Friday, 8 August 2014

Ikhlas Sekeping Hati

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...berkat kasih sayangNya penulis masih bisa meneruskan penulisannya, masih punya nyawa untuk terus menyebar kebaikan, masih punya kesempatan untuk mengucap syukur pada ALLAH di atas setiap nikmat & musibah pemberianNya. Al-hamdulillah Ya ALLAH penulis bangun dari tidur bersama syahadahNya. Islam & iman masih berbunga di hatinya walau terkadang ia naik & terkadang turun.

Doa dikirim buat semua sahabat yang sudi ziarah blog yang serba kekurangan ini. Ketahuilah bahawa kehadiran penulisan ini adalah untuk mengisi masanya sebagai seorang Muslimah kerana dia hanya manusia biasa yang terdetik di hati mahu mengajak diri & semua manusia kepada kebaikan & Islam terutamanya. Doa buat kalian moga sentiasa mendapat kebahagiaan, kebebasan & ketenangan dunia akhirat. Ameen.

Ya ALLAH, hati penulis sedih bertambah pilu kerana sekali lagi dia bakal & kena berjauhan dengan keluarganya serta bergelar musafir atas sebab kerja. Hari terakhir di kampung penulis. Meninggalkan kampung halaman tercinta. Ini adalah takdir yang tertulis padanya jadi, penulis kena telan walaupun pahit. Yalah, nak sihat kena telan ubat yang pahit kan? Nak kaya kena usaha lebihkan? Nak dapat cinta ALLAH bukan boleh duduk goyang kaki sahaja kan? Jadi, sahabat-sahabat terus mendoakan penulis semoga musafirnya di bumi ALLAH ini memberi kebaikan pada ummah sekelilingnya.

Terima kasih atas peluang untuk penulis terus berkarya di blognya Ya ALLAH, walau nanti tiada siapa yang mahu membaca bait-bait katanya. Hari ini penulis terpanggil mengisi blognya dengan ‘entri’ tentang ikhlas sekeping hati setelah mendapat khabar yang kurang baik daripada sahabat-sahabatnya. Sebelum itu izinkan penulis berkongsi salah satu kata-kata sahabat yang disimpan kemas dalam telefonnya yang berbunyi: “Perasaan ditemani ALLAH merupakan penghibur dalam kesepian, pelindung dalam ketakutan, perencah keamanan diri, pencorak keceriaan jiwa, penawar segala duka, peneman di kala senang & payah...hati terdetik diketuk rasa rindu padaNya, hati redha menerima segala ketentuanNya...itulah erti tawakal yang sebenar...Hiasi nurani diri dengan amal ibadah & munajat kepadaNya...Semoga rahmatNya sentiasa bersamaMu.”

Al-Hamdulillah, usai meneliti keputusan peperiksaan Bahasa Inggeris atau dengan kata lain UEPT yang dikhaskan kepada graduasi-graduasi USIM yang tidak melepasi ‘band 3’ dalam MUET. Al-Hamdulillah untuk peperiksaan kali ini keputusan penulis adalah baik, tetapi itu tidak menjamin untuk dapat melepasi Hari Konvokesyen nanti. Penulis sebenarnya takut bertambah debar hanya kepada ALLAH diserahkan segala urusan setelah berusaha pada awalnya. Moga penulis redha walau apapun keputusannya nanti.

Sedihnya bila mendapat khabar ramai antara sahabat penulis yang tidak mendapat keputusan yang baik. Bukan kerana mereka tak berusaha, bukan kerana mereka malas. Ini semua kerja Tuhan. Pantas al-Fatihah & doa dihadiahkan kepada sahabat-sahabatnya moga mereka sabar & tenang menghadapi ujian ini. Izinkan penulis memetik kata-kata dalam buku pada halaman 18 & 20 buku bertajuk, ‘Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah Satira’ karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd yang berbunyi:

“Hidup adalah silih berganti antara nikmat & musibah. Apa yang penting hati kita mesti selalu bersangka baik dengan takdir tanpa mengurangkan sedikit pun kesungguhan kita untuk mentadbir. Pujuklah hati kita dengan selalu berbisik, insyaALLAH apa sahaja yang berlaku pasti ada hikmahnya.”

