Friday 31 July 2015

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan izinNya & kasih sayangNya yang sentiasa melimpahi diri ini, telah memberi ruang & kesempatan kepada penulis blog untuk meneruskan penulisannya. Tiada bicara terungkap semasa bulan Ramadhan & Syawal 1436H ini. Ramadhan berlalu pergi terlalu cepat Ramadhan meninggalkan kita. Setiap detik diri ini mengakui betapa dia merindui untuk bertemu Ramadhan lagi. Al-Hamdulillah nikmat iman & Islam nikmat terindah anugerah ALLAH yang tiada tolok bandingnya. Dengan dua nikmat terbesar ini dia hidup di bawah payungan kasih sayang ALLAH. Tanpa Iman & Islam sudah tentu hidupnya tiada panduan hilang arah ibarat layang-layang terputus talinya.

Al-Hamdulillah ucapan syukur sentiasa menghiasi blog ini kerana merasa betapa kasih & sayangNya ALLAH terhadap diri biar terkadang dia teruji dengan kehidupan yang penuh pancaroba. Semuanya kembali pada ALLAH, insyaALLAH ketenangan menyapamu. Kembali entri “Satu Hari Sebuah Buku”. Hari ini penulis nak bercerita tentang sebuah buku yang sempat dihabiskannya di kampung semasa cuti seminggu sempena hari raya Aidilfitri baru-baru ini. Buku ini berbentuk novel tarbiah. Lama tak bedah buku novel, jadi jom kita baca apa isi buku novel ini, & apa yang seronoknya tentang novel ni?

TAJUK BUKU: Saya Tunggu Awak (berhalaman: 633)

PENULIS: Bonda Nor @ nama sebenarnya Norli binti Madlan

TERBITAN: Galeri Ilmu Sdn. Bhd



“Dalam hidup ini tidak ada istilah kebetulan. Setiap perkara yang berlaku akan menjadi asbab kepada perkara lain pula.”

Memetik isi buku ini pada perenggan akhir halaman 632:
“Ya, sesungguhnya nikmat iman & ukhuwwah itu terlalu tinggi nilainya. Dalam hati, Rafiq tidak putus-putus memanjatkan doa untuk mereka. ‘Sahabat-sahabatku Hanna & Farhan, tunggu kami di sana. InsyaALLAH kita akan berkumupul semula di syurga,’ Rafiq bermonolog sendiri sambil mengukir senyum bahagia.”

Firman ALLAH S.W.T dalam surah Al-Hadid ayat 22 & 23 yang bermaksud:
22. tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) Yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga Yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di Dalam Kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
23. (kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa Yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) Dengan apa Yang diberikan kepada kamu. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Bicara cinta ALLAH ini jelas memberitahu kita betapa pentingnya untuk kita meletakkan ALLAH dalam setiap perkara yang kita hadapi. Penulis sungguh mengalirkan air mata saat membaca bicara cinta ALLAH dalam kalamullah ini. ALLAH Maha Penyayang cuma kita yang terkadang tidak melihat disebalik ujian itu ada tanda ALLAH begitu menyayangi kita. Terusik hati bila diberita segala kesusahan yang dihadapi itu adalah atas pengetahuan ALLAH & kita sebagai hambaNya perlu redha & syukur. Ini baru muslim unggul.

Isi yang turut menarik penulis blog untuk berkongsi tentang buku ini ialah perkongsian resepi kek coklat pada halaman 145 buku ‘Saya Tunggu Awak’. Perbualan menarik antara Hanna Mardhiah & Rafiq Aqlan berkongsi resepi. Menarik!
1) Mula-mula kisar 4 biji telur hingga berbuih-buih.
2) Tambahkan susu pekat 1 cawan, susu cair 1 cawan, gula 1 cawan, minyak 1 cawan, & ovalet 1 sudu & kisar hingga sebati semuanya.
3) Ayak tepung penaik sendiri & serbuk koko 1 cawan.
4) Campurkan dengan adunan yang dikisar tadi.
5) Kukus dalam satu jam & siap dihidang.

