Sunday 5 October 2014

Cinta Itu Berkorban

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ALLAH masih memberi kesempatan kepada penulis untuk terus menjenguk blog kesayangannya. Al-Hamdulillah...nikmat Islam & iman sentiasa menghiasi kehidupannya. Sudah lama rasanya penulis menyepikan diri, bukan kerana kesibukan semata kerana banyak hal yang perlu diuruskannya. Memandangkan sekarang kita sedang merayakan hari Raya EidulAdha...dikesempatan ini izinkan penulis mengucapkan salam Eiduladha 1435H buat semua pembaca blog ini. Rindu sekali untuk mencurah rasa di blog ini.

Dua hari raya yang wajib di sambut oleh umat Islam ialah Hari Raya EidulFitri & Hari Raya EidulAdha. Paling meriah di Malaysia adalah hari raya eidulfitri, tapi tak bermakna hari raya eiduladha dilupakan begitu sahaja. Pagi hari raya Eiduladha tahun ini usai sahaja mengerjakan solat sunat hari raya & mendengar lafaz takbir, tahmid & tahlil serta sedikit khutbah dari imam masjid Pasir Pekan, penulis terserempak dengan sahabat baiknya yang dah hampir 7 tahun tidak berjumpa, bernama Nor Faizah Che Mat Amin. Al-Hamdulillah tahun ini penulis dapat menyambut hari raya Eiduladha di negeri tercinta negeri che Siti Wan Kembang. Walau cuma berbaki 4 hari bersama keluarga, ia cuti yang sangat bermakna, pengorbanan yang membutuh kekuatan hati...

Dia kini menyambung pelajaran di Indonesia, rindu penulis pada susuk tubuhnya & wajahnya yang sentiasa melemparkan senyuman akhirnya terubat setelah kami berjumpa di masjid. Rupanya ALLAH nak hadiahkan hikmah yang baik kepada penulis ketika menunaikan solat sunat eiduladha di masjid pagi tadi! 

Bila bicara tentang eiduladha ia punya kaitan dengan pengorbanan. Ia punya kaitan dengan kisah Nabi Ibrahim & anakandanya Nabi Ismail. Bagaimana perasaan ibunda, Siti Hajar di saat menghadapi realiti anak kesayangannya bakal terkorban. Itulah CINTA memerlukan pengorbanan.

Mari kita hayati ibrah Kembara Kalamullah dalam surah as-Shaffat ayat 102-107 tentang pengorbanan seorang ayah bernama Nabi Ibrahim & bersama anaknya Nabi Ismail!

102. maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

103. setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

104. serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!

105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi Yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

106. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;


107. dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

Penulis memetik kata-kata dalam buku majalah SOLUSI ISU 60 bertajuk 'Korbankan 'Ismail'mu': "Apabila berkorban maka tentulah ada yang dikorbankan. Apa yang dikorbankan itu mestilah sesuatu yang sangat disayangi, berharga & rapat dengan orang yang melakukan pengorbanan. Pengorbanan hakiki sesuatu yang sangat menyakitkan & memedihkan. Inilah ujian dalam pengorbanan." "Sudah menjadi tradisi orang yang mencintai ALLAH, perjalanan hidup mereka penuh dengan pengorbanan. Para pencinta ALLAH dalam kalangan Rasul, nabi-nabi, para sahabat & para salafussoleh umumnya telah mengorbankan harta, masa, tenaga & nyawa untuk mendapatkan cinta ALLAH. Pengorbanan itulah penghantar kepada cinta ALLAH.

Rangkap kata-kata yang menarik penulis untuk memahaminya, "Untuk mendapatkan sesuatu kita mesti sanggup kehilangan sesuatu." Ya benar...kita sebagai manusia tak semua kita akan dapat, ada yang kita dapat & ada masa kita tak dapat apa-apa. Jadilah insan yang sentiasa bersyukur dengan banyak kesyukuran, pengorbanan & kesabaran insyaALLAH diakhirnya kita dapat kenikmatan berganda dari ALLAH.


Salam EidulAdha 1435H daripada penulis & keluarga
Moga EidulAdha kali ini memberi sejuta makna pengorbanan 
di sisi kita sebagai umat Islam...
Ya benar...
Cinta itu berkorban
tanpa korban takkan terlahir rasa cinta
& pengorbanan menelan kepahitan
itu sebaik-baik pengorbanan di sisiNya
Cinta & pengorbanan saling berkait
Ibarat ombak & pantai...
Ibarat ibu & anak yang tidak dapat dipisahkan...
Ibarat suami isteri yang bercinta keranaNya...
CINTA ALLAH ITU MANIS BERSULAM PENGORBANAN...

No comments:

Post a Comment