Friday, 31 July 2015

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan izinNya & kasih sayangNya yang sentiasa melimpahi diri ini, telah memberi ruang & kesempatan kepada penulis blog untuk meneruskan penulisannya. Tiada bicara terungkap semasa bulan Ramadhan & Syawal 1436H ini. Ramadhan berlalu pergi terlalu cepat Ramadhan meninggalkan kita. Setiap detik diri ini mengakui betapa dia merindui untuk bertemu Ramadhan lagi. Al-Hamdulillah nikmat iman & Islam nikmat terindah anugerah ALLAH yang tiada tolok bandingnya. Dengan dua nikmat terbesar ini dia hidup di bawah payungan kasih sayang ALLAH. Tanpa Iman & Islam sudah tentu hidupnya tiada panduan hilang arah ibarat layang-layang terputus talinya.

Al-Hamdulillah ucapan syukur sentiasa menghiasi blog ini kerana merasa betapa kasih & sayangNya ALLAH terhadap diri biar terkadang dia teruji dengan kehidupan yang penuh pancaroba. Semuanya kembali pada ALLAH, insyaALLAH ketenangan menyapamu. Kembali entri “Satu Hari Sebuah Buku”. Hari ini penulis nak bercerita tentang sebuah buku yang sempat dihabiskannya di kampung semasa cuti seminggu sempena hari raya Aidilfitri baru-baru ini. Buku ini berbentuk novel tarbiah. Lama tak bedah buku novel, jadi jom kita baca apa isi buku novel ini, & apa yang seronoknya tentang novel ni?

TAJUK BUKU: Saya Tunggu Awak (berhalaman: 633)

PENULIS: Bonda Nor @ nama sebenarnya Norli binti Madlan

TERBITAN: Galeri Ilmu Sdn. Bhd



“Dalam hidup ini tidak ada istilah kebetulan. Setiap perkara yang berlaku akan menjadi asbab kepada perkara lain pula.”

Memetik isi buku ini pada perenggan akhir halaman 632:
“Ya, sesungguhnya nikmat iman & ukhuwwah itu terlalu tinggi nilainya. Dalam hati, Rafiq tidak putus-putus memanjatkan doa untuk mereka. ‘Sahabat-sahabatku Hanna & Farhan, tunggu kami di sana. InsyaALLAH kita akan berkumupul semula di syurga,’ Rafiq bermonolog sendiri sambil mengukir senyum bahagia.”

Firman ALLAH S.W.T dalam surah Al-Hadid ayat 22 & 23 yang bermaksud:
22. tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) Yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga Yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di Dalam Kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
23. (kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa Yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) Dengan apa Yang diberikan kepada kamu. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Bicara cinta ALLAH ini jelas memberitahu kita betapa pentingnya untuk kita meletakkan ALLAH dalam setiap perkara yang kita hadapi. Penulis sungguh mengalirkan air mata saat membaca bicara cinta ALLAH dalam kalamullah ini. ALLAH Maha Penyayang cuma kita yang terkadang tidak melihat disebalik ujian itu ada tanda ALLAH begitu menyayangi kita. Terusik hati bila diberita segala kesusahan yang dihadapi itu adalah atas pengetahuan ALLAH & kita sebagai hambaNya perlu redha & syukur. Ini baru muslim unggul.

Isi yang turut menarik penulis blog untuk berkongsi tentang buku ini ialah perkongsian resepi kek coklat pada halaman 145 buku ‘Saya Tunggu Awak’. Perbualan menarik antara Hanna Mardhiah & Rafiq Aqlan berkongsi resepi. Menarik!
1) Mula-mula kisar 4 biji telur hingga berbuih-buih.
2) Tambahkan susu pekat 1 cawan, susu cair 1 cawan, gula 1 cawan, minyak 1 cawan, & ovalet 1 sudu & kisar hingga sebati semuanya.
3) Ayak tepung penaik sendiri & serbuk koko 1 cawan.
4) Campurkan dengan adunan yang dikisar tadi.
5) Kukus dalam satu jam & siap dihidang.

Program Tafaqquh kitab Bidayatul Hidayah oleh Al-Fadhil Sheikh Shirazi al-Banjari dalam seminar yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Ustazah Hanna Mardhiah membawa pembaca mengetahui serba sedikit isi kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al-Ghazali. Memetik bicara kata Sheikh Shirazi pada halaman 207:

“Imam Al-Ghazali pernah berpesan jadilah orang yang berilmu. Rugi jadi orang yang jahil. Namun, jangan jadi orang berilmu sahaja. Mestilah beramal juga. Jangan sekadar beramal. Tetapi mestilah ikhlas pula. Dalam surah Al-Kahfi, ALLAH telah memperingatkan kita bahawa ada golongan manusia yang terpedaya dengan ilmu & amalannya. Mereka mensia-siakan perbuatan mereka, sedangkan mereka fikir mereka telah berbuat baik. Jadi, janganlah kita rasa apabila berdakwah, kita sudah cukup bagus. Janganlah kita rasa sebagai guru, kita lebih mulia daripada orang lain. Sentiasa awas dengan tipu daya syaitan. Sentiasa berhati-hati dengan hati, itulah taqwa kepada ALLAH,” pesanan Sheikh Shirazi kepada Hanna Mardhiah.

