Wednesday 3 July 2013

Pena Mujahadah QalamWardahZinnirah ^_^

The Latest Books that I brought before Holiday.

Inilah antara tiga buah buku yang sempat dibeli semasa memenuhi undangan perkahwinan seorang sahabat di Pahang sekali gus dapat menambah koleksi buku yang ada di mini perpustakaan penulis. Bertarikh 1 Jun 2013. 


Buku bertajuk ‘Di mana Bumi dipijak’ karangan Abu Hassan Morad menarik perhatian penulis untuk seketika. Kenapa yer? Buku tulisan ayahanda penulis terkenal, Ummu Hani Abu Hassan ini sarat dengan pengalaman-pengalaman Abu Hassan ketika menziarahi negara-negara luar. Buku yang sangat menarik bagi sesiapa yang memang suka melancong dan mengambil pengajaran berharga dari negara-negara lain. Buku ini adalah dokumentasi perjalanan Abu Hassan Morad melihat sendiri kehidupan umat Islam khususnya di negara-negara yang pernah beliau ziarahi seperti Eropah, Timur Tengah, China, Thailand, Australia, Bangladesh, Kemboja dan Bali.



Isinya padat dengan pengajaran-pengajaran berguna buat pembaca. Memetik tulisan Abu Hassan Morad dalam buku ni, “Sesekali menjengah negara begini, akan terasa betapa kurangnya kita berkorban untuk negara Islam. Kadang-kadang Islam hanya tempelan, ritual adat, ikut-ikutan yang tidak memberi apa-apa makna kepada kehidupan kita di atas muka bumi ini. Terasa jauhnya kita berbanding mereka. Banyak perkara yang perlu dilakukan terutamamenggunakan globalisasi untuk membina kekuatan perhubungan sesama Muslim bagi berkongsi kekuatan dalam membantu membangunkan umat Islam yang lemah.”

Selain itu buku ini sarat dengan gambar-gambar menarik yang sempat dirakam oleh Abu Hassan Morad sepanjang penjelajahannya di luar negara. Gambar-gambar yang ada menjelaskan lagi suasana di negara orang. Buku ini adalah keluaran Galeri Ilmu.Nak tahu lagi banyak tentag buku ni? Jom sama-sama kita dapatkan buku ni!

Buku ke-2 ialah bertajuk ‘Angguk Geleng-Himpunan kisah Dakwah Satira’ karangan Pahrol Mohamad Juoi dan Husna Hassan. Penulis berusaha mendapatkan buku ini setelah tertarik dengan muka depan buku ini dalam iklan buku majalah Solusi. Menurut Kamus Dewan satira bermaksud puisi atau prosa yang mempersenda atau menyindir orang lain. Satira dalam buku ini pula lebih dimaksudkan sebagai penyampaian kisah dakwah secara sindiran tetapi penuh berhikmah.


Buku ini adalah antara keluaran terbaru Telaga Biru Sdn. Bhd. Buku ini banyak memaparkan kisah-kisah yang dapat memberi kesedaran jiwa dan minda di samping mampu membuatkan pembaca mengangguk dan mengelang dengan kisah-kisah yang dimuatkan dalam buku ini. Buku ini jugak banyak memberi pengajaran berharga buat pembaca dan masyarakat keseluruhannya.

Golongan yang menjadi sasaran dalam usaha berdakwah dan mendidik masyarakat adalah adalah golongan bijak sederhana dan degil. Jadi buku ini memberi pendekatan mudah dengan merujuk ayat al-Quran surah an-Nahl ayat 125. Caranya ialah, dengan berhikmah, pengajaran yang baik dan cara berdebat tetapi dengan sentuhan yang paling baik.

Buku ini juga diselitkan dengan pelbagai gambar ilustrasi karton yang melucukan dan memberi jentikan untuk pembaca berfikir lebih mendalam. Menariknya setiap kisah yang dipersembahkan ada diselitkan bersama-samanya pengajaran. Jom baca buku ini!

Buku terakhir yang dibeli ketika asyik mencari buku di kedai buku penulis terpandang buku bertajuk ‘Bicara Ini Demi Ilahi’ karangan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Buku yang dihasilkan oleh seorang ulamak yang terkenal. Diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf dan menjadi buku ‘best seller’ antara buku-buku lain.



Tersentuh hati penulis saat membaca tulisan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada kulit hadapan buku ini, “Bukan mudah untukku berbicara. Pasti ada yang terluka, meski bicaraku ini bukan untuk menunding sesiapa. Namun demi ummah, aku pedulikan kata nista. Demi agama, aku redah lautan gelora. Kerana aku yakin, DIA akan mengadiliku di sana...” Pantas tangan penulis mencapai buku ini dan membayarnya.

Tenang sekali saat menatap wajah tersenyum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz pada kulit depan buku ini. Tulisan beliau sarat dengan mengingatkan masyarakat mendekati ALLAH. Di samping tajuk-tajuk tertentu yang diulas oleh beliau, turut terdapat puisi-puisi yang diselit bersama dalam buku ini. Sekali lagi penulis memilih untuk memetik kata-kata Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berbunyi, “Saya memilih untuk turun ke medan ini untuk menyebarkan ilmu, jalan yang pernah diambil oleh para nabi dan rasul. Nawaitunya hanya satu, kerana ILAHI.”

Tertarik dengan bab akhir buku ini yang bertajuk ‘Andai Mampu Lagi Aku Bicara” penulis meneliti setiap bait kata yang lahir dari hati suci milik penulis buku ini menceritakan pengalaman beliau sepanjang jalan dakwah. Beliau turut menceritakan kepentingan ilmu kepada masyarakat dan mengajak semua masyarakat menuntut ilmu dan menyampaikannya kepada sesiapa sahaja.

Saat penulis membaca buku ini, penulis dapat membayangkan penulis buku ini sedang memberi nasihat kepadanya. Itulah dia penangan kita menulis dengan hati dan menyampaikannya juga dengan hati. Andai saat ini ramai yang membaca buku ‘Bicara ini Demi ILAHI’ sudah tentu ramai yang menyedari bahawa kita hidup di dunia ini hanyalah sementara bukan selam-lamanya. Ramai yang menyedari betapa pentingnya kita sebagai Muslim perlu memusatkan sepenuh ketaatan kepada ALLAH dalam kehidupan harian kita.

Apa tunggu lagi, jom kita dapatkan buku ini dan sama-sama dapat pengajaran dari bait kata indah seorang ulamak!        

No comments:

Post a Comment