Friday 16 September 2016

Cinta & Pengorbanan Zulhijjah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan kuasa ALLAH penulis masih diberi kekuatan untuk menarikan penanya dalam blog ini. Al-Hamdulillah...nikmat iman & Islam sentiasa menghiasi ruang hidupnya walau terkadang sebagai manusia biasa dia merasa sempit dengan setiap masalah dan ujian yang datang padanya. Syukur padaMu ya ALLAH kerana masih memberi peluang pada diri ini meneruskan hidup dalam Islam. Islam anugerah terindah yang tidak boleh dijual beli & dicari tempat membeli-belah.

Cinta seringkali dikaitkan dengan pengorbanan. Tiada cinta jika tanpa pengorbanan. Begitu juga tiada pengorbanan jika tidak bersulam cinta. Benar, cinta memerlukan pengorbanan. Berkorban apa sahaja demi untuk yang dicintai. Beruntung bagi mereka yang meletakkan cinta ALLAH untuk setiap detik pengorbanannya. Cinta & pengorbanan juga dikaitkan dengan bulan Zulhijjah, serta kisah Nabi Ibrahim a.s. Mari kita mengambil ibrah & pengajaran dari kisah cinta & pengorbanan Nabi Ibrahim a.s terhadap ALLAH, & keluarganya.

Ada beberapa kisah Nabi Ibrahim a.s. yang ingin penulis kongsikan bersama sahabat-sahabat pembaca. Moga kisah-kisah ini sentiasa mengingatkan kita betapa cinta & pengorbanan jika ada bersamanya ALLAH pasti memudahkan & membahagiakan. Cinta & pengorbanan itu tak selamanya pahit & tidak selamanya membahagiakan. Ambil ibrah dari kisah nabi insyaALLAH kita akan memperoleh hikmah disebalik ujian & masalah yang datang.

Kisah pertama tentang perdebatan antara Nabi Ibrahim, ayahandanya & kaumnya yang telah dirakam dalam kalamullah surah Al-An’am ayat 74 hingga 79 yang bermaksud:
74. dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya Aku melihatmu dan kaummu Dalam kesesatan Yang nyata".

75. dan Demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang Yang percaya Dengan sepenuh-penuh yakin.

76. maka ketika ia berada pada waktu malam Yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada Yang terbenam hilang".

77. kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), Dia berkata: "Inikah Tuhanku?" maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika Aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah Aku dari kaum Yang sesat".

78. kemudian apabila Dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? ini lebih besar". setelah matahari terbenam, Dia berkata pula: ` Wahai kaumku, Sesungguhnya Aku berlepas diri (bersih) dari apa Yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

79. "Sesungguhnya Aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah Yang menciptakan langit dan bumi, sedang Aku tetap di atas dasar Tauhid dan bukanlah Aku dari orang-orang Yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain)".

Demi cinta Nabi Ibrahim a.s. sanggup berkorban dengan berdebat & berdiskusi bersama-sama masyarakat dan ayahnya yang merupakan seorang pengukir patung berhala. Mencari kebenaran di sebalik kebatilan.

Kisah ke-2 tentang kisah pembakaran Nabi Ibrahim a.s. secara besar-besaran kerana dituduh telah memusnahkan ‘tuhan-tuhan’ berhala sembahan masyarakatnya. Tempat pembakaran disediakan untuk membakar Nabi Ibrahim a.s. nak kata bahang apinya sangat besar sehingga menyebabkan mereka melemparkan Nabi Ibrahim a.s. menggunakan satu alat yang dinamakan manjanik.

Mari kita lihat & tadabbur ayat Quran surah Al-Anbiya’ ayat 69 yang bermaksud:
69. Kami berfirman: "Hai api, Jadilah Engkau sejuk serta Selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".

Ketika Nabi Ibrahim a.s. berada dalam api yang sangat marak, ALLAH telah memerintahkan api untuk menjadi sejuk & selamat sejahtera untuk Nabi Ibrahim a.s. Betapa tingginya cinta & pengorbanan Nabi Ibrahim a.s demi mempertahankan kemuliaan Islam & benar cintanya adalah kerana ALLAH. Semasa dalam api bakaran, Nabi Ibrahim a.s. tak pernah putus bergantung harap pada ALLAH dengan berzikir mengingatiNya, “hasbiyallah wa ni’mal wakil.” Demi cinta Nabi Ibrahim a.s. sanggup mengorbankan dirinya dalam api bakaran & kebergantungan utamanya pada ALLAH Yang Maaha Esa.

Kisah ke-3 Nabi Ibrahim a.s. adalah tentang kelahiran satu-satunya putera yang diberi nama Ismail. NABI Ibrahim a.s. memperoleh seorang anak hasil pernikahannya dengan Hajar setelah isteri pertama Nabi Ibrahim a.s, Sarah tidak dapat memberikannya zuriat dengan kuasa ALLAH. Setelah lama menanti berakhir jua detik penantian itu dengan kelahiran Nabi Ismail. Kelahiran zuriat yang sangat dinanti walaupun pada ketika itu usia Nabi Ibrahim a.s. adalah tersangat tua. Penantian itu pengorbanan & kesabaran. Dengan kuasa ALLAH cinta & pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. berbalas dengan kelahiran putera yang diangkat menjadi Nabi Ismail.