Pertama kali penulis blog mengenali buku ini melalui sahabat yang baru ditemuinya lewat ziarah mahabbah ke Kedah memenuhi undangan majlis perkahwinan sahabat dunia akhiratnya, Puan Siti Zawiroh bt Daud. Dia, Hajar sepupu Wira. Sekalung penghargaan & terima kasih buat Hajar yang telah memperkenalkan novel ini kepada penulis. Mulanya, puas penulis blog mencari buku ini dimerata kedai buku, tak jumpa. Terakhir usaha mencari buku ini di Kuala Lumpur kedai buku yang berdekatan dengan Sogo. Dah jumpa apa lagi terus beli. Al-Hamdulillah berkesempatan memiliki & menambah koleksi buku. Asyik membaca buku novel yang penuh pengisian rohani & cara berhikmah menghadapi kehidupan berumahtangga. Sunnguh novel ini terhias indah di akhir setiap bab dengan ayat-ayat Al-Quran & hadith Rasulullah s.a.w.

Ya, majlis perkahwinan itu sangat dinantikan oleh teruna & dara menamatkan zaman bujang masing-masing. Manis, meriah, & pastinya terpahat kemas di hati. Namun, sebuah perkahwinan bukan terhenti setakat kemeriahan sebuah majlis walimatul urus semata, bukan juga manis yang mahu ditelan. Pahit, masam, perit, pedih, tawar semua ada. Dulu seorang, kini berdua. Dulu sebuah keluarga je, sekarang dah berganda-ganda bilangan keluarganya. Dulu penat sorang-sorang, makan sorang-sorang, solat pun sorang-sorang, sedih sorang-sorang, hati pun nak dijaganya hanya dirinya sorang. Sekarang semuanya berbeza 360%. Semuanya berkongsi & berdua. Berkahwin bukan bermakna  mengahwinainya sorang, tetapi berkahwin juga dengan ahli keluarganya.

Banyak juga hati yang perlu dijaga. Al-Hamdulillah, ALLAH telah memberi peluang kepada penulis blog untuk menghabiskan pembacaan novel ini. Novel ke-3 yang menjadi koleksi buku novel penulis selepas membaca novel hasil karya, Cahyadi Takariawan & Habiburrahman El-Shirazi. Pengajian ilmu agama yang padat dalam lingkungan bab 1-82 bersamanya ada prolog & epilog sungguh menarik penulis meneruskan pembacaannya. Setiap akhir bab diselitkan maksud ayat al-Quran & hadith-hadith yang berkaitan dengan kisah yang dimainkan. Tidak rugi penulis memiliki buku ini.

Buku ini sarat dengan nasihat berguna untuk pasangan suami isteri melayari bahtera keluarga. Bagaimana tarbiyatul aulad yang diterap oleh Hanna Mardhiah watak utama novel ini terhadap dua orang putera & puterinya sehingga melahirkan generasi yang subhanallah hebat peribadinya. Islam anak-anaknya bukan hanya pada nama & kad pengenalan semata tetapi pada peribadi & akhlaknya jua, akidah terjaga, syariah dipatuhi, membuah akhlak yang terpelihara. Bagaimana pula kisah Hanna Mardhiah menyantuni suaminya, Farhan yang hanya bekerja sendiri & punya titik hitam sebagai penagih dadah sedangkan dirinya seorang kaunselor universiti? Bagaimana Hanna Mardhiah berdepan dengan mehnah ujian kehadiran pelajarnya, Rafiq Aqlan yang mencintainya sedangkan dia sudah punya suami? Cerita ini digarap indah oleh penulis, Bonda Nor menambah jatuh cinta penulis blog kepada penulisannya. Buku pertama beliau, “Pujuklah Hati” turut berjaya memikat hati penulis blog untuk hanyut leka dengan mainan bicara indah susun atur kata yang mengisi jiwa yang tengah kosong.

Ha, ini baru betul novel Islami yang penuh dengan kata nasihat & sepanjang pembacaan buku ini banyak mendorong pembaca mengingati ALLAH. Semuanya kembali pada ALLAH. Apa yang berlaku, apa yang terjadi, apa yang tertulis sudah takdir ALLAH. Siapa kata baca novel hanya menambah cinta kita pada dunia, hanyut dengan cinta yang entah ke mana, baca novel hanya buat kita hidup ditakuk lama berimaginasi tanpa ada rasa memenihi impian?? Kehadiran novel ini membuktikan semuanya tidak benar. Baca novel ini menambah pengisian hati, membuka ruang untuk kita lebih berfikir dengan iman.

Memetik kata-kata Ustzh Isfadiah Mohd Dasuki, pensyarah UIAM, personaliti TV pada kulit belakang novel tarbiah ini:
“Subhanallah. Karya ini berjaya mengajar kita tentang hakikat bahawa setiap cabaran dalam rumah tangga pasti ada penyelesaiannya, setiap percintaan pasti ada ujiannya & setiap perbuatan kita di sisi ALLAH pasti ada catatan & ganjarannya. Semua permasalahan berjaya disarungkan penyelesaian yang sangat tepat, Islamik & penuh manfaat. MasyaALLAH sangat berkesan di hati saya. Satu novel tarbiah yang cukup mentarbiah. Tahniah Bonda Nor.”

