Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...kasih sayang ALLAH sentiasa
memayungi kehidupan kita. Al-Hamdulillah penulis masih punya kesempatan untuk
terus menulis & menulis dalam blog ini. Walau sibuk melayan karenah
anak-anak saudara yang comel & aktif iaitu Suri Tihani Qisya, Mia Tifal
Kaisara & Tsaqif Zikry, penulis mencari ruang untuk membolehkan dia terus
menulis & mengisi blognya dengan cerita kisah kehidupannya. Al-Hamdulillah...ucapan
syukur ini dilafaz untuk semua nikmat & ujian dariNya.
Menjadi seorang ibu bukanlah kerja yang
mudah. Pengalaman sekejap menemani anak-anak saudara penulis betul-betul
mengajarnya menjadi seorang wanita cuba memahami perasaan seorang ibu yang
berkerjaya. Apa pun menemani & melayan karenah mereka sangat menyeronokkan
menambah nostalgia waktu kecil penulis. Mungkin ini perasaan bergelar seorang
ibu nanti. Buatkan susu, mandikan mereka, teman mereka bermain, teman mereka
berbual, menemani mereka makan, bergelak ketawa dengan mereka sungguh
membahagiakan.
Bukan mudah juga mahu membentuk anak yang
mendengar kata. Anak yang bakal meneruskan generasi yang mencintai Al-Quran
& mematuhi segala perintah ALLAH serta menjauhi segala laranganNya. Masih ingat
dengan kalamullah surah at-Tahrim ayat 6 yang mencerita tentang keharusan memastikan
ahli keluarga terpelihara dari api neraka yang bermaksud:
6.
Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari
neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu
dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka
tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka,
dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
Ibrah Kalamullah memberi peluang kepada
penulis untuk terus menghayati setiap bait kata dari ALLAH ini. Leka dengan
ayat-ayat suci al-Quran saat membaca & mentadabburnya memberi ruang kepada
hati untuk memahami isi al-Quran. Bila baca al-Quran selalu sahaja tepat pada
masanya dengan kata lain, ALLAH seolah-olah menegur penulis secara langsung di
saat membaca & menghayati maksud di sebalik ayat yang dibacanya. Contoh terdekat
bila penulis diuji dengan ujian yang maha berat memaksanya membuat pilihan
dalam kehidupan dia tersu membelek al-Quran. Al-Hamdulillah kasih sayang ALLAH
pastas membalut kesedihannya pantas juga mengajarnya menjadi manusia yang kuat
dengan izinNya.
Ibrah Kalamullah di bulan Ramadhan ini
sungguh bermakna terutama ketika penulis membaca surah an-Nuur & surah
al-Furqan. Mari kita bedah surah an-Nuur terlebih dahulu! Banyak pengajaran
yang diperoleh semasa memahami isi surah ini. Tiba-tiba teringat pada kata-kata
seorang sahabat, “Pesan murabbi surah an-Nuur adalah antara surah yang perlu
diajar pada anak perempuan untuk mengetahui dosa pahala sesuatu perkara yang
dilakukannya...”
Ya benar surah an-Nuur banyak mutiara
berharga terutamanya buat wanita muslimah. Antaranya ayat 26 & 27 yang
bermaksud:
26. (lazimnya)
perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan
lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya)
perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki
yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. mereka (yang baik) itu adalah
bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat);
mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang
mulia.
27.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke alam mana-mana rumah yang
bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam
kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu
beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).
Maka benarlah kata-kata ALLAH...orang yang
baik untuk orang yang baik. Janji ALLAH adalah benar & penulis percaya
serta yakin dengan kalamullah. Bila baik diri kita jadi ada peluang untuk kita
memperoleh teman hidup yang baik. Bagaimana kita, begitulah pasangan kita
nanti. ALLAH juga mengajar hamba-hambaNya adab sopan dalam memasuki rumah tidak
lain dengan memberi salam terlebih dahulu. Jelas lagi bersuluh Islam itu indah
& penuh dengan keindahan cuma terkadang ramai yang tidak menyedarinya. Tahu
tapi tidak mahu mengamalkannya.
ALLAH juga berpesan pada hambaNya dalam surah
an-Nuur ayat 30 & 31 untuk mejaga pandangan merangkumi perempuan &
lelaki. Mari kita telusuri maksud ayat di atas!
30.
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya
mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka;
Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka
kerjakan.
