Thursday 15 September 2016

Suami Seorang Pejuang

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan izin & inayahNya dapat penulis meneruskan penulisan blog ini. Nikmat iman & Islam sentiasa disyukuri memandangkan dengan anugerah terbesar inilah penulis bisa berjalan dengan baik di muka bumi milik ALLAH ini. Al-Hamdulillah dengan segala nikmat kasih sayang ALLAH limpah kurniaanNya, penulis masih setia memegang amanah sebagai muslimah.

Anugerah ini yang sentiasa terpasak di hati membawanya menelusuri cinta Ilahi melebihi cinta manusiawi. Segala cinta yang hadir dalam kehidupannya bermula dengan cinta kerana ALLAH. Ya, semuanya bermula kerana ALLAH. Benci pun kerana ALLAH, sayang pun kerana ALLAH, menangis sedih juga kerana ALLAH, marah benci juga kerana ALLAH.

Baik, memandangkan penulis telah memegang amanah sebagai isteri, izinkan dia berkongsi cerita tentang seorang suami. Bukan nak buat sahabat yang bujang cemburu, bukan nak membuka pekung di dada, bukan nak berbangga diri, bukan juga niat nak membuka aib suami sendiri. Cinta suami kerana ALLAH dengan bismillah penulis memulakan langkah.

Mesti ramai yang tertanya-tanya bagaimana kehidupan penulis selepas memasuki alam perkahwinan. Al-Hamdulillah, cinta selepas nikah sangat indah. Tambahan baitul muslim yang dibina ini berjalan-lancar biarpun terkadang dilanda ombak tsunami. Semuanya al-Hamdulillah.

Suami seorang pejuang. Ya masanya sangat tidak sama seperti suami-suami orang lain. Dia bukan milik penulis seorang, dia milik ahli keluarga & ibu bapanya, dia milik masyarakat & yang paling penting dia adalah pinjaman ALLAH pada penulis. Al-Hamdulillah betapa bersyukurnya penulis di anugerahkan seorang suami setelah sah akad nikahnya bertarikh 18 September 2015 setelah 8 bulan menjadi tunang orang.

Kehidupan berumah tangga ada pasang surutnya, itu tidak dinafikan. Mana ada perkahwinan yang bahagia sepanjang masa, ada masanya ALLAH menguji mereka. Bergaduh itu biasa tapi jangan dibiasakan tau. Ya, dalam novel je kita nampak semua alam perkahwinan ini majoritinya bahagia sehingga akhir hayat. Kita sebagai manusia sudah tentu mengharapkan kesempurnaan dalam kehidupan kita. Hanya berharap & ALLAH sebaik-baik tempat berharap.

Dulu masa bujang-bujang penulis selalu bayangkan suaminya nanti mesti seperti ayahnya, kuat semangat, kuat beribadat, pandai mengaji, tegas dalam kasih sayangnya, ya punya naluri kasih sayang seorang ayah sebab nanti dia yang akan jadi ayah pada anak-anak yang dikandung penulis.

Masa bujang-bujang dulu juga penulis selalu mengidamkan suaminya seorang pejuang agama. Bukan hanya sanggup berjuang di medan perang, tetapi turut berjuang melindungi kehidupan mereka sekeluarga, bertanggungjawab dalam perjuangannnya. Bila ditimpa susah dia terus berjuang bangkit dari kesusahan. Bila dikurniakan anak dia menjadi bapa yang sanggup memperjuangkan apa sahaja demi anaknya. Bila turun ke medan dakwah dia berjuang mempertahankan agama dengan cara yang diredhai ALLAH. Semua jalan perjuangannya bermula kerana ALLAH. Dia juga tidak lokek memberi ruang pada isterinya berjuang.

Al-hamdulillah, majoriti impian & suami idaman ada pada suaminya sekarang. Ya, masing-masing punya ciri-ciri suami idaman tersendiri termasuklah penulis.  Al-Hamdulillah Ya ALLAH di atas anugerah & pinjamanMu ini. Suami yang hadir sungguh membahagiakan walaupun terkadang ada yang menyedihkan. Penulis tahu dirinya tidak sempurna & suami juga sama manusia biasa yang tidak sempurna tetapi kehidupan suami isteri itu yang menyempurnakan kehidupan mereka.