Sungguh, buku ini mengajar penulis mengenali dunia sebenar sebuah bahtera yang dikemudi oleh suami & isteri dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Semoga selepas ini lahir lagi banyak novel-novel tarbiah seperti ini & memenuhi pasaran Malaysia, agar tiada lagi buku novel yang ditulis hanya mahu meracuni pemikiran anak muda Malaysia semata. Paling penulis ingat klimaks buku ini adalah detik kematian mengejut Farhan yang sangat tragik ditikam kejam oleh perompak rumahnya. Paling menyayat hati, bila mana detik kematian mengejut juga Hanna Mardhiah dalam kemalangan jalan raya yang mana anak sulungnya, Hazim menyaksikan sendiri pemergian bonda tercinta.

Semua yang berlaku adalah kembali pada ALLAH. Kita merancang & ALLAH sebaik-baik Perancang. Novel ini sangat sesuai dibaca oleh mereka yang rindukan tarbiah Islam, yang bakal melayari bahtera rumah tangga & yang telah berumah tangga. Pastikan sahabat-sahabat membaca buku  bovel ini sekiranya kalian pencinta novel & jika tidak setidak-tidaknya novel ini memberi sisi pandang positif tentang olahan penulisan novel Malaysia. Nak tahu bagaimana setiap watak memainkan peranannya sehingga menjadikan buku novel ini sangat menarik untuk dibaca? Bolehlah kalian membaca buku ini & menghabiskan pembacaan. Tak adil jika penulis blog menulis semua isi buku ini di sini. Penulis blog ini cuba membawa dirinya & pembaca untuk meneruskan usaha murni meneruskan amalan membaca & membaca.

Panjang penulis blog berceloteh hari ini. Mungkin kerana isi buku ‘Saya Tunggu Awak’ ini terlalu menarik untuk dibaca oleh semua terpanggil penulis berkongsi dengan kalian, hamba ALLAH yang sentiasa dilimpahi kasih sayangNya, Ameen. Moga memberi manfaat pada semua terutamanya pada diri yang menukilkan kata-kata ini. Lama benar dia meyepi, hingga Ramadhan berlalu pergi, Syawal menjelma kini namun tiada khabar dari empunya diri, diamnya bukan bermakna sepi, diamnya penuh rahmat Ilahi, menikmati dengan rasa mensyukuri. Jumpa lagi di kesempatan lain insyaALLAH dengan iznNya!


Siiru ‘alaa barakatillah. Salam Syawal & selamat hari Raya Aidilfitri 1436H.


Mengimbau koleksi kad kawen sahabat dunia akhirat penulis. Moga kalian bahagia hingga ke syurga abadi.


Thursday, 30 July 2015

Bicara Dari Hati

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ucapan syukur meniti laju saat dapat menjenguk kembali blog ini. Lama benar dia menyepi. Al-Hamdulillah nikmat iman & Islam sentiasa memayungi & memandu hatinya untuk terus berada di jalan Ilahi. Moga ALLAH terus memberinya peluang bernafas & meninggalkan dunia ini dengan atur kata tiada Tuhan selain ALLAH...Lailahaillallah Muhammadurrasulullah... Ya ALLAH terima kasih & Al-Hamdulillah bicara dari hati ini terus merungkai jiwa yang terkadang bisu dengan kata-kata. Hanya bisa memerhati & memperdalami makna diri. Anugerah terindah Engkau hadiahkan kepada diriku yang serba kekurangan ini. Anugerah cinta ALLAH yang mampu membuatkan segalanya indah.

Bicara dari hati
Penuh memberi pada yang dahaga
Penuh kasih sayang pada yang Esa
Bicara dari hati
Memungkinkan segalanya indah
Memberi makna pada yang resah
Memberi bahagia pada yang derita
Bicara dari hati
Hanya mahu membawa diri
Jauh di lubuk hati
Mencintai terus mencintai
Jalan perjuangan ini
Jalan Islam yang menyelamatkan
Jalan Islam yang menenangkan
Jalan Islam mendekat pada Tuhan
Jalan perjuangan yang berliku ranjau
Jalan Islam yang bukan indahnya di dunia semata
Jua indah di akhirat sana
Biar pada mata kasar jalan ini tersusun mehnah derita
Bakal ditelan walau pahit menerima
Bukan dunia mahu dikejar
Hari bertemu Tuhan itu lebih terpahat
Hari akhirat lebih diingat
Bicara dari hati
Mengajak diri bermuhasabah
Mengajak diri berteleku seketika
Harus bagaimana aku menyantuni dunia?
Harus bagaimana mahu hidup bahagia
Bahagia dunia jua akhirat sana
Adakah hidupku cuma untuk diri semata
Atau ada bahagian insan lain 
Perlu kamu menyumbang
Perlu kamu tanggung
Andai dirimu ke syurga
Bukan keseorangan
Malah memimpin jutaan tangan
Mengkhabar bahagia bergelar Islam
Mengkhabar selamat hidup berimamkan al-Quran 
Mengkhabar berita gembira Islam kan menang
Bicara dari Hati
Tiada kata mampu diungkap
Tiada rasa mampu menafsir
Tiada bahasa bisa mengganti
Cukup ALLAH sebagai Pelindung, Penjaga, Pemelihara diri ini.

