Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...syukur
padaMu Ya ALLAH ‘kematian yang sebentar’ ini masih memberi ruang kepada kami
untuk bangun dengan mengucap syukur padaMu. Kami masih hidup & terkadang
terdetik di hati adakah peluang aku hidup ini masih ada untuk aku pada masa akan
datang? Adakah aku punya kebaikan untuk ditaburkan pada diri dan orang yang aku
sayang sekelilingku? Adakah keberadaan aku di bumi ini memberi rahmat pada
semua orang seperti mana yang terjadi pada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w
sebelum ini?
Ya
ALLAH begitu banyak peluang & ruang yang Engkau anugerahkan pada hambaMu
ini...adakah aku lupa untuk mensyukuriMu Ya ALLAH? Atau hatiku yang sentiasa
berbolak-balik menerima kenyataan ini. Muhasabah untuk diri yang sentiasa lupa
akan matlamat sebenar dia berada di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri
kepada ALLAH di samping menjaga hubungan manusia & makhluk-makhluk ALLAH
yang lain.
Bulan
Ramadhan hadir di saat diri memerlukan kasih & cinta Tuhannya. Mahu sahaja
hatinya menjerit, Ya ALLAH kurniakan aku peluang untuk sentiasa merasai
Ramadhan sepanjang kehidupannya. Ya ketika Ramadhan kita nampak semua manusia
mahu berbuat kebaikan, mahu menabur sebanyak mungkin sedekah & wang, yang
tak kenal jadi makin rapat ukhuwwahnya, masing-masing berlumba-lumba melakukan
ibadah, masjid dipenuhi tanpa disuruh automatik solat jemaah sentiasa penuh.
Alangkah
bahagianya diri menikmati bulan Ramadhan yang penuh kasih sayang. Al-Quran
sentiasa dibaca & ditadabbur bersama-sama. Di mana-mana kelihatan orang
ramai sibuk membaca al-Quran. Nak khatam al-Quran di bulan Ramadhan ni. Tak kisah
apa orang nak kata, tapi bila kita buat macam ni masa bulan bukan Ramadhan dah
tentu kita dipandang pelik. Segala kebaikan yang dibuat masa bulan Ramadhan
hilang tanpa jejak. Perangai berubah 100%. Kenapa? Apa makna ibadah yang kita
lakukan semasa bulan Ramadhan adakah hanya adat semata-mata?
Masa
bulan Ramadhan semua orang cuba nak tutup aurat. Drama-drama yang ditayangkan
juga menuntut pelakon-pelakonnya menutup aurat & bertudung. Sejuk mata memandang
walau hanya semasa bulan Ramadhan. Masa bulan puasa ini kita cuba melakukan
sebaik mungkin ibadah & kebaikan tetapi bagaimana kehidupan kita selepas
bulan Ramadhan? Mari kita koreksi diri bersama-sama duhai sahabat.
Andai
ini bulan Ramadhan terakhir bagi penulis blog ini...dia mengharapkan keredhaan
ALLAH bersamanya, dia mengharapkan Ramadhan ini menyedarkan dia betapa hubungan
dengan ALLAH menjadi kuasa terbesar untuk dia meneruskan hidup sebagai
muslimah. Dia mengharapkan kehadiran blog ini mampu membawanya menuju cinta
ALLAH. Tanpa kasih sayang ALLAH dia takkan ada seperti mana yang dia wujud
sekarang ini. Dia takkan mampu menulis & mencoret segala isi hatinya dalam
blog ini tanpa cinta ALLAH. ALLAH & Islam adalah pengaruh besar untuk penulis
meneruskan kehidupan sebagai muslimah. Cinta suci milik ALLAH takkan dapat dia
kecapi jika dia terus lari dari jalan perjuangan dakwah Islam ini.
Manusia
punya kelemahan & terkadang tersasar dari jalan kebenaran. Ya kerana iman
manusia kadang-kadang menurun & kadang-kadang menaik ibarat roda yang
terkadang kita di atas & terkadang kita di bawah, itu fitrah manusia &
fitrah itu tidak menjadikan kita hina di sisi ALLAH melainkan kita punya TAQWA.
Ya, penulis juga punya kelemahan yang tersendiri yang mungkin pada mata kasar
sahabat-sahabat, kalian nampak penulis sempurna padahal tidak sama sekali. Dia pernah
melakukan kesilapan kerana dia juga manusia ciptaan ALLAH.
Cinta
ALLAH yang menyedarkannya. Kasih sayang & rahmat ALLAH yang membalut segala
kesilapan, dosa & kesalahannya. Penulis harus kuat, tabah & sabar dalam
menjalani liku-liku kehidupannya kerana hidupnya bukan untuk diri sendiri
semata tetapi untuk memberi & terus memberi pada semua yang ada di
sekelilingnya.
Andai
ini bulan Ramadhan terakhir bagi penulis blog ini...& andai tahajud ini
adalah yang terakhir...izinkan penulis membahagiakan insan-insan yang pernah
singgah dalam kamusnya. Ya ALLAH...izinkan penulis mendoakan yang terbaik untuk
sahabat-sahabatnya yang banyak menabur kebaikan & kesedaran padanya hingga
bila dia jatuh ada sahabat yang menghulur bantuan, hingga bila dia tersungkur
tidak bisa bertahan dengan ujiannya ada yang memberi kata semangat &
mengingatkannya pada ALLAH Yang Maha Berkuasa.