Program Tafaqquh kitab Bidayatul Hidayah oleh Al-Fadhil Sheikh Shirazi al-Banjari dalam seminar yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Ustazah Hanna Mardhiah membawa pembaca mengetahui serba sedikit isi kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al-Ghazali. Memetik bicara kata Sheikh Shirazi pada halaman 207:

“Imam Al-Ghazali pernah berpesan jadilah orang yang berilmu. Rugi jadi orang yang jahil. Namun, jangan jadi orang berilmu sahaja. Mestilah beramal juga. Jangan sekadar beramal. Tetapi mestilah ikhlas pula. Dalam surah Al-Kahfi, ALLAH telah memperingatkan kita bahawa ada golongan manusia yang terpedaya dengan ilmu & amalannya. Mereka mensia-siakan perbuatan mereka, sedangkan mereka fikir mereka telah berbuat baik. Jadi, janganlah kita rasa apabila berdakwah, kita sudah cukup bagus. Janganlah kita rasa sebagai guru, kita lebih mulia daripada orang lain. Sentiasa awas dengan tipu daya syaitan. Sentiasa berhati-hati dengan hati, itulah taqwa kepada ALLAH,” pesanan Sheikh Shirazi kepada Hanna Mardhiah.

Pertama kali penulis blog mengenali buku ini melalui sahabat yang baru ditemuinya lewat ziarah mahabbah ke Kedah memenuhi undangan majlis perkahwinan sahabat dunia akhiratnya, Puan Siti Zawiroh bt Daud. Dia, Hajar sepupu Wira. Sekalung penghargaan & terima kasih buat Hajar yang telah memperkenalkan novel ini kepada penulis. Mulanya, puas penulis blog mencari buku ini dimerata kedai buku, tak jumpa. Terakhir usaha mencari buku ini di Kuala Lumpur kedai buku yang berdekatan dengan Sogo. Dah jumpa apa lagi terus beli. Al-Hamdulillah berkesempatan memiliki & menambah koleksi buku. Asyik membaca buku novel yang penuh pengisian rohani & cara berhikmah menghadapi kehidupan berumahtangga. Sunnguh novel ini terhias indah di akhir setiap bab dengan ayat-ayat Al-Quran & hadith Rasulullah s.a.w.

Ya, majlis perkahwinan itu sangat dinantikan oleh teruna & dara menamatkan zaman bujang masing-masing. Manis, meriah, & pastinya terpahat kemas di hati. Namun, sebuah perkahwinan bukan terhenti setakat kemeriahan sebuah majlis walimatul urus semata, bukan juga manis yang mahu ditelan. Pahit, masam, perit, pedih, tawar semua ada. Dulu seorang, kini berdua. Dulu sebuah keluarga je, sekarang dah berganda-ganda bilangan keluarganya. Dulu penat sorang-sorang, makan sorang-sorang, solat pun sorang-sorang, sedih sorang-sorang, hati pun nak dijaganya hanya dirinya sorang. Sekarang semuanya berbeza 360%. Semuanya berkongsi & berdua. Berkahwin bukan bermakna  mengahwinainya sorang, tetapi berkahwin juga dengan ahli keluarganya.

Banyak juga hati yang perlu dijaga. Al-Hamdulillah, ALLAH telah memberi peluang kepada penulis blog untuk menghabiskan pembacaan novel ini. Novel ke-3 yang menjadi koleksi buku novel penulis selepas membaca novel hasil karya, Cahyadi Takariawan & Habiburrahman El-Shirazi. Pengajian ilmu agama yang padat dalam lingkungan bab 1-82 bersamanya ada prolog & epilog sungguh menarik penulis meneruskan pembacaannya. Setiap akhir bab diselitkan maksud ayat al-Quran & hadith-hadith yang berkaitan dengan kisah yang dimainkan. Tidak rugi penulis memiliki buku ini.

Buku ini sarat dengan nasihat berguna untuk pasangan suami isteri melayari bahtera keluarga. Bagaimana tarbiyatul aulad yang diterap oleh Hanna Mardhiah watak utama novel ini terhadap dua orang putera & puterinya sehingga melahirkan generasi yang subhanallah hebat peribadinya. Islam anak-anaknya bukan hanya pada nama & kad pengenalan semata tetapi pada peribadi & akhlaknya jua, akidah terjaga, syariah dipatuhi, membuah akhlak yang terpelihara. Bagaimana pula kisah Hanna Mardhiah menyantuni suaminya, Farhan yang hanya bekerja sendiri & punya titik hitam sebagai penagih dadah sedangkan dirinya seorang kaunselor universiti? Bagaimana Hanna Mardhiah berdepan dengan mehnah ujian kehadiran pelajarnya, Rafiq Aqlan yang mencintainya sedangkan dia sudah punya suami? Cerita ini digarap indah oleh penulis, Bonda Nor menambah jatuh cinta penulis blog kepada penulisannya. Buku pertama beliau, “Pujuklah Hati” turut berjaya memikat hati penulis blog untuk hanyut leka dengan mainan bicara indah susun atur kata yang mengisi jiwa yang tengah kosong.