Bicara dari hati berlabuh di sini. Salam Jumaat Kareem buat semua insan yang sudi memaksa mata menatap blog ini. Bawalah diri untuk sentiasa mengingati ALLAH kerana ALLAH menciptakan kita & ALLAH Maha Penyayang terhadap kita. Usah kita sibuk mencari pada siapa mahu dilabuhkan cinta, usah kita sibuk mencari siapa yang mahu mencintai kita, kerana ALLAH sentiasa mencintai kita & sepatutnya kita juga mencintaiNya sepenuh hati kita. Bicara dari hati cuma mahu membawa pesan pada diri, di mana kita berada, di mana kita bertapak di mana kita berpijak ingatlah ALLAH selamanya di hati kita. Bawa ALLAH ke mana kita melangkah, agar langkahmu tidak mudah rebah...agar rentakmu tidak mudah goyah...agar cintamu tidak mudah terpesong jatuh ke lembah kehinaan & mendapat murkaNya...agar tingkahmu sentiasa terarah pada ALLAH Yang Maha Mencipta.

Moga memberi ibrah & manfaat buat semua yang dahagakan cinta ALLAH...

Siiru 'alaa barakatillah...

Moga sentiasa berada di bawah kasih sayang & berkat ALLAH. Ameen

Tuesday, 30 June 2015

13 Ramadhan 1436H Sanah Helwah Ukhti Sayang ^__^

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan nama ALLAH penulis memulakan penulisan setelah berhari meninggalkan blog ini sepi tanpa kata  bicara dari hati. Rupanya dah 13 Ramadhan 1436, tiga belas hari Ramadhan melambai pergi, tiga belas hari juga penulis menikmati Ramadhan di perantauan. Menjadi perindu tegar, menjadi insan yang luar biasa kerana keadaan & situasi yang terkadang memaksa, menjadi insan yang sangat dekat dengan hambaNya & terkadang dia hanyut di landa badai bergelora. Al-Hamdulillah...iman & Islam sentiasa menyinari hati & qalbunya. Biar apa pun terjadi, dia sentiasa bermohon moga ALLAH memelihara imannya tak dilupa iman insan-insan yang disayanginya kerna ALLAH.

 Tanggal 1 Julai 1993, penantian dua tahun berakhir setelah lahirnya seorang bayi perempuan yang comel menjadi teman setia buat puteri sulung ini. Di beri nama mirip kakaknya, Farah tetapi Farah Mimi bt Yaakob, benar mengubah si kakak menjadi lebih dewasa dengan kehadiran adik pertamanya. Satu-satunya adik perempuan kandung yang penulis ada benar mewarnai kehidupannya sebagai kakak. Kami dikatakan kembar, walau ke mana kami pergi berdua, ada sahaja yang tidak dapat membezakan kami. Itu yang buat penulis suka ^__^. Yang pasti kami berbeza cuma lahir dari darah daging yang sama. Kami tetap adik beradik walau kami sering bertengkar, sering bergaduh & marah kami saling mendiamkan diri.

Ya, dia satu-satunya adik perempuan kandung penulis. Baik nakal dia tetap adik penulis. Garang manja dia tetap adikku. Biar penulis punya 'ramai adik', dia adik yang sampai syurga penulis menghargainya. Dia membesar dengan baik seiring dengan pembesaran & pertumbuhan kakaknya. Andai kami bersama, sering dilihat menyarung baju yang sama, pasti kami dipanggil kembar. Dia pendiam tapi baik hati. Bila disuruh ada sahaja mulutnya berbunyi, tapi dia buat je apa yang disuruh. Sama juga bila ada barang yang nak dipinjam darinya, ada sahaja bebelan yang keluar dari mulutnya tetapi dia tetap memberi pinjam. Dia kakak yang ditakuti oleh adik-adiknya. Garangnya mewarisi kegarangan & ketegasan ayah. Sekali dia marah semua kecut perut. Usah risau marahnya menambah seri hubungan kami adik beradik. 

Dia adik yang sangat bagus. Al-Hamdulillah, penulis beruntung punya adik sepertinya. Pandai berdikari, pandai memasak, bijak menyesuaikan diri dengan keluarga, diam dia ada makna, bising dia ada suka, marah dia ada hikmah, tawa dia ada kenangan indah, tangis dia ada duka disebalik wajah. Terima kasih Ya ALLAH kerana telah mengurniakan penulis seorang adik perempuan yang sangat baik. Dia bijak menjaga dirinya. Engkau peliharalah iman yang ada di dadanya, jadikanlah dia bidadari di syurgaMu dicemburui ramai bidadariMu.

Dia sekarang menjadi gadis muslimah membesar dengan baik seiring didikan agama yang diberikan oleh mama & ayah. Tanggal 1 Julai 2015 genap 22 tahun umurnya. Sudah tahun 3 di Universiti Sains Islam Malaysia. Bakal menamatkan pengajiannya 2016 @ 2017 nanti. Dah besar rupanya adikku ini. Meniti alam remajanya yang indah aktif di dunia dakwah sekolah menengah, hinggalah kini dia di universiti. Berkongsi tempat yang sama dengan kakaknya di perantauan memungkinkan rasa rindu bernanah di hati. 

Ya rindu kampung halaman. Baru sebentar tadi penulis menghantar adik perempuannya ini balik ke kampung halaman negeri Serambi Makkah. Dia lebih awal balik kampung selesai peperiksaan akhirnya untuk semester ini. Sanah helwah Mimi, moga ALLAH sentiasa merahmati kehidupan dunia & akhirat Mimi. Doa penulis sebagai kakak takkan pernah putus untuk satu-satunya adik perempuannya ini. Doa moga kehidupannya sentiasa dilimpahi kasih sayang ALLAH, doa moga segala permohonan & doa Mimi diterima ALLAH sebaiknya. Doa moga Mimi menjadi muslimah yang dicemburui bidadari-bidadari syurga kerana kebaikan & kesolehannya. Sungguh dia adik yang sangat baik, penulis tak pernah risau tentangnya kerana dia pandai membawa dirinya sendiri.