Sabar, cinta & pengorbanan sangat sinonim bersama. Cubalah didik diri kita untuk sentiasa menanam perasaan ini supaya kelak kita sentiasa dilimpahi dengan ketenangan. Tak susah jika kita sentiasa istiqamah melaksanakannya dalam kehidupan.

Kisah ke-4 Nabi Ibrahim a.s. Kali ini menuntut cinta & pengorbanan yang besar dari Nabi Ibrahim a.s. apabila ALLAH memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isteri & anaknya, Hajar & Ismail yang ketika itu masih menyusu dengan ibunya di tanah gersang. Mereka memulakan perjalanan yang panjang. Sanggupkah seorang suami meninggalkan isterinya seorang diri? Sanggupkah hati seorang ayah meninggalkan anaknya yang baru dilahirkan bersendirian di tanah gersang itu? Apakan daya itu semua suruhan & perintah ALLAH. Siapa tak sayang anak dan isteri? Sudah tentu Nabi Ibrahim a.s menyayangi mereka, tetapi perintah ALLAH melebihi kehendak nafsu sebagai manusia. Di lawan perasaan sedih demi memenuhi perintah ALLAH. Inilah pengorbanan suci seorang suami & ayah.

Mari kita menelusuri kisah ini! Biarpun kasih sayang kita kepada insan-insan yang kita sayang melebihi kasih sayang kita kepada segalanya, ingatlah cinta & kasih sayang yang berpaksi & bergantung pada ALLAH sahaja yang bisa membawa bahagia dalam kehidupan kita. Tengok betapa Nabi Ibrahim a.s mematuhi setiap perintah ALLAH walau pada saat itu hatinya sebagai suami & ayah sangat berat melepaskan ahli keluarganya pergi. Nabi Ibrahim a.s yakin bahawa ALLAH sentiasa ada untuk menjaga isteri & anaknya. Keyakinan dalam cinta & pengorbanan membuahkan suasana harmoni.

Kisah ke-5 dan terakhir yang penulis ingin ‘highlight’kan di sini dengan membaca & mentadabbur terlebih dahulu ayat al-Quran surah As-Shoffat ayat 99 hingga 111 yang bermaksud:
99. dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, ia akan memimpinku (ke jalan Yang benar).

100. " Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaKu anak Yang terhitung dari orang-orang Yang soleh!"

101. lalu Kami berikan kepadanya berita Yang mengembirakan, Bahawa ia akan beroleh seorang anak Yang Penyabar.

102. maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar".

103. setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan Anaknya Dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami),
104. serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!

105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi Yang Engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang Yang berusaha mengerjakan kebaikan.

106. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian Yang nyata;

107. dan Kami tebus Anaknya itu Dengan seekor binatang sembelihan Yang besar;

108. dan Kami kekalkan baginya (nama Yang harum) Dalam kalangan orang-orang Yang datang kemudian:

109. "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".

110. Demikianlah Kami membalas orang-orang Yang berusaha mengerjakan kebaikan.

111. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami Yang beriman.

Kisah cinta & pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya, Nabi Ismail yang sepatutnya kita contohi bersama. Bila tiba Eidhul Adha kita mesti mahu bercerita tentang kisah ini. Kisah penyembelihan Nabi Ismail yang akhirnya ditukarkan ALLAH dengan haiwan sembelihan. Sanggupkah seorang ayah sekali lagi mendapat perintah menyembelih satu-satunya anak kesayangannya? Sanggupkah seorang ayah mengorbankan jiwa anaknya demi memenuhi perintah ALLAH? Ya kerana sanggup berkorban & rasa cinta yang mendalam kepada ALLAH lah Nabi Ibrahim a.s. mahu menyembelih Ismail dengan persetujuan Ismail. Anak & bapa yang taat pada perintah ALLAH.

CINTA & PENGORBANAN KERANA ALLAH ini yang mahu penulis garapkan dalam perkongsian hari ini. Moga hati-hati kita semua akan memperoleh manfaat dan membuka jalan kebenaran kepada diri kita nanti. Raikan Eidhul Adha dengan penuh kesederhanaan juga penuh rasa cinta & pengorbanan.

Setakat ini dahulu coretan penulis untuk kali ini. Maaf andai ada yang salah. Terima kasih untuk segala sokongan. Teruskan mendoakan penulis & seluruh umat Islam agar kita terus istiqamah di jalan yang diredhai ALLAH. InsyaALLAH, kita jumpa lagi di ‘next episode.” :)



                                                                                   


No comments:

Post a Comment