“Jangan sesekali mempersoalkan apa yang telah ALLAH tetapkan untuk kita. ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Boleh jadi sesuatu yang kita pandang hari ini sebagai musibah merupakan sesuatu yang memberi keuntungan di kemudian hari.”

Moga kata-kata di atas dapat membalut luka & kesedihan sahabat-sahabat penulis. Ingatlah, ALLAH menguji hamba-hambaNya bukan kerana benci, tetapi kerana terlalu sayangkan kita & ALLAH pasti mengetahui bahawa setiap hambaNya mampu menghadapi setiap ujian & mehnah yang telah diaturNya. Tengah bersedih dengan khabar sahabat-sahabat, datang satu lagi berita tentang kemalangan seorang sahabat lain. Al-Hamdulillah, bersyukur kepadaNya kerana sahabat penulis tidak mengalami sebarang kecederaan cuma mungkin terkejut dengan kemalangan yang diatur itu. Kembali penulis membelek memuhasabah diri, betapa kuasa doa untuk sahabat mampu mengelak sahabatnya dari musibah.

Kembali pada buku bertajuk, ‘Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah Satira’ karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd pada halaman 43 tajuk kecilnya adalah ‘Doaku untukmu’. Kisah tentang dua orang sahabat karib yang tinggal berjiran bernama Ahmad & Ali. Masing-masing dihimpit dengan kesempitan hidup tetapi tak pernah putus berdoa pada ALLAH setiap kali singgah di masjid.

Ahmad bertanya pada sahabatnya apa doa dia hari ini? Ali menjawab dia minta dimurahkan rezeki, Ali bertanya semula kepada Ahmad & Ahmad hanya mengukir senyuman. Esoknya, Ali menceritakan berita gembira bahawa doanya dimakbulkan dengan dia mendapat bonus dari majikannya. Ahmad bertanya kembali hari ini Ali doa apa pula, pantas Ali menjawab dia berdoa moga isterinya selamat bersalin. Seperti kebiasaan Ali kembali bertanya soalan yang sama tetapi Ahmad hanya tersenyum.

Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu bahawa isterinya selamat bersalin & doa keduanya juga dimakbulkan Tuhan. Ali berdoa untuk kali ke tiga agar disembuhkan penyakit anak bongsunya. Ahmad dengan tenang memberi nasihat supaya Ali berdoa dengan bersungguh-sungguh & istiqamah. Setelah beberapa hari keadaan anak bongsu Ali bertambah baik. Berkatalah Ali, “Aku tak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau...” Ali mengatakan doa Ahmad tak mustajab.

Ali bertanya, “Aku hairan doa kau tidak makbul tetapi kau masih boleh tersenyum?” Pantas Ahmad menjawab, “Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan ALLAH. Syukur al-Hamdulillah.” Ali masih belum berpuas hati apa doa Ahmad yang dimakbulkan ALLAH? Mari kita tengok apa jawapan Ahmad yang menyentap jiwa kecil penulis, “Doaku sejak dulu hanya untuk kau, sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar ALLAH makbulkan setiap apa yang kau doakan kepadaNya.”

Apa moral di sini? Doa kita untuk sahabat, saudara-mara & orang lain sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH. Apatah lagi jika kita berdoa tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Itulah keikhlasan. Sayangnya, hal ini jarang kita buat. Manusia selalu mementingkan diri, walaupun dalam doanya kepada ALLAH.

Sekali lagi izinkan penulis berkongsi sebuah puisi yang direkanya bertarikh, 12052014 bertajuk, ‘Ikhlas Sekeping Hati’. Moga memberi manfaat pada hati yang sentiasa merindui bertemu ALLAH & mengharapkan keredhaaNya dalam setiap helaan nafasnya.



