Thursday 15 September 2016

Warkah Buat Insan Bernama Suami

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Salam...Jumaat kareem kepada semua sahabat yang sudi menziarahi blog ini. Saban hari mengikuti setiap entri dalam blog ini, & mengambil ibrah dari setiap cerita. Moga bermanfaat yer untuk kita semua. Tanggal 16 September 2016, pemergian Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din seorang tokoh ulamak yang sangat berjasa pada masyarakat menghadap Tuhannya. Pergi sudah permata bagi masyarakat. Moga al-marhum ditempatkan bersama-sama orang beriman. Ucapan takziah disampaikan kepada semua ahli keluarga al-marhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

Al-Hamdulillah...diri ini masih punya kekuatan & kesempatan dalam meneruskan pena ini agar tidak bisu tanpa cerita. Perkongsian & pengalaman yang terlukis di lakaran blog ini terkadang memberi sumber inspirasi kepada penulis untuk meneruskan penulisannya. Menambah rasa dekat dengan ALLAH dengan cara berkongsi nikmat pemberian ALLAH pada dirinya dalam setiap penulisan. Setiap manusia punya garapan cerita yang tersendiri sudah tentu masing-masing punya jalan cerita yang berbeza dan pasti penuh warna-warni. Perbezaan itulah yang nampak menarik, warna-warni itulah yang terkadang memberi sinar kebahagiaan dalam kehidupan.

Al-Hamdulillah...kini penulis telah bertukar status, dari seorang bujang menjadi isteri orang. Punya suami sudah tentu. Dikurniakan juga kehadiran ibu bapa mertua yang penyayang serta ipar duai yang membahagiakan. Penulis sangat bersyukur kerana setiap doa & permintaannya sentiasa dikabulkan oleh ALLAH. Majlis perkahwinannya bertarikh 18 September 2015 berjalan lancar & meriah. Kehidupan berkeluarga yang baru dibinanya kini terkadang diuji dengan cabaran & kesusahan. Itu lumrah. Ya, dia harus redha & kuat menghadapi kehidupan barunya penuh cabaran dan terkadang menguji keimanannya.

Warkah buat insan bernama suami digarap penuh teliti agar tiada yang terasa hati atau bangga diri. Khas untuk mereka yang bakal & telah bergelar sebagai suami & khusus untuk suami penulis yang tercinta. Moga kehadiran warkah ini memberi ruang untuk kita saling memahami & tetap menyayangi atas dasar cinta kerana ALLAH.

Duhai suami, saat termeterai akad nikah kita...maka automatik amanah suami isteri terbeban di pundak. Memegang amanah baru dan dunia cabaran bakal bermula. Langkah kita bukan lagi seorang, tapi kini berdua. Dua hati yang mengejar satu cinta. Cinta kerana ALLAH. Bapa kandung merangkap wali terpaksa melepaskan puterinya pergi dengan harapan puterinya dijaga dan dipelihara seperti dia dijaga & disayangi oleh ayahandanya. Di tahan sebak di dada, “Pergi sudah anakku pada suaminya. Bertukar tangan sudah puteriku, anakku dosa pahalamu kini ditanggung oleh suamimu.”

Bukan mudah seorang ayah mahu melepaskan puteri-puterinya kepada menantunya. Juga bukan mudah untuk seorang ibu melihat puteri yang dibesarkannya kini menjadi isteri orang. Bertalu pesanan ibu ayah pada menantu mereka. Usah dianiaya anak perempuan mereka. Bimbinglah dia ke jalan yang benar, kerana tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya.

Duhai suami, amanahmu amatlah berat bukan hanya menyediakan keperluan hidup isterimu tetapi juga membimbing isterimu dengan bimbingan Islam. Kenal Tuhan, tahu hukum halal haram, bisa menutup aurat dengan sempurna, tahu batas pergaulan, tahu membaca & memahami al-Quran, solat 5 waktu dan banyak lagi. Semua ini terbeban di pundakmu duhai suami. Ya, perkahwinan itu sangat indah, ibarat raja sehari layaknya, tetapi bahagia yang diingini bukan hanya pada ketika itu, selepasnya terus menderita.
Cinta itu tentang pengorbanan dan tanggungjawab. Usah sibuk berbicara tentang cinta jika kita masih tercari-cari makna sebenar sebuah pengorbanan. Cinta padanya ada amanah yang besar bukan semata-mata fitrah tetapi mahu mengajak manusia bercinta dalam rahmat dan keberkatan ALLAH. Usah sibuk berdiskusi tentang cinta andai kita masih lalai melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang ada. Bicara tentang cinta saat kita benar bersedia menghadapinya. Usah dilihat pada indahnya awal perkahwinan semata.