Al-Hamdulillah, ALLAH menganugerahkan kepadanya seorang suami yang sangat baik walau kami hidup penuh kesederhanaan. Walau suami tidak punya masa yang banyak untuk bersama satu yang dia tak pernah lupa & satu yang sangat penulis rindui iaitu, solat 5 waktu berjemaah suami isteri. Solat jemaah itu mengeratkan perhubungan kami. Dia imam & penulis makmum. Tak kira solat subuh, zohor, asar, maghrib, atau isyak bila berkesempatan untuk solat berjemaah bersama kami solat bersama & jika tidak suami suka solat berjemaah di masjid. Dia kaki masjid juga & penulis tidak pernah menghalangnya untuk mendirikan solat berjemaah di masjid kerana bagi lelaki itu adalah tuntutan & kewajipan lebih afdhal.

Dalam masa dia sibuk berjuang, dia tak pernah lupa menghiburkan hati penulis, dengan membawa isteri tercinta keluar menikmati dunia luar tak kiralah sama ada menikmati keindahan ciptaan ALLAH seperti pergi ke pantai, air terjun atau tempat-tempat menarik lain. Kadang-kadang hanya membawanya makan di luar & kadang-kadang menziarahi rumah saudara-maranya. Sungguh dia suami yang sangat menghargai kehadiran isterinya.

Harapan penulis, moga suaminya & dia istiqamah dengan cara ini. Bila dia sibuk dengan kerja berjuangnya, dia seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri & penulis memberi ruang kepada suaminya mempunyai masa sendiri tanpa dikacau oleh orang lain. Penulis tak mahu menjadi sebab suaminya terhalang dalam perjuangannya. Biarlah dia buat semua yang mahu dilakukannya asalkan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Bila berjuang dia ibarat singa yang mengaum kuat menakutkan para musuh. Bila dia menjadi suami, suami yang tegas dalam kasih sayang. Sayangnya tak nampak dengan mata kasar tetapi dengan mata hati yang terang mampu melihat kasih sayangnya di mana-mana. Kelemahan dia? Sudah tentu ada...sebab dia manusia biasa seperti penulis, tetapi takkan penulis nak bgtau kelemahan suaminya sendiri di sini. Seolah-olah membuka pekung di dada pula bunyinya. 

Mohon maaf yer jika kehadiran entri ini mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan semua orang. Sebab masing-masing punya pengalaman dan cerita tersendiri dan tidak salahkan kita berkongsi cerita. Apa yang baik jadikanlah contoh teladan & apa yang buruk jadikan sempadan mohon doa dijauhkan dari keburukan. Pengalaman hidup berumah tangga sangat berbeza antara satu manusia dengan manusia yang lain. Ada yang hidupnya bahagia je, dan tak kurang ada juga yang hidup rumah tangganya tunggang-langgang penuh derita.

Khas buat suami tersayang teruskanlah perjuanganmu. Isterimu mendoakan yang terbaik untuk abang. Terima kasih kerana telah menjadi suami yang penyayang untuk diri saya, abang ipar yang baik hati untuk adik-adik saya, anak menantu yang baik untuk ibu ayah saya. & paling penting terima kasih abang sebab sudi meminjamkan dirimu untuk diriku menumpang kasih sebagai suami isteri. Isterimu ini tidak pernah lelah menyokong dan mendoakanmu dalam setiap langkah dan tingkahmu. Teruslah jadi suami untuk isterimu. Walau satu dunia membencimu, isterimu tetap menyayangimu. Walau satu dunia tidak mempercayaimu, ingatlah isterimu sentiasa mempercayai & cuba untuk sentiasa memahami perasaan lelakimu.

Ingin sekali isterimu meniru tingkah saidatina khadijah terhadap suaminya tercinta, Rasulullah s.a.w. isterimu sentiasa mendoakanmu & sentiasa menghadiahkan Al-Fatihah padamu.

En. Noriskandar bin Mat So, suami penulis.

Abang long dan Chik.

4 Oktober 2015...Happy Besday my husband.

Majlis sebelah suami.

Setakat ini dahulu coretan cinta penulis pada hari ini ya. Moga mata hati yang membaca entri ini akan sentiasa dilimpahi kebahahagiaan dunia akhirat oleh ALLAH. Ameen. Siiru ‘alaa barakatillah...jumpa lagi ‘next episode’!

No comments:

Post a Comment