Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...kesempatan masih ada buat
penulis meneruskan penulisannya walau mungkin perkongsiannya kali ini sedikit
hambar dek ujian yang bertalu-talu menyinggah diri. Ya, hakikatnya manusia tak
bisa lari dari ujian & ujian itu tanda ALLAH Maha Menyayangi hambaNya,
ALLAH tidak akan sesekali meninggalkan hambaNya sendirian. Al-hamdulillah
berkat kasih sayangMu Ya ALLAH, penulis masih berdiri sebagai hamba &
khalifahNya.
Harapannya moga sahabat-sahabat yang sudi
ziarah blog ini juga begitu, walau dihimpit ujian bertalu dalam kehidupan
ingatlah ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Bersangka baik
sahaja, moga ada hikmah & kebaikannya. Sebelum qalamwardahzinnirah ini
dipanjangkan izinkan penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam
Ramadhan kareem 19 Ramadhan 1435H.
Ya, sedar tidak sedar kita telah memasuki
pertengahan & hampir kepada penghujung Ramadhan. Terdetik kesedihan di jiwa
bila mana dirasakan Ramadhan tahun ini sangat sebentar. Pemusafiran penulis
Ramadhan ini penuh membawa erti meneliti kehidupan sebagai musafir yang serba
kekurangan, hidup penuh kesederhanaan. Menumpang teduh di hujung dunia,
bertenggek kasih pada sahabat-sahabat yang sudi memberi ruang pada diri rehat
sebentar sebelum meneruskan pemusafirannya. Dalam keasyikan menikmati peritnya
sebuah musafir & berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain,
ujian ALLAH datang memberi petanda bahawa langit tidak selalunya cerah, bahagia
bukan untuk selamanya kecuali jika sudah di alam syurga di sana bahagianya
abadi.
ALLAH mahu menguji hambaNya bukan untuk
menyeksanya tetapi untuk memberi kita manisnya mencintai ALLAH melebihi
segalanya. Mari kita tadabbur surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:
286. Allah tidak memberati (membebani) seseorang melainkan apa
yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,
dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan
berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika
kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! janganlah Engkau bebankan
kepada kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau
pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah
kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.
Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan
terhadap kaum-kaum yang kafir".
ALLAH tahu hambaNya dapat mengatasi & bersabar
dengan ujian yang dikurniakanNya. Dek kerana itu, penulis cuba untuk bertahan
dengan ujian ini. Biarlah hanya ALLAH yang mengetahui apa yang tersirat di
sebalik kisah ujian hidupnya, Cuma di sini penulis memohon jasa baik kalian
sahabat-sahabat yang disayangi ALLAH untuk kirimkan sekelumit doa &
al-Fatihah buat diri yang lemah ini. Selebihnya usah lupa kirimkan doa &
al-Fatihah buat saudara-saudara seIslam kita yang memerlukan kiriman doa walau
hanya dari jauh, kerana doa itu senjata bagi mukmin.
Ujian penduduk Gaza, Palestin jauh lebih
hebat dari penulis yang hanya ibarat tusukan jarum sedang mereka di sana
berjuang hingga ke titisan darah untuk mempertahankan negara tercinta. Di sana
sini kemusnahan berlaku, mereka perlu melalui ujian ini ketika Ramadhan kareem
menunjukkan diri. Sedang kita sibuk melilau-lilau mencari juadah berbuka puasa
di bazaar Ramadhan, sedang mereka berbuka kemudian syahid menuju syurga Ilahi.
Pertemuan dengan ALLAH amat ditunggu oleh mereka. Ya ALLAH peliharalah
saudara-saudara kami di seluruh negara terutamanya di Gaza, Palestin.
Baiklah, perkongsian hari ini adalah usah
terburu-buru & usah bertangguh. Tentang apa yer? Kata-kata ini penulis
ambil dari buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bertajuk, “Edisi Istimewa: Aku
Terima Nikahnya. (Titipan erti sebenar perkahwinan medan memberi yang paling
mulia)” Sedang asyik mengemas rumah kakak ipar sebentar tadi, penulis terjumpa
dengan buku ini. Menarik untuk dibaca menggabungkan ketiga-tiga buah buku
karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil iaitu, ‘Aku Terima Nikahnya’, ‘Bercinta
Sampai ke Syurga’, & ‘Murabbi Cinta’.
Kehadiran buku ini seolah-olah menjawab
segala pertanyaan yang bertalu-talu datang kepada penulis. Seperti kebiasaan
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil suka menulis pengalaman hidupnya sebagai panduan
untuk pembaca-pembacanya. Ya sejujurnya penulis suka baca pengalaman
penulis-penulis lain. Dia membawa realiti kepada pembacanya, membawa hakikat
kehidupannya tak lari dari susah & senang. Penulis tenggelam dalam kisah
yang di bawa oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.
Kesimpulan tentang buku ini, ia sangat baik
untuk mereka yang bakal mendirikan rumah tangga & yang telah melalui
gerbang perkahwinan kerana buku ini bercerita tentang pengalaman hidup seorang
manusia yang mahu mencapai keredhaan ALLAH dalam kehidupannya. Penulis pernah
menemu ramah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
dalam salah satu Seminar MUSLIM yang dianjurkan oleh Akademi Sinergi di USIM
suatu masa dulu. Tertarik dengan pembawakan & cara penyampaian ustaz yang penuh
berhikmah menjadikan ustaz adalah salah satu contoh penulis baginya. Mari kita tengok gambar2 ihsan dari Akademi Sinergi yang di ambil penulis dari mereka:
Buku ini dibaca hanya untuk mengisi masa
terluang yang ada, kerana dengan membaca hatinya tak mudah berfikir apa-apa
yang negatif, ia boleh mengelakkan penulis terus berfikir tentang ujian yang
dilaluinya. Penulis cuba untuk hadirkan rasa redha dengan apa yang telah ALLAH
sediakan untuknya. Ya, membaca adalah salah satu cara mengalihkan fikirannya.