Lubuk hati paling dalam
Menyimpan aneka perasaan
Mewarnai kehidupan
Seketul daging itu
Punya kuasa sama badan
Punya kuasa sama akal
Berjalan seiring apa ditelan

Lubuk hati paling dalam
Merungkai cetusan rasa
Mewarnai kehidupan mengelak kelam
Sekeping hati itu
Butuh keikhlasan menggunung
Butuh pengorbanan nan setia
Butuh sabar menggugah dunia
Biar bisa bertatih
Pantas berlari laju menuju ALLAH

Ikhlas sekeping hati
Dipersoal Ilahi
Bagaimana perimu melayan dunia
Suka duka kadang berganti
Ikhlas itu diperlukan
Mengoyak robek segala keresahan
Menghempas badai kemarahan

Hati itu
Tingkahnya tenang menongkah badai
Rianya meniti kesulitan
Bukan kerana hipokrit meronta
Kerana ikhlas berputik di jiwa
Bila ikhlas
Merajai hati memakna penuh sejati
Hati berentak senang
Pahit manisnya hanya ditelan
Dia tahu akhir kehidupan bila ikhlas & redha
Berpimpin tangan menuju syurga
Membawa si jasad menghadap Tuhan



Keikhlasan kunci utama sebuah kebahahagiaan. Bila miskin kita ikhlas itu tanda hati kita tenang. Bila kaya kita ikhlas itu tanda hati kita senang. Bila sakit kita ikhlas itu tanda Allah sayang. Semoga kehadiran ‘entri’ ini mmberi pengajaran berguna terutamanya kepada penulis, sahabat-sahabat juga generasi yang bakal dilahirkan penulis untuk Islam. Kehadiran ‘entri’ ini bukan untuk berbangga-bangga, bukan juga untuk membuka aib manusia, bukan sekadar memenuhi pengisian blog semata tetapi untuk diri ini yang lemah sentiasa mengharap ada kata nasihat & tazkirah sebagai penghadang dari terus terjerumus dalam kejahatan @ kemungkaran.

Dek kerana saya sayang sahabat-sahabat kerana ALLAHlah hati saya meronta-ronta untuk menyiapkan ‘entri’ ini. Al-hamdulillah akhirnya selesai berkat petunjuk dari ALLAH & doa sahabat-sahabat yang tak pernah putus untuk penulis. Ya, sayang kerana ALLAH itu memungkinkan segala kebaikan mewarnai kehidupan. Setakat ini dahulu coretan hati luahan rasa insan serba kekurangan dalam blog QalamWardahZinnirah ini. Moga memberi manfaat buat ummah. Moga menjentik hati kita untuk terus mencintai ALLAH.


Siiru ‘alaa barakatillah...salam 12 Syawal 1435H. 

*Selamat bergelar musafir di bumi ALLAH. Meneruskan penulisan blog di tempat baharu nanti.

Thursday, 7 August 2014

Doa Buat Gaza

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah nikmat kasih sayang ALLAH masih menghiasi kehidupan penulis & sahabat-sahabat. Bersyukurlah, kita dilahirkan dalam keadaan Islam sempat mendengar ayah mengalunkan azan & iqamah di telinga kita sebaik sahaja kita menjengah dunia. Bertambah syukur kerana kita dilahirkan di Malaysia yang aman. Mungkin kita tidak ingat momen itu, tapi bila menyambut kelahiran bayi dalam keluarga @ sanak saudara kita, hati mulai berbicara, “Agaknya beginilah suasana waktu ibu melahirkanku dulu.” Apa pun dahulukan kehidupan kita dengan ucapan al-Hamdulillah.

Salam Jumaat kareem buat semua pembaca blog ini. Al-hamdulillah sampai juga kita di penghulu hari, hari mulia dalam banyak-banyak hari yang ada. Perbanyakkan doa, selawat kepada baginda rasulullah s.a.w, zikrullah & sediakan sedikit masa untuk membaca surah al-Kahfi di pagi Jumaat. Semalam penulis ada membaca sebuah buku bertajuk, ‘Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah Satira’ karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan. Tertarik dengan kata aluan Ustaz Pahrol yg berbunyi, “Kita melakukan kebaikan bukan kerana kita sudah baik, tetapi inilah jalan atau usaha untuk kita terus menjadi orang baik.” Jadi semua orang fitrahnya memang baik & mahukan kebaikan cuma terkadang suasana & orang sekelilingnya atau diri sendiri yang mencemarkan fitrah tersebut.

