Tuesday 22 March 2016

Mata Rindu

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah Ya ALLAH kerana memberi peluang dan masa kepada penulis blog ini untuk sekali lagi singgah dan menziarahi blog kesayangannya. Apa khabar kalian, sahabat-sahabat? Apa khabar iman kita semua? Menaik atau menurun? Tepuk dada tanya iman ya. Syukur padaNya penulis punya ruang lagi untuk berkongsi cerita, berkongsi pengalaman, berkongsi bahagia punya ALLAH di hati, berkongsi rasa yang ada. Bersyukurlah kita kerana dilahirkan dalam Islam, semuanya indah & mudah bila kita kembalikan diri kita kepada ALLAH. 

Bukan ke ALLAH yang menciptakan kita? Bukan ke ALLAH yang mengurniakan nikmat yang pasti tidak terhitung dek manusia? Bukan ke ALLAH yang memberikan kebahagiaan dan kesedihan kepada kita? Jadi ayuh kita semua mendekatkan diri kepada ALLAH. Bila merasa diri jauh dengan Tuhan, cari semula jalan untuk terus bersamaNya. Usah biarkan diri kita jauh darinya, kelak kita ditimpa kemurkaan & bahaya. Ingat ALLAH Maha Penyayang.

Al-Hamdulillah peluang keemasan ini sudah pasti sangat bermakna buat penulis, kerana dia kini jarang punya masa untuk menziarahi blognya. Penulis tidak mahu mencipta alasan, cuma kehadirannya mahu memeriahkan blognya & berkongsi bahagianya bila kita bersama ALLAH dalam setiap masa dan ketika. Jadi, apa yang mahu penulis kongsikan untuk entri kali ni?

Bila dekat kita sering mewujudkan pergaduhan, bila bersama ada sahaja yang tidak kena perang sini sana, bila duduk hanya sebelah menyebelah rasa rindu itu biasa terkadang hilang sebab dah ada depan mata. Itulah fitrah manusia. Bila dah tinggal berjauhan, tidak bersama macam dulu lagi, barulah hati itu mulai terdetik rasa rindu. Bermula sebuah cerita kisah rindu...

Sedang asyik dia membantu ibu mertuanya menyiapkan kuih baulu tempahan jiran, dia mengelamun panjang, seraya ibu mertuanya bersuara menyusun kata, "Mak nampak mata kamu itu macam mata rindu. Nampak sayu kerinduan mendalam dalam hati kamu." Dia mulai menyanggah tidak mahu ibu mertuanya perasan, "Tak adalah mak. Mata saya biasa aje. Pandai je mak ni." sambil mengukir senyum.

Ya benar dia sedang merindu. Merindu pada keluarga tersayang yang jauh di kampung bumi serambi Makkah. Rasa rindu pada ma, ayah dan adik-adik tak terucap dek kata-kata hanya terkadang berteman air mata kerinduan dan hadiah al-Fatihah meredakan kerinduan. Rindu juga pada panggilan muaddibah sepanjang setahun lebih dia mengajar anak-anak 4,5, & 6 tahun. Rindu pada rakan-rakan sekerja muaddibah ohsem yang hebat dalam berukhuwwah. Kalian sentiasa bermain di ingatan. Bermacam-macam ragam dan hati yang mewarnai kehidupan muaddibah kami.

Ya, dia juga merindu yang amat dalam pada kenangan selama empat tahun dalam pengajian di universiti. sibuk mengejar pelajaran, sibuk mempersiapkan diri sebagai muslimah, sibuk dengan aktiviti-aktiviti universiti, sibuk berprogram, sibuk berpersatuan dan sibuk menghubung ukhuwwah dalam redha ALLAH. Bila diingat kembali seronoknya zaman itu. Ingat rasanya diputar kembali kenangan, malangnya kenangan hanya tinggal kenangan.

Salahkah merindu? Tengok dulu pada siapa yang kita rindu. Mata ini menyimpan sejuta kerinduan sehingga akhirnya mampu dibaca oleh ibu mertuanya. Dia simpan penuh rahsia tidak mahu kerinduan itu memaksa dirinya tenggelam dalam kesedihan. Biarlah mata ini mata rindu yang mencengkam tersimpan sendiri tidak bisa ditafsir oleh manusia cuma mampu diketahui oleh ALLAH Yang Maha Esa. 

Ya, rindu sangat pada Rasulullah s.a.w kekasih ALLAH yang terus membawa Islam menyinar di serata dunia. Rindu untuk berjumpa dengan baginda s.a.w. Rindu mahu berbicara mengatakan betapa hamba ALLAH ini merindui detik berjumpa dengan baginda s.a.w. Hanya selawat dan membaca sirah Rasulullah s.a.w mampu diri ini buat untuk mengubat rasa rindu ini padamu Ya Rasulullah s.a.w.

Cerita tentang rindu takkan pernah padam selagi kita tidak punya kesempatan untuk bertemu kembali. Bagaimana nak ubat rindu yang terbuku di jiwa ni? Tak rasa sedih ke? Sedih itu fitrah manusia, menangis juga fitrah manusia namun semua yang berlaku pasti ada asbab dan hikmahnya. Ya mungkin dengan rindu itu membuatkan kita sentiasa berdoa dan menghadiahkan al-Fatihah pada insan-insan yang kita rindu dan sayang. Benar juga dengan rasa rindu itu membuatkan kita lebih menghargai kehadiran insan-insan di sisi kita. Rindu tetap rindu, namun jika rindu itu adalah kerana ALLAH pasti lebih indah.

Rindu kerana ALLAH lah bisa menyatukan kasih sayang anak dan ibu ayahnya. Rindu kerana ALLAH lah dapat menyatukan kasih suami isteri. Rindu kerana ALLAH lah dapat menjalin ukhuwwah erat antara sahabat-sahabat. Tidak kiralah kita perempuan atau lelaki. Semuanya ALLAH kurniakan setiap seorang rasa rindu bukan untuk disalah gunakan dan diselewengkan tetapi untuk kita menghargai cinta ALLAH yang bersama-sama kita. 

Baiklah setakat ini dahulu coretan rindu dari penulis untuk hari ini. Moga kehadiran entri ini akan memberi kita suntikan kesedaran betapa pentingnya kita merindu kerana ALLAH. Sebab semua manusia yang kita cintai dan kasihi ini wujud di sisi kita adalah kerana rasa cinta & rahmat ALLAH pada kita sebagai hambaNya. Bersyukurlah menjadi hambaNya.
Salam rindu kerana ALLAH buat sahabat-sahabat yang setia menziarahi blog ini. 
Jazakumullah khairan kathira...


Rindu ma & ayah kerana ALLAH. Honestly, i am really miss my mum & my dad.

Rindu pada wajah hero-heronya.

Rindu kat anak murid...the handsome boy.



Rindu rakan sekuliah.


Bersama sebahagian rakan muaddibah.

Dating terakhir sebelum kami membawa haluan tersendiri.


No comments:

Post a Comment