Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Alhamdulillah...Jumaat
di bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan. Kita telah memasuki fasa akhir
Ramadhan kerana hari ini dah 20 Ramadhan 1435H. Salam Jumaat mulia penghulu
segala hari. Moga permulaan hari ini dimulai dengan mengingati segala nikmat
pemberian ALLAH terhadap diri kita. Sekejap masa berlalu, Ramadhan seolah-olah
melambai pergi meninggalkan kita untuk meneruskan amalan seperti sebelum ini. Salam Jumaat kareem ya!
Al-Hamdulillah,
nyawa masih di kandung badan. Kehadiran penulis pada hari Jumaat yang penuh
mulia ini adalah sekadar mahu berkongsi rasa sebagai individu Muslim. Gunalah kepelbagaian
teknologi ini untuk berkongsi kebaikan dengan semua manusia. Kebetulan blog ini
telah direkayasa hanya untuk memenuhi tuntutan tugasan universiti, ada baiknya
penulis menyambung kerja penulisan di blognya. Memenuhi minatnya yang mendalam
terhadap penulisan, jadi, blog kesayangan ini terkadang menjadi tempat meluah
rasa. Mohon maaf pada semua sahabat yang mungkin mengharap blog ini dapat
mengubah diri menjadi lebih baik kerana ia sekadar perkongsian pengalaman hidup
& pendapat penulis sendiri.
Nak masukkan
fakta semata, penulis bukan ahli sejarawan, nak berbicara tentang pendidikan
politik Islam pun penulis bukan pakarnya. Nak cerita tentang isu semasa, penulis bukannya pandai sangat pun. Penulis hanyalah hamba ALLAH yang ada
sekelumit rasa amanah & tanggungjawab untuk sekurang-kurangnya menjentik
hati penulis & sahabat-sahabat yang ziarah blog ini untuk sama-sama
memperbaiki diri. Benar kata orang jika kita tidak mampu untuk ubah semua
perkara, cukup sekadar kita menyumbang sesuatu walau sedikit untuk orang tahu
tentang Islam & kebaikan.
Pagi tadi
tersedar dari mimpi yang panjang, penulis digemparkan dengan berita pesawat Malaysia
MAS MH17 terhempas di Ukraine. Innalillahi wainna ilaihi raji’uun. Beristighfar
panjang penulis meneliti berita ini di kaca televisyen. Belum pun reda tentang
berita kehilangan MH370 hampir lima bulan yang lalu, datang lagi berita tragis
tentang pesawat Malaysia MH17 terhempas di Ukraine. Pihak media masih mencari
kesahihan berita ini.
Sumber FB GAMIS
Mari sama-sama
kita hadiahkan surah al-Fatihah kepada seluruh mangsa yang terlibat terutamanya
yang beragama Islam. Kuatkan hati ahli keluarga mereka untuk menerima berita
ini. Malaysia ohh Malaysia...lepas satu berita datang satu berita dan penulis
simpulkan sebagai bencana daripada ALLAH. Ya peringatan buat hamba-hambaNya
yang mahu berfikir. Mari kita selak semula beberapa peristiwa yang melanda
Malaysia sebelum ini bermula dengan krisis air yang berpanjangan, tragedi
pesawat MH370, El-Nino atau dikenali sebagai kemarau berjerebu, terbaru tragedi
MH17, kematian di sana-sini sama ada disebabkan oleh kemalangan atau
pembunuhan.
Malaysia ohh
Malaysia...ini tanda peringatan buat umat Islam di sini. Bagaimana kita
mentadbir bumi Malaysia adakah penuh dengan keadilan atau bagaimana? Tepuk dada
tanya sekeliling kita? Bagaimana kita menjaga hubungan dengan ALLAH &
hubungan sesama manusia? Bagi mereka yang mahu berfikir dan panjang akalnya
sudah tentu dapat mengagak semua kejadian, tragedi yang berlaku adalah kerana
kealpaan kita dalam menjaga & memelihara alam ciptaan ALLAH ini. Tak percaya
mari kita belek kalamullah surah ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud:
41. telah timbul berbagai kerosakan dan bala
bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan
manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka
sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan,
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Sedih
menebak dada saat penulis kembali ke bumi Nilai, penuh pembangunan di sana-sini
tetapi sayang keindahan hijau di bumi Nilai sebelum ini telah dinodai. Alam seolah-olah
menangis dengan perbuatan kasar manusia yang tamakkan pembangunan hingga lupa
memelihara kehijauan bumi. Bumi ditarah sesuka hati, andai pokok-pokok dan bukit
itu bisa berbicara mereka tentu menjerit memberitahu kepada manusia betapa
sakitnya bumi dengan kerakusan manusia mencari kekayaan & menggali
kemewahan. Sudah tentu sekarang ini kedengaran esak tangis bumi dengan apa yang
telah manusia lalukan tanpa berfikir tentang alam. Kita manusia bukan hidup
seorang di bumi ini ada makhluk ALLAH yang lain menumpang hidup bersama-sama
kita daripada flora, fauna & kehidupan lain. Jadi usah kita mementingkan
diri. Usah bersikap seperti enau dalam belukar melepas pucuk masing-masing.
Ya semua
yang terjadi ada kaitan antara satu sama lain. Tidak lain tidak bukan tanda
ALLAH mahu memberi peringatan kepada kita bencana yang hadir bukan sekadar
untuk kita tangisi tetapi untuk kita mengambil ibrah (pengajaran) daripada ada
apa yang telah berlaku di bumi Malaysia ini. Bukankah manusia hadir untuk
memakmurkan bumi ini? Bukankah penciptaan kita adalah untuk menjadi hamba &
khalifahNya? Mari kita koreksi diri bersama-sama. Apa yang telah kita lakukan
untuk menyelamatkan bumi ini? Apa sumbangan kita kepada pengekalan kehijauan
bumi? Apa yang telah kita lakukan untuk menyebarkan keindahan & kebaikan
Islam.
Sekadar perkongsian
penulis untuk kita sama-sama berfikir semua peristiwa perit yang menimpa
Malaysia adalah pengajaran berharga buat diri individu Muslim terutamanya.Sekali lagi
mohon maaf atas segala kekhilafan penulis jika artikel ini menjentik hati
sahabat-sahabat yang singgah di blog ini. Sungguh ini hanya perkongsian rasa
daripada seorang muslimah untuk tatapan dirinya & moga memberi manfaat pada
ummah sejagat walau sekelumit cuma. Jika punya kesempatan & umur masih
dipanjangkan ALLAH, berjumpa lagi dengan penulis dalam penulisan akan datang. Sempena
bulan Ramdhan yang penuh keberkatan ini, mohon kepada semua untuk terus berdoa
& berdoa kepada ALLAH, kerana sebaik-baik pergantungan seorang muslim adalah
pada Penciptanya iaitu ALLAH Maha Berkuasa.
Salam
Ramadhan Kareem 20 Ramadhan 1435H...siiru ‘alaa barakatillah...
No comments:
Post a Comment