Ha, ini baru betul novel Islami yang penuh dengan kata nasihat & sepanjang pembacaan buku ini banyak mendorong pembaca mengingati ALLAH. Semuanya kembali pada ALLAH. Apa yang berlaku, apa yang terjadi, apa yang tertulis sudah takdir ALLAH. Siapa kata baca novel hanya menambah cinta kita pada dunia, hanyut dengan cinta yang entah ke mana, baca novel hanya buat kita hidup ditakuk lama berimaginasi tanpa ada rasa memenihi impian?? Kehadiran novel ini membuktikan semuanya tidak benar. Baca novel ini menambah pengisian hati, membuka ruang untuk kita lebih berfikir dengan iman.

Memetik kata-kata Ustzh Isfadiah Mohd Dasuki, pensyarah UIAM, personaliti TV pada kulit belakang novel tarbiah ini:
“Subhanallah. Karya ini berjaya mengajar kita tentang hakikat bahawa setiap cabaran dalam rumah tangga pasti ada penyelesaiannya, setiap percintaan pasti ada ujiannya & setiap perbuatan kita di sisi ALLAH pasti ada catatan & ganjarannya. Semua permasalahan berjaya disarungkan penyelesaian yang sangat tepat, Islamik & penuh manfaat. MasyaALLAH sangat berkesan di hati saya. Satu novel tarbiah yang cukup mentarbiah. Tahniah Bonda Nor.”

Sungguh, buku ini mengajar penulis mengenali dunia sebenar sebuah bahtera yang dikemudi oleh suami & isteri dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Semoga selepas ini lahir lagi banyak novel-novel tarbiah seperti ini & memenuhi pasaran Malaysia, agar tiada lagi buku novel yang ditulis hanya mahu meracuni pemikiran anak muda Malaysia semata. Paling penulis ingat klimaks buku ini adalah detik kematian mengejut Farhan yang sangat tragik ditikam kejam oleh perompak rumahnya. Paling menyayat hati, bila mana detik kematian mengejut juga Hanna Mardhiah dalam kemalangan jalan raya yang mana anak sulungnya, Hazim menyaksikan sendiri pemergian bonda tercinta.

Semua yang berlaku adalah kembali pada ALLAH. Kita merancang & ALLAH sebaik-baik Perancang. Novel ini sangat sesuai dibaca oleh mereka yang rindukan tarbiah Islam, yang bakal melayari bahtera rumah tangga & yang telah berumah tangga. Pastikan sahabat-sahabat membaca buku  bovel ini sekiranya kalian pencinta novel & jika tidak setidak-tidaknya novel ini memberi sisi pandang positif tentang olahan penulisan novel Malaysia. Nak tahu bagaimana setiap watak memainkan peranannya sehingga menjadikan buku novel ini sangat menarik untuk dibaca? Bolehlah kalian membaca buku ini & menghabiskan pembacaan. Tak adil jika penulis blog menulis semua isi buku ini di sini. Penulis blog ini cuba membawa dirinya & pembaca untuk meneruskan usaha murni meneruskan amalan membaca & membaca.

Panjang penulis blog berceloteh hari ini. Mungkin kerana isi buku ‘Saya Tunggu Awak’ ini terlalu menarik untuk dibaca oleh semua terpanggil penulis berkongsi dengan kalian, hamba ALLAH yang sentiasa dilimpahi kasih sayangNya, Ameen. Moga memberi manfaat pada semua terutamanya pada diri yang menukilkan kata-kata ini. Lama benar dia meyepi, hingga Ramadhan berlalu pergi, Syawal menjelma kini namun tiada khabar dari empunya diri, diamnya bukan bermakna sepi, diamnya penuh rahmat Ilahi, menikmati dengan rasa mensyukuri. Jumpa lagi di kesempatan lain insyaALLAH dengan iznNya!


Siiru ‘alaa barakatillah. Salam Syawal & selamat hari Raya Aidilfitri 1436H.


Mengimbau koleksi kad kawen sahabat dunia akhirat penulis. Moga kalian bahagia hingga ke syurga abadi.


No comments:

Post a Comment