Wednesday, 19 February 2014

Kenangan Bersama Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdulillah...ucapan syukur sentiasa bermain di bibir saat peluang diberi ALLAH kepada penulis untuk bermain dengan kata bicara hatinya di ruang blog QalamWardahZinnirah.blogspot.com. Al-hamdulillah walau kini sudah bergelar pelajar praktikal kesempatan dan peluang menggunakan internet yang ada cukup memberi kepuasan kepada penulis untuk meneruskan hobi penulisannya.

Sebenarnya hari ini penulis terlalu merindui persahabatan yang dibinanya semasa di alam universiti. Merindui saat penulis bersama-sama sahabat menghabiskan ‘assignment’, sibuk dengan badan induk universiti, sibuk dengan tanggungjawab sebagai naqibat & banyak lagi jika nak dihitung semuanya. Sungguh saat manis itu bermain di mindanya sekarang. Rindu juga pada kolej kediaman dan penghuninya yang sentiasa memberi sesuatu yang baru pada penulis sepanjang keberadaannya di sana.

Kenangan menuntut ilmu bersama sahabat-sahabat & bergaul dengan sahabat-sahabat yang solehah betul-betul membuatkan penulis terharu. Penulis kembali terfikir betapa seorang sahabat memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang individu. Baik sahabatnya, baiklah juga dirinya. Teringat penulis pada satu hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya perumpamaan orang yang berdamping dengan teman yang baik atau jahat, ialah seperti berkawan dengan penjual minyak kasturi atau tukang besi. Penjual minyak kasturi itu ada kalanya akan memberikan minyak wangi kpdmu @ kamu dapat membeli minyak wangi daripadanya. Jadi, setidak-tidaknya kamu akan memperoleh wangian kasturi daripadanya. Adapun peniup api yang membakar besi kadang2 akan membuatkan pakaianmu terbakar, atau setidak-tidaknya kamu akan memperoleh bau busuk daripadanya.” 
(HADITH RIWAYAT AL-BUKHARI & MUSLIM)

Jadi, penulis abadikan 2 buah lirik nasyid untuk semua yang pernah menjadi sahabat penulis (sahabat dunia akhirat) yang bakal membawa kita berjumpa di Jannah nanti, InsyaALLAH...Hargailah sahabat2 wujud dalam kamus hidup kita jika itu yang kita mahu dari sahabat kita. Fahami, hargai, berlapang dada, berbaik sangka, saling memaafkan.


Sahabat - Devotees

Ku Biarkan kerinduan di lautan memori 
Mengimbau kenangan indah yang menyentuh emosi 
Masih segar di ingatan saat mesra berputik 
Hatimu bawa sinaran cahaya inspirasi 

Sahabat... 
kau sesungguhnya 
Temanku... 
dikala suka dan lara 

Tika ku buntu 
diselubungi sendu 
Kau tiupkan ketabahan kuntum 
mengukir senyuman 

Bagaikan embun 
hilang diterbit fajar 
Kau pergi jauh mengejar cita 
Menggapai redha Yang Esa 

Duhai sahabat dengarkanlah 
Bicara hatiku ini 
Meskipun jarak memisahkan 
Namun tiada rentap kasih 

Biarlah waktu menetukan 
nilai ukhwah yang terjalin 
Teruskanlah perjuangan hingga 
Ke titisan darah terakhir 

Dan aku masih di sini 
terus mendaki 
puncak tertinggi hidupku 

Dan aku terus menanti 
saat yang manis 
akan berulang kembali 

Sahabat....



