Friday 10 October 2014

Warkah Cinta Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah, dengan izinNya penulis masih bisa berdiri & menghirup oksigen secara percuma tanpa perlu bayaran berganda. Inilah ganjaran bila berurusan dengan ALLAH Yang Maha Kuasa. Balasan setimpal apa yang manusia buat, tetapi kita lihat bagaimana bila berurusan dengan manusia? Sentiasa mahukan keuntungan berlipat kali ganda walau terpaksa menipu & menindas semua. Kiriman doa moga sahabat-sahabat mendapat kebahagiaan dunia & akhirat di ucap lewat blog ini.

Tiada kata seindah rasa syukur yang tidak terhingga padaNya kerana telah menganugerahkan sahabat-sahabat baik sebagai pendamping buat penulis. Al-Hamdulillah, kehadiran sahabat banyak mencorak kehidupannya. Warna-warni bersama-sama sahabat diukir penuh teliti & bercorak abstrak membentuk peribadi memegang nama pena qalamwardahzinnirah. Tentang sahabat, tidak pernah putus diceritakan kisah sahabat dalam blog ini. Bukan mahu membangga diri punya sahabat yang ramai tetapi hanya sekadar mahu berkongsi rasa dihargai saat punya sahabat yang memahami.

Persahabatan membawa makna yang berbeza pada sudut pandang penulis. Banyak perkara & pengalaman yang dikutip bila bersama sahabat. Ada pahit & ada manis itu lumrah dalam persahabatan. Dalam bersahabat, kita kena banyak memberi & terus memberi barulah kita tidak mengharap apa-apa kesempurnaan serta balasan dalam persahabatan yang di bina. Itulah namanya persahabatan kerana ALLAH.

Nak capai persahabatan kerana ALLAH itu bukan suatu yang mudah, perlu mujahadah & tadhiyyah (pengorbanan) di hias bersama keikhlasan dalam sebuah persahabatan akan melahirkan golongan yang berada di bawah naungan ALLAH ketika mana tiada naungan selain naungan ALLAH. Entah, hati ini terdetik bercerita tentang sahabat di saat diri dirasakan begitu jauh dengan sahabat. Salah diri sendiri tidak berusaha bertanya khabar pada mereka. Padahal banyak cara boleh diguna untuk mendekat sahabat yang jauh.

Tak mahu banyak bicara, ketika leka menjaga ‘anak-anak’ petang tadi, ilham dari Ilahi datang tanpa henti, “Ana rindu pada sahabat, tapi harus bagaimana dilontarkan rasa hatiku?” PUISI, aktiviti mudah sambil menyelam minum air. “Apa kata ana buat satu kata-kata untuk tatapan sahabat...mana tahu kata-kata ini membangkit rasa cinta keranaNya & persahabatan yang rapuh kembali utuh. Sungguh ana rindukan sahabat-sahabat ana!” rintih hati yang pinta difahami.

Jom, kita telusuri kata hati dalam tajuk ‘Warkah Cinta Sahabat’!

Bayu melambai
Mengusik lembut jiwaku                                               
Mencengkam benak fikiran
Mengucap sayang di hukung bibir
Ibarat ombak menghempas si pantai
Tak pernah jemu
Tak pernah henti
Itulah cintaku pada sahabat

Sekujur tubuh
Ku gelar teman
Ku ikat janji kerana Tuhan
Kita pernah makan bersama
Belajar jerit perih bersama
Menelan pahit manis kehidupan
Kita saling berbahagi cinta

Sekujur tubuh itu
Sungguh aku rindu
Mengulit mimpi tidurku
Bayangan insan bernama sahabat
Meniti riang saat bersamamu
Menambah duka di kalbu

Bagaimana
Mahu ku ungkap rasa itu
Kita bagaimana...
Sudah lupa sama rabitah ikatan setia
Sudah leka mengejar impian sendiri
Sudah alpa janji sesama
Sudah jemu meniti persahabatan

Inginku singkap rahasia hati
Jika benar kita sahabat sejati
Mengapa harus begini
Sedang kita bercinta kerana Ilahi
Bila menjauh semakin memusuhi
Bila mendekat saling membenci
Inikah ujian mengenal diri
Memilih mana sahabat setia di sisi

Warkah cinta sahabat
Ku ukir penuh kata cinta
Ku lakar penuh makna jiwa
Bukan mengungkit keburukan semata
Bukan jua menambah luka di dada
Hanya mahu menambat rasa bersama
Rabitah itu keranaNya

Penulis mengakui dia tidak layak untuk mendapat sahabat yang baik, sedangkan dirinya bukanlah sahabat yang baik. Cuma mengharap persahabatan yang di bina tidak dikotori dengan sangkaan berlebihan. Berprasangka akan melahirkan rasa kurang selesa sesama kita. ALLAH telah jelaskan dalam al-Quran tentang sifat sangka buruk adalah tidak baik & hanya menambah kebinasaan sesuatu perhubungan manusia. Usah kita menyimpan dendam sesama manusia, ia hanya memakan diri menjadikan kita menjauh dari Ilahi.

Kiriman doa & al-Fatihah buat semua insan yang bergelar sahabat penulis yang pernah singgah dalam kehidupannya sebagai manusia, hamba & khalifahNya. Maaf andai khilaf di hujung kata. Maaf andai diri kurang sempurna. Maaf andai diri tidak menepati syaratmu sabagai sahabat sejati. Maaf andai terkurang itu & ini, kerana penulis hanya insan biasa mahu menumpang kasih di sisi insan yang bergelar sahabat, kawan & rakan.


Jutaan terima kasih buat semua sahabat penulis yang pernah melakar lukisan sama ada indah atau buruk pada kanvas kehidupannya. Terima kasih kerana menerima penulis seadanya. Terima kasih atas kenangan indah pahit bersama. Terima kasih untuk semua pengalaman ibarat permata di laut dalam sejenak kita bersama. Terima kasih untuk segalanya.


No comments:

Post a Comment