Baiklah, hari ini penulis nak kongsi cerita apa yer? Isu semasa yang hangat diperkatakan sekarang. & kita tak tahu bila peperangan ini akan berakhir. Isu keganasan tentera Zionis terhadap rakyat Gaza Palestin sehingga mengakibatkan lebih 1 800 orang rakyatnya terkorban. Tak termasuk lagi kerugian & kemusnahan yang dihadapi oleh Gaza. Sifat kemanusiaan dalam diri tentera Zionis agaknya telah lama hilang hingga mereka suka hati membunuh insan-insan yang bernyawa.

Baguslah, ramai masyarakat dunia yang mulai sedar akan keganasan tentera Zionis dengan memboikot produk-produk Israel yang menjadi penyumbang utama kemusnahan Gaza, Palestin. Teruskan memboikot Israel agar mereka terdiam tanpa kata, agar terhenti segala derita Gaza. Sejak 2009 lagi penghuni Gaza dihantui bom-bom & bedilan-bedilan yang meragut keamanan mereka. Kanak-kanak menjadi mangsa utama sedangkan mereka tidak mengenal dunia, kanak-kanak tidak berdosa. Bagaimana penghuni Gaza menghadapi ujian ini? Bagaimana dengan kanak-kanak yang kehilangan keluarganya? Bagaimana dengan ibu bapa yang kehilangan permata hatinya?

Moga rakyat Gaza terus tabah & kuat untuk menghadapi Israel laknatullah. Sedih terakam setiap kali membaca surat khabar tentang Gaza, sayu hati saat menatap gambar-gambar yang menayangkan para mujahid & mujahidah syahid di tanah air sendiri kerana kekejaman Israel tentera Zionis. Moga ALLAH membantu rakyat Gaza untuk terus menentang kejahatan Israel.
Setiap kali membaca cerita tentang Gaza, penulis dihinggap rasa bersalah yang amat dalam, sebak tak terhingga kerana dia tak mampu untuk membantu dari sudut kuasa @ berjuang di sana. Hanya doa yang sentiasa basah di bibirnya buat saudara-saudara seIslamnya di Gaza khususnya & negara-negara lain yang bergolak. Penulis yakin ALLAH sentiasa membantu hamba-hambaNya kerana kuasa ALLAH mengatasi segalanya. Bahkan Israel laknatullah pun pasti kalah dengan kuasa Maha Besar ALLAH.

Pada rakyat Gaza, ada bahagian kita sebagai umat Islam kerana kita bersaudara. Cubit paha kiri paha kanan terasa tau. Berdoa & teruskan berdoa wahai sahabat semua. Andai kita tak mampu menyumbang tenaga, andai kita tak mampu memberi harta, cukup kita ambil peduli tentang saudara-saudara seIslam kita dengan sentiasa mengirim doa & al-Fatihah buat mereka. Bukankah doa itu senjata bagi mukmin?

Andai penulis diberi peluang olehNya, penulis punya impian untuk syahid di Gaza, Palestin. Mahu merasai nikmat keimanan sebenar bila berdepan dengan musuh-musuh Islam seperti tentera Zionis ini. Mahu memberi segala-gala yang ada padanya. Ingin sekali penulis membalut luka-luka anak-anak Gaza, menenang hati kanak-kanak Gaza, mencurah kasih sayang tidak terhingga buat anak-anak Gaza. Biar mereka turut merasai walau sedetik cuma rasa aman & sejahtera. Usahlah risau, amanlah kalian di alam sana bersama ALLAH Yang Maha Esa. Biar kematian dunia mengejar kalian, kalian tak risau kerana mendamba pertemuan abadi dengan Tuhan.

Izinkan penulis merekayasa sebuah puisi bertajuk, ‘Doa Buat Gaza’ untuk tatapan pembaca blog ini. Moga menjentik hati-hati untuk terus memikirkan tentang saudara-saudara kita di Gaza. Biar penulisan ini menjadi saksi kepedulian penulis pada saudara-saudara seIslamnya yang disayangi kerana ALLAH. Ini luahan rasa kegelisahan jiwa tentang Gaza tersayang. Sungguh penulis tidak tegar hanya memerhati setiap tubuh rakyat Gaza dimamah senjata...tumbang satu persatu dek kekejaman Israel nan binasa.



