri.

Apa kata mereka?  1) Perempuan yang taat kepada agama. 2) Berketurunan baik dan dibesarkan dalam persekitaran yang sempurna akhlaknya. 3) Perempuan yang subur dan berpotensi untuk melahirkan ramai anak. 4) Sekufu atau hampir sekufu. 5) Masih gadis atau anak dara. 6) Pasangan bukan dari keluarga terdekat.

Jadi bagaimana para Muslimin, sudah habis memikir kerana apa kalian memilih Muslimat untuk dinikahi? Bagaimana jika Muslimin mahu mengahwini seorang Muslimat kerana harta, keturunan dan kecantikan yang dimiliki oleh Muslimat tersebut? Agak-agak bahagia tak rumah tangga yang bakal di bina bila si suami hanya mahu melihat isterinya cantik atau mempunyai harta yang banyak? Sekurang-kurangnya bakal isteri yang dipilih adalah dari keturunan yang baik dan berjawatan. Betulkah begini ajaran Rasulullah S.A.W terhadap umatnya mengenai pemilihan isteri?

Tahukah kalian kecantikan seseorang wanita bukan terletak pada luarannya semata juga keindahan seorang Muslimat tidak berkekalan lama kerana yang Maha Cantik hanyalah ALLAH Yang Maha Kuasa? Kalian semua pasti mengetahuinya tetapi kenapa masih ramai Muslimin yang mahu memilih Muslimat yang cantik di pandangan mata sahaja sebagai isteri? Kenapa tidak dipilih wanita kerana agamanya?

Kenapa tidak dipilih seorang Muslimat sebagai bakal isteri kerana tertarik dengan agamanya, akhlaknya yang mulia, peribadinya yang mempesona dan tingkahnya yang menyejuk mata? Kenapa…sedangkan Rasulullah S.A.W sangat menggalakkan umatnya untuk memilih yang beragama dalam melayari bahtera pelayaran cinta bersama suami dan isteri.




Perlu apa dalam pelayaran cinta duhai Muslimin dan Muslimat? Ya…perlu pembentukan jiwa pembaikan peribadi fardu Muslim. Betulkan dahulu niat dan matlamat perkahwinan yang mahu dibina bersama. Bukan kerana harta, keturunan dan kecantikan semata tetapi kerana agamanya. Pilihlah yang beragama dan kerana ALLAH.

Jika kerana ALLAH pasti setiap kekurangan dan kelemahan dia kita mampu menerimanya. Bagaimana jika perkahwinan itu dibina atas dasar perjuangan? Muslimin memilih seorang Muslimat kerana perjuangannya di jalan ALLAH. Dia mahu pendamping setianya juga berjuang di jalan ALLAH untuk menegakkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat sekali gus negara tercinta. Biar agama Islam yang indah ini dinikmati oleh semua makhlukNya tidak kira walau siapa pun mereka pada pandangan ALLAH.

Warkah cinta ini berakhir di sini. Teristimewa buat semua yang mendamba kekasih bernama isteri atau suami usah berputus asa mohon doa padaNya di samping berusahalah menjadi Muslimah solehah atau Muslimin soleh. Betulkan terlebih dahulu niatmu dalam mendirikan rumah tangga keran niat menentukan segala-galanya. Jelaskan terlebih dahulu matlamat akhirmu dalam meniti pelayaran cinta suami isteri adalah mahu bertemu dengan ALLAH dalam mencapai keredhaanNya.


Dedikasi buat sahabat yang di sayangi kerana ALLAH.

No comments:

Post a Comment