Thursday, 27 March 2014

Salahkah Menutup Aurat?

Bismillahirrahmanirrahim…

Salam Jumaat Kareem

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Al-Hamdulillah permulaan yang baik bagi seorang muslim untuk memulakan sesuatu dengan nama ALLAH. Al-Hamdulillah, berkat kesabaran yang ALLAH anugerahkan kepada penulis & sahabatnya, Nurul Mardiah bt Fadzil kami masih bisa meneruskan kehidupan di sini. Biar serba kekurangan & serba sederhana.

Pagi ini penulis mahu bercerita tentang aurat. Ya, salahkah menutup aurat? Jika tak salah kenapa pandang kami dengan pandangan yang pelik? Jika tak salah kenapa kacau kami? Jika tak salah kenapa masih memerli kami? Ya, penulis tahu jawapannya setiap yang baik ALLAH hadiahkan ujian & mehnah untuk mengetahui bagaimana hamba-hambaNya menghadapi setiap kebaikan adakah patah semangat atau terus istiqamah?

Manusia fitrahnya sukakan kebaikan walaupun seringkali tenggelam dalam ajakan kejahatan oleh syaitan. Salahkah muslimah menutup aurat? Jawapan mengikut pandangan penulis tidak salah. Apatah lagi disokong oleh kalam suci Ilahi firman ALLAH S.W.T dalam surah an-Nuur ayat 31 yang bermaksud:

31. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.

Terang lagi bersuluh tentang penutupan aurat yang disuruh ALLAH dalam al-Quran. Bukan ALLAH nak memaksa hamba-hambaNya tetapi ALLAH nak menjaga & memelihara maruah & tubuh wanita muslimah dari dilihat oleh manusia-manusia yang ada. Jadi, prinsip ini yang dipegang oleh penulis & sahabatnya. Sejak dari sekolah menengah kami diajar untuk memenuhi tuntutan agama ini. Bukan sebab memaksa kami, tetapi mahu menjaga maruah kami. Antara barang kemas yang tertutup rapi dengan yang terhias indah di luar kaca mana yang lebih berharga & terpelihara? Tentunya yang tertutup rapat itu harganya lebih tinggi dari yang biasa. Begitu juga dengan muslimah, perempuan yang tertutup auratnya lebih berharga dari yang biasa. Bukan nak bandingkan untuk mendatangkan marah sesiapa tetapi penulis mahu mengajak semua umat Islam khususnya yang bernama muslimah untuk terus menutup aurat walau di pandang pelik oleh manusia, walau terpaksa menelan pahitnya, kerna menutup aurat itu perintah ALLAH yang mesti dipatuhi.




Apa istimewanya bila muslimah menutup aurat? Mari penulis senaraikan beberapa kelebihan bila muslimah menutup aurat: 1)Sudah tentu mudah bagi muslimah yang menutup aurat untuk menunaikan solat di mana sahaja terutamanya ketika dia dalam tempoh musafir. Tidak perlu membawa telekung solat hanya memakai pakaiannya. 2)Manusia akan cuba menghormatinya & sudah tentu ALLAH juga menghormati & menyayanginya kerana mengikut suruhan ALLAH menutup aurat. 3)Auratnya terjaga & terpelihara. 4)Dirinya juga terhindar dari mahu melakukan maksiat. Tak percaya? Bila dah pakai tutup aurat diri mesti nak buat baik je, tapi kalau nak buat jahat jugak itu hasutan syaitan & bergantung pada iman kita yang terkadang menurun.

Tak kiralah kita perempauan atau lelaki yang memegang amanah sebagai hamba & khalifahNya seharusnya kita menutup aurat. Suruhan menutup aurat bukan paksaan untuk umat Islam tetapi satu kelebihan yang membezakan umat Islam dengan bukan Islam. Jangan ingat perempuan sahaja yang perlu tutup aurat, lelaki pun sama tau.

Adalah hikmah di sebalik perintah ALLAH ini. ALLAH bukan nak memaksa perempuan muslimah, tetapi ALLAH nak menjaga kita, ALLAH sayang kita sebenarnya cuma kita yang tidak menyedari kasih ALLAH dalam setiap suruhanNya. Jadi, marilah duhai muslimah kita sama-sama menutup aurat. Tutuplah aurat kalian sebelum kita tidak punya lagi peluang untuk menutup aurat kerana ketika itu orang lain yang akan menutup aurat kita dengan kain kafan.
Walau apa pun cemuhan & pandangan pelik manusia pada muslimah, teruslah berpegang pada prinsip untuk menutup auratmu kerana ALLAH menganugerahkan aurat untuk kita pelihara sebaiknya bukan untuk didedahkan kecantikan kita pada semua mata manusia.


Baiklah, setakat ini dahulu coretan hati muslimah istimewa buat semua muslimah yang mendamba kasih ALLAH dalam setiap kehidupannya. Moga entri ini bisa memberi manfaat kepada ummah sejagat walau cuma sekelumit kerana penulis teringat pada hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Sampaikan padaku walau satu perkataan.”


La haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azhim...

No comments:

Post a Comment