Monday, 17 March 2014

Anyaman Rindu Usrati

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah...Ya ALLAH penulis masih punya waktu untuk menarik & menghembus nafas pada pagi yang indah ini. Syukur padaMu Ya ALLAH Engkau telah menghidupkan penulis dengan nikmat Islam & iman. Nikmat ini yang membesarkan penulis menjadi seorang muslimah yang wajib mentaatiMu.

Walau setiap nafas penulis perlu meluah rasa cinta pada ALLAH, tidak mengapa andai selamanya ALLAH cinta sejatinya. Dia tak perlu memendam sedih, tidak perlu rasa kecewa, tidak perlu rasa sendiri, tak perlu hidup dibayangi ketakutan dunia semata kerna dia yakin ALLAH sentiasa menjaganya, ALLAH sentiasa ada dengannya. Jika ini yang dapat kita tanam dalam diri setiap muslim alangkah bertuahnya dunia.

Cinta ALLAH mengatasi segalanya. Tak percaya? Cuba kalian luahkan rasa cinta pada ALLAH dengan melakukan segala perintahNya & meninggalkan segala laranganNya. Pasti hidup kalian bahagia walau terkadang ada derita menduga iman kita. Hari ini penulis nak bercerita tentang cinta & rindu. Cinta mama, ayah, adik-adik yang sangat penulis rindui. Dah sebulan lebih penulis berpisah dengan keluarga di kampung & meneruskan tugas sebagai pelatih di Selangor. Sejujurnya pedih menjadi sang perindu, tapi mujur saja ALLAH menenangkan penulis dengan kalamNya.

Bila bercerita tentang keluarga, surah at-Tahrim ayat 6 ini sangat sinonim dengan isu keluarga yang bermaksud:

6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.

Siapa kata penulis tak merindui keluarga di kampung. Saban waktu telefon menjadi peneman saat merindui mereka. Mendengar suara bahagia keluarga cukup mengubat rasa rindu di hati. Jika bicara tentang rindu, ingin sahaja penulis terbang terus sampai ke pangkuan keluarga, mendakap erat mama, ayah, & adik-adik. Meluah kata rindu pada insan-insan hebat yang mencorak puteri sulung ini. Jika tiada keluarga penulis, penulis takkan berpentas irama di sini, tiadalah blog QalamWardahZinnirah.blogspot.com.

Gambar terbaru Ahmad Hambali, si bongsu

Namun semua itu hanya mimpi semata. Sahabat semua pasti pernah merasai bagaimana rasanya memendam rindu pada keluarga terutamanya yang hidup di perantauan kan? Apa yang kalian buat? Menelefon? Bertanya khabar? Atau terus pulang ke rumah jika rindu datang bertamu? Masing-masing punya pilihan sendiri bagaimana mahu mentafsirkan anyaman rindu pada keluarga.

Penulis lebih selesa terus bercerita tentang keluarga di blognya. Biar sahabat semua turut merasai manisnya merindui keluarga tersayang. Di samping itu, tak lupa dalam setiap doa kita hadiahkan surah al-Fatihah untuk keluarga kita moga mereka sentiasa di jaga oleh ALLAH kerana kita tak selalu ada di samping keluarga saat susah atau senang mereka. ALLAH tahu yang terbaik buat keluarga kita.

Siapa yang paling penulis rindu? Mestilah ayah & mama serta adik bongsu penulis yang bernama Ahmad Hambali bin Yaakob. Saban hari penulis menelefon keluarganya, Hambali cepat sahaja bertanyakan bila kakak mahu pulang? Balik sahaja masa hari lahir Hambali boleh bagi hadiah sekali. Tersenyum penulis mendengar suara si kecil ini. Sungguh gelagat cerianya membuatkan penulis makin merindui adik bongsunya.

Dia bisa buat orang sedih tersenyum bahagia, dia bisa buat orang marah kembali pulih seperti sedia kala, dia bijak buat orang yang merajuk terpujuk dengan karenah & kata-katanya. Ada sahaja cerita yang mahu dikongsi bersama adik-beradiknya, itulah Ahmad Hambali dalam keluarga penulis. Biarpun dia bongsu dia dah tak manja & mengada macam dulu dah.

Semangat & ketabahan serta suara ayah mengaji Al-Quran sangat penulis rindu. 

Hanya ALLAH Yang Maha Tahu bagaimana rindu itu mahu ditafsirkan. Ayah insan terbaik yang dianugerahkan ALLAH kepada penulis. Al-Hamdulillah...Mama insan hebat di sebalik kehebatan ayah. Kata nasihatnya, raut wajah tenangnya, kesungguhannya & masakannya yang paling sedap di dunia membuat penulis tak lekang merindui mamanya. Mama, ayah, Mimi, Chik, Fadzil & Hambali kalian insan yang sentiasa dirindui penulis. Sayang kalian kerana ALLAH. Moga kita bisa bersatu di syurgaNya. Ameen...

No comments:

Post a Comment