Gaza
Perit penghunimu
Menelan keganasan tiada belasan
Merobek kasar segala keamanan
Membunuh ummah pembela agama

Gaza
Dirimu bermandi darah sejuta kali
Kerana usahamu melepas diri
Belenggu kejahatan meratah hati
Yang tidak berdosa mati dalam sepi
Kesedihan bumi turut meratapi
Setiap jasad mengharap penuh abdi
Kuasa ALLAH mengatasi nanti
Segala kebatilan musnah ditelan bumi

Gaza
Kami bersamamu
Mengirim doa penguat Mukmin
Tak pernah lelah qunut nazilah
Kalian saudara kami
Pantas dibantu walau sukar ditempuh

Doa buat Gaza

Ya ALLAH...Ya Rahim
Sesungguhnya kami meletakkanMu
Di batang-batang leher musuh-musuh kami
& kami berlindung denganMu
Dari segala kejahatan mereka

Ya ALLAH...Ya Kareem
Hancurkan kumpulan mereka
Ya ALLAH...pecahkan pakatan mereka
Ya ALLAH...leburkan pendirian mereka
Ya ALLAH...musnahkan langkah mereka
Cengkamkan anjing-anjingMu kepada mereka

Ya ALLAH Yang Maha Pemaksa
Ya ALLAH Yang Maha Perkasa
Ya ALLAH Yang Bersifat Murka
Ya ALLAH...Ya ALLAH...Ya ALLAH

Wahai Tuhan
Yang menurunkan al-Quran
Yang menggerakkan awan
Yang menewaskan tentera Ahzab
Kalahkan mereka...kalahkan mereka...kalahkan mereka
& menangkan ke atas kami.

Setakat ini dahulu coretan panjang penulis khusus buat Gaza. Gaza yang menjentik hatinya untuk menterjemah sifat kemanusiaan. Gaza yang memberinya peluang untuk menyusun idea yang bergelumang di dada buat tatapan semua. Gaza yang membuat penulis menghargai insan-insan di sampingnya. Gaza yang menyedarkan penulis betapa kasih sayang ALLAH & kebergantungan padaNya adalah yang utama. Moga membuka mata kita untuk sedar betapa keamanan yang kita dapat selama ini perlu dihargai. Moga memberi manfaat pada ummah walau hanya penulisan biasa.

Moga kita diberi kesempatan untuk berjumpa lagi dalam ‘post’ akan datang kerana ajal maut itu suratan & takdirNya. Andai tulisan blog ini terhenti di sini, ketahuilah duhai sahabat-sahabatku hadiah al-Fatihah dari kalian bakal menambah ketenangan penulis.


Siiru ‘alaa barakatillah...


Wednesday, 6 August 2014

Warkah Buat Dia

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...Ya ALLAH kasih sayangMu sekali lagi membangunkan penulis dari tidur yang lena. Bangun & sedar dengan menyebut namaMu Ya ALLAH. Ucapan syukur tak pernah lekang di bibir ya kerana dua nikmat terbesar ini iaitu nikmat Islam & iman yang sentiasa memberi cahaya & jalan kepada penulis untuk terus melangkah dalam setiap keputusan yang dilakukannya. Harapannya sahabat-sahabat juga seperti itu.

Limpahan kasih sayangNya mengajar penulis untuk terus menghargai setiap detik kehidupannya walau terkadang pahit untuk ditelan. Bukan hanya pahit tetapi berat untuk dilaluinya, hanya kebergantungan kepada ALLAH bisa membuat langkah penulis tak pernah berhenti dalam menghadapi ujian dariNya. Hubungan dengan ALLAH yang erat memaniskan perjalanan hidupnya sebagai muslimah. Bukan nak kata penulis blog ini sempurna, tidak sesekali. Penulis blog ini juga manusia biasa.