Luahan Rindu- Devotees


Terkenang masa dahulu 
Memori silam ku 
Kisah persahabatan 

Dengarkanlah lagu ini 
Kuciptakan untukmu 
Moga dirimu terhibur 

Kenangan dahulu mendewasakanku 
Mengajar erti kehidupan 
Segala pahit manis tempuhi bersama 
Demi mengejar satu cita 

Kenanganku.. 
Dengarkan luahan hatiku 
Merindu keriangan dahulu 

Indahnya.. 
Saat penuh tawa ceria 
Terhapuslah segala duka 

Teringat daku kembali 
Saat kasih bersemi 
Kita mengukir janji 

Di waktu persekolahan 
Yang penuh impian 
Kita memburu harapan 

Kenangan dahulu mendewasakanku 
Mengajar erti kehidupan 
Segala pahit manis tempuhi bersama 
Demi mengejar satu cita 

Kenanganku.. 
Hadirlah dikau menerangi 
Oh ruangan hatiku 
Semoga tersirat hikmah melanda 
Bersama kita selamanya 

Segala keindahan jadi kenangan 
Yang buruk jadikan sempadan 
Biar diduga derita 
Tabahkanlah sentiasa 
Semoga mendapat rahmatNya 

Kenanganku.. 
Hadirlah dikau menerangi 
Oh ruangan hatiku 
Semoga tersirat hikmah melanda 
Bersama kita selamanya.

Tuesday, 18 February 2014

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim…

Al-Hamdulillah...sujud syukur pada ALLAH yang Maha Menciptakan segala Sesuatu, yang Maha memberi nikmat pada semua hambaNya, kasih sayangNya tidak terlimpah hanya pada insan yang sentiasa menuruti perintah, tetapi juga tercurah pada insan yang banyak menyinggah marah pada ALLAH. Al- hamdulillah, pagi yang hening & mendamaikan ini ALLAH masih memberi penulis ruang menghirup udaraNya dengan percuma dan sepantasnya peluang ini digunakan penulis untuk mengisi sesuatu dalam blognya.

Biar sahaja rasa syukur itu terluah pada yang sepatutnya,
Biar sahaja rasa syukur itu dikongsi bersama semua manusia,
Biar sahaja rasa bahagia punya iman & Islam dalam diri itu dapat disebar pada semua...

Pagi ini penulis ingin berbicara tentang buku Majalah Solusi Edisi 64 “Jika Benar Mencintai Nabi”. Tertarik dengan petikan kata-kata pada muka hadapan buku majalah solusi kegemaran penulis ini, “ Jika benar mencintai Rasulullah, buktikan dengan perbuatan bukan hanya dengan ucapan. Jika benar mencintai Rasulullah, berjuanglah menegakkan sunnah Baginda. Mari letakkan Rasulullah sebagai teladan di semua tempat, keadaan & masa.” Jom kita membaca buku!



Hampir 3 minggu penulis & sahabat bergelar pelatih (pelajar praktikal) di lapangan kerja Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Langat, buku adalah teman terdekat penulis selain ‘note book’ kesayangannya yang di bawa setiap hari ke tempat kerja. Jika tiada kerja yang diberikan, penulis senang menulis & merekayasa puisi, membaca buku-bukunya, menaip untuk di isi dalam blog ( pengisian rohani & akal) atau paling tidak kacau sahabat baiknya.

Banyak isu yang diketengahkan dalam buku majalah solusi edisi 64 ini antaranya berkaitan Rasulullah s.a.w. Isu yang paling menarik hati penulis adalah kembara & tokoh-tokoh Islam memandangkan penulis suka mengetahui kisah pengembaraan ke negara luar walaupun dirinya hanya punya impian untuk berhijrah & melancing melihat keindahan alam ciptaan Tuhan ini. Nak tau lagi, cuba dapatkan majalah Solusi edisi 64!

Penulis tertarik pada penulisan muka surat 103 yang berbunyi,

“HADIAH ALLAH: Mungkin dengan ujian kesulitan dalam tugas yang didatangkan merupakan wasilah untuk kita kembali mengingatiNya. Kalau begitu, itulah hadiah daripada ALLAH. Ada ungkapan yang dikongsi oleh seorang rakan: “Hadiah itu tidak selalu terbungkus indah. Terkadang ALLAH membungkusnya dengan masalah, tetapi di dalamnya ada hikmah & barakah.”