Dedikasi cinta ini khas untuk adik perempuan penulis yang dicintai kerana ALLAH. Blog ini terkadang dihias indah dengan ceritera cinta penulis abadikan buat insan-insan yang disayanginya dengan ucapan ulang tahun kelahiran mereka. Sungguh menghargai mereka dengan cara ini lebih baik & bakal dibaca generasinya nanti. Bagaimana penulis menyantuni insan-insan yang disayanginya kerana ALLAH? Bagaimana dia menghargai kewujudan manusia-manusia yang mewarna-warnikan kanvas kehidupannya sebagai muslimah? Penulis sayang Mimi kerana ALLAH.


Rupanya, adik perempuan penulis berkongsi tarikh yang sama dengan sahabat muaddibah penulis. Tanggal 1 Julai 1990 lahirlah bayi comel perempuan yang diberi nama Nor Hafiza bt Mohd Yusuf. Tanggal 1 Julai 2015, genaplah umurnya 25 tahun hidup di dunia ini. Hafiza selamat ulang tahun kelahiran ke-25 yer. Awak kongsi tarikh dengan adik kita, sebab tu kita ingat. InsyaALLAH ingat sampai bila-bila walaupon kita tak abis ta'aruf lagi.

Sahabat muaddibah ini baru sahaja dikenali penulis tahun ini. Seorang muaddibah yang sangat dedikasi & digeruni anak muridnya kerana ketegasannya dalam menjadi pendidik. Mendalami ilmu pendidikan selama bertahun di universiti, menjadikan dia alah bisa tegal biasa dengan karenah anak-anak muridnya. Dia juga disayangi semua murid. Selamat Hari Lahir ke-25 yer Hafiza. Penulis sayang awak kerana ALLAH. 




Saturday, 27 June 2015

11 Ramadhan 1436H Andai Ini Ramadhan Terakhir

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan nikmat iman & Islam penulis masih bisa meneruskan penulisan dalam kesibukan mengurus masanya. Sedar tidak sedar kita telah menghabiskan sepuluh Ramadhan pertama berbaki lagi sepuluh Ramadhan pertengahan & sepuluh Ramadhan terakhir. Sekelip mata cepat betul masa berlalu. Pergi tanpa dipinta, datangnya membawa sejuta bahagia. 

Al-Hamdulillah Ya ALLAH Engkau telah memberikan kami peluang yang cukup luas untuk kami mengimarahkan bulan Ramadhan. Moga kami terus di beri kekuatan & kesihatan untuk terus beribadah kepadaMu, menambah rasa taat kami kepadaMu. Ameen...Hati berbicara bagaimana andai kali ini, Ramadhan terakhir bagiku? Saat imam masjid jelas melafazkan doa...diriku ralit mendengar & menghayati setiap bait patah doanya. Sehingga sampai pada doa, andai ditakdirkan ini Ramadhan terakhir kami Ya ALLAH, kuatkan kami untuk terus menambah amal ibadat kami keranaMu. Andai ini Ramadhan terakhir kami Ya ALLAH, kurniakan rezeki kesihatan kepada kami untuk menyelesaikan amanah kami padaMu Ya ALLAH. Terus hati mulai menyusun kata merekayasa bicara bisa dikongsi bersama.


Andai Ini Ramadhan Terakhir

Ya ALLAH
Andai ini Ramadhan terakhirku
Izinkan aku melangsaikan hutangku
Izinkanku meninggalkan dunia ini aman
Tanpa permusuhan atau kebencian
Andai ini terakhir kali
Izinkanku mengutip ketenangan bersamaMu
Menghilang segala duka
Mengucup segala bahagia
Mengubat segala lara

Andai diriku
Belum cukup amal bertemuMu
Belum cukup mampu berdiri di hadapanMu
Belum cukup bisa membahagiakan semua manusia
Keberadaanku di dunia
Masihkah aku bisa di sini
Ingin sekali ku berada dalam dakapanMu
Biar saat itu semua dukaku terlerai
Biar saat itu setiap bahagiaku adaMu

Ramadhan
Kehadiranmu sekali memberi erti
Menggamit memori indah bersamamu
Menghias indah hubungan hamba dengan Tuhannya
Menambah keberkatan tersedia
Buat insan yang dahagakannya
Ramadhan kali ini
Benar menjemput bahagia buatku
Kehadiran rumah ALLAH
Benar membuatku dekat
Benar menyuci hati sedia berkarat
Benar mengajarku erti rahmat

Andai ini Ramadhan terakhirku...Ya ALLAH
Izinkanku menghiasi setiap malamnya
Munajat panjang padaMu
Izinkanku menghabiskan setiap detikku dengan mengingatiMu
Izinkanku mendapat halawatul iman
Berkat kasih sayangMu

Andai ini Ramadhan terakhirku...Ya ALLAH
Biar mereka redha kepemergianku
Biar tiada tangis duka di hujung nafasku
Biar tenang insan-insan yang ku tinggalkan
Pelihara iman insan-insan yang ku sayang
Jagakan hati sahabat-sahabat tersayang
Walau di mana insan-insan ku sayang bertapak di bumiMu
Biar mereka sentiasa ingat ALLAH ADA BERSAMA

Ramadhan datang cuma sekali dalam dua belas bulan yang kita ada, hargailah kedatangannya...berkah ALLAH ada bersamanya...usah lupa untuk terus beribadah & mendekatkan diri pada ALLAH. Nasihat ini buat penulis yang sering alpa...nasihat ini buat diri yang merasa mahu menemui ALLAH dengan husnul khatimah pada akhir kehidupannya...nasihat ini buat diri yang suka merubah suasana buruk jadi baik suasana baik jadi lebih baik.

