Thursday 5 February 2015

"Usop, nak tolong Muaddibah!"

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH penulis memulakan langkah sebagai manusia. Dengan nama ALLAH dia memulakan bicara bait kata melalui penulisan. Dengan nama ALLAH dia membutuh kekuatan untuk meneruskan penulisan di blog yang serba kekurangan ini. Al-Hamdulillah berkat kasih sayangNya penulis masih bisa menjengah di samping mengisi sesuatu dalam blognya. Agar nanti dia tidak ketandusan kata, agar nanti dakwahnya tidak tergendala, agar nanti dia tidak dibiar tersisa tanpa kenangan dalam pengalaman.

Sudah sebulan kembali memegang amanah sebagai muaddibah. Al-Hamdulillah banyak sekali pengalaman yang melekat di hatinya bukan semata hanya untuk diingati tetapi menjadi pengajaran berguna buat diri. Pengalaman paling manis sepanjang bergelar muaddibah untuk tahun 2015 ini antaranya ialah, mendekati & memahami jiwa anak-anak. Ya daripada awal pagi ibu bapa menghantar anak-anaknya kepada kami hinggalah pulang pada waktu petangnya banyak yang penulis belajar, belajar cara menyayangi anak-anak. Mandikan mereka, didik anak-anak solat, tegur bila salah, sediakan makan minum anak-anak, tidurkan anak-anak. Paling seronok bila dapat melihat gelagat anak-anak ini makan & tidur. 


Kisah ceritera seorang muaddibah takkan pernah berakhir dalam babak kehidupan penulis. Bahagia bercampur segala macam perasaan saat bersama-sama dengan anak-anak. Mereka banyak mengajar sesuatu yang berharga paa penulis. Patutlah Rasulullah s.a.w sangat menggalakkan umatnya mendekati anak-anak kecil. Bila geram & marah menjengah tengok sahaja wajah suci mereka, marah terus hilang di bawa angin. Kisah benar berdasarkan dialog di atas sangat menyentuh hati penulis dan penulis akan mengingati kisah ini sampai akhir kehidupannya.

Kisahnya bermula ketika mana selesai anak-anak solat asar berjemaah. Usai Berzikir serta berdoa seperti rutin harian kami, anak-anak diberikan makan petang. Kebetulan hari itu penulis ditugaskan menghidangkan makanan anak-anak, dia lantas melaksanakan tugas takut terlewat nanti. Usai doa makan, anak-anak makan dengan bahagianya biasalah nak dekat balik ibu ayah nak datang ambik. Bila tiba masa nak mengemas, penulis bersuara..."Kesiannya kat muaddibah takde anak-anak yang nak tolong muaddibah kemas anak-anak makan" ayat sedih bagi memikat mereka untuk turut sama membantunya membasuh pinggan & cawan yang digunakan anak-anak. 

Semua saling memandang, terus pergi berkejaran turun ke aras bawah semata-mata tak sabar menanti kehadiran ibu & ayah yang datang mengambil mereka. Penulis memandang sepi hinggalah hatinya berbunga saat mendengar satu suara anak yang sangat dikenalinya. "Usop, nak tolong muaddibah." bicaranya menyentuh qalbu penulis sebagai muaddibah. Naluri keibuannya tersentap penuh syukur. Anak itu yang bernama Umar Yusuf pantas membantu penulis dengan membersihkan sisa-sisa makanan kawan-kawannya. Walau cuma tak sampai 5 minit bantuannya sangat berharga. Bicaranya ikhlas walau dipertengahan bicara anak petah ini mengundang gelak penulis, "Kasihan kat muaddibah. Kenapalah kawan-kawan tak nak tolong muaddibah? Bukan susah pun." dia mengomel.

Umar Yusuf memang terkenal dengan kebaikan & kesolehannya. Kecil-kecil lagi dah jadi baik. Kecil-kecil lagi dah pandai membantu orang lain. Kecil-kecil lagi dah ada naluri kemanusiaan rasa kebertanggungjawaban. Itulah kuasa mendidik kerana agama. Dia membesar dalam didikan agama, apa yang dibuatnya sentiasa dikaitkan dengan agama. Alangkah bahagianya penulis andai dia dikurniakan anak sesoleh Umar Yusuf bin Zalisham ini. Bukan hanya punya hati yang baik, malah wajahnya sungguh menawan sesiapa yang memandangnya. Bila tiba masa solat, dia sering ke hadapan menunjukkan bakat sebagai imam. Bila tiba masa main, dia main sungguh-sungguh.

Jom kita tengok gambar Usop yang benar telah menyentuh hati penulis tentang sifat kemanusiaanya berkat didikan agama yang berterusan! Anak ini suatu saat bakal menjadi pemimpin dunia yang tinggi akhlaknya hubungan dengan ALLAH terjaga, hubungan dengan manusia terpelihara.

Umar Yusuf bin Zalisham...comel!



Bicaranya benar tanpa dusta...senyumannya ikhlas tanpa cerita duka...gelagatnya benar menyentuh jiwa...penuh adab & akhlak sebagai anak kelahiran Islam. Membawa amanah sebagai kanak-kanak beragama Islam sungguh penulis berdoa agar anak ini bila besar nanti akan mentadbir dunia dengan kepetahan & keistimewaannya. Bertuah benar si ibu & ayahnya yang dapat mendidik anak sebaik dia. Moga kita semua dapat mengambil ibrah & pengajaran dari dialog ringkas, "Usop nak tolong muaddibah." Bayangkan jika semua manusia seperti Usp dah tentu dunia ini aman tanpa peperangan bahkan tersebar kebahagiaan & ketenangan.

Doa juga dipanjatkan moga penulis bakal dikurnia & dianugerahkan generasi-genarasi seperti anak kecil ini yang bakal menyambung mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Ameen. Belajar dari pengalaman...ambil iktibar dari kisah orang tersayang disekeliling kita. Salam ukhuwwah kerana ALLAH. :) :) :)

No comments:

Post a Comment