Thursday 27 September 2012

Mengejar Cinta ALLAH yang Hakiki


IKHLASKAH HATIKU?

Ikhlas...mudah menutur di bibir hamba ALLAH yang leka dengan perjuangan Islam tetapi agak sukar untuk dibiaskan dalam perbuatan. Ikhlasnya seorang hamba hanya bisa diukur saat dirinya diuji dengan pelbagai ujian dariNya. Kayu ukur ikhlaskah seorang hamba menghadapi kehidupannya hanya ALLAH yang bisa mengetahui kerana ALLAH Maha Mengetahui tentang hambaNya. Mampukah dia ikhlas bila ujian datang menjengah dalam kamar kehidupannya? Mampukah dia ikhlas saat perjuangannya dilanda ombai badai yang bergelora menghempas kuat tanpa ada tanda untuk berhenti menduga? Mampukah dia ikhlas saat dirinya tiba-tiba di campak sendirian dalam perjuangan...seolah-olah tiada manusia yang mampu membantunya?
Ya ALLAH ujian dariMu datang tanpa aku mengundang…

Ujian dariMu menjelma bila aku merasa sendirian…
UjianMu terkadang menjadikanku hambaMu yang hina ini cuba untuk tegar dengan keadaan…
Cuba untuk mengerti apa hikmah dan keistimewaan yang tersirat disebaliknya…
Cuba bermonolog dengan diri mengatakan bahawa aku mestilah menjadi hambaMu yang kuat...
Cuba mencari cintaNya di setiap sudut aku memandang dunia...

Aku dilahirkan di dunia bukan untuk menjadi manusia yang lemah dengan mehnah dan ujian yang bertimpa…aku dilahirkan di dunia bukan untuk menjadi manusia yang sentiasa jatuh dan tersungkur dengan masalah…aku dilahirkan di dunia untuk jadi manusia yang tabah dengan cubaan dan masalah. Bukan untuk sentiasa rasa lemah semangat dan tidak kuat. Jika tidak mana mungkin aku dilahirkan di dunia.
Ikhlaskah aku menghadapi ujian dariMu...Ya Tuhan? Hanya padaMu aku gantungkan seluruh pengharapanku. 

Saat ku rasa diriku sendirian tanpa sahabat-sahabat di sisi...saat ku rasa imanku semakin berkurang...saat ku rasa sangat jauh denganMu...saat  hatiku rasa kosong tanpa kasih sayang dariMu...saat ku rasa diriku ditimpa dengan pelbagai ujian hati...aku berusaha merangkak dan berlari mendapatkan cintaMu, Ya ALLAH. Aku membelek helaian demi helaian kalamullah yang penuh dengan cintaMu. Aku tertarik pada kalamMu, jangan bersedih dan jangan takut sesungguhnya ALLAH sentiasa bersamaMu. Kini, ku mengerti biar pada hakikatnya aku sendirian tanpa sahabat-sahabat seperjuangan di sisi...aku tetap dan sentiasa ada ALLAH di sisiku.

“Ya ALLAH...Engkau Maha Mengetahui segalanya. Ya ALLAH...kurniakan aku kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian-ujianMu. Jangan sesekali Engkau tinggalkan aku sendirian menghadapi keindahan dunia ini...Ya ALLAH. Ya ALLAH... tetapkan hatiku untuk terus mencintai dan menyayangi serta mengingatiMu dalam setiap helaan nafasku...dalam setiap perbuatan dan doaku. Ya ALLAH...kurniakan aku hati yang ikhlas dalam menghadapi kehidupan serta takdirku. Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya kerana ALLAH...Tuhan sekalian alam.”

Walau aku terpaksa mengharung ujian ini sendirian aku masih punya cinta ALLAH yang sentiasa menemaniku saat aku rebah...keliru...sendirian...kegembiraan...atau kesedihan. Ya...mungkin dengan ujian ini mampu mengajar aku bagaimana menjadi hambaNya yang tabah dan ikhlas dalam perjuangan kehidupan ini. Aku tidak akan sesekali menyalahkan takdir kehidupanku. Aku tidak akan sesekali menyerah dalam keadaan tersungkur , sekurang-kurangnya aku bisa berusaha menjadi hamba ALLAH sebaiknya walau di mana aku dicampakkan di dunia ini. Aku mahu menjadi hambaNya walau di mana aku di tinggalkan, aku bisa hidup dengan cinta ALLAH dan dengan kekuatan yang ALLAH anugerahkan kepadaku.

Mengertilah duhai diri, ALLAH sangat menyayangimu...dek kerana cintaNya, dirimu dikurnia bermacam jenis dugaan dan ujian. Ingatlah diri, disebalik ujianNya yang datang tanpa dipinta penuh dengan hikmah yang bakal dirimu temui kelak...istimewanya dirimu kerana dipilih ALLAH menerima ujian-ujian ini. Jadilah hambaNya yang tabah serta sabar dengan ujianNya. Moga suatu saat syurga ALLAH yang aku rindui bakal menemani di penghujung hidupku.

Jangan bersedih...saat diri dirasa sendirian
Jangan bersedih ...saat dugaan ALLAH datang bertandang
Jangan bersedih...saat dirasa diri lemah tanpa kebergantungan
Jangan bersedih...saat  diri keseorangan
Kerna ingatlah kesedihan itu bisa diubati dengan ubat redha pada takdirNya dan mencintai TUHAN selagi diri punya waktu dan kesempatan...

No comments:

Post a Comment