Alhamdulillah...Ya ALLAH...Engkau memberi penulis peluang untuk mendalami ilmu agamaMu melalui buku-buku yang penulis punya. Alhamdulillah...Ya ALLAH dengan rahmat & kasih sayangMu penulis dibesarkan sebagai seorang Muslim. Moga Muslim itu penulis bawa sampai dirinya meninggalkan dunia ini dengan sebaik-baik pengakhiran. Biar matinya mencapai matlamat menuju redha ILAHI. Ameen...

Monday, 17 February 2014

Bila tiba Saat Lafaz Sakinah

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-hamdulillah...syukur pada ALLAH sekali lagi kesempatan menjadi milik penulis untuk mencurah idea & ilhamnya di alam maya. Pagi yang hening dan indah di terangi oleh mentari pagi yang memancar cahayanya cukup memberi udara segar bagi penulis untuk meneruskan penulisannya. 

Baiklah, pagi ini penulis mahu bercerita tentang jodoh @ nikah. Memandangkan penulis berada dalam situasi di mana penulis dikelilingi sahabat yang telah & baru sahaja mendirikan rumah tangga. Tipu jika penulis tiada rasa cemburu melihat pasangan baru berkahwin ini. Cuma pandailah penulis menyedapkan hatinya, bahawa jodohnya masih di Lauh Mahfuz. Ni pengaruh rakan sebaya yang tak habis bercerita tentang manisnya cinta selepas kahwin. 

Bila cerita tentang bab kawin penulis suka mendengar lirik nasyid Fareast bertajuk Saat Lafaz Sakinah. Penulis bukan berniat nak ajak sahabat-sahabat kawin sekarang, tetapi hanya mahu meletakkan masa memikir masa hadapan. Masa yang kita ada sekarang cubalah hargainya dengan melakukan banyak perkara berfaedah pantas kita langsung tiada masa untuk bercinta dengan manusia yang berlainan jenis. Biarkan sahaja yang namanya pasangan suami isteri memeterai rasa cinta mereka kerana ALLAH. 

Nasyid ini penulis tujukan khas buat sahabat penulis yang setia di sisi sepanjang keberadaan kita bersama di tempat praktikal iaitu, Nurul Mardiah Fadzil & pasangannya. Moga kalian berbahagaia hingga ke syurga abadi. Hanya doa yang mampu penulis kirimkan buat kalian & kalianlah sahabat pertama yang penulis ada disisi saat Nurul Mardiah bergelar isteri.

Nurul Mardiah Fadzil & suami.

Penulis bersama pengantin baru...

Terima kasih Ayu kerana memberi kesempatan kepada penulis merasai manisnya menjadi sahabat peneman kala Ayu diijab kabulkan. Pengalaman manis bertarikh 23 Januari 2014 di Kedah Darul Aman dikenang penulis sampai penghujung hayatnya. Al-Hamdulillah...

SAAT LAFAZ SAKINAH – FAR EAST
Heningnya
Sunyi suasana
Lafaz sakinah bermula
Apa rasa
Diterjemah hanya
Sebak abah tangis ibunda
Adalah aku wali puteriku
Serah kini amanahku ini padamu
Nafkahilah dia curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepadanya
Chorus
Dulu esakannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu
Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya
Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanahku
Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu
Ulang Chorus

Friday, 14 February 2014

Cinta ALLAH Cinta Sejati

Bismillahirrahmanirrahim,,,

Alhamdulillah, kesempatan ini di anugerah ALLAH pada penulis. Syukur padaNya dengan kenikmatan yang paling besar nikmat iman & Islam yang ALLAH curahkan buat penulis & semua sahabat yang disayangi ALLAH. indahnya Islam...

Malam ini penulis mahu & teringin sekali bercerita tentang syukur. Apa itu syukur? Penulis yakin, kalian sahabat semua tahu makna sebenar syukur atau dengan kata lain berterima kasih, redha dengan segala pemberian & nikmat. 