Cuma hubungan dengan ALLAH menjadikannya lebih kuat dalam hidup ini. Masih basah di ingatan penulis bagaimana pesan ayahnya, “Hidup di dunia ini kita kena kuat & sabar. Bila ada sahaja ujian datang bertimpa-timpa ingat, ALLAH menguji hambaNya kerana ALLAH nak kita dekat denganNya bukan ALLAH nak bagi bebanan kat kita.” Dek kerana itu penulis sentiasa perhatikan watak ayahnya yang apa pun yang ayah buat mesti ada ALLAH, ayah kuat setiap kali ujian datang padanya. Hidup ayah tak pernah sunyi dari musibah, daripada kecil hilang kasih sayang ibu ayah hinggalah tua sering sakit, namun apa ayah buat? Dia sabar & redha, semangatnya tinggi.

Baik, hari ini nak bercerita tentang ‘Warkah Buat Dia’. Warkah dengan kata lain surat. Buat dia untuk siapa? Ya untuk bakal pendamping penulis yang bergelar suami. Suami yang punya matlamat membawa keluarga hingga ke syurga. Moga memberi inspirasi kepada muslimah-muslimah di luar sana yang mendambakan seorang suami yang bertanggungjawab & beragama. Moga memberi jentikan hati pada muslimin-muslimin di luar sana yang mendambakan seorang isteri yang penyayang & memahami tingkah si pejuang agama. Mari baca warkah di bawah!

♡ Aku hanya perempuan yang lemah. Fitrahnya mahu mencintai & dicintai. Namun aku tidak mahu ambil jalan mudah terjebak dengan cinta monyet & ‘couple’ semata kerana aku tahu ALLAH melarang aku menghampiri zina...bukan jalan ini yang aku ambil untuk berada dalam keredhaan ALLAH... aku menjaga diriku untuk seorang lelaki yang aku panggil suami & amaran ALLAH ‘jangan hampiri zina’ sentiasa menghantui aku...

♡ Ya ALLAH andai aku diberi pilihan memilih Islam atau suami sudah tentu aku memilih Islam. Jika kehadiran suami akan menambahbaik laluanku dalam perjuangan Islam ini, aku terima kehadirannya Ya ALLAH. Ini kerana aku berkahwin bukan pada rupa @ hartanya tetapi pada KEINDAHAN & PERJUANGAN ISLAM yang terpamer pada dirinya...

♡ Andai ditakdirkan aku tidak punya jodoh di dunia ini, aku redha Ya ALLAH, kerana aku lebih mengharap pertemuan di syurgaMu yang lebih indah...

♡ Bila kehadirannya hanya mendatangkan keburukan pada aku & dirinya, jauhkan kami Ya ALLAH agar kami bisa menjaga maruah & agama kami terpelihara. Aku tidak mahu menjadi fitnah pada Islam...agama yang aku cinta...

♡ Antara dua hati, hati mana yang harus aku jaga Ya ALLAH? Aku tidak mahu melukai mana-mana hati kerana aku tidak mahu dibenci olehMu Ya ALLAH. Takdirkanlah yang terbaik untukku & dia Ya ALLAH...

♡ Andai istikharah itu melahirkan ketenangan dalam kehidupanku biarkan sahaja aku leka dengan cintaMu Ya ALLAH. Cinta yang abadi kekal hingga ke syurga firdausi...

♡ Membina rumah tangga & perkahwinan itu bukan perkara yang mudah, bukan semudah kalian mengucap kata cinta...ia butuh kekuatan hati, kekuatan cinta pada Rabb, persiapan mental, fizikal & rohani. Membina keluarga yang mendapat keredhaan ALLAH bukan semudah aku membina mahligai di dunia...

♡ Bila kehadiranku MENGANGGU hatinya, tidak membawa KEBAIKAN padanya,maka Kau pisahkanlah kami biarpun kami terluka...

♡ Aku punya matlamat & impian ke bintang mahu melahirkan generasi-generasi yang menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w, yang kuat bisa meneruskan perjuangan Rasulullah UNTUK MENYEBARKAN ISLAM KEPADA SEMUA MANUSIA...jadi bila impian setinggi bintang, kena laksana sampai cemerlang. Bukan sekadar ibarat melepas batuk di tangga terus jatuh kecundang...

