Tuesday 7 October 2014

Butuh Ikhlas & Istiqamah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah Ya ALLAH berkat kasih sayangMu yang sentiasa melimpahi kehidupan penulis, dia bisa mengecap nikmat iman & Islam. Makin mendalam cintanya pada ALLAH, makin dirasakan iman itu manis, makin menjauh dirinya dengan Tuhan, makin gelisah bertambah susah menghadapi kehidupannya. Al-Hamdulillah, Eidul Adha tahun ini memberi makna besar kepada penulis. Semalam usai memenuhi jemputan walimatul urus sahabat baiknya, Nor Arma Riza Ishak & pasangan. Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama’aa bainakuma fii khair.

Arma Riza & Abdullah Long.

Tumpang bahagia dengan berita gembira sahabatnya mendirikan rumah tangga. Insan hebat muslimah solehah tentunya memperoleh muslim soleh. Dia sahabat yang baik sentiasa berlapang dada dengan sahabat-sahabatnya, pendiam tetapi ramah. Arma Riza Ishak seindah & seunik namanya, dia pantas mendapat jodoh yang baik. Kami berkenalan dalam dunia kepolisan di sekolah menengah dahulu. Dia seorang pengawas yang bertanggungjawab & amanah. Tegas dalam tugas. Bijak berbicara. Sahabat, moga bahtera yang baru dibina olehmu berkekalan hingga ke syurga & dapat melahirkan generasi-generasi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Ameen. Moga kalian ikhlas & istiqamah di jalan perjuangan Islam ini.

Cuti selama hampir 5 hari ini bakal berakhir, kerja muaddibah menanti untuk dilunaskan kembali. Bersedia untuk kembali melakukan kerja mendidik anak bangsa tentang agama, adab & tidak ketinggalan akademiknya. Gabungan mantap ini akan melahirkan generasi rabbani yang bakal mentadbir negara dengan hukum-hukum ALLAH. Penulis bersama muaddibah lain mendapat taujihat khusus dari seorang ustaz tentang kerja sebagai muaddibah itu membutuhkan keikhlasan & istiqamah.

Mari kita telusuri nasihat & mutiara berharga yang keluar dari bibir ustaz kami! InsyaALLAH memberi manfaat untuk semua muaddibah.

# Tugas sebagai muaddibah memerlukan wehdatul fiqr & wehdatul amal. Muaddibah bukan bererti kita melakukan kerja sendiri atau demi kepentingan sendiri. TIDAK. Kita bekerja bersama-sama & punya kesatuan hati, pemikiran & amal.

# Firman ALLAH dalam surah ali-Imran ayat 110 yang bermaksud:
110. kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.

Kita adalah sebaik-baik umat Nabi Muhammad, jadi dengan anugerah itu berilah & terus memberi faedah kepada seluruh alam dengan menyuruh melakukan kebaikan & melarang dari segala kemungkaran.

# Firman ALLAH S.W.T dalam surah ali-Imran ayat 104 yang bermaksud:
104. dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.

Hendaklah ada di antara kita umat Islam yang menyeru kepada kebaikan iaitu berdakwah & menyuruh melakukan kebaikan di samping melarang melakukan kemungkaran. & mereka inilah insan-insan yang berjaya dalam kehidupannya. Bukan mudah untuk kita melakukan kebaikan & mengajak insan lain melakukan kebaikan tetapi disebalik kesusahan akan terpancar kesenangan kelak. Yakin pada ALLAH.

# Firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Kahfi ayat 13 & 14 yang bermaksud:
13. Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
14. dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika Kami menyembah yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran."

Dalam surah ini ustaz kami meringkaskan beberapa isi penting antaranya, seorang yang mengaku muslim punya sifat-sifat ini, beriman kepada ALLAH, ditambahkan hidayah padanya, diikatkan hatinya dengan tali ALLAH & berdiri teguh dalam Islam (istiqamah).

# Firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud:
28. dan bersabarlah engkau (Muhammad), jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah Engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana Engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah Engkau mematuhi orang Yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di Dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Ambillah ibrah dari kembara Kalamullah ini. Untuk istiqamah dalam perjuangan Islam hendaklah kita bersabar seperti yang telah dikhabarkan ALLAH dalam ayat al-Quran di atas. Kita hidup bukan untuk mencari keredhaan manusia atau perhiasan dunia semata tetapi kita hanya mengharapkan keredhaan ALLAH dalam kehidupan dunia & akhirat kita. SABAR ITU INDAH

# Lagi pesanan ustaz tersebut kepada muaddibah kita adalah berjuang membangunkan keperibadian diri anak-anak kerana ALLAH. Tajdid niat. Ingat pendidikan Islam juga penting dalam pembangunan negara Islam! Peranan muaddibah membentuk anak-anak, mencorak generasi al-Quran.

# Satu pesanan yang membekas di hati penulis bila ustaz sebut perkataan ‘tsabat’ dalam perjuangan. Tsabat maksudnya tetap teguh dalam perjuangan Islam walau bertimpa ujian menduga kerana perjuangan ini tidak menjanjikan hamparan permaidani mewah untuk pejuang-pejuangnya. Moga ALLAH menjanjikan yang terbaik pada hati-hati yang benar berjuang kerana ALLAH.

# Terakhir pesanan ustaz yang tak mungkin mudah untuk penulis lupakan, muaddibah perlu berjiwa besar & berfikiran posotif dalam melayan karenah anak-anak & memahami situasi diri.

GAMBAR2 KENANGAN MUADDIBAH DALAM SUKAN!







Setakat ini sahaja coretan padat lagi ringkas dari penulis. Hanya berkongsi apa yang dirasakan perlu, hanya mahu menabur & memberi apa yang dibutuhkan, hanya berniat membaik diri yang terkadang merosak, hanya menyembuh luka yang terkadang memburuk, hanya mahu membawa diri mengingat Tuhan. Ya, dengan saling mengingati ke arah kebaikan, hati kita akan terus mahukan kebaikan. Salam kasih sayang kerana ALLAH. 

No comments:

Post a Comment