Pada syukur ada terselit cinta ALLAH
Pada syukur penulis belajar menghargai apa yang ada di sekelilingnya
Pada syukur ada kasih sayang ALLAH
Pada syukur ada redha yang membawa rahmah
Pada syukur ada nikmat yang maha besar
Penuh dengan kebahagiaan & kemanisan
Walau pahit ditelan, walau ranjau ditempuh, walau sakit tetap diubat, walau jatuh masih teguh, walau dihina masih berdiri teguh keranaNya, kerana syukur padaNya,,,

Bersyukurlah penulis & sahabat2 sekalian kerana kita dilahirkan sebagai Islam...kerana kita dikurnia nikmat yang melimpah...kerana kita masih dikurnia masa untuk menyebar kebaikan pada semua,,,biar semua merasa betapa manisnya menjadi hamba & khalifah ALLAH di muka bumi ini sebelum mata kita rapat terpejam. Ya ALLAH...cintamu memang sejati pastinya tiada ganti. Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...Jadilah hambaNya yang sentiasa bersyukur walau bagaimanapun keadaan kita.

Mari sahabat kita telusuri lirik nasyid syukur oleh Suhaimi!

Sedari bangun pagi
Sehingga malam hari
Tak pernah aku lupa
Kau yang maha setia

Semua kau beri
Pada diri ini

Tak kau minta ganti

Tak perlu dibeli
Kau memang pemurah
Segala nikmat kau curah
Tak pernah aku lupa
Memujimu Ya Allah

Subhanallah
Walhamdu Lillah
Wa La Ilaha Illallah
Subhanallah
Walhamdu Lillah
Allahu Akbar

Ya Allah ampunilah
Kuhambamu yang lemah
Kau tempat ku berserah
Kau yang layak disembah




Saturday, 8 February 2014

Satu Hari Satu Buku 3

Bismillahirrahmanirrahim….


Alhamdulillah, hari ini adalah hari ke-4 penulis bergelar sebagai pelatih di PPD Kuala Langat bersama-sama sahabat setia penulis. Alhamdulillah di kesempatan ini ALLAH memberi waktu kepada penulis untuk menggunakan masa terluangnya di pejabat dengan membaca buku.
Hanya dengan membaca penulis dapat menghilangkan kebosanan & kengantukannya. Hari ini penulis telah menghabis sebuah buku yang bertajuk ‘Berjalan-jalan Di sini. Karangan: S. Othman Kelantan’. Jarang sekali penulis dapat membaca cerpen-cerpen sastera yang berbentuk seperti ini. Buku ini dijumpai di rak buku Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Langat Unit Akademik.




Pada mulanya penulis agak bosan membaca isi buku tersebut kerana bahasa yang digunakan sangat tinggi & terlalu sastera bagi penulis. Namun, penulis merasakan penulis buku ini sangat hebat dari sudut karya penulisan kreatifnya berbentuk cerpen. Bahasa sastera yang digunakan memerlukan pemerhatian & peneletian penulis yang tiada asas satera ini. Cerita-cerita yang dipaparkan adalah menarik tetapi sukar difahami jika penulis hanya membaca selayang pandang.

Alangkah gembira & bersyukurnya penulis jika suatu hari dia bisa jadi seperti sasterawan negara Dr. Syed Othman Syed Omar, penulis buku ini. Menghargai kewujudan bahasa Melayu & memartabatkan penggunaannya dalam penulisan tersendiri. Penulis mengimpikan suatu detik impiannya menjadi penulis bakal terkabul walau pada permulaanya penulis hanya menulis dalam blognya sahaja.

Bila di baca buku-buku sastera banyak perkataan baharu yang didapati oleh penulis & cerita-ceritanya juga memerlukan pembaca berfikir & memahami isi mesej penyampaian S. Othman Kelantan.  Seronok berkerja sambil membaca buku-buku yang ada. Jadi tahun ini bolehlah penulis menghadamkan beberapa buah buku sebelum bergraduasi, insyaALLAH.