Andai
hanya satu permintaannya yang ditunaikan, penulis mohon agar ALLAH sentiasa memelihara
iman yang ada pada insan-insan yang pernah singgah dalam hidupnya, ibu ayah,
adik beradik, keluarga, sahabat-sahabat, guru-guru, & semua manusia yang
dikenalinya. Dia risau adakah amanahnya terlaksana? Adakah insan-insan yang wujud
dalam kehidupannya merasa bahagia & indahnya iman dengan Islam yang
dijunjungnya?
Seluruh
manusia pasti merasai mati & detik kematian itu hanya menjadi detik rahsia
ALLAH. Kita sebagai hambaNya harus menerima kenyataan ini. Jika detik ini kita
menderita dengan penyakit yang ditanggung, jika detik ini kita sakit dengan
bermacam-macam ujian yang ALLAH berikan
pada kita, usah kita berputus asa kerana ini adalah antara cara ALLAH
menyayangi kita. ALLAH takkan sesekali biarkan hambaNya menderita cuma
terkadang kita yang menyalah tafsirkan cinta ALLAH terhadap diri kita.
Saat
kita di uji hebat ingatlah ada lagi manusia yang maha hebat ujiannya dari kita,
lagi susah kehidupannya berbanding kita, lagi sukar perjalanan kehidupannya
jika dibandingkan dengan kita. Kenyataan ini
bukan nak buat hidup kita lagi susah tetapi nak menyedarkan diri kita
betapa kasih & sayangnya ALLAH kepada kita.
Ada
satu ayat al-Quran iaitu lebih dikenali dengan ayat seribu dinar yang menjadi
kalam ALLAH penguat jiwa penulis. Seolah-olah ALLAH berbicara dengannya secara
langsung & menenangkan jiwanya yang kusut lagi lemah. Orang kata dalam
bahasa Arab ‘ayat tashji’’. Jom kita nikmati maksud di sebalik ayat seribu
dinar surah at-talaaq ayat 2 & 3 yang bermaksud:
2. Kemudian,
apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka
(rujuk) Dengan cara Yang baik, atau lepaskan mereka Dengan cara Yang baik; dan
adakanlah dua orang saksi Yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau
melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan
persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum Yang tersebut
diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa Yang beriman kepada Allah dan
hari akhirat; dan sesiapa
Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala
perkara Yang menyusahkannya),
3. serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak
terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada
Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah
telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Kenapa sukar benar nak jadi baik ya? Kenapa kita
tak terus istiqamah dalam kebaikan? Kenapa jika kita nak buat baik & jadi
baik ada sahaja halangan & ujian-ujian yang perlu kita tempuh? Ada sahaja
mulut-mulut manusia yang sibuk berbicara...kata itu kata ini! Ada sahaja
syaitan datang mencucuk menambah kekusutan di jiwa, menambah kepeningan hati
memahami makna kehidupan. Tepuk dada tanya iman.
Teringat penulis pada kata-kata hebat seorang
ustaz yang kami panggil Ustaz Abah yang memberi pesan pada sahabat penulis
iaitu, “di mana kita berada, masalah sentiasa wujud, kerana ALLAH nak ajar kita
erti sabar & tabah sesuai dengan nilai syurga.” Ya ini jawapannya! Kenapa bila
kita nak buat baik je, ada halangan yang datang menimpa, sebab orang yang
beriman tak mudah untuk melangkah ke syurga. Imannya perlu diuji terlebih
dahulu kerana ALLAH nak tengok siapa antara hambaNya yang sabar & tabah
dengan ujian.
Tengoklah contoh terdekat yang terjadi pada
Rasulullah s.a.w yang diuji sejak dari kecil lagi sudah kehilangan kasih sayang
seorang ayah kandung. Tidak lama kemudian, hilang pula kasih sayang seorang ibu
yang melahirkan baginda s.a.w. Perjalanan seorang dai’e penuh ujian. Nabi
Muhammad s.a.w diuji dengan kata nista umatnya, dipukul dihina, malah mahu
dibunuh. Apa tindakan baginda s.a.w? Ya Nabi Muhammad s.a.w bersabar &
tabah dengan ujiannya. Baginda s.a.w tidak cepat melatah.
Ya benar kita bukan nabi, & kita bukan
maksum tetapi kita juga hamba ALLAH yang bisa merubah hitam jadi putih, buruk
jadi baik, marah jadi sayang. Apa salahnya kita cuba untuk mencontohi sifat
mulia baginda s.a.w sedangkan Nabi Muhammad s.a.w diturunkan untuk memberi kita
contoh teladan yang terbaik. Bukan begitu?
Coretan hati tahajud terakhir ini memberi
ruang kepada penulis serta mungkin sahabat-sahabat yang membaca ‘entri’ ini untuk
sentiasa berfikiran positif dengan segala qada’ & qadarNya. Ingatlah ada
hikmah tersurat & tersirat di sebalik semua aturan ALLAH ini. Setakat ini
sahaja coretan hati penulis untuk hari ini, seperti biasa semoga memberi
manfaat pada ummah & jangan lupa sedekahkan al-Fatihah pada penulis & seluruh
umat Islam terutamanya untuk saudara-saudara seIslam kita yang berada di Gaza,
Palestin.
Siiru ‘alaa barakatillah...salam Ramadhan
Kareem 18 Ramadhan 1435H.
No comments:
Post a Comment