♡ Bila aku TIDAK LAYAK dan bukan yang terbaik untuknya..maka Kau jauhkanlah aku darinya..

♡ Bila bukan aku yang TERTULIS untuk melengkapkan separuh dari agamanya, maka JARAKKAN kami agar tidak timbul rasa yang mengundang KECEWA…

♡ Pesanan terakhirku dalam ‘Warkah Buat Dia’ usah sibuk MENCARI siapa yang terbaik untuk menghiasi bahtera perkahwinan aku, tetapi cubalah MENJADI yang terbaik dalam kalangan muslimin @ muslimat yang ada...

♡...kerana ketahuilah, ajal maut, rezeki & JODOH pertemuan itu adalah rahsia ALLAH. Jodoh memang kita boleh usaha cari tapi ALLAH sebaik-baik perancang. Allah dah tentukan yang terbaik untuk setiap hambaNya, usah risau...

♡ Aku bukanlah manusia yang sempurna cuma mengharap perkahwinan yang bakal terbina menyempurnakan keimanan & menambah cintaku pada ALLAH yang menciptakan CINTA.

Setakat ini sahaja coretan hati luahan rasa penulis untuk 11 Syawal 1435H. Mohon maaf atas segala kekhilafan dalam ‘post’ kali ini yang mungkin merobek rasa pembaca sekalian kerana ia hanya luahan rasa yang mahu dikongsi penulis dalam blog kesayangannya. Moga hati kita terus terisi dengan cinta ALLAH. Usah leka benar kita dengan cinta manusia kerana cinta manusia tak kekal lama yang kekal adalah cinta ALLAH Yang Esa. ♡


Siiru ‘alaa barakatillah. Biitaufiq wannajah ♡♡♡


Tuesday, 5 August 2014

Dendang Lebaran

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...dengan izinNya penulis masih meneruskan penulisannya di blog ini. Ucapan syukur tidak terhingga kepada ALLAH kerana telah mengurniakan iman & Islam yang sentiasa menghiasi kehidupan penulis dan sahabat-sahabat. Anugerah terindah bergelar seorang muslim, jadi tidak salah untuk kita sentiasa mengucapkan syukur kepada ALLAH. Tidak dilupa selawat & salam kepada baginda s.a.w yang telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Namun usah sedih, kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap umatnya tak pernah putus.

Salam 10 Syawal 1435H bersamaan 6 Ogos 2014M. Sedar atau tidak kita telah melewati bulan Ogos, penggal akhir tahun untuk tahun 2014. Bulan Ogos terkenal dengan bulan kemerdekaan Malaysia 31 0gos 1957. Bukan bulan kemerdekaan yang ingin penulis ceritakan hari ini, penulis sebenarnya nak bercerita tentang bulan Syawal, bulan di mana kita menyambut hari raya Aidilfitri.

Tak banyak yang penulis kongsikan tentang suasana lebaran di kampung, cukup untuk penulis nyatakan di sini, lebaran di kampungnya tahun ini serba sederhana. Makanan utama hari raya kami di Kelantan jika mengikut adat keluarga kami adalah nasi dagang. Nasi yang berlauk ikan gulai kuning ataupun udang masak gulai bersamanya ada telur, & sambal. Tentunya sedap kerna ia masakan utama mama ketika hari raya pertama. Tak ketinggalan ketupat, tapai, & beberapa jenis biskut serta kuih muih yang lain. Paling penulis suka adalah kek. Kek adalah kuih yang sangat sedap aneka kek dibuat oleh mama kerana dia tahu anak-anaknya sangat suka makan kek.

Al-Hamdulillah hari raya tahun ini penulis masih diberi kesempatan menziarahi rumah saudara maranya di samping memenuhi undangan majlis perkahwinan sahabat. Ramai saudara penulis tidak menyangka dia telah tamat pengajian & hanya menunggu tarikh konvokesyennya. Maklum sahaja anak perempuan ini jarang menjengah ke rumah saudara maranya kecuali di bawa oleh mama ketika berhari raya. Dek kerana itu, hari raya pertama kami sekeluarga tidak lekat di rumah. Kerjanya singgah rumah saudara mara yang masih hidup. Saling kenal-mengenali bertegur-sapa, berbual-bual mesra berkongsi cerita. Penulis suka suasana tersebut terutamanya bila ada kanak-kanak yang menghiasi kemeriahan hari rayanya. Tak puas dia menyakat kanak-kanak tersebut.

