Monday 10 September 2012

Manisnya Cinta Bersulam Cinta ALLAH


Jodoh di Lauh Mahfuz

            Jodoh pertemuan, ajal maut telah ditentukan oleh ALLAH dan tersusun kemas di Lauh Mahfuz untuk setiap manusia. ALLAH telah menentukan yang terbaik untuk manusia tanpa menolak kita juga perlu berusaha untuk mendapatkan yang terbaik dalam kehidupan kita. Betapa ALLAH sangat menyayangi manusia, dibiar sang manusia hidup menyantap pelbagai nikmat dunia lantas mengurniakan kita qada’ dan qadar yang terbaik. Subhanallah…Al-Hamdulillah…AllahuAkbar!

            Sayangnya, dunia modenisasi kini mengubah persepsi masyarakat mengenai jodoh pertemuan manusia dengan pasangan hidupnya.Jodoh diakui perlukan kepada usaha mencari dan terkadang kita tercari-cari siapakah pasangan kita nanti. Namun, jodoh tidak disulami dengan berpacaran di sana sini, bukan juga dinoda dengan perbuatan tidak senonoh dan pergaulan bebas yang melanggar hukum-hukum ALLAH. Ini sekaligus menambah bilangan umat manusia yang terjerumus ke kancah maksiat. Ramai yang terlalu leka dengan nikmat dan kemewahan dunia menyebabkan ramai yang jauh dengan cintaNya. ALLAH S.W.T sesungguhnya murka dengan perbuatan dosa itu.

            Jodoh juga berkait rapat dengan kahwin. Jodoh yang baik mampu melahirkan sebuah bahtera perkahwinan yang bahagia di dunia dan tenang di akhirat. Mari kita telusuri ayat suci al-Quran mengenai  suruhan mendirikan rumahtangga dengan berkahwin.
Firman ALLAH S.W.T dalam surah an-Nuur  ayat 32 yang bermaksud:
32. Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian[1035. Maksudnya: hendaklah lelaki yang belum kawin atau wanita- wanita yang tidak bersuami, dibantu agar mereka dapat kawin.] diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

            Barat telah berzaman mempengaruhi pemikiran hampir separuh remaja Islam dengan mengetengahkan budaya ber’couple’ dan pelbagai gejala sosial yang merosakkan umat Islam sendiri. Umat Islam bakal terpengaruh jika pegangan agamanya tidak kuat, jika ajaran Islam hanya diikuti secara separuh-separuh. Jangan sesekali berharap dengan ber’couple’ , si dia adalah jodoh kita…jangan sesekali berharap dengan ber’couple’ keredhaan ALLAH sentiasa bersama. Bagaimana pula dengan ibu ayah?
           
Jodoh yang suci terpelihara di Lauh Mahfuz akan selamanya terpelihara jika manusia berusaha dengan cara yang bertepatan  kehendak ALLAH. Bagaimana mahu mendapatkan jodoh yang sama seperti di Lauh Mahfuz? Berusahalah mendapatkannya dengan berdoa dan terus berdoa. ALLAH Maha Mendengar permohonan dan permintaan doa dari semua hambaNya. ALLAH juga menyukai dan menggalakkan hambaNya banyak mengadu dan berbicara dengan Nya melalui doa. Mohon agar dikurnia jodoh yang soleh atau solehah. Mohon agar ditetapkan iman dalam Islam. Mohon agar cintaNya sentiasa memayungi diri.

Jodoh di Lauh Mahfuz…tidak bererti kita perlu berhenti berusaha dan hanya menunggu bulan jatuh ke riba. Jodoh yang tersusun kemas di Lauh Mahfuz meminta kita berusaha terlebih dahulu mengejar cinta ALLAH…biar kita menjadi hamba ALLAH yang bersyukur dengan segala nikmatNya…InsyaALLAH suatu saat jodoh yang ditunggu bakal menjelma tanpa diminta. Kuatkan terlebih dahulu rasa cinta kita terhadap ALLAH dan RasulNya. Ikatkan dahulu tali percintaan kita dengan ALLAH yang Maha Berkuasa. InsyaALLAH, pada langkah terakhir kita menemui kenikmatan dan kemanisan mencintaiNya.

Bila kita mencurah rasa cinta sepenuhnya pada sang pencipta manusia…InsyaALLAH cinta yang lainnya akan menyusul tiba. Sebelum kita belajar mencintai orang lain, belajarlah terlebih dahulu untuk mencintai dan menyayangi diri sendiri. Belajar untuk membina peribadi dan akhlak yang mulia. Belajar untuk mendekati cinta ALLAH. Belajar untuk memperbaiki kelemahan diri. Belajar untuk menambah sebanyak mungkin ilmu dunia dan akhirat. Belajar bersyukur dengan nikmat-nikmat pemberian ALLAH kepada semua hambaNya.

Jodoh di Lauh Mahfuz bakal menjadi nyata jika caranya betul menepati kehendakNya. Mari sama-sama kita menanam rasa cinta terhadap Pencipta sang manusia iaitu ALLAH! Mari kita meniti hari kehidupan dengan sentiasa menggantungkan segala harapan melalui berdoa kepada Nya. Moga-moga suatu saat yang bakal tiba di mana jodoh di pintu Lauh Mahfuz terbuka dengan kuncinya yang betul dan tepat, menyerlahkan suatu sirna yang gemilang seperti yang diharapkan oleh manusia…InsyaALLAH. 
      



  

No comments:

Post a Comment