Siiru 'alaa barakatillah...



Salam Ramadhan Kareem buat semua yang sudi singgah di blog ini!


Friday, 26 June 2015

11 Ramadhan 1436H Masihkah Ada Sekelumit Cinta?

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...


Kamu Sudah Berubah atau Diriku Yang Salah?

Kamu sudah berubah
Berduamu
Terkadang buat diriku resah
Berduamu
Terkadang buat diriku gelisah
Perubahan itu
Ibarat bom jangka
Menunggu mangsa memuntahkan pelurunya
Menyinggah saat kita berteman
Menguji setia sebuah persahabatan

Ya,
Kamu bahagia berdua
Sedang diriku ditinggal menderita
Di mana janji persahabatan kita
Bakal ku tuntut andai diriku tiada
Derita menanggung sakit
Hati seorang sahabat
Harus bagaimana tingkahku
Aku juga manusia 
Punya hati yang mahu dijaga
Punya rasa bersalut kesedihan di jiwa
Punya kalbu terkadang disinggah kecewa

Tingkahmu
Bagaimana menyantuni sahabat
Walau dirimu sudah berdua
Sudah punya teman lagi akrab
Membina kebahagiaan bersama
Diriku mungkin terbuang di perusuk dunia
Dilihat tanpa ada rasa
Bukan bicara ini mengungkit cuma memujuk hati

Persahabatan
Ini benar kerana ALLAH
Sukar sekali membina mahligai ini
& pasti ia sangat berharga bagiku
Andai ia runtuh di perjalanan
Hancur juga hati kecilku
Dek kerana persahabatan ini
Hatiku memujuk redha
Asal kamu bahagia duhai sahabat
Aku dibuang merata tidak mengapa

Dulu
Bisa sahaja kita berbicara panjang
Punya waktu untuk saling bercerita
Suka duka dikongsi sama rasa
Pahit manis ditelan bersama
Berjauhan saling merindu
Berhampiran saling memadu cinta sahabat
Andai waktu itu tinggal kenangan
Biarlah dia abadi dalam ingatan
Menjadi memori paling indah
Buatku kenang

Kini
Kamu sudah mulai berubah
Atau diriku salah menilai
Atau diriku yang rasa kehilangan
Hingga akhirnya dirasa persahabatan ini longgar
Hilang punca tali rabitah hati
Pudar janji yang dimateri
Ya ALLAH...Jauhi kami dari mehnah ini
Pelihara iman & persahabatan kami

Dedikasi bicara hati luahan qalbu buat sahabat-sahabat khususnya yang telah selamat diijabkabulkan dengan insan tersayang, memegang amanah suami & isteri. Ingat kalian juga punya teman-teman yang harus dijaga hatinya. Andai waktu bujang kita bisa menjaga hati sahabat, kenapa tidak sekarang setelah kita bertukar status? Masihkah ada sekelumit rasa cinta sahabat buat diri ini yang kelelahan dalam perjuangan bertatih di bumi ALLAH??














Ya, bicara ini untuk diri sendiri (penulis) peringatan untuk dirinya sebelum melayar bahtera perkahwinan. Tazkirah agar dirinya turut merasa apa yang sahabat-sahabat rasa setelah sahabat punya kehidupan sendiri nanti. Entah, ini bicara yang mahu dikongsi hari ini. Terusik & sebak saat membaca bicara ini bukan mahu membuat sahabat-sahabat sedih dalam duka mengenang persahabatan kita cuma kehadiran entri ini untuk mengubat hati yang lara, agar penulis redha setiap pertemuan ada perpisahan dia perlu redha akhirnya. Bertemu berpisah itu lumrah kehidupan. Bagaimana diri penulis nanti saat menyantuni sahabatnya bila dia sudah bertukar status? Dia tidak mahu kehilangan manisnya membina & melakar persahabatan setelah melayari bahtera pernikahan. Biar persahabatan itu mekar mewangi hingga ke syurga abadi. Biar dia mengubat hatinya dengan berbaik sangka pada penghujung derita. 

Moga entri ini menjentik hati untuk kita terus menghargai insan-insan yang wujud di samping kita, walau siapa pun dia. Moga entri ini memberi manfaat & mengubah duka pada bahagia. Ameen...insyaALLAH

Siiru 'alaa barakatillah...

Sunday, 21 June 2015

4 Ramadhan 1436H Ceritera Cinta Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...umur penulis masih panjang untuk meneruskan penulisan blog ini...umur sahabat juga masih panjang untuk meluang masa mengejar cinta ALLAH. Umur kalian juga masih panjang sehingga masih mampu meluang masa & mata untuk membaca catatan penulis kali ini. Masih punya waktu untuk terus istiqamah mendekatkan diri kepada ALLAH Yang Maha Penyayang. Masih punya kesempatan untuk memohon keampunan kepada ALLAH. Al-Hamdulillah Ya ALLAH kerana dengan adanya iman & Islam di dada kami terpahat kemas di qalbu, kami bisa memandu diri agar tidak tergelincir dari jalan kebenaranMu. Ingat ALLAH sentiasa duhai diri yang lemah.