Duhai suami, andai bijak kamu mengemudi bahtera ini, maka bahagia dunia akhirat menjadi milikmu dan keluarga. Dalam kesibukan mencari nafkah untuk keluarga, si suami tidak pernah lupa mendirikan solat berjemaah bersama-sama isterinya. Dia tahu, solat jemaah adalah antara cara untuk mengikat kasih sayang antara mereka. Cinta kepada ALLAH melebihi segalanya. Solat jemaah itu bisa membina keluarga mawaddah, sakinah & rahmat. Keberkatan melimpahi kehidupan mereka walaupun miskin harta serba sederhana.

Satu perkara yang takkan suami penyayang tinggalkan adalah sentiasa menghargai kewujudan isterinya. Ya, benar lelaki itu tinggi egonya tetapi dek cinta kerana ALLAH, ego itu hilang buat seketika. Hargai isterimu walau dalam sekecil perkara. InsyaALLAH hidup kalian akan bahagia hingga ke jannah abadi. Bila bahagia yang diberi, bahagia juga yang akan kita dapat, percayalah.

Duhai suami, bila berjauhan kamu selalu katakan bahawa isterimu sentiasa di bawah jagaan ALLAH. Ada ALLAH yang sentiasa menjaganya, ada ALLAH yang menjadi tempat isterimu bergantung harap. Nescaya hatimu tenang. Bila marah, kawal perasaanmu seadanya. Usah biarkan perasaan marahmu melukai hati isterimu. Marah itu memang lumrah, tetapi jangan sesekali jadikan is kebiasaan sehingga akhirnya meretakkan hubungan perkahwinan yang dibina.

Perkahwinan yang dibina bukan matlamat berakhir dengan perpisahan. Perkahwinan yang dibina seharusnya berkekalan hingga ke jannah abadi. Usahakan biar bahtera perkahwinan ini bisa bertahan lama, tidak musnah ditelan badai melanda. Sesekali bahtera dipukul gelombang, bergoyang ke kanan kiri itu fitrah lumrah asam garam rumah tangga kerana manusia tidakkan pernah lari dari ujian.

Buat suami tercinta, terima kasih kerana telah memberi ruang kepada isterimu ini menumpang kasih seorang suami sementara hayat masih ada. Terima kasih untuk segala cinta & sayang yang tercurah. Al-Hamdulillah...isterimu bahagia walau hidup kita penuh kesederhanaan. Al-Hamdulillah...isterimu masih mampu kuat dengan kuasa ALLAH untuk bersamamu mengharung badai dalam perkahwinan. Lagipun, usia kita bersama masih terlalu awal. InsyaALLAH...kita bina kehidupan ini dengan acuan Islam.

Terima kasih duhai suami kerana wujud dalam kanvas kehidupan penulis. Mencorak diri menjadi isteri solehah untuk si suami kerana ALLAH. Terima kasih untuk segalanya. Maaf juga dipohon, andai diri ini penuh dengan kekurangan, terpalit dengan berjuta kesilapan kerana ketahuilah diri ini hanya insan biasa tak bisa lari dari dosa noda.
Dedicated for my dearest husband, you are the wonderful and the best husband that I ever have, insyaALLAH until jannah. Senyum, tawa, suka dukamu sentiasa mewarnai kehidupan isterimu. Happy annivesary for the first year we are have been together & al-Hamdulillah I be the most happy wife to have you as my husband. Selamat ulang tahun perkahwinan yang pertama buat Noriskandar bin Mat So sebagai suami penulis blog ini. 18 September 2015-18 September 2016 genap setahun  usia perkahwinan kami. Doakan moga perkahwinan kami berkekalan hingga ke jannah abadi, & dikurniakan keluarga mawaddah, sakinah & rahmat. Ameen.


Setakat ini dahulu untuk episod kali ini. Siiru ‘alaa barakatillah...Jumpa lagi ya :) 

No comments:

Post a Comment