Dulu dek kerana sibuk dengan belajar penulis kurang waktu untuk membaca & menghadamkan buku-buku yang menjadi koleksi indahnya terutamanya buku-buku berkaitan penulisan sastera kreatif yang boleh meningkatkan kemahirannya menulis & menggunakan kepelbagaian perkataan dalam suatu penghasilan penulisan. Sekarang, alhamdulillah peluang itu telah ALLAH hadiahkan kepada penulis supaya masa yang ada dapat digunakan dengan sebaiknya dengan membaca.

Membaca adalah aktiviti yang wajib dilakukan oleh semua makhlukNya yang bernama manusia. Tidak kira dia berpangkat atau tidak, dia bahagia atau derita, dia senang atau susah semuanya perlu membaca. ALLAH sendiri telah menggalakkan hambaNya untuk membaca dalam surah pertama yang turun kepada Rasulullah s.a.w ALLAH S.A.W berfirman dalam surah al-‘Alaaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

1. Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
2. Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
5. Dia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

Terang lagi bersuluh tentang kepentingan & suruhan membaca yang digarap dalam Kalamullah untuk manusia-manusia yang berfikir dan menghargai kasih sayangNya. Ya ALLAH...moga Engkau masih memberi kesempatan kepada kami untuk terus menimba ilmuMu & mengamalkan segala suruhanMu dengan sebaiknya.


Baiklah, setakat ini dahulu perkongsian & untaian kata dari penulis buat sahabat-sahabat yang setia meringankan mata membaca isi yang terdapat dalam blog ini. Moga kehadiran penulisan di blog ini dapat memberi manfaat kepada semua. Salam kasih sayang kerana ALLAH. Sebarkan kebaikan pada semua orang kerana semua orang berhak merasai kebaikan Islam.

Wednesday, 5 February 2014

SATU HARI SATU BUKU 2

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdullillah...syukur ke hadratNya kerana dengan rahmat & kasih sayang ALLAH, penulis masih punya waktu & ilham yang tercurah untuk dihiasi dalam blognya. Harap tulisan ini bisa di ‘post’ dalam blog penulis nanti walau memakan masa yang agak lama. Yalah, penulis bakal bergelar pelajar praktikal esok lusa. Kesibukannya tentu bakal berlipat kali ganda.

Kali ini penulis mahu membedah buku bertajuk “Dari Lubuk Hati Ibu – Karangan: Norhafizah Musa & Wan Nor Ainon Wan Abdullah.” Terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Buku ini adalah pemberian hadiah terakhir daripada Farhana pelajar Tamhidi Sains & Teknologi sempena perpisahan penulis dari KKNC. Buku ini sangat menyentuh hati penulis kerana ini antara buku ke-2 koleksi penulis yang menceritakan tentang ibu. Insan hebat yang banyak menabur jasa untuk anak-anaknya.



Firman ALLAH S.W.T dalam surah Al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud:

23. dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).
                                                                                                                                  
Buku ini terkandung seribu satu luahan hati seorang ibu pada anak-anaknya. Sudah tentu si ibu mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Mengharap anak-anaknya bakal menjadi anak yang soleh & solehah berjaya dunia & akhirat. Buku ini terselit seribu nasihat dari seorang insan yang mewakili hati si ibu. Akidah, syariat, ibadah & akhlak dirangkum bersama-sama dalam memastikan anak-anak ibu dilahirkan dalam keadaan muslim. Muslim itu dia mengamalkan Islam secara menyeluruh, dia tidak memilih dalam bab hukum-hakam ALLAH. 

Bila ALLAH kata jangan, langsung dia tinggalkan. Bila ALLAH kata boleh langsung dikerjakan.
Ibu satu-satunya insan yang sangat berharga dalam hidup kita. Tanpa ibu, tentu kita tidak lahir ke dunia dengan Qada’ & QadarNya. Jadi penulis menyeru diri sendiri & sahabat-sahabat semua untuk menghargai kehadiran insan yang bernama ibu di samping kalian. Jangan nanti bila ibu sudah tiada ketika itu kita mulai menanam sesal yang tiada berkesudahan.