Al-Hamdulillah Ramadhan tahun ini sangat istimewa buat penulis. Bertuah & sangat bertuah Maha Hebat rancangan qada' & qadarNya. Tahun ini Ramadhannya biarpun sekali lagi berjauhan dengan keluarga rupanya ALLAH sentiasa menyayanginya dengan amanah muaddibah & rumah ALLAH yang berhampiran dengan tempat dia menunaikan amanah sebagai muaddibah. Al-Hamdulillah..mujahadah melangkah ke rumah ALLAH adalah mujahadah yang sangat manis untuk diabadikan dalam Ramadhan tahun ini. Andai Ramadhan 1436H adalah Ramadhan terakhir baginya, sungguh dia bahagia & mampu tersenyum walau seketika.  Al-Hamdulillah...Ya Rabb

Rumah ALLAH sentiasa menjadi tempat suka dukanya dalam mengharungi kehidupan jauh di perantauan. Ya, kehadirannya di rumah ALLAH sungguh mengingatkannya betapa ALLAH sangat menyayanginya. Bayangnya semua muslimin & muslimat tidak ambil kisah siapa pun dia di mata manusia, bila melangkahkan kaki ke rumah ALLAH & menghadirkan diri di sisiNya automatik terus menerus melakukan ibadah. Masing-masing sibuk mengejar manisnya beribadah pada ALLAH dalam rumahNya terutama ketika bulan Ramadhan. Langsung tidak memikirkan kesibukan dunia.

Perbezaan ketara, bila tiba bulan Ramadhan sahaja semua masjid dipenuhi umat Islam. Meriah sekali tidak sama ketika sebelum & selepas Ramadhan masjid di tinggal sepi. Sungguh rumah ALLAH ini banyak mengajar penulis menjadi dirinya. Satu tips mudah, andai kalian merasakan diri sangat serabut, keluh kesah, tidak tenang dengan kehidupan sekarang...cuba kalian ambil wudhuk & bergegas ke rumah ALLAH. Mendirikan solat sunat tahiyyatul masjid, beriktikaf & merenung diri. Sungguh ketenangan akan membaluti diri kita. Mudah-mudahan ada jalan keluar bagi setiap masalah yang kita hadapi. Mudah-mudahan ALLAH sentiasa memandu hati kita dekat dengan hidayahNya.

Al-Hamdulillah Ya ALLAH Engkau telah mengurniakan nikmat masa untuk penulis & sahabat-sahabat terus istiqamah mendekatiMu. Bukan nak cerita betapa baiknya penulis sebab dia pun manusia biasa yang tak dapat lari dari turut melakukan kesilapan & dosa. Penulis juga tidak sempurna tapi kenapa sering bercerita tentang kebaikan & ingat ALLAH? Ya sebab dia muslimah beragama Islam membawa mesej Islam daripada dirinya bermula zahirnya & penulisan yang dia sampaikan dalam blog & FB. Dia hanya mahu mendekatkan dirinya dengan kebaikan agar dia bisa menggenggam husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dalam kehidupannya. Dia hanya mahu manusia lain turut merasai manisnya berada dalam lingkungan agama Islam, semuanya kerana ALLAH, insyaALLAH semuanya baik. Ya sebab manusia hakikatnya tak sempurna. Nak sempurna? tunggu bila kita sudah berjaya hidup di syurga akhirat kelak. 

Bila bicara tentang Ramadhan teringat penulis pada keluarga tercinta di kampung. Bumi serambi Makkah sentiasa dilimpahi nikmat iman & Islam. Madrasah Madinah sedang berlangsung sempena Ramadhan ini. Teringat juga penulis pada masakan mama yang sangat sedap di dunia, tiada mampu menandingi masakan mama. Teringat juga suara rengekan si bongsu nak berbuka puasa awal sebab tidak tahan lapar. Teringat juga penulis pada suara merdu ayah asyik mengalunkan ayat suci al-Quran.




Ramadhan Bulan Berkat

Album : 
Munsyid : HIJJAZ
http://liriknasyid.com




*Bulan Ramadhan bulan yg berkat
Bulan rahmat dan bulan utama
Pahala digandakan, doa diterima
Bulan Lailatul Qadar yg istimewa

Isilah bulan ini, banyakkan amalan
Beribadah malam, siang berpuasa
Banyakkanlah sedekah jgn dikira
Moga ia menjadi penebus dosa
Membaca Al-Quran jgn dilupakan
Zikir dan Tasbih elok disertakan
Meriahkan Ramadhan dgn bermacam cara
Agar Ramadhan tidak sia-sia...

ulang *

Hindarkanlah dosa di setiap anggota
Kalau boleh dosa hati jua
Kerna dosa itu merosakkan pahala
Agar kita tidak mensiakan Ramadhan
Isilah Ramadhan dgn sebaiknya
Kerna ia datang setahun sekali
Tahun hadapan belum tentu jumpa
Kerna kita mati bila-bila masa

Pengirim : ierah[prOtectOr].!