Apa kata kalian layari sendiri laman web Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Penulis letakkan bersama link laman web ustaz di sini bagi memudahkan sahabat semua: http://saifulislam.com/
Buku tersebut baru sahaja dibaca, tertarik
pada halaman 3 buku ini iaitu, ‘...Terimalah seseorang, seadanya. Kebaikannya
disyukuri, kekurangannya diredhai...’ itulah makna sebenar sebuah perkahwinan.
& dalam buku ini Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ada menulis bahawa perkahwinan
bukan masa untuk kita menerima, tetapi perkahwinan adalah masa untuk kita
memberi & terus memberi. Bila rasa memberi itu terus menguasai diri, kita
takkan sesekali mengharap sesuatu yang sempurna dari pasangan kita. Bukan
begitu?
Pada halaman berikutnya iaitu halaman 11,
ustaz meneruskan penulisan dengan menitip kata, “...perkahwinan sebenarnya menggabungjalinkanantara
cinta, kasih sayang, tanggungjawab & peranan.” Perkahwinan itu bukan hanya
sekadar majlis yang meriah, akad nikah atau ‘honeymoon’ semata tetapi ia ada
kaitan dengan hati menggabungkan dua menjadi satu menghasilkan sinergi yang maha
hebat.
Tak perlu tunggu nak ber’sms’, ‘couple’,
makan sama-sama, tengok wayang terus dapat kahwin. Tak perlu tunggu bertunang
bertahun-tahun lamanya, syariat ALLAH tak dijaga akhirnya putus di tengah jalan
diri yang merana. Tak, bukan itu budaya umat Islam yag sebenar. Jika benar mahu
disunting seorang wanita untuk dijadikan isteri persiapkan dirimu duhai lelaki
untuk berjumpa & mengambil hati keluargnya kerana ingat bukan hanya wanita
itu yang kamu hendak kahwini tetapi keluarganya juga kamu kena kenali &
dekati. Keluarganya juga kamu harus ‘kahwini’.
Itu maksud sebenar usah terburu-buru &
usah bertangguh. Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam buku ini
pada halaman 24, “Jangan mengambil langkah untuk berpasangan, jika sudah pasti
dalam setahun dua jangka masa terdekat ini tiada kemungkinan untuk kalian
berkahwin.” Amaran dari ustaz sendiri. Dah baca? Jadi pandai-pandailah kita
menilai diri kita bagaimana kemampuan kita ke arah itu. Sungguh selepas membaca
buku ini, penulis lebih bersikap terbuka menerima apa yang telah dibacanya,
kerana di sana ada betulnya. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bukan berniat
menghalang sesebuah perkahwinan tetapi ustaz nak kita para remaja Islam
terutamanya berfikir dengan matang sebelum melangkah ke alam perkahwinan yang
penuh dengan ujian ini.
Jika kita diberi pilihan memilih insan yang
mencintai kita atau insan yang kita cinta, bagaimana kalian mahu memilihnya? Pilihan
sesungguhnya amat perit untuk dibuat keputusan yang mana menyenangi hati semua
pihak. ALLAH sentiasa ada untuk mendengar setiap rintihan & permohonan
kita. Jadi, jika kita buntu, istikharah jawapan terbaik petunjuk dari ALLAH
Yang Maha Penyayang. Lakukanlah istikharah dalam kehidupanmu seharian, moga
setiap keputusan yang dibuat selari dengan kehendak & takdir ALLAH yang
penuh rahsia.
Pesanan buat diri & sahabat semua yang
belum & bakal melangkah ke alam rumah tangga, usah berhenti berdoa &
berdoa moga ALLAH mengurniakan pasangan yang baik untuk kita. & bukan hanya
berdoa, berusahalah untuk menjadi yang terbaik & hambaNya yang sangat merindui
pertemuan dengan ALLAH. Betulkan terlebih dahulu niat perkahwinan kita, biarlah
kerana mahu mengejar cinta ALLAH, biarlah cinta yang dibina bisa membawa kita
ke syurga. Ameen, insyaALLAH. Jadi usah terburu-buru & usah bertangguh
dalam urusan perkahwinan khususnya dan urusan-urusan lain.
Setakat ini dahulu perkongsian penulis untuk
hari ini. Moga memberi manfaat pada pembacanya. Moga melimpahkan rasa kasih
& sayang kita pada ALLAH Tuhan kita. Mohon maaf atas segala kekhilafan
penulis ya kerana manusia tak pernah sempurna. Kalian ada sebarang komen atau
cadangan? Usah segan silu untuk menemui penulis dalam wardahzinnirah@rocketmail.com
atau melalui blog ini. Sudilah perbetulkan apa yang salah, & kongsilah apa
yang betul moga kita sama-sama memperoleh manfaatnya.
Salam Ramadhan
Kareem...siiru ‘alaa barakatillah...
No comments:
Post a Comment