Kita hanya ada satu ibu, kita juga hanya ada satu Tuhan. Jadi hargailah ibu kandung yang kita ada. Hargai juga ALLAH yang sentiasa memelihara kita. Cintai ibu seperti mana kita mencintai diri kita. Ringankan bibirmu untuk menyedekahkan al-Fatihah pada ibu tercinta. Kata kalian sayang pada ibu, jadi buktikanlah.

Buku ini sungguh menyedarkan penulis betapa kasih sayang ibu sangat luas untuk anak-anaknya. Buku ini sungguh menyedarkan penulis betapa ibu memainkan peranan dalam melahirkan anak-anak yang soleh & solehah. Nasihat & kata semangat dari ibu mampu menanam kasih sayang terhadap diri semua cahaya mata ibu.

Di kesempatan ini penulis mengucapkan kata sayang & cinta serta ucapan terima kasih tidak terhingga buat mama ibu kandung penulis yang berjaya mendidik penulis menjadi insan yang baik. Pandai menilai mana yang baik & buruk, seronok memerhati alam yang memberi banyak pengajaran kepada penulis. Belajar sabar dengan ujian yang melanda, belajar berdikari kala diri sendiri. Kala bertatih sendiri, penulis jatuh tersungkur, ibu yang menghulur tangan berkat cintaNya. Doa ibu sangat mustajab buat penulis. Doa ibu pengiring perjalanan si anak sungguh memberi suntikan cintaNya yang berkat.  Penulis sayang mama kerana ALLAH.




Penulis mau mengajak semua sahabat untuk sama-sama terkadang kita membelek buku-buku berkaitan ibu kita. Ibu yang melahirkan & membesarkan kita. Ibu yang mengajar kita mengenal baik & buruk sesuatu perkara. Jom, kita tambah ilmu dengan membaca buku. Lagi kita membaca lagi bertambah cinta kita pada ilmu & ALLAH. Usah putus asa untuk terus membaca walau terkadang usaha kita disekat oleh rasa malas & kata orang. Jom kita membaca buku!

Al-hamdulillah...hari ini adalah hari ke-3 penulis bergelar pelatih di PPD Kuala Langat. Pengalaman di pejabat akan penulis garap sebanyak mungkin demi Islam & kerana ALLAH. Bersama sahabat, Nurul Mardiah Fadzil penulis bisa menghadapi ujian & mehnah di sini. Kejauhan dari keluarga, jauh dari sahabat-sahabat seperjuangan, jauh dari kolej kediaman yang mempunyai biah solehah & terpelihara, penuh dengan ranjau & cabaran betul-betul mematangkan penulis yang makin menjangkau umur 24 tahun. Mohon sahabat-sahabat semua yang setia membaca tulisan yang biasa ini untuk menghadiahkan surah al-Fatihah kepada penulis & sahabatnya di tempat baharu. Syukran jazilan kathira.

Moga doa kalian bisa memudahkan kami. Moga doa kalian membawa kami ke jalan yang diredhaiNya. Moga doa kalian membawa kita bertemu di Jannatul Firdausi. InsyaALLAH...

Tuesday, 4 February 2014

SATU HARI SATU BUKU

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdulillah…penulis masih punya kesempatan untuk menulis dalam blognya. Penulis hanya ada masa tak sampai seminggu untuk menghabiskan masanya dengan keluarga sebelum dia meneruskan langkahnya bergelar pelajar praktikal di Pejabat Pelajaran Daerah, Kuala Langat, Banting Selangor.

Masa yang ada penulis habiskan dengan membaca buku-buku, melayan karenah adik-adik & membantu ibu ayah sama ada di dapur atau di halaman rumah. Kadang-kadang penulis menghabiskan masanya dengan tidur. Ucapan terima kasih penulis hadiahkan buat adik2 tamhidi yang banyak memberikan hadiah terutamanya hadiah buku & ‘chocolate’ kepada penulis sebelum penulis berangkat pulang ke Kelantan.

