Bismillahirrahmanirrahim...
Salam Jumaat Kareem buat semua insan yang
sudi meneliti setiap bait kata dalam blog ini. Moga semuanya memberi manfaat
pada ummah. Al-hamdulillah, ALLAH masih memberi peluang kepada penulis untuk
berkongsi ceritanya di sini. Kisahnya bukan berniat untuk mencari publisiti
atau populariti bukan juga kerana nak membuka pekung di dada bukan juga kerana
sahaja nak bercerita, tetapi penulis mahu berkongsi keindahan bergelar sebagai
muslimah.
Al-hamdulillah, ALLAH membuka hati
sahabat-sahabat untuk memerhati & membaca isi cerita dalam blog ini. Terima
kasih. Moga ALLAH membalas segala kebaikan kalian. Pagi Jumaat ini penulis
mencari-cari isi apa yang mahu dilakar dalam blog ini. Al-hamdulillah, jumpa
satu puisi yang telah lama tersimpan kemas dalam fail ‘notebook’nya bertajuk
permata buat anakanda. Puisi sungguh indah dan senang untuk direkayasa cuma
tinggal kita mencari gali idea dan mengolahnya penuh rasa. Jom di pagi Jumaat
ini kita tengok puisi ini. Mana tahu boleh mengingat & mengubat rindu kita
pada ibu ayah tercinta. Sebelum itu pastikan kalian dah baca surah Yaasin atau
surah al-Kahfi di pagi Jumaat banyak kelebihannya. Mengingat kita pada ALLAH
Yang Maha Esa.
Permata Buat Anakanda
Susuk tua itu
Kelihatan kuat membanting tulang
Memasak semangat tinggi
Mahu melihat anak berjaya dunia & akhirat
Biar lelah menyapa diri
Biar peluh membasahi bumi
Biar sukar perlu ditempuhi
Diri mu cuba menguat diri
Susuk tubuh itu
Yang selalu ku rindui
Kalian
Permata berharga buat anakanda
Melimpah sayang tanpa tara
Menukil ketenangan kala duka
Doamu mengiring kehidupan kami
Lidahmu penyegar fikiran kami
Suaramu mengulit hati kami
Tanpamu dan takdir Ilahi
Tiadalah kami di dunia ini
Permata buat anakanda
Duhai bonda ayahanda
Doa ku panjat agar kalian
Di limpahi keberkatan berganda
Di kurnia pahala seluasnya
Di kasihi ALLAH sentiasa
Kerana ku tahu
Kalian permata buat anakanda
Selamanya hingga ke syurga
Doaku
Moga ALLAH sentiasa memelihara
Permata berharga anakanda
Moga kalian bahagia dunia akhirat
Moga kalian bahagia punya anak soleh
solehah
Bisa mendoakan kebaikan kalian
Bisa menyapu air mata kesedihan
Bisa berkongsi kasih sayang
Hingga akhir usia mama & ayah
No comments:
Post a Comment