--------------------------------------------------------------------------------
Dapatkan lirik-lirik nasyid di http://www.liriknasyid.com
eXpresi PENYEGARAN diri

Saturday, 20 June 2015

3 Ramadhan 1436H Memori Cinta Sahabat 2

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...Ya ALLAH syukur padaMu. Kesempatan berada dalam madrasah tarbiyyah Ramadhan kali ini yang mungkin menjadi detik terakhir menyambut Ramadhan seperti sekarang sungguh mengharukan. Al-Hamdulillah, sahabat-sahabat kita dihiasi dengn iman & Islam. Pegangan teguh pada ALLAH yang menjadikan kita muslimin & muslimah yang indah bukan hanya pada pandangan ALLAH, juga pandangan manusia. Memang fitrahnya manusia ingin hidup dalam kebaikan & fitrah manusia hidup bertuhan. Walau ke mana pun dia pergi, akhirnya dia mencari Tuhan (ALLAH) sebagai tempat bergantungnya.

ALLAH memberi kita ujian untuk kita sentiasa mengingatiNya. ALLAH menimpakan berbagai masalah kepada kita bukan bermakna ALLAH benci kepada kita, tetapi itu tanda ALLAH sangat menyayangi kita. Ingatlah duhai diri & sahabat sekalian hidup kita di dunia ini hanya sementara, akhirat jua abadi selamanya. Bukan dunia yang kita cari, tetapi akhirat yang cemerlang itu yang kita nak genggam. 

Memori cinta sahabat 2 menyambung kisah memori cinta sahabat 1 yang didedikasikan khusus untuk Siti Zawiroh bt Daud & pasangannya, Hazim. Al-Hamdulillah, penulis berkesempatan untuk menziarahi negeri Kedah Jelapang padi untuk kali ke-3 memenuhi jemputan majlis pernikahan Puan Siti Zawiroh bt Daud. Alhamdulillah penulis sempat menyaksikan sendiri saat lafaz sakinah sahabatnya. Sebak melihat wajah si ayah melepaskan pergi puterinya pada menantunya. Begitulah agaknya nanti perasaan ayah penulis saat melafaz akad untuk puteri sulongnya nanti. Ops...maaf kat sini bukan nak cerita tentang penulis yer.

Jom tengok video ni! Hadiah istimewa buat Wiraku sempena majlis pernikahannya. Alhamdulillah usai sudah misi penulis melihat sahabat baiknya naik pelamin. Tak tau nak bagi hadiah apa kat wira, jadi malam terakhir di kedah penulis bersengkang mata siapkan video ni untuk Wira. Penulis suka panggil dia Wira, sebab dia antara sahabat yang dianggap wira oleh penulis. Dia ada saat penulis gembira, dia ada saat penulis berduka, dia ada saat penulis dirundum masalah, dia sentiasa ada untuk mengingatkan penulis pada ALLAH Yang Maha Penyayang, dia ada saat penulis tengah semangat belajaq, dia ada masa penulis rasa betul-betul tak tau nak buat apa. Dia datang membawa seribu ketenangan dalam persahabatan. Al-Hamdulillah...terima kasih Ya ALLAH Engkau telah kurniakan anugerah punya sahabat sebaik Siti Zawiroh bt Daud.




Pesanan ikhlas buat sahabat yang sudah 5 tahun kita berkenalan, Puan Siti Zawiroh...jaga diri baik-baik tau. Akak tak risau dah, hang dah ada suami yang sentiasa menjaga & mencurah kasih sayang padamu...juga paling penting sekali hang sentiasa ada ALLAH yang menyayangi hang & suami selalu. Alhamdulillah bahagia dalam tangisan saat akak melihat hang tersenyum usai lafaz akad nikah. Pernikahan yang meriah dilimpahi kasih sayang ALLAH. Bawalah bahtera pernikahan kalian dengan hiasan sakinah, mawaddah & rahmah. Usah risau, kalian sentiasa dalam doa penulis. Akak doakan yang terbaik untuk hang sekeluarga, Wira. Sejujrnya akak puas hati...al-Hamdulillah sangat dapat menjadi tetemau hang di Kedah bertarikh 5 Jun 2015. Tarikh sah hang bergelar seorang Isteri memikul amanah baru sebagai bakal ibu, anak kepada ibu & bapa mertua. 

Tiada kata yang mampu dilafazkan buat hang, cuma video ini tanda ingatan akak pada hang. Tiada hadiah mampu menggantikan kurniaan ALLAH (hang) pada akak. Video ini cuma secebis kenangan kita bersama sebagai sahabat. Indah andai persahabatan ini dimulai dengan bismillah. Buat suami Wira, En, Hazim...jaga sahabat merangkap adik penulis ini sebaiknya. Saling melengkapi & memahami antara kalian moga baitul muslim yang di bina oleh kalian ini berkekalan hingga ke syurga. Ameen.

Terima kasih tak terhingga buat Wira sekeluarga yang melayan penulis sepanjang keberadaannya di Alor Setar, Kedah terutamanya buat mak & ayah Wira serta sepupu Wira Siti Hajar Ahmad. Mengenali kalian sungguh menambah cinta penulis pada Kedah. orangnya baik-baik...sawah padinya indah terbentang saujana memandang. Moga ikatan ukhuwwah kita mekar sentiasa hingga ke syurga ameen.

Siiru 'alaa barakatillah...