Tahun ini kami sekeluarga tak berkesempatan bergambar hari raya memandangkan penulis terlupa membawa kameranya. Kamera tinggal kat rumah, jadi memang tak ambil gambarlah. Simpan sahaja kenangan tersebut di lubuk hati paling dalam kerana kenangan berhari raya bersama-sama keluarga adalah kenangan paling indah sepanjang hayatnya.

Di kesempatan ini penulis nak cerita sikit, alhamdulillah ‘English Test’ yang terpaksa di ambilnya telah melayakkan dia menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana muda dalam Fakulti Pengajian Bahasa Utama bidang Bahasa Arab & Komunikasi dengan kepujian. Keputusan peperiksaan tersebut dah keluar. Sekarang tunggu detik 15 &16 November 2014 untuk dia bergelar graduasi universiti. Berkat doa semua terutamanya ibu ayah & sahabat-sahabat serta mungkin insan yang dalam diam mendoakannya, dia memperoleh kejayaan ini. Terus mendoakan kejayaan penulis & sahabat-sahabat satu ‘batch’ dengannya berjaya menerima segulung ijazah di Hari Konvokesyen nanti. Ameen, InsyaALLAH. Berkeinginan membawa mama & ayah merasai bagaimana perasaan bila puteri sulungnya menggengam segulung ijazah.

Kalam hari ini tidak terhenti di sini sahaja, sebenarnya penulis sempat merekayasa sebuah puisi bertajuk, ‘Dendang Lebaran’. Jadi apa kata kita baca dulu bait kata indah ini! Puisi sebagai pengganti karangan yang panjang-panjang. Tentu kalian bosankan asyik menghadap blog QalamWardahZinnirah yang berjela dalam bentuk karangan. Jadi kita tukar selera sekali-sekala memandangkan tulis puisi ini antara hobi & minat penulis. Tak susah pun nak tulis puisi ini hanya butuh ilham & kekuatan serta kesungguhan, dah siap satu puisi seperti di bawah:

Datang duhai Syawal
Meninggal kenangan Ramadhan
Menangisi kepergian berpuasa
Meratapi keindahan beribadah

Hadir Syawal padanya
Pelengkap utama Ramadhan
Padanya ada bahagia
Padanya ada kemaafan
Padanya ada kasih sayang
Padanya ada kemenangan

Dendang lebaran
Menunjuk si menang
Bertambah ketaqwaannya
Menyerlah si kalah
Tenggelam bersama nafsunya
Kalah menang
Terzahir di akhir perjuangannya

Syawal
Hadirmu memberi seribu makna
Pengikat kasih sayang keluarga
Kenangan manis tercipta bersama
Menambah ukhuwwah sesama saudara

Usah terlupa
Dalam leka meraikan Syawal
Dalam senang menyambut lebaran
Ibadahmu usah ditinggalkan
Insan istimewa turut diraikan
Sebarkan kebahagiaan
Sebarkan kebaikan
Kepada semua insan
Kerna di hari lebaran
Semua berhak menikmati
Kemenangan bersama Tuhan

Dendang lebaran
Di pagi Syawal
Indah bersalut keredhaan Tuhan
Manis berbekal keimanan
Ceria bersama hubungan insan


Baiklah, setakat ini dahulu perkongsian penulis untuk hari ini. Moga ALLAH sentiasa berada di ingatan kita walau apa pun yang terjadi & bakal berlaku nanti. Moga ‘post’ ini memberi manfaat & kebaikan pada ummah. Siiru ‘alaa barakatillah...

*Mohon maaf buat masa ini 'post' penulis tidak mempunyai sebarang gambar kerana masalah teknikal rangkaian internet. Mungkin pada masa akan datang ada di hias bersama-sama gambar supaya pembaca tak hanya meneliti perkataan semata. Terima kasih atas sokongan semua.