Hadiah buku2 yang diberikan sangat bermakna buat penulis. Penulis sempat membaca & menghabiskan isi dua buah buku pemberian Farhana (Tamhidi Sains & Teknologi) & Azzah (Tamhidi Syariah & Undang-undang). Buku2 tersebut benar-benar memberi maklumat & kesedaran kepada penulis betapa membaca adalah amalan yang sangat baik dalam menambah informasi.

Menyahut seruan satu hari satu buku, penulis menghadamkan buku novel bertajuk, “Atas Nama Cinta- Karangan: Wahyu Sujani.” Novel Islami yang menyentuh jiwa. Watak utama Mustafa & Laila memainkan peranan dalam mewarnakan novel ini. Mereka benar-benar berhasil dalam menjaga kesucian & kemuliaan hidup dalam naugan reda ALLAH & Rasul. Penulis mampu menghabiskan novel ini hanya dalam masa sehari. Buku ini juga ditulis oleh penulis Indonesia yang dilahirkan di Bandung. Karya kreatif penulis Indonesia ini sangat memikat hati penulis.



Buku novel yang bermuka surat 390 ini sungguh mempesona isinya walau terkadang terzahir beberapa perkataan Indonesia. Namun, penulis dapat memahami isi yang ingin disampaikan oleh penulis buku tersebut. Watak Sueb juga memainkan peranan sebagai sahabat yang sangat baik pada Mustafa. Buktinya, ketika Mustafa dirundum masalah & ujian yang bertimpa terutama dalam bab jodoh, Sueb sedia membantu sahabatnya dengan memberi kata nasihat & menghiburkan hati Mustafa.

Itulah erti sahabat yang sebenar. Penulis teringin berkongsi antara dialog Mustafa ketika mengetahui sahabatnya, Sueb dilanda masalah putus cinta dengan Nayla dalam buku novel tersebut muka surat 373:

“Eb, cinta tak selamanya harus memiliki. Kerana itu kamu tak boleh down. Lebih-lebih lagi jika kamu mendasarkan cintamu atas nama ALLAH & Rasulullah. Maka cintamu itu akan penuh ketulusan & kepasrahan sejati. Akhirnya kan berbuah kenikmatan yang hakiki. Kini aku punya cinta untuk Laila. Cintaku padanya atas nama ALLAH & Rasulullah. Jika ALLAH menghendaki aku & Laila batal menikah, sesakit apa pun aku akan ikhlas. Aku percaya setelah kesulitan pasti ada kemudahan. Ingatlah itu, Eb. Kamu pun harus menyedari jika ALLAH sedang memilih seorang hamba untuk dicintaiNya, ALLAH akan menguji dia. Sekuat apakah kesabarannya? Mengeluh atau tetap bersabar? Ikhlas, Eb. Itu kuncinya. Jika kamu dapat bersikap seperti itu, aku jamin, apa yang kamu inginkan akan terkabul. Luka hatimu kerana Nayla akan sembuh dan pengganti yang lebih baik jelas akan kamu peroleh,” lanjut Mustafa.

Wah, dialog yang berjaya memikat hati penulis! Kata-kata yang berjaya memujuk diri bahawa cinta & jodoh adalah urusan ALLAH. Apa yang paling penting cinta ALLAH yang perlu penulis kejar & dambakan dalam kehidupannya. Cinta manusia? Bila ALLAH berfirman kun fayakun. Jadi, maka jadilah.


Baiklah, nak tahu pengakhiran cerita ini? Apa kata kalian sahabat-sahabat semua baca sendiri buku terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. Ini baru sebuah buku yang habis dibaca oleh penulis. Ada satu lagi  buku yang berjaya penulis baca sepanjang hampir seminggu dia di kampung halaman.

Alhamdulillah, syukur padaNya penulis telah meneruskan kehidupannya sebagai pelajar praktikal di tempat baharunya selama 5 bulan iaitu di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat Banting Selangor. Doakan penulis yer!