31.
dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan
mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau
anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau
anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka,
atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan
kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat
perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan
apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada
Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Ha..apa lagi mulalah bertindak dengan
menundukkan pandangan & menjaga maruah diri. Bukan bermaksud kita
menundukkan pandangan hingga berjalan terlanggar tiang, tidak juga bermakna
kita menjadi manusia yang tak boleh segala-galanya. Galakan menutup aurat juga
ada di masukkan dalam ayat ini. Apa lagi yang mahu kita ingkarkan sudah terang
lagi bersuluh ALLAH memerintahkan kita untuk menutup aurat bukan bermakna kita
tak boleh nak melakukan aktiviti seharian kita. Ini tanda ALLAH amat menyayangi
diri kita.
Ada hikmah disebalik pesanan ini agar kita
tidak terus terjebak dengan segala dosa & memelihara diri daripada
melanggar peraturan ALLAH. Memang pada pandangan sesetengah manusia ia adalah
peraturan yang sangat berat tetapi tidak bagi seorang individu yang mengaku
mengucap kalimah syahadah.
Antara ayat lain yang ingin penulis ‘highlight’kan
di sini adalah ayat 32 & 33 surah an-Nuur yang mungkin agak menyentuh isi
hati sesetengah pihak termasuklah penulis sendiri... Firman ALLAH S.W.T yang
bermaksud:
32.
dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu,
dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika
mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah
kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha
mengetahui.
33.
dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka
menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah
kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat
surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang
tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu
mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya
berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah Yang telah
dikurniakan kepada kamu. dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu
melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu
berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. dan sesiapa yang memaksa mereka, maka
Sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Bab jodoh yang mana adalah ketentuan ALLAH. Membina
bahtera perkahwinan bukanlah semudah kita mengelip mata, bukan juga semudah
kita bertatih ketika membesar menjadi kanak-kanak. Jodoh memerlukan usaha,
istikharah & kebergantungan pada ALLAH yang maha kuat. ALLAH yang
menumpahkan fitrah rasa cinta dalam diri kita, jadi tidak salah untuk kita
terus meminta & berdoa padanya agar rasa cinta kita mendekatkan diri kita
pada ALLAH Yang Maha Cinta.
Bila jodoh sudah tiba, usah kita menolak
takdirNya. Kahwinilah insan yang selayaknya, pilihlah yang punya agama &
punya rasa tanggungjawab, tak adalah nanti berlaku perkara yang tidak diingini
kelak. Penulis berbicara seolah-olah punya pengalaman tersendiri. Kehidupan
memberinya banyak pengalaman baru & mendekati insan-insan sekelilingnya
mengajar penulis untuk berhati-hati dalam memilih pasangan.
Menjangkau usia 24 tahun, memungkinkan banyak
persoalan tentang ‘bila nak kahwin’ terkadang menghantuinya. Penulis masih
punya banyak impian, impian ke bintang yang mahu dicapainya sebelum bergelar
seorang isteri & membina rumah tangga sendiri. Mahu membentuk diri menjadi
lebih baik, mahu menyumbang pada kemenangan Islam, & mahu belajar banyak
perkara dalam pengembaraannya. Bukan tak mahu kahwin, bukan tak usaha...tapi
semuanya mengikut ketentuan ALLAH. Bila ALLAH kata ya, maka kahwinlah!
Benar kalamullah, jika tidak mampu untuk
mendirikan rumah tangga cukuplah kita memelihara diri kita hanya untuk pasangan
yang sah kita & mendekatkan diri kita pada cinta ALLAH. Bila kita tak
kahwin sekarang bukan bermakna kita tak boleh bercinta. Ya, kita masih boleh bercinta
dengan adik-beradik, mak ayah yang penting bercinta dengan ALLAH. Walau perasaan
cinta suami isteri itu tidak sama setidak-tidaknya kita masih bisa memelihara
diri daripada melakukan perkara maksiat. Bersabar duhai hati kerana sabar itu
indah.
Panjang kita berbicara hari ini, baiklah
setakat ini dahulu ibrah Kalamullah yang boleh penulis kongsikan dengan semua
pembaca merangkap sahabat-sahabat penulis. Moga memberi manfaat pada ummah
& sebelum terlupa mari sama-sama kita doakan untuk rakyat Gaza &
hadiahkan al-Fatihah pada mangsa-mangsa tragedi MAS MH17.
Siiru ‘alaa barakatillah...salam ramadhan
kareem 26 Ramadhan 1435